Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sejak Amerika Syarikat bersama-sama sekutunya Perancis dan Britain melancarkan Operation Odyssey Dawn terhadap Libya pada pertengahan Mac lalu, liputan berita seolah-olahnya membayangkan bahawa Presiden Muammar Gaddafi akan ditumbangkan pada bila-bila masa sahaja. Namun, bulan demi bulan berlalu, Gaddafi kekal seadanya, tentera pemberontak yang dibantu oleh serangan udara Nato masih gagal menumbangkan rejim yang memerintah Libya selama 42 tahun itu. Dalam tempoh itu, Gaddafi sekali-sekala mencemaskan Amerika dan sekutunya, seperti yang dinyatakan oleh Daniel Knowles bahawa "keadaan kucar-kacir Libya ini akan menamatkan Britain sebagai kuasa dunia." Dalam analisis akhir, Fareed Zakaria yang menulis dalam Time, mengingatkan cabaran yang paling signifikan terhadap Presiden Barack Obama memastikan penglibatan tentera Amerika adalah terbatas. Jika Gaddafi tidak tumbang serta-merta, ini akan hanya mengambil beberapa hari untuk orang ramai di Washington mula mengatakan Obama kalah, Gaddafi menang, dan Amerika diaibkan.
Keadaan semakin cemas apabila akhir Julai, Jeneral Abdek Fattah Younes, ketua turus tentera pemberontak Libya mati dibunuh yang dipercayai dilakukan oleh "orang dalam," satu tamparan yang hebat bukan sahaja terhadap pemberontak, bahkan juga terhadap tiga negara yang melancarkan serangan ke atas Libya. Ahli falsafah Perancis, Bernard-Henri Lévy, yang mempengaruhi Presiden Nicolas Sarkozy supaya menyerang Libya, tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dan bimbangnya menulis dalam The Daily Beast, "Stay the Course in Libya. " Setiap penentangan, tulis beliau, dan setiap pemberontakan bersenjata, terpaksa berhadapan dengan tragedi seperti ini, yang merupakan hasil komplot lebih kurang yang berpunca daripada rancangan jahat musuh.
Tiga hari lalu, The Independent melaporkan bahawa Gaddafi dalam keadaan terdesak melancarkan peluru berpandu Scud, dan pemberontak berasa takut kemungkinan beliau menggunakan senjata kimia. Duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Libya dilaporkan tiba di Tunis meningkatkan lagi tekanan apa yang pegawai Tunisia sebut "peralihan secara aman" daripada pemerintahan Muammar Gaddafi, manakala Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta mengisytiharkan di Washington bahawa tentera Gaddafi kini menjadi lemah dan pembelotan terbaharu yang melibatkan Menteri Dalam Negeri merupakan satu lagi contoh bagaimana lemahnya mereka, dan Gaddafi kini, "menghitung hari."
Tentera pemberontak Libya dilaporkan menawan dataran utama di Zawiya pada hari Sabtu semalam, selepas lebih seminggu tercetusnya peperangan sengit di bandar strategik barat Tripoli. Dataran itu dipenuhi oleh trak dan tentera pemberontak, manakala tentera Gaddafi masih menguasai bahagian timur bandar itu, dan tentera pemberontak berjuang untuk menyingkirkan mereka dn mengawal Zawiya sepenuhnya. Kemenangan di Zawiya akan menyuntikkan semangat yang penting untuk tentera pemberontak kerana mereka mencuba menguatkan cengkaman terhadap kubu kuat Gaddafi di Tripoli, hanya 50 km ke arah timur.
Laporan The Guardian semalam yang dipetik oleh akhbar lain, berkata bahawa Tripoli berhadapan dengan kemaraan tiga penjuru oleh pemberontak Libya, iaitu dari selatan, timur, dan barat. Cengkaman Gaddafi terhadap kuasa di Libya kelihatan lebih tidak tentu jika dibandingkan dengan malam Jumaat, apabila tentera pemberontak mara ke ibu negara dari tiga penjuru selepas memecahkan kepungan di bandar Misrata. Sementara tentera Gaddafi di luar Tripoli terperangkap dalam satu demi satu kepungan dan permukiman yang kian susut, dengan tentera pemberontak mengawal lebih dua pertiga negara itu.
Melihat kemaraan tentera pemberontak, pastinya masa kian suntuk untuk Gaddafi. Tentera yang setia pada beliau kian hilang kekuatan, manakala orang kuatnya, seorang demi seorang belot. Setelah berbulan-bulan untuk menyekat Pemberontakan Arab kedua sehingga mendorong campur tangan asing dan serangan Nato, kini Gaddafi terpaksa menempuh malam yang panjang. Setelah menghadapi jalan buntu beberapa bulan, Pemberontakan Arab sedang menambahkan satu lagi rejim yang akan ditumbangkan.
No comments:
Post a Comment