Artikel Popular

Wednesday, August 24, 2011

Libya: Lari Mulut Harimau Masuk Mulut Buaya?

RABU,  24  Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH


Sebaik-baik sahaja tentera pemberontak mara ke Tripoli dan menguasai beberapa kawasan di ibu negara itu, termasuk Dataran Hijau, satu persoalan yang cukup menarik dan berbaur dengan ketidakpastian ialah:  mampukah pemberontak memerintah Libya?  Meskipun semakin banyak negara, yang terbaharu Bahrain, mengiktiraf Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) sebagai kerajaan Libya yang sah, dan sekali gus menandakan bahawa Muammar Gaddafi  kehilangan kesahannya, banyak diperkatakan tentang kesukaran yang mendepani NTC untuk menyatukan kuasa memerintah Libya pasca-Gaddafi, dan kemungkinan besar perpecahan yang boleh membawa kepada pertumpahan darah akibat pertikaian  antara pelbagai puak.

Setakat malam tadi (waktu Malaysia), selepas tujuh jam pertempuran dengan bantuan pengeboman oleh Nato,  akhirnya tentera pemberontak berjaya memasuki kawasan Gaddafi, Bab al-Aziziya, yang menandakan kejatuhan rejim yang memerintah Libya selama 42 tahun, iaitu sejak tahun 1969,  dan suatu kejayaan besar untuk persengketaan   selama enam bulan.  Bagi tentera pemberontak, penaklukan kawasan Gaddafi itu merupakan detik keriangan. Kawasan itu, tulis Donald Macintyre, "merupakan simbol terakhir kuasa yang zalim" yang kini dirampas daripada penguasaan Gaddafi.

Meskipun anak Gaddafi, Saif al-Islam semalam muncul di Tripoli  untuk menunjukkan bahawa dia masih bebas dan memberitahu bahawa ayahnya masih berada di Tripoli dalam keadaan sihat dan selamat,  "main wayang" dalam perang psikologi ini tidak mampu mengawal tangkis kerosakan.  Hal ini demikian kerana sebaik-baik sahaja tentera pemberontak memasuki Tripoli, sesungguhnya ini bukan sahaja kekalahan dari segi ketenteraan, tetapi juga kekalahan dari segi diplomatik dan psikologi.  Bahkan, amanat baru Gaddafi melalui saluran baru pada pagi ini mendesak penduduk Tripoli "membersihkan" ibu negara itu sekadar merupakan usaha orang yang terdesak, kerana beliau sendiri dan bersama-sama anggota keluarganya menghilangkan diri entah ke mana.  

Di manakah Gaddafi masih menjadi misteri, dan selagi beliau  tidak ditangkap, tentera pemberontak belum  dapat mengisytiharkan kemenangan.  Walaupun  belum dapat ditemui, tiada sesiapa pun yang membayangkan beliau akan mampu bersembunyi begitu lama.  Selama berminggu-minggu tenteranya yang terkepung melunakkan hati di sekelilingnya, dan bahkan sebelum kejatuhan Tripoli, para wartawan  dari semasa ke semasa melaporkan pembantu-pembantu Gaddafi yang belot atau menyerah diri. Dan selepas kejatuhannya,  terbukti bahawa beliau bukannya orang yang terlalu kuat.

Namun, keriangan dalam kalangan rakyat Libya yang begitu lama dibayangi oleh muka yang keletihan jelas kelihatan di mana-mana, seperti   yang dapat dilihat dalam tulisan Hisham Matar dalam The Guardian dua hari lalu:   Gaddafi telah pergi.  Hidup perpaduan, demokrasi, dan kedaulatan undang-undang.  "Kini,  kita dapat menewaskan Gaddafi di medan pertempuran, kita rakyat Libya mesti tidak membenarkan legasinya merosakkan impian kita untuk kebebasan."  Tambah Matar dengan penuh semangat dan keterujaan:  Kita berjaya menghapuskan Muammard Gaddafi.  Saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan dapat menulis kata-kata seperti ini.  Saya fikir kata-kata itu mungkin seperti ini, "Gaddafi meninggal dunia pada usia tua;" ayat yang dahsyat, bukan hanya kerana apa yang dimaksudkan, tetapi juga semacam masa hadapan yang  dingin dan suram serta pasif yang dijanjikan. Kini, tentera pemberontak tiba di Tripoli, kita boleh berkata kita merampas kebebasan dengan tangan kita sendiri, membayarnya dengan darah.  Tiada sesiapa kini akan lebih benar-benar berhasrat untuk menjaganya berbanding dengan kita sendiri.

Perasaan yang sama dilahirkan oleh  Ghazi Gheblawi dalam The Independent, "kita membebaskan diri kita daripada ketakutan kita."  Sepanjang enam bulan lagu, tulis beliau, "saya mendapati diri saya mengelakkan daripada tajuk dan yang agak tidak lengkap tentang berita yang datang dari Libya.  Sebabnya, dengan harapan yang dibawakan oleh pemberontakan popular, datang prospek yang menggerunkan kehilangan revolusi kita."  Gheblawi memetik kata-kata Mohammed Nabbous, wartawan muda, "Saya tidak takut mati, saya takut  kita tewas dalam pertarungan."  Gheblawi juga mengimbau pengalaman hidupnya di bahawa Gaddafi:  "Sebagai satu generai yang membessar di bawah kekejaman Gaddafi dan kediktatoran yang kejam, saya tahu apakah perasaannya seperti apabila matlamat asas kewujudan anda menjadi kelangsungan.  Rakyat Libya seperti saya yang menentang rejim terpaksa membangunkan personaliti duaan.  Belajar untuk bercakap dan menulis secara terbuka dalam kod menjadi kemahiran penting untuk mengelakkan penyeksaan, bukan hanya terhadap diri anda, tetapi juga terhadap keluarga dan sahabat anda.

Bernard-Henri Lévy, ahli falsafah Perancis  yang mempengaruhi Presiden Nicolas Sarkozy  melancarkan serangan terhadap Libya, juga tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila beliau menulis:  "Untuk sementara waktu, saya ingin memberikan penghormati kepada semua mereka, kedua-duanya di sini dan di sana, yang enggan berasa hampa dalam perjudian ini terhadap kebebasan manusia yang mudah, seseorang yang terlalu natural, tetapi kelihatan gila untuk banyak orang."  Tambah beliau dengan penuh keyakinan:  "Apa yang mati ialah konsep kedaulatan yang semua jenayah dibenarkan selagi jenayah itu berlaku di dalam sempadan sesebuah negara.  Apa yang lahir ialah idea keuniversalan hak bahawa tidak lagi merupakan harapan suci, tetapi obligasi yang penuh bersemangat untuk semua orang yang benar-benar percaya terhadap kesatuan manusia dan terhadap kebaikan hak untuk campur tangan yang merupakan natijahnya.

Tatkala rakyat Libya khususnya dan rakyat Arab amnya kegembiraan kerana seorang lagi rejim tumbang, yang dikongsi oleh Amerika Syarikat, Britain, dan Perancis kerana "misi dicapai," Patrick Cockburn cuba menarik perhatian bahawa tiada sesiapa pun yang ragu-ragu bahawa Gaddafi tewas, tetapi persoalannya, siapakah yang menang  dalam perang saudara yang memakan masa selama enam bulan, lebih lama daripada yang dijangkakan?  Pengiktirafan sebuah demi sebuah negara terhadap TNC sebagai kerajaan Libya sah, bagi Cockburn, merupakan kesahan dan autoriti yang disangsikan.  Lagi satu masalah dalam berakhirnya peperangan, tambah beliau, tidak pernah wujud percubaan yang lurus dari segi kekuatan antara dua kumpulan Libya kerana peranan muktamad serangan udara Nato.  Pemberontak sendiri mengakui bahawa tanpa tanpa serangan udara yang dilancarkan bagi pihak mereka, dengan 7459 serangan udara terhadap sasaran pro-Gaddafi, nescaya mereka maut atau dalam pelarian.  "Justeru, persoalannya, masih menjadi tanda tanya kerana bagaimana pemberontak dapat mengubah secara aman kemenangan mereka yang dibantu oleh tentera asing di medan perang menjadi keamanan stabil yang diterima oleh semua pihak di Libya.


Walaupun terlalu awal untuk menjangkakan  apakah yang berlaku di Libya selepas ini, pengalaman di Iraq, sesungguhnya menghantui banyak orang.     Atau memetik Robert Fisk, "Barat menawarkan pengajaran dalam demokrasi kepaa Libya Baru; bagaimana untuk mengelakkan huru-hara yang kita sendiri akibatkan terhadap rakyat Iraq."

Akhirnya, revolusi Libya berakhir dengan cara yang sepatutnya, tulis Anne Applebaum dalam The Washington Post, yang berbaur dengan kebimbangan apakah yang akan terjadi Libya pasca-Gaddafi.  "Akan tetapi, wujud masalah dengan peperangan dan revolusi yang mempunyai cara yang mencapah daripada dasar dan membingungkan para perancang."  Bagi beliau, revolusi Libya tidak perlu berakhir dengan perang saudara, tetapi tidak ada jaminan tidak akan berlaku.  Justeru, beliau mencadangkan biarkan Libya sendiri memikul tanggungjawab terhadap revolusinya.

Hal yang sama dibangkitkan oleh The Independent dalam makalah utamanya, iaitu memberikan kepercayaan kepada tentera pemberontak memainkan peranan sebagai pembina bangsa.  Walau bagaimanapun,  kekeliruan permainan tamat akhirnya diperlihatkan di Libya, peristiwa beberapa jam lalu berhubung dengan kemampuan dan kebolehpercayaan pakatan pemberontak dipertikaikan  untuk mengambil tampuk pemerintahan daripada Kolonel Muammar Gaddafi.  Menyedari masalah yang mendepani, makalah itu mencadangkan:  "Fasa permulaan revolusi perlu berkembang ke dalam proses peralihan kepada tadbir urus yang baik, keadilan sosial, dan pertumbuhan ekonomi yang dianggap memberikan faedah kepada seluruh penduduk.  Kejatuhan Gaddafi apabila tiba masanya, bukannya bermulanya lembaran, tetapi hanya berakhirnya lembaran." 

Mungkinkah Libya akan menjadi Iraq kedua: malapetaka?  Pastinya, persoalan ini menghantui banyak orang, meskipun ketika ini wujud  keriangan berlebih-lebihan berikutan tumbangnya seorang lagi rejim di dunia Arab.  Anarki, negara gagal, dan perang saudara seolah-olah sedang bersiap sedia untuk menimpa Libya.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...