Artikel Popular

Monday, August 1, 2011

Dunia Tanpa "Sempadan"

ISNIN,   1  Ogos  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setelah berbulan-bulan tertangguh, maka hari ini, saya cuba gagahi dan siapkan sebuah makalah yang mungkin ringkas tentang sesuatu yang boleh dikatakan menjadi darah daging saya: penerbitan.  Sejak Februari tahun ini, saya bercadang menulis makalah penutupan Borders di Amerika Syarikat untuk diterbitkan dalam majalah  atau memuatkannya dalam blog saya yang muncul pertama kali pada bulan itu.


Sebelum menjengah Borders di negara orang, saya ingin berkongsi sedikit pengetahuan saya tentang Borders di  Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, yang pembukaannya beberapa tahun lalu memberikan harapan yang tinggi kepada industri penerbitan di negara ini, termasuk buku berbahasa Melayu.  Seperti yang kita ketahui, pada mulanya Borders  mempunyai dua tingkat;  kemudian, daripada dua tingkat menjadi satu tingkat, dan bahagian buku berbahasa Melayu semakin mengecil.  

Setelah beberapa bulan tidak ke Borders, maka pada bulan Oktober lalu, saya ke sana dengan tujuan  untuk melihat kalau-kalau ada buku yang saya minati.  Namun,    saya  terkejut melihat  Borders ditutup.  Kemudian, saya dekati dan membaca notis yang memaklumkan bahawa Borders berpindah ke tingkat bawah,  dan saya bernasib baik kerana pada hari itu juga kedai buku mula beroperasi.  Setelah "melilau" seketika mencari di manakah Borders, akhirya saya temui kedai buku yang pada asalnya dua tingkat, kini di ruang yang lebih kecil.  

Walau bagaimanapun, saya memahami masalah yang terpaksa dihadapi oleh pengusaha apabila kedai buku itu yang bermula dengan cukup besar, kemudian mengecil.  Bagi mereka, setiap kaki persegi ruang yang digunakan mesti menghasilkan pulangan.  Malangnya, pulangan yang diperoleh daripada jualan buku, majalah, dan bahan lain tidak mampu menampung kosnya yang sepatutnya datang daripada para pembeli.  

Meskipun setiap kali berlangsung pesta buku atau pelancaran buku atau seminar penerbitan, pemimpin yang merasmikan upacara itu bercakap penuh semangat tentang industri penerbitan di negara ini yang disambut dengan penuh keterujaan oleh penerbit, penulis, dan peminat buku, hakikatnya, mereka tidak mampu memastikan kelangsungan sebuah kedai buku.  Mungkin ada yang berhujah bahawa  orang membeli buku melalui Internet yang kini memberikan saingan yang sengit terhadap rangkaian buku konvensional. 


Seperti yang ditunjukkan oleh Bruce Weinstein dalam surat pembaca dalam akhbar The New York Times pada 26 Februari 2011, "If Borders Goes Under, Who Will Be to Blame?" Beliau menulis:  "Sebagai kedua-duanya, iaitu pengarang dan pembaca, saya meratapi masalah kewangan Borders.  Para pengarang, seperti saya mungkin kini kehilangan satu tempat untuk para pengguna untuk membeli apa yang kita tulis."  Tambah beliau,  "Akan tetapi, jika Borders gagal, banyak pembaca, seperti saya tiada sesiapa yang ingin dipersalahkan, kecuali diri kita sendiri.  Lagipun, ini keputusan kita untuk membeli buku daripada peruncit dalam talian sebahagian besar bertanggungjawab terhadap duka nestapa penjual buku."

Pada Februari tahun ini, Borders di Amerika Syarikat memfailkan perlindungan kebankrapan.  Berikutan tindakan itu, Julie Bosman dan Michael J. de la Merced yang menulis dalam The New York Times  bahawa masalah yang dihadapi oleh Borders berakar umbi dalam rentetan silap perhitungan strategik, pusing ganti ekskutif, dan kegagalan memahami revolusi digital, masalah yang dalam banyak cara dibikin oleh Borders sendiri.  "Akan tetapi, mereka yang dalam industri sentiasa bergolak memahami berita yang kebanyakan kelihatan muncul.  Mereka secara tajam sedar akan gambaran yang lebih besar bahawa persekitaran penjualan buku yang berkembang pantas wujud margin kecil untuk kesilapan."

Mereka memetik Michael Souers, penganalisis untuk Standard & Poor's:  "Industri perunciltan buku sangat mencabar sekarang.  Kita mengalami transformasi yang signifikan.  Kedai buku secara beransur-ansur kehilangan penonjolan mereka, dan pasaran Amerika Syarikat adalah terlalu tepu dari segi bilangan kedai runcit.  Justeru, trend itu  berkemungkinan berterusan kerana e-buku lebih tersebar luas dalam pasaran."

Julie dan de la Merced juga meninjau latar belakang Borders yang mula beroperasi pada tahun 1971 dan hingga ke tarikh pemfailan kebangkrapan itu mempunyai 650 buah kedai dan 19,500 orang pekerja  di negara itu.  Dalam pemfailan itu, Borders menyenaraikan AS$1.29 bilion hutang dan AS$1.27 bilion aset.  Seperti yang dinyatakan dalam pemfailan itu, Borders berhutang AS$272 bilion kepada 30 pemiutang tidak bercagarnya, termasuk  AS$41.1 juta hutang dengan Penguin Group USA.  Para penerbit, yang meratapi kehilangan ruang rak yang bernilai, dilaporkan berharap pemfailan kebangkrapan akan memberikan peluang kepada penjual buku itu untuk mereka cipta semula.  Akan tetapi, mereka juga ragu-ragu bahawa syarikat yang mempunyai  masalah yang mendalam itu dapat mengatasinya.


Oleh sebab gagal mencapai kesepakatan antara Borders Group dengan syarikat yang berminat membantunya, iaitu Najafi Cos. kerana tentangan daripada para pemiutang, maka Borders berhadapan dengan pembubaran pada pertengahan Julai lalu. Borders dilaporkan menghentikan 11,000 orang pekerja dan menutup 400 buah kedai yang masih ada.


Pembacaan cerita Borders, seperti saga epik, satu yang wira kita yang cacat dari segi strategi melihat suratan takdir untuk kegagalan masa hadapan, tulis The Street dalam Newsweek ketika Borders di ambang kejatuhan menjadi pengetahuan umum.  "Kebangkrapan Borders," tegas Gloria Goodale pada Februari lalu,  "mungkin merupakan tanda yang tidak  baik untuk perniagaan batu-bata dan mortar, tetapi tinjauan untuk perkataan bertulis masih baik.  Bagi mereka yang hidup daripada jualan buku, itu sekadar satu tanda hari digital baru mengubah industri perkataan bercetak.


Kini, diakui bahawa dunia digital mengubah perniagaan peruncitan, dan oleh itu, kejatuhan Borders boleh diramalkan bahawa kedai kertas pada zaman digital.  Pastinya, buku dan muzik merupakan kedai pertama yang jatuh pada zaman digital ini, dan pastinya, kedai lain akan menyusul.  Sejak penubuhannya, Borders berkembang pesat, dalam tempoh 25 tahun,Borders Group Inc., disenaraikan di Bursa Saham New York.  Dalam masa 30 tahun, mereka membuka berbelas-belas kedai di seluruh dunia, dari London ke Singapura, dan Kuala Lumpur tidak ketinggalan.


Dan kini, 40 tahun selepas Kedai Buku Borders dibuka, Borders Inc. dalam penutupan, dirungkaikan oleh perfect storm pendigitan buku, pertumbuhan Amazon, dan ketidakmampuan untuk mengubah batu-bata dan mortar kepada perniagaan sifar dan satu.  Tulis Derek Thompson "Books, Borders, and Beyond:  How Digital Tech is Changing Retail" baru-baru ini tatkala penutupan Borders tidak dapat dielakkan lagi bahawa pusat beli-belah tidak diperlukan lagi.  "Krisis Borders adalah lebih serta-merta kerana produknya, iaitu buku, dan kemudian muzik boleh diubah menjadi fail yang boleh dikongsi dan boleh dimuat turun.  Lalu-lintas kaki terpaksa mula-mula jatuh suatu tempat, dan kedai yang menjual maklumat yang boleh didigitkan adalah yang mula-mula."




Dalam "Readers Without Borders,"  Annie Lowrey menulis bahawa bukan Internet yang membunuh peruncit kotak besar.  Tanpa menafikan bahawa menjalankan kedai buku memang sukar, perniagaan yang sukar pada zaman Internet, tetapi keputusan Borders untuk pembubaran, menutup 399 buah kedai dan memberhentikan 10,700 orang pekerja  nampaknya  memeranjatkan.  Beliau memetik perhatian George Mason, ahli ekonomi Tyler Cowen, "Tiada seorang pelabur di seluruh dunia, fikir Borders mempunyai masa depan ekonomi sebenar."


Anne menyenaraikan kesilapan Borders yang boleh diringkaskan seperti yang berikut: Pertama, Borders  memutuskan untuk menyalurkan "pelaburan dalam talian" bukannya untuk laman Webnya, tetapi untuk "platform dalam kedainya;" kedua, Borders mengabaikan e-buku yang begitu pantas menjadi popular seperti buku bercetak; ketiga,  Borders tidak mempelbagaikan perniagaan dengan baik; dan keempat, Borders salah mengendalikan strategi kotak besarnya.  Borders membuka terlalu banyak kedai, termasuk beberapa buah kedai di seberang laut, meskipun jualan suram.


"Pada akhrinya," tulis Anne, "anda boleh menyalahkan Internet kerana kejatuhan  Borders.  Runcit menjadi cabaran, jika tidak perniagaan yang betul-betul dahsyat, tanpa mengambil kira apakah yang anda jual.  Akan tetapi, lagi sekali, syarikat lain menyesuaikannya.  Borders tidak berbuat demikian."


Sememangnya, orang terus membaca, tetapi semakin kurang membaca buku yang kita kenali selama ini.  Selagi minat membaca tinggi, selagi itu buku mempunyai potensi pasaran, tetapi mungkin dalam bentuk e-buku yang menggantikan buku bercetak atau p-buku. Sesungguhnya, pemusnahan kreatif - memetik istilah ahli ekonomi, Joseph Schumpeter, sentiasa berlaku di mana-mana sahaja, termasuk dalam penerbitan buku dan  batu-bata dan mortar.   








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...