Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Minggu ini, sesungguhnya, minggu yang panjang untuk negara kuasa besar Amerika Syarikat. Setelah berbulan-bulan berhujah, akhirnya pada Selasa lalu, rang undang-undang siling hutang diluluskan, dengan muka Presiden Barack Obama lebam di sana sini. Bagi Barack Obama yang menyambut hari jadi ke-50 pada Khamis lalu mungkin tiada berita yang gembira kerana pada hari itu juga Wall Street lintang-pukang apabila indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) jatuh lebih 500 mata.
Hanya sedikit berita gembira pada hari Jumaat ialah kewujudan 117,000 pekerjaan di Amerika Syarikat pada bulan Julai, jumlah yang tinggi jika bandingkan dengan yang dijangkakan, dan pengangguran turun daripada 9.2 peratus kepada 9.1 peratus. Walau bagaimanapun, angka pekerjaan itu dikatakan gagal untuk memulihkan pasaran global, kecuali Wall Street apabila Dow ditutup pada 11,444.60 mata, meningkat sebanyak 60.93 mata (0.54 peratus) daripada urus niaga pada hari sebelumnya. Namun, Wall Street mengalami jongkang-jongket kerana bertindak balas terhadap angka pekerjaan yang meningkat itu dan berita lain yang bercampur-baur, Dow yang meningkat 171 mata, kemudian jatuh 243 mata, menggambarkan ketidakpastian yang mendalam yang mencengkam pasaran sepanjang dua minggu lalu.
Luka bertambah parah apabila agensi penarafan kredit Standard & Poor's (S&P) pada hari Jumaat menurunkan penarafan kredit AAA untuk Amerika Syarikat kepada AA+, untuk kali pertama sejak negara itu memperolehnya pada tahun 1917. Ketika debat yang berpanjangan tentang siling hutang antara anggota Kongres dan Rumah Putih yang nyaris-nyaris menempuh jalan buntu, tiga agensi penarafan mengeluarkan amaran kemungkinan gred Amerika Syarikat akan diturunkan. Belum pun sempat seminggu siling hutang itu diselesaikan, S&P mengotakan amarannya itu atas alasan bahawa janji untuk mengurangkan hutang sebanyak lebih AS$2 trilion tidak cukup memuaskan agensi penarafan itu. Walau bagaimanapun, dua buah agensi penarafan, iaitu Moody's Investors Service dan Fitch Ratings mengekalkan penarafan kredit AAA mereka pada 2 Ogos, iaitu hari Presiden Barack Obama menandatangani rang undang-undang yang menamatkan kebuntuan siling hutang yang boleh menyebabkan Perbendaharaan mungkir. Moody's dan Fitch juga berkata bahawa penurunan gred adalah mungkin jika penggubal undang-undang gagal menggubal langkah pengurangan hutang dan ekonomi lemah. Seperti yang diketahui, para penggubal undang-undang bersetuju untuk meningkatkan siling hutang AS$14.3 trilion dan berjanji untuk menyediakan rancangan untuk melaksanakan pengurangan perbelanjaan AS$2.4 trilion dalam masa 10 tahun akan datang, kurang daripada AS$4 trilion yang S&P dikatakan diutamakan.
Satu persoalan yang besar selepas penurunan gred itu, menurut The Huffington Post, ialah apakah impaknya terhadap para pelabur yang telah pun berasa gugup. Meskipun penurunan gred itu tidak memeranjatkan, beberapa jualan dijangkakan apabila saham diniagakan semula pada pagi Isnin ini. Dow yang jatuh 699 mata minggu ini, kejatuhan mingguan terbesar sejak Oktober 2008.
S&P menurunkan gred AAA Amerika Syarikat itu, menghentam proses politik negara itu dan mengkritik penggubal undang-undang kerana gagal memotong perbelanjaan secukupnya untuk mengurangkan defisit belanjawan. Agensi penarafan itu yang menurunkan satu tahap gred, iaitu kepada AA+, tetapi masih dengan tinjauan "negatif" kerana agensi itu kurang yakin terhadap Kongres akan menamatkan potongan cukai era George W. Bush atau menyelesaikan hak kelayakan. Penarafan itu mungkin dipotong kepada AA dalam tempoh dua tahun jika pengurangan perbelanjaan adalah rendah jika dibandingkan dengan yang dipersetujui, kenaikan kadar cukai atau "tekanan fiskal baru" mengakibatkan hutang kerajaan am yang lebih tinggi.
Dalam laporannya tentang penurunan gred itu, The New York Times menjangkakan antaranya berpunca daripada kebuntuan politik tentang siling hutang baru-baru ini dan menyatakan bahawa penurunan itu membawa beberapa implikasi kewangan. Akhbar itu memetik kenyataan bahawa penurunan gred kepada AA+ menjelaskan keputusan sebagai pertimbangan tentang para pemimpin negara, iaitu "jurang antara parti politik" mengurangkan keyakinan agensi penarafan kredit itu terhadap kemampuan kerajaan untuk menguruskan kewangannya. "Penurunan gred ini mencerminkan pandangan kami bahawa keberkesanan, kestabilan, dan kebolehramalan penggubal dasar Amerika dan institusi politik adalah lemah pada masa cabaran fiskal dan ekonomi yang sedang berlaku sekarang.
Pengumuman yang dibuat oleh S&P pada malam Jumaat, iaitu selepas pasaran saham Amerika ditutup, menurut The Washington Post, memberikan tamparan simbolik terhadap kuasa besar ekonomi dunia itu dari segi apa yang dikritik dengan jelas tentang sistem politik Amerika. Akhbar itu memetik S&P yang berkata "amalan menempah bahaya politik" dalam debat tentang hutang yang menjadikan keupayaan kerajaan Amerika Syarikat untuk menguruskan kewangannya "kurang stabil, kurang berkesan, dan kurang boleh diramalkan. "Persetujuan dwipartisan yang dicapai minggu ini untuk mencari sekurang-kurangnya AS$2.1 trilion dalam simpanan belanjawan 'tidak mencapai' apa yang diperlukan untuk mengurangkan hutang negara sepanjang masa dan meramalkan para pemimpin adalah mustahil untuk mencapai lebih banyak simpanan pada hadapan. Akhbar itu juga memetik David Beers, Ketua Unit Penarafan Hutang Kerajaan S&P bahawa "selalunya ada kemungkinan penarafan akan datang semula, tetapi kami tidak fikir penarafan itu datang semula pada bila-bila masa dengan cepat," menandakan bahawa Amerika terpaksa bergelut dengan AA+ untuk suatu tempoh yang tidak pasti.
S&P dalam kenyataannya tentang penurunan gred itu, antaranya berkata, "Kami merendahkan penarafan kredit kedaulatan jangka panjang kami tentang Amerika Syarikat kepada AA+ daripada AAA dan mengekalkan penarafan jangka pendek A-1+. Kami juga mengeluarkan kedua-duanya, iaitu penarafan jangka pendek dan jangka panjang daripada negafif CreditWatch. Penurunan gred itu mencerminkan pandangan kami bahawa rancangan penyatuan fiskal yang Kongres dan Pentadbiran bersetuju baru-baru ini tidak mencapai apa yang menurut pandangan kami, perlu untuk menstabilkan dinamik hutang jangka sederhana kerajaan.
Setakat ini, Rumah Putih masih belum memberikan responsnya terhadap tindakan S&P itu. Walau bagaimanapun, jurucakap Jabatan Perbendaharaan berkata bahawa analisis agensi penarafan itu mengandungi ralat AS$2 trilion tanpa menjelaskan ralat itu. Sementara Rizab Persekutuan dan pengawal selia lain berkata dalam kenyataan bersama bahawa tindakan S&P itu sepatutnya tidak memberikan apa-apa impak terhadap bagaimana bank dan institusi kewangan lain menaksir aspek risiko sekuriti Perbendaharaan atau sekuriti lain yang dijamin oleh kerajaan. Kenyataan itu dikeluarkan demi memastikan bank tidak berasa bahawa penurun gred itu akan menjejaskan amaun modal yang pengawal selia perlukan bank pegang untuk mengelakkan kemungkinan kerugian.
Republikan mengambil kesempatan daripada penurunan gred ini untuk menggasak Presiden Barack Obama, seperti yang dinyatakan oleh salah seorang calon presiden daripada itu, Mitt Romney yang dipetik sebagai berkata, "petunjuk yang benar-benar sukar tentang kemerosotan negara ini di bawah Presiden Obama." The Guardian memuatkan pelbagai reaksi terhadap penurunan gred penarafan kredit itu, termasuk daripada Speaker John Boehner, bekas Speaker Nancy Pelosi yang kini minoriti Dewan Perwakilan, dan Paul Krugman. Dalam blognya, Paul Krugman mempersoalkan kebijakan dan kewajaran S&P menurunkan gred itu, meskipun agensi tersebut mengakui kesilapan matematik tentang angka AS$2 trilion itu.
Bagi Presiden Barack Obama mungkin tuah dalam kemalangan kerana sejak Republikan menguasai Dewan Perwakilan, tangan beliau bagaikan diikat sehingga menyukarkan beliau menghapuskan legasi percukaian George W. Bush. Seperti ditegaskan oleh Richard Adams dalam blognya, penurunan gred ini memberikan peluang kepada beliau untuk menamatkan era potongan cukai Bush yang sebelum ini dipertahankan mati-matian oleh Republikan. "Menguatkan tangan Presiden Obama dalam mana-mana rancangan untuk membenarkan potongan cukai era Bush tamat, mengumpulkan tambahan AS$3 trilion sepanjang dekad akan datang.
Dari segi pelaburan, bahkan tanpa penarafan AAA daripada S&P, dikatakan hutang Amerika Syarikat merupakan salah satu pelaburan yang paling selamat di dunia. Berdasarkan pengalaman minggu ini apabila saham menjunam, para pelabur masih membeli nota Perbendaharaan 10 tahun. Namun, hanya pada hari Isnin dapat dilihat, sama ada pasaran mengamuk lintang-pukang atau tenang berikutan penurunan gred itu. Dengan kata lain, sama ada pasaran menyaksikan larian lembu jantan ataupun lenggok beruang. Atau mungkin para pelabur menjadi lali kerana terlalu banyak berita buruk, maka penurunan gred tidak akan membawa kesan yang mendalam.
No comments:
Post a Comment