Artikel Popular

Friday, August 19, 2011

Dia Datang!

JUMAAT, 19   Ogos 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH






Dia datang,  bukan dengan lenggang-lenggoknya, tetapi dengan muka yang garang, siap sedia untuk menerkam.  Setelah kelihatan stabil, tiba-tiba  pasaran saham global semalam lintang-pukang semula: dari  Eropah ke Amerika Syarikat.

Pasaran dalam kegawatan di tengah-tengah ketakutan terhadap kemelesetan global yang baru.    Pasaran kewangan di sebelah menyebelah Atlantik, lapor The Guardian, terkejang-kejang dilanda gelombang baru penjualan di tengah-tengah ketakutan bahawa ekonomi dunia menjunam semula ke kancah kemelesetan.  FTSE 100 ditutup jatuh 239 mata (4.5 peratus), menyapu lebih 62 bilion paun sterling nilainya, terburuk  sejak kemuncak krisis kewangan tahun 2008,  manakala di Amerika Syarikat,  Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) ditutup jatuh 419 mata (3.7 peratus), kepada 10,991 mata.  Keadaan kucar-kacir bangkit di zon euro berhubung dengan pelan penyelamat terbaharu untuk Greece, angka pembuatan Amerika yang lemah, dan amaran daripada  Bank Morgan Stanley di Wall Street bahawa Amerika Syarikat dan Eropah "dengan bahaya terkatung-katung di tepi  lurah kemelesetan" semuanya membangkitkan perasaan panik.

Perasaan gugup, lapor The Independent, bermula apabila para peniaga mendengar bahawa Morgan Stanley memotong ramalan pertumbuhan global untuk tahun ini kepada 3.9 peratus daripada 4.2 peratus.  Meskipun ramalan itu  masih merupakan pertumbuhan yang dijangkakan, dengan Amerika Syarikat dijangkakan berkembang sebanyak 1.8 peratus tahun ini dan zon euro dijangkakan berkembang 1.7 peratus, mereka memberikan amaran bahawa "tidak akan mengambil banyak dalam bentuk kejutan tambahan untuk menjongketkan keseimbangan." 

Bank Morgan Stanley juga dilaporkan menghentam  para penggubal dasar di Washington dan Eropah kerana tidak bertindak secara lebih tegas untuk mengawal krisis hutang kedaulatan. "Harga saham menjunam dalam penjualan besar-besaran pada hari Khamis," lapor The Washington Post "di tengah-tengah ketakutan yang menghantui semula tentang kewangan negara dan bank-bank di Eropah ketika kembalinya kerancakan pelabur yang menyebabkan pasaran berayun minggu lalu.  Kembalinya jualan panik membangkitkan semula ketakutan berlakunya satu lagi kemelesetan." 


Data ekonomi yang tidak menggalakkan dari seluruh pelosok dunia membangkitkan satu lagi kemelesetan dalam perjalanan.  Bukti baru muncul pada hari Khamis bahawa jualan rumah dan pembuatan adalah lemah.  Tanda-tanda juga kelihatan bahawa bank-bank Eropah semakin dibebani dengan krisis hutang serantau dan ekonomi yang menggerutup.


Ahli ekonomi berkata, kelemahan ekonomi dan ayunan berleluasa pasaran saham membekalkan berita buruk.  Kejatuhan berterusan dalam harga saham menjejaskan keyakinan pengguna dan perniagaan.  Individu dan syarikat lazimnya kurang berbelanja dan melabur.  Dan, apabila mereka berbuat demikian, harga saham cenderung jatuh lagi.


Di mana-mana sahaja orang dihantui oleh ketakutan: dalam kehidupan seharian, dalam pasaran saham.  Hal ini demikian adalah kerana antaranya, dunia masih di tepi lurah kemelesetan.  Kemungkinan besar kemelesetan akan datang lagi untuk membawa mimpi ngeri dan igauan yang menakutkan.  Justeru, lebih baik bersedia untuk keadaan yang lebih teruk mulai sekarang.  




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...