JUMAAT , 19 Ogos 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pada akhir Mei, kerajaan menyemak semula unjuran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun ini daripada antara -1 peratus hingga satu peratus kepada antara -4 hingga -5 peratus. Sehari sebelum ini, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz memaklumkan bahawa ekonomi negara menguncup lebih teruk berbanding unjuran apabila KDNK dalam suku pertama 2009 adalah -6.2 peratus berbanding 7.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu, akibat krisis ekonomi dunia yang berlarutan. Dengan pertumbuhan yang negatif ini, maka jaminan kerajaan pada akhir tahun lalu tatkala kemelesetan melanda dunia bahawa “fundamental adalah kukuh” tidak dapat dipertahankan lagi.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang mengumumkan penyemakan itu yakin bahawa ekonomi Malaysia pulih pada akhir tahun ini dengan alasan kesan positif pelaksanaan rangsangan ekonomi, kadar pengangguran yang kian berkurangan sebanyak empat peratus, peningkatan kadar pinjaman bank sebanyak 10 peratus, kenaikan harga komoditi, kerancakan pasaran saham, dan keyakinan pelabur yang semakin meningkat.
Ekonomi yang muram akibat krisis kewangan global sejak akhir tahun lalu berubah ceria apabila bayangan pemulihan menjelma. Pertumbuhan pengangguran yang semakin kurang, kerancakan pasaran saham, dan kenaikan harga komoditi, seperti minyak dikaitkan dengan tanda pemulihan ekonomi. Seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg.com, Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke dan Presiden Bank Pusat Eropah, Jean-Claude Trichet, adalah antara pegawai yang menunjukkan kemelesetan mungkin berakhir.
Kini, banyak orang yang ingin berbicara tentang pemulihan ekonomi dengan mengemukakan data dan petunjuk masing-masing, seperti Jeff Israely melalui makalahnya, “The Most Important Economic Indicator You’ve Never Heard Of.” “Mereka yang berpegang pada pemulihan ekonomi global mempunyai data mereka: peningkatan yang mantap pasaran saham dunia, tiga bulan berturut-turut pembuatan China berkembang, dan dolar yang lemah,” tulis beliau dalam Time.com.
Namun, hujah Israely, wujud masih banyak keraguan terhadap pemulihan yang pesat dan kuat yang dapat dibuktikan dengan angka tertentu: pengurangan berterusan pekerjaan dalam sektor swasta di Amerika dan Eropah, lebih banyak laporan rendah dalam pembinaan rumah baru, dan juga dolar yang lemah. Oleh itu, bagi beliau, petunjuk terbaik tentang pemulihan ekonomi dapat ditemui dalam industri perkapalan: “Baltic Dry Index merupakan penanda aras seluruh dunia untuk kadar perkapalan bahan mentah, dan mencatatkan beberapa eye-popping gains sejak beberapa bulan lalu. Indeks yang berpangkalan di London ini mencatatkan keuntungan harian berturut-turut ke-23 pada hari Rabu 3 Jun, ditutup pada 4291 mata, tertinggi sejak September 2008 dan paling lama mengaut keuntungan sejak Julai 2006.”
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, turut bercakap tentang “pemulihan” apabila beliau memberitahu The Wall Street Journal di Beijing pada awal Jun, bahawa rantau Asia memberikan janji yang lebih besar untuk pulih lebih awal daripada kemerosotan global jika dibandingkan dengan rantau lain di dunia. Hujah Dr. Zeti, negara Asia bekerjasama lebih erat untuk membantu antara satu sama lain, dan usaha sedemikian menyumbang kepada ekonomi global yang lebih seimbang dan kestabilan yang lebih kukuh.
Jangkaan dan harapan Tan Sri Zeti ini bercanggah dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang agak pesimistik: ekonomi seluruh rantau Asia akan mengalami pertumbuhan 1.3 peratus pada tahun ini sebelum berkembang 4.3 peratus pada tahun 2010, terlalu bawah daripada potensinya dan jatuh daripada pertumbuhan 5.1 peratus pada tahun 2008. Malah, IMF, seperti yang dilaporkan oleh The Wall Street Journal awal Mei, mencadangkan bahawa negara Asia-Pasifik perlu melaksanakan dasar monetari dan fiskal yang “hebat” sepanjang tahun depan sebagai jaminan terhadap risiko ekonomi yang lembap dan bagi membolehkan rantau ini keluar daripada kemelesetan lebih cepat. Dengan unjuran bahawa ekonomi global tidak akan pulih sebelum pertengahan tahun 2010, IMF menegaskan pemulihan ekonomi yang mapan di rantau Asia akan memakan masa. Dan supaya dapat kembali kepada kadar pertumbuhan prakrisis, rantau ini perlu mengimbangi semula pertumbuhan daripada eksport kepada permintaan domestik.
Bahasa kiasan tentang pemulihan, iaitu “pucuk hijau mula bertunas” kian kedengaran. Dalam membahaskan sama ada “pucuk hijau” adalah benar atau sekadar rumpai, ada yang mengisytiharkan bahawa kemelesetan di Amerika berakhir, dan percaya bahawa KDNK dalam suku kedua tahun ini menjadi positif sedikit.
Pengumuman Jabatan Buruh bahawa di Amerika Syarikat, 345,000 orang kehilangan pekerjaan (9.4 peratus) pada bulan Mei, tertinggi dalam tempoh 25 tahun, dan kemungkinan meningkat hingga tahun 2010, disambut sebagai khabar gembira. Ini kerana pertama, jumlah ini lebih rendah daripada jumlah bulan Mac dan April yang masing-masing melibatkan 652,000 dan 504,000 orang yang kehilangan pekerjaan; dan kedua, dengan kejatuhan kadar pengangguran menandakan bahawa pemulihan ekonomi akan berlaku pada akhir tahun ini.
“Apabila pertumbuhan pengangguran perlahan,” tulis David Leonhardt dalam The New York Times, “pemulihan boleh berakar umbi.” Untuk menunjukkan bahawa pemulihan sedang berlaku di Amerika, beliau menyatakan Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke kelihatan lebih optimistik daripada sebelum ini, Presiden Barack Obama bercakap tentang sinar harapan, dan pasaran saham meningkat 34 peratus dari tahap yang terendah pada tahun 2009. Tegas Leonhardt: “Daripada kemelesetan pada masa lalu, keadaan lembap dari segi kadar kehilangan pekerjaan menunjukkan tanda pemulihan. Beberapa bulan selepas itu, lazimnya ekonomi mengalami pertumbuhan semula. Data The Economic Research Institute yang menunjukkan bahawa dalam setiap kemerosotan yang berlaku sejak 75 tahun lalu, ekonomi mula tumbuh tidak lebih dari empat bulan selepas kadar kemerosotannya yang perlahan.”
Dalam tinjuan tahunannya, IMF meramalkan bahawa ekonomi Amerika Syarikat akan menguncup 2.5 peratus pada tahun ini berbanding dengan kemerosotan 2.8 peratus seperti yang dijangkakan oleh IMF pada bulan April. Ekonomi negara itu pulih lebih cepat daripada yang dijangkakan, dan badan dunia itu meramalkan pada tahun 2010, Amerika akan mengalami pertumbuhan 0.75 peratus berbanding dengan pertumbuhan sifar yang diramalkan dua bulan lalu. Amerika menikmati faedah daripada dasar monetari dan rangsangan fiskal, dan daripada beberapa kestabilan yang semakin baik dalam pasaran kewangan. Di tengah-tengah harapan dan keyakinan bahawa ekonomi global dalam pemulihan, badan dunia itu mengingatkan bahawa hari-hari buruk krisis Amerika Syarikat mungkin menanti di hadapan, dan rangsangan besar-besaran dalam ekonomi negara itu akan menghasilkan pemulihan yang padu pada pertengahan tahun 2010.
IMF juga menganggarkan bahawa dunia mengalami pertumbuhan 2.4 peratus pada tahun 2010 berbanding dengan ramalannya pada bulan April sebanyak 1.9 peratus. Namun, IMF dalam menghulurkan sokongan kepada kerajaan Britain dan Bank of England dalam menangani krisis kewangan menegaskan bahawa “pemulihan akan tersentap oleh hutang pengguna yang tinggi, terutamanya tinggi menurut piawai antarabangsa.”
Sementara Menteri Kewangan G-8 yang bermesyuarat di Lecce, Italy pertengahan Jun lalu, menurut Bloomberg.com mula merangka pelan kontingensi untuk menggulungkan semula (rolling back) defisit belanjawan dan pelan penyelamat bank kerana ekonomi menunjukkan tanda pemulihan dan para pelabur mulai risau akan inflasi. Associated Press pula dengan tajuk “G-8 Nations Get Ready for Economic Recovery” melaporkan para Menteri Kewangan dalam mesyuarat itu mula memandang ke arah pemulihan ekonomi apabila mereka mempertimbangkan bagaimana merungkai dasar rangsangan yang besar, tetapi pada masa yang sama memberikan amaran bahawa terlalu awal untuk meraikan berakhirnya krisis global.
Sementara Menteri Kewangan G-8 yang bermesyuarat di Lecce, Italy pertengahan Jun lalu, menurut Bloomberg.com mula merangka pelan kontingensi untuk menggulungkan semula (rolling back) defisit belanjawan dan pelan penyelamat bank kerana ekonomi menunjukkan tanda pemulihan dan para pelabur mulai risau akan inflasi. Associated Press pula dengan tajuk “G-8 Nations Get Ready for Economic Recovery” melaporkan para Menteri Kewangan dalam mesyuarat itu mula memandang ke arah pemulihan ekonomi apabila mereka mempertimbangkan bagaimana merungkai dasar rangsangan yang besar, tetapi pada masa yang sama memberikan amaran bahawa terlalu awal untuk meraikan berakhirnya krisis global.
“Tanda awal keadaan bertambah baik ini,” Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Timothy Geithner memberitahu para pemberita selepas mesyuarat Menteri Kewangan G-8 itu, “adalah menggalakkan, tetapi ekonomi global masih bergerak di bawah potensi dan kita masih menghadapi cabaran yang genting,” dengan menekankan bahawa terlalu awal untuk beranjak dasar. Tegas beliau, “Pemulihan ekonomi dan kewangan akan menjadi lebih kuat dan lebih mapan jika kita membuat keputusan yang jelas bagaimana mendapatkan semula kemapanan fiskal apabila ribut berlalu.”
Bercakap semasa lawatan ke Kazakhstan, Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn berkata bahawa beliau bersetuju dengan kesimpulan yang dicapai oleh Menteri Kewangan negara G-8 itu bahawa ekonomi global menunjukkan tanda kestabilan selepas krisis kewangan terburuk sejak tahun 1930-an. “Pendirian mereka,” kata beliau, “bahawa kita pada permulaan untuk melihat beberapa pucuk hijau, namun kita perlu berhati-hati. Bahagian besar keterukan belum lagi di belakang kita.”
Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) turut yakin bahawa ekonomi beberapa buah negara sedang pulih. Petunjuk Utama Komposit (CLI) bulanannya yang dikeluarkan pada Mei lalu, menunjukkan tanda “tentatif” kadar kemerosotan yang perlahan di United Kingdom, Itali, Perancis, dan China, meskipun ekonomi dunia secara keseluruhan masih bergelut dengan kemelesetan yang dalam. CLI yang dikeluarkan oleh OECD ialah himpunan data ekonomi yang pada masa lalu mempunyai rekod yang baik dalam menunjukkan titik tolak ekonomi. CLI bagi Britain meningkat 0.3 peratus pada Mac, meskipun adalah 5.4 peratus lebih rendah daripada Mac tahun lalu, manakala Perancis, Itali, dan China menikmati peningkatan yang sederhana dalam CLI masing-masing. Namun, tidak ada peningkatan dalam CLI bagi Jerman, Jepun, Rusia, zon euro, India, malah Amerika Syarikat, meskipun banyak ahli ekonomi berpendapat negara ekonomi terbesar itu adalah yang pertama keluar daripada kemelesetan.
Ekonomi China dilaporkan dalam tahap genting pemulihan. Pada pertengahan Jun, Bank Dunia meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu pada tahun 2009 daripada 6.5 peratus kepada 7.2 peratus. Peningkatan pelaburan yang didorong oleh rangsangan akan membantu melindungi ekonomi ketiga terbesar dunia daripada kemelesetan, tetapi Bank Dunia mengingatkan terlalu awal untuk mengatakan pemulihan mapan sedang berlaku.
Untuk ekonomi Britain, Confederation of British Industry (CBI), kumpulan majikan terbesar di negara itu masih pesimistik. Meskipun ekonomi Britain akhirnya stabil, tetapi pemulihan tidak akan bermula secara teratur hingga tiga bulan pertama 2010 kerana kemelesetan dunia terus melemahkan pertumbuhan. CBI menyatakan keraguan terhadap pandangan yang semakin meluas bahawa “pucuk hijau” terbaru tentang pemulihan bermakna kemelesetan semuanya berakhir. CBI juga mengunjurkan bahawa pertumbuhan KDNK Britain pada suku ketiga 2009 adalah 0.1 peratus dan ikuti oleh sifar peratus dalam tiga bulan terakhir. Laporan CBI itu ini ditafsirkan sebagai adalah terlalu awal untuk memberitahu rakyat negara itu bahawa ekonomi dalam pemulihan.
Dengan menegaskan risiko bahawa harapan untuk pemulihan yang cepat di mana-mana sahaja adalah terlalu awal, Bank Dunia baru-baru ini memaklumkan unjuran ekonomi dunia akan menguncup 3.0 peratus tahun ini, jauh lebih teruk daripada anggaran sebelum ini, iaitu penguncupan adalah 1.75 peratus. Bank Dunia mengingatkan bahawa meskipun jika pemulihan bermula, Eropah dan Amerika menghadapi lingkungan pengangguran yang meningkat dengan pesat. Dari tahun 2007 hingga 2010, menurut anggaran OECD, ekonomi maju akan memberhentikan 25 juta pekerjaan. Kadar pengangguran di kedua-dua zon euro dan Amerika dijangka meningkat lebih 10 peratus pada tahun depan.
Baik melalui kolumnya dalam The New York Times mahupun dalam forum antarabangsa, Paul Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, menunjukkan ketidakyakinannya terhadap pemulihan ekonomi. Dalam makalah, “Green Shoots and Glimmers” yang disiarkan melalui kolumnya, Krugman dengan nada menyindir menyebut bahawa Ben Bernanke melihat “pucuk hijau.” Presiden Obama melihat “sinar harapan.” Dan pasaran saham meluru. Beliau mengemukakan empat alasan supaya berhati-hati tentang tinjauan ekonomi: keadaan masih menjadi teruk, antaranya pengeluaran perindustrian mencecah paras rendah dalam tempoh 10 tahun, pembinaan rumah masih terlalu lemah; beberapa berita baik tidak meyakinkan; krisis atau bencana lain mungkin belum lagi menimpa; dan malah kemelesetan berakhir, tetapi tidak mahu berakhir, dengan merujuk kepada kemelesetan 1990-1991 dan 2001, dengan pengangguran terus meningkat lebih setahun, dan keadaan ini akan berlaku dalam kemelesetan sekarang apabila pengangguran terus meningkat ke tahun 2010. “Oleh itu, nasihat saya kepada kepada orang awam dan juga penggubal dasar: Jangan menghitung pemulihan anda sebelum pemulihan menetas,” tulis Krugman.
Semasa menyampaikan syarahan di London School of Economics and Political Science pada awal Jun, Paul Krugman mengatakan bahawa kerosakan daripada kemelesetan Amerika Syarikat mungkin wujud dalam tempoh sangat lama dengan tidak ada jentera yang jelas untuk pertumbuhan yang diperbaharui. Beliau benar-benar melihat kemungkinan versi global daripada “dekad yang hilang” yang dialami oleh Jepun pada awal tahun 1990-an tanpa prospek pemulihan yang diterajui eksport. Dalam persidangan di Dublin, seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg.com, Krugman berkata, “Tidak ada pemulihan ekonomi ‘berbentuk V’ dan ekonomi hanya jadi stabil, tidak pulih.”
Semasa menyampaikan syarahan di London School of Economics and Political Science pada awal Jun, Paul Krugman mengatakan bahawa kerosakan daripada kemelesetan Amerika Syarikat mungkin wujud dalam tempoh sangat lama dengan tidak ada jentera yang jelas untuk pertumbuhan yang diperbaharui. Beliau benar-benar melihat kemungkinan versi global daripada “dekad yang hilang” yang dialami oleh Jepun pada awal tahun 1990-an tanpa prospek pemulihan yang diterajui eksport. Dalam persidangan di Dublin, seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg.com, Krugman berkata, “Tidak ada pemulihan ekonomi ‘berbentuk V’ dan ekonomi hanya jadi stabil, tidak pulih.”
Pandangan yang sangat berbeza dan ideologi sifatnya dikemukakan oleh Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja (TUC), Brendan Barber yang cuba mendedahkan agenda tersembunyi di sebalik gembar-gembur tentang pemulihan. “Para penganalisis dan bos bank di Britain bercakap tentang pemulihan ekonomi adalah untuk mencegah model pasaran bebas kapitalisme daripada direformasikan.” Seperti yang dilaporkan dalam The Guardian, beliau juga berhujah meskipun wujud tanda tentatif keadaan bertambah baik dalam ekonomi global, pengangguran terus meningkat untuk banyak bulan lagi. Hanya apabila orang bekerja semula dalam kerja yang bagus yang membayar upah yang agak memuaskan dan menyokong permintaan, maka krisis ini berakhir.”
Turut naik pasaran ekuiti dan komoditi merupakan cara mudah untuk mengesan pemulihan ekonomi, kerana berbanding dengan data lain yang lazimnya dikeluarkan secara bulanan atau suku tahunan, data kedua-dua pasaran ini diperoleh secara harian. Ekuiti biasanya mula meningkat enam hingga sembilan bulan sebelum pemulihan sebenar muncul dalam data rasmi.
Apabila pasaran saham Wall Street dan pasaran lain di dunia, termasuk Bursa Malaysia jatuh selama antara tiga hingga empat hari sejak Isnin 15 Jun, wujud kebimbangan terhadap rentak pemulihan. Makalah “Worries Over Recovery Send Europe Lower” yang disediakan oleh Associated Press diterbitkan dalam The New York Times, menyebut: “Kerancakan pasaran saham sejak mencecah paras rendah bulan Mac dirangsang oleh harapan bahawa ekonomi Amerika khususnya akan pulih daripada kemelesetan lebih cepat daripada yang dijangka. Namun, optimisme lesap dalam hari baru-baru ini. Kenaikan faedah bon kerajaan dan harga minyak yang tinggi bersama-sama membimbangkan para pelabur bahawa sebarang pemulihan di dunia boleh terbantut pada peringkat awal.”
Pada hari Isnin itu, Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) jatuh 187.13 mata kepada 8612.13 mata, dan jatuh 7.49 mata kepada 8497.18 mata pada hari Rabu. Pada hari yang sama, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) jatuh 11.53 mata kepada 1075.50 mata, seterusnya jatuh 3.22 mata kepada 1070.90 mata pada hari Rabu. Pada hari Khamis, bersama-sama beberapa pasaran saham Eropah dan Asia, KLCI merudum 16.49 mata kepada 1054.41 mata. Kejatuhan yang berterusan selama beberapa hari pastinya memudarkan harapan terhadap pemulihan; atau dengan kata lain, melayukan pucuk hijau pemulihan yang baru bertunas. Walau bagaimanapun, pada hari yang sama, Dow yang meningkat 58.42 mata kepada 8,555.60 mata seakan-akan mempersegarkan kelayuan pucuk hijau itu. Kenaikan saham di Amerika ini menyekat kejatuhan selama tiga hari berturut ditafsirkan sebagai bukti kemelesetan mungkin hampir mencecah paras bawah. Kemelesetan Besar yang dikhuatiri selama beberapa bulan lalu, kini kemungkinannya berlaku adalah tipis, dan pemulihan mula memancar.
Setakat ini, timbul percangahan pendapat tentang pemulihan ekonomi dalam proses pembikinan kerana masih banyak ketidakpastiannya. Setelah berbulan-bulan ekonomi dunia berwajah muram, adakah pucuk hijau pemulihan sekadar sembang gembira ekonomi yang realitinya masih jauh?
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Ogos 2009.)
No comments:
Post a Comment