Artikel Popular

Monday, August 22, 2011

Mengapa Orang Ramai Merusuh dan Menjarah?

ISNIN,  22 Ogos 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Rusuhan dan penjarahan melanda kota-kota Inggeris   telah pun reda.   Perdana Menteri David Cameron dan ketua Parti Buruh  Ed Miliband menyatakan pendirian masing-masing secara terbuka. Namun,    masih kedengaran di sana sini   ulasan atau komen terhadap peristiwa yang mengaibkan Britain di mata dunia, dan yang terbaharu daripada bekas Perdana Menteri British Tony Blair yang menegaskan bahawa menyalahkan kemerosotan moral kerana tercetusnya rusuhan menjadi tajuk berita yang baik, tetapi dasar yang teruk.  Menolak pandangan puak kanan dan puak kiri, beliau berhujah bahawa Britain secara keseluruhannya, tidak terperangkap  dalam "kemerosotan moral."  Kebenaran yang dihadapi Britain bukan hanya sebilangan   minoriti yang menjarah, tetapi bilangan besar majoriti yang datang kemudian untuk membersihkannya.   

Sebaliknya, Blair melihat faktor ekonomi yang mendorong orang ramai mengadakan rusuhan jalanan itu.  "Saya fikir wujud isu utama yang mendasari kebimbangan yang dicerminkan dalam kekacauan  dan protes di banyak negara." Seterusnya, beliau menyatakan faktornya:  "Satu ialah ketidaksamaan pendapatan yang semakin menjadi-jadi,  bukan hanya antara golongan miskin dengan golongan kaya, tetapi dalam kalangan atasan dan mereka yang bercita-cita  menjadi kelas menengah.  Satu lagi, anjakan paradigma ekonomi dan pengaruh jauh dari Barat.  Setiap satu memerlukan perubahan yang cukup besar dari segi cara kita berfikir dan berfungsi."

Perdana Menteri David Cameron yang terpaksa memendekkan percutiannya di Tuscan, mempunyai jawapan segera ketika pulang ke England:  "Ini merupakan jenayah, jelas dan mudah."  Dakwaan itu disokong dengan rakaman pita tentang pembakaran dan penjarahan.  Memang kelihatan mudah untuk pihak berkuasa menganggap perusuh itu sebagai golongan pesisih yang bebas daripada akhlak.  

Namun, suatu tempat di belakang sesuatu yang kelihatan anarki terdapat perasaan tidak puas hati yang sangat benar dalam Britain moden.  Tulis Nathan Thornburgh dalam Time yang sependapat dengan Blair, iaitu ketidaksamaan agihan pendapatan yang menjadi punca rusuhan,  tetapi beliau lebih spesifik, iaitu bertolak daripada koefisien Gini, iaitu angka yang digunakan oleh ahli ekonomi untuk menunjukkan bagaimana seimbangnya (atau tidak seimbangnya) dalam kalangan penduduk di sesebuah negara. Semakin besar angka, semakin besar ketidaksamaan agihan pendapatan.   "Dalam ukuran tradisional ini, Britain adalah teruk jika dibandingkan dengan kebanyakan negara maju lain di dunia."  

Dalam jadual yang dikemukakan dalam makalah "London's Long Burn," itu Thornburgh menunjukkan koefisien Gini seperti yang berikut:  Portugal (0.36), United Kindom (0.34), Italy (0.34), Greece (0.32), Sepanyol (0.31), Jerman (0.30), Belanda (0.29), Perancis (0.29), Austria (0.26), dan Sweden (0.26).  (Elok dinyatakan di sini bahawa beberapa buah negara di zon euro yang bergelut dengan krisis hutang mungkin secara kebetulan,  mempunyai koefisien Gini yang tinggi, iaitu Portugal, Italy, Greece, dan Sepanyol.)  

Beliau juga memetik ahli ekonomi di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), iaitu Michael Kumhof dan Romain Ranciere bahawa hampir 30 peratus pendapatan di United Kingdom pada tahun 2005 (tahun terkini yang data ada) dikuasai oleh golongan lima peratus di atas daripada semua golongan berpendapatan; tidak ada negara Eropah utama yang lain yang begitu banyak pendapatan tertumpu pada sebilangan orang. Sementara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang dipetik oleh beliau memaklumkan bahawa United Kingdom mempunyai mobiliti sosial yang teruk dalam kalangan negara maju: mereka yang lahir dalam kelas tertentu akan kekal dalam kelas itu hingga ke akhir hayat.  


Anehnya, sesetengah orang hanya berminat membicarakan ketidaksamaan agihan pendapatan selepas berlakunya rusuhan di London dan kota-kota  lain di Britain.  Sedangkan sejak awal tahun ini, orang ramai turun ke jalan-jalan untuk mengadakan tunjuk perasaan dari Kaherah ke Athens ke Madrid ke Tel   Aviv, dan pastinya, dari Yaman ke Libya ke Syria.  Setengah-setengahnya  mengibarkan bendera dan meneriakkan pelbagai slogan.  Sedangkan juga, lebih setahun lalu, Immanuel Wallerstein dalam komentarnya menulis:  Greece kucar-kacir, euro kucar-kacir, negara Barat kucar-kacir, dunia kucar-kacir. 


Mengapa orang ramai begitu berani merusuh dan  menjarah? "Siapa sebenarnya penjarah?   Perusuh atau wakil rakyat?"  tanya John Harris yang jawapannya pastinya, golongan kedua, iaitu wakil rakyat.  Sementara  bagi Naomi Klein, penjarahan yang dilakukan oleh mereka adalah kecil kerana wujud penjarahan besar-besaran beberapa tahun lalu di Baghdad akibat pencerobohan Amerika Syarikat yang sepatutnya dibincangkan juga.  Setelah memerhatikan perbandingan antara rusuhan di London dengan rusuhan lain di kota-kota Eropah, Naomi muncul dengan makalahnya dalam The Nation dan kemudian diterbitkan dalam The Guardian.  Beliau membangkitkan penjarahan yang berlaku di Argentina kira-kira tahun 2001 akibat ekonomi jatuh bebas dan beribu-ribu orang terpaksa hidup dalam kawasan kejiranan yang tidak selamat.  Mereka merampas barang yang mereka tidak lagi mampu beli, seperti pakaian, barang elektronik, dan daging.  Kerajaan menyebut "keadaan pengepungan" untuk memulihkan keamanan; orang ramai tidak suka  dan mereka menggulingkan kerajaan.


Penjarahan massa di Argentina disebut el saqueo, iaitu sacking. Tulis Naomi,  "wujud signifikan dari segi politik kerana perkataan yang hampir sama digunakan untuk menggambarkan apa yang dilakukan oleh golongan elit di negara itu lakukan dengan menjual aset negara dalam urus janji penswastaan yang terang-terangan korup, menyembunyikan wang luar pesisir mereka, kemudian meluluskan rang undang-undang kepada orang ramai dengan pakej jimat-cermat yang kejam."  Bagi beliau, orang Argentina memahami bahawa saqueo pusat beli-belah tidak akan berlaku tanpa saqueo yang lebih besar  di negara itu, dan bahawa gengster yang sebenar ialah orang yang diamanahkan tanggungjawab.  Naomi mengulangi sindirannya dengan menulis:  Akan tetapi, England bukannya Amerika Latin, dan rusuhan di negara itu bukannya politik.


Naomi seterusnya membangkitkan pelan penyelamat besar-besaran untuk bank akibat krisis kewangan global, tetapi para pemimpin G8 dan G20 mengadakan mesyuarat tergempar tidak membuat keputusan secara kolektif untuk menghukum banker yang terlibat, tidak juga melakukan sesuatu demi mencegah krisis yang sama daripada berulang lagi.  Sebaliknya,  para pemimpin ini pulang ke negara masing-masing dan memaksa pengorbanan daripada golongan yang mudah terjejas.  Beliau menegaskan bahawa berlaku saqueo global yang melibatkan penjarahan terang-terangan yang dilakukan oleh jutawan, meskipun sesetengah takut akan "keganasan di jalanan."


Pastinya, rusuhan di London bukannya protes politik,  tulis Naomi.  "Akan tetapi, orang ramai yang terlibat melakukan rompakan waktu malam pastinya, seperti yang celaka tahu bahawa golongan elit mereka melakukan rompakan waktu siang.  Saqueo  berjangkit."


Di sini elok juga dipetik ulasan atau komen Joel Kotkin dalam Forbes tentang rusuhan yang melanda London dan kota-kota Inggeris kerana bagi beliau, rusuhan seperti itu boleh merebak ke seluruh ke Kepulauan British, dan keberangan kelas tidak unik bagi England.  Bahkan, tegas Kotkin, keadaan itu mewakili bahagian jurang perbezaan kelas global yang menjadi-jadi yang mengancam untuk melemahkan kapitalisme itu sendiri. Beliau cuba menarik perhatian tentang "pembahagian kelas yang dibina untuk satu generasi, pertama di Barat, dan semakin bertambah dengan pesat di negara membangun, seperti China."  Atau seperti yang dinyatakan oleh Tony Blair dan Nathan Thornburgh, "jurang ketidaksamaan  pendapatan yang kian melebar."


Isu kelas fundamental ini, bahas Kotkin, "bukan hanya wujud di Britain.  Terdapat beberapa meletusnya keganasan jalanan di seluruh Eropah, termasuk di Perancis dan Greece. Seseorang boleh menjangkakan lebih banyak lagi di negara, seperti Italy, Sepanyol, dan Portugas, yang kini akan melaksanakan jenis sama langkah jimat-cermat yang digunakan oleh kerajaan Cameron di London."  Dengan mengingatkan bahawa sistem ekonomi mesti dapat dipercayai dan mapan dari segi sosial, mesti membuahkan  hasil untuk dinikmati oleh sebilangan besar majoriti warganegara, maka "jika kapitalisme tidak dapat melakukannya, dijangkakan lebih banyak tercetusnya keganasan dan tahap yang lebih tinggi pengasingan politik, bukan sahaja di Britain,  tetapi juga kebanyakan negara utama di dunia, termasuk Amerika Syarikat.


Sementara itu, Saskia Sassen cuba menjelaskan mengapa berlaku rusuhan sekarang, padahal  rasa tidak senang dalam kalangan miskin bandar di Britain bukannya perkara baru.  "Perjuangan jalanan merupakan sebahagian sejarah moden kita.  Pemberontakan di dunia Arab, protes di kawasan kejiranan sehari-harian di kota-kota besar China, penjarah dan orang miskin di Amerika Latin mempamerkan dengan periuk belanga  dan kuali, semuanya merupakan wadah untuk membuat tuntuan sosial dan politik."  Tambah beliau, "pergolakan baru-baru ini di Britain juga tentang tuntutan sosial.  Pengacum datangnya dari kawasan bandar yang paling kekurangan di seluruh negara.  Peluang mereka untuk didengar oleh golongan yang berkuasa adalah terbatas, justeru, keganasan merusuh liar merupakan satu cara untuk didengar."


Saskia mengenal pasti tiga kuasa utama bercantum untuk mencetuskan rusuhan di seluruh London, Birmingham, Liverpool, Bristol, dan lain-lain lagi.  Pertama, dan yang paling penting ialah maksud bahawa jalan-jalan merupakan ruang untuk protes politik untuk mereka yang tidak mempunyai akses untuk instrumen politik formal. 


Faktor kedua yang mempengaruhi rusuhan di London ialah kehilangan ekonomi yang melanda golongan miskin kawasan bandar  di Britain, terutamanya yang kuat: kehilangan pekerjaan dan pendapatan, kehilangan hak kelayakan, dan kehilangan perkhidmatan sosial dan budaya kawasan kejiranan yang ditaja oleh kerajaan. "Pada pandangan saya, keadaan ini jauh lebih signifikan dalam mengapi-apikan rusuhan berbanding dengan pembunuhan yang tidak wajar seorang lelaki muda oleh polis. Sesungguhnya, keluarga dan jiran mangsa itu berhasrat mengadakan protes secara aman.  Akan tetapi, pengangguran dalam kalangan belia di United Kingdom mencecah 19 peratus, tahap yang meningkat dengan ketara di kawasan yang kekurangan."  Di sini, Saskia membangkitkan soal ketidaksamaan  pendapatan:  Jika anda tinggal di United Kingdom, anda mendengar secara tetap tentang kesamaan pendapatan yang meningkat, digambarkan dalam istilah jelas oleh cerita akhbar.  Wujud lebih banyak celoteh tentang ketidaksamaan pendapatan berbanding dengan di Amerika Syarikat, meskipun ketidaksamaan lebih teruk di Amerika dan wujud sebilangan kecil perkhidmatan sosial untuk golongan miskin.


Faktor ketiga ialah media sosial, yang memberikan kuasa, bahkan kepada remaja yang kekurangan untuk mengumpulkan gerombolan.  Saskia menamakan tiga media sosial, iaitu Twitter, Facebook, dan BlackBerry.


Namun, beliau mengingatkan setiap faktor ini secara berasingan tidak dapat menghasilkan rusuhan yang merebak selama empat malam.  Akan tetapi, apabila disatukan, faktor tersebut saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Beliau menambah, "kekacauan sosial membawa bersama-sama orang ramai daripada sejarah kesengsaraan, kemarahan, dan putus harapan yang berbeza, dan jangkaan atau harapan yang berbeza untuk masa depan.  Pengangguran dalam kalangan belia tinggi di United Kingdom, terutamanya di kawasan minoriti miskin sejak bertahun-tahun, tetapi hanya bulan ini menjadi faktor mencetuskan keganasan.  "Jalan" boleh didapati oleh komuniti sejak lama dahulu.  Justeru, wajarkah kita menambahkan faktor keempat, iaitu Pemberontakan di jalan Arab pada musim sejuk lalu. Setakat ini, tegas beliau tidak ada bukti, meskipun kita boleh melihat kesan jalan Arab di protes kota khemah di Tel Aviv.


Untuk pemberontakan popular, Immanuel Wallerstein pernah  menjelaskan bahawa dua perkara di mana-mana jua berlaku.  Pertama, tidak  mudah bagi orang ramai turun ke jalanan untuk menuntut kerajaan mengubah dasar.  Semua kerajaan telah bersiap sedia untuk menggunakan kekuatan terhadap tuntutan tersebut, sesetengahnya lebih pantas daripada yang lain.  Justeru, apabila orang ramai turun ke jalanan, pastinya bukan semata-mata kerana "orang luar" memanipulasikan mereka.  Perkara kedua untuk berbicara tentang pemberontakan popular adalah selalunya wujud dan tidak dapat dielakkan  campuran banyak unsur.  Sesetengahnya bertujuan mengubah personel tertentu dalam kerajaan, tetapi bukannya mengubah rejim itu.  Dan sesetengah mahu mengubah, iaitu menggulingkan rejim.  Demonstrasi popular jarang-jarang terbentuk daripada kumpulan individu konsisten dari segi ideologi.  




Untuk mencegah rusuhan pada masa akan datang, Stephen Reicher dan Clifford Stott mencadangkan kita perlu memberikan tumpuan terhadap psikologi orang ramai (crowds).  "Anda perlu melihat pengalaman hubungan antara komuniti yang merusuh dengan mereka yang berkuasa, pihak berkuasa, dan mereka yang berpengaruh dalam masyarakat."  Reicher dan Stott mengingatkan orang ramai ini bertindak  dari segi kumpulan atau identiti sosial.  Sehubungan dengan itu, tindakan mereka ditentukan oleh pemahaman, norma, dan nilai kolektif.  Akibatnya, peristiwa orang ramai selalunya mempunyai pola yang mendedahkan bagaimana orang ramai melihat kedudukan mereka dalam masyarakat dan pertimbangan mereka tentang betul dan salah.  Di sini,  kedua-dua penulis ini memetik Martin Luther King bahawa "rusuhan merupakan suara golongan yang tidak berupaya."  Seterusnya, mereka memetik EP  Thompson, sejarawan cemerlang tentang orang ramai yang berhujah bahawa "di dunia yang golongan yang tidak berupaya yang pada amnya tidak kelihatan, rusuhan merupakan bentuk 'tawar menawar kolektif'."


Sesungguhnya, dengan menyelongkar akar umbi tercetusnya rusuhan dan penjarahan adalah penting untuk mengelakkan peristiwa itu berulang pada masa akan datang. Kepincangan ekonomi, seperti agihan pendapatan, pembangunan tidak seimbang, dan pengangguran boleh mendorong orang ramai merusuh dan menjarah.  Pastinya juga, seseorang itu perlu memahami psikologi orang ramai kerana pada mereka terpendam dan akhirnya,  terjelma rusuhan.  Rusuhan yang berlaku secara berleluasa akhir-akhir ini bukan sahaja mengancam kestabilan kerajaan sesebuah negara, bahkan juga mengancam kekuasaan kapitalisme global yang kini menghadapi krisis yang berpanjangan dan bergelut dengan muflis.















No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...