Artikel Popular

Saturday, June 29, 2013

Kilauan Emas Kian Pudar

SABTU, 29 Jun 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setelah berundur dari wilayah 15,000 mata, indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow), seakan-akan menghadapi kesukaran untuk mara semula.  Dow yang dalam urus niaga pada Khamis 28 Jun, berjaya memasuki wilayah 15,000, terpaksa semula keesokan harinya apabila mengalami kejatuhan 114.89 mata kepada 14,909.60 mata.

Sementara itu, dalam beberapa hari ini, perhatian tertumpu pada harga emas yang diramalkan terus jatuh dalam beberapa tahun lagi, apabila harga komoditi itu jatuh kira-kira AS$20 kepada AS$1277 per auns pada Isnin,  24 Jun lalu.  Ketika itu, situasi ekonomi semakin stabil dan kadar faedah sebenar yang tinggi menggalakkan para pelabur mencari pulangan di tempat lain.

Seterusnya, pada hari Jumaat, harga emas, dilaporkan jatuh di bawah AS$1200 per auns, harga terendah sejak tahun  Ogos  2010. Berikutan kejatuhan harga logam itu sebanyak 28 peratus tahun ini, pelombong emas dalam kebimbangan kerana kemungkinan mereka kehilangan penarafan gred pelaburan mereka

Tatkala pasaran saham Britain menjunam, iaitu lenyap 94 bilion paun sterling dari segi nilai 100 buah syarikat teratas, harga emas mencatatkan kemerosotan suku tahun terbesar dalam tempoh 45 tahun.  Meskipun harga emas melantun semula pada pagi Jumaat kepada AS$1202 per auns selepas jatuh kepada AS$1180 pada petang Khamis, lantunan ini tidak cukup untuk meredakan  jangkaan bahawa harga emas terus lemah.


Thursday, June 27, 2013

Akhbar: Kemerosotan Pengedaran, Keterhakisan Kepercayaan

KHAMIS,  27  Jun 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Carta harian The Economist menunjukkan sebagaimana matahari, pengedaran akhbar juga meningkat di Timur jika dibandingkan dengan di Barat.   Carta tersebut memetik laporan The World Press tentang pengedaran dan hasil akhbar di lebih 70 buah negara, menunjukkan pengedaran jatuh secara sederhana daripada 537 juta pada tahun 2008 kepada 530 juta pada tahun 2012.  

Sementara pengedaran dan hasil akhbar di Amerika Syarikat dan Eropah Barat muram, di Timur, pengedaran akhbar meningkat sebanyak 10 peratus, dengan 114.5 juta akhbar harian, China mengatasi India untuk muncul sebagai pasaran akhbar dunia yang terbesar.

Amerika, menurut laporan itu lagi, sejak tahun 2008, pengedaran jatuh 15 peratus kepada 41 juta dan hasil periklanan merosot 42 peratus.  Di negara itu juga, menurut tinjauan baru Gallup, seperti yang dilaporkan oleh +US News & World Report, majoriti penduduk tidak mempercayai berita akhbar dan televisyen. 

Peratusan rakyat Amerika berkata mereka mempunyai  "a great deal" atau "quite a lot" yakin pada akhbar jatuh kepada 23 peratus tahun, daripada 25 peratus tahun lalu.  Kepercayaan rakyat negara itu pada akhbar mencapai puncak 51 peratus pada tahun 1979, dan rendah 22 peratus pada tahun 2008.  

Walau bagaimanapun, bukan akhbar, bahkan berita  televisyen juga merosot dari segi kepercayaan rakyat Amerika, iaitu sama dengan akbar pada tahun ini, iaitu pada 23 peratus, tetapi meningkat sedikit jika dibandingkan dengan tahun lalu, yang paling rendah, iaitu 21 peratus. 


Wednesday, June 26, 2013

Perang Obama

RABU, 26 Jun 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Presiden Barack Obama menjejakkan kakinya di Rumah Putih dengan mewarisi dua peperangan yang memakan belanja bertrilion dolar di Iraq dan Afghanistan.  Meskipun  beliau berusaha untuk mengelekkan daripada mengheretkan Amerika Syarikat ke kancah peperangan, dalam kes Afghanistan, beliau merancakkan lagi peperangan di negara yang gagal itu.  Oleh sebab itu, semasa Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010, kedua-dua parti, iaitu Demokratik dan Republikan mengelakkan daripada membangkitkan penglibatan Amerika dalam peperangan kerana menyedari bahawa presiden daripada setiap parti trlibat:  George W. Bush memulakannya, manakala Barack Obama meneruskannya.
        Perang Presiden Barack Obama, seperti yang dibahaskan oleh Bob Woodard dalam bukunya Obama’s Wars, adalah keputusan untuk menghantar 30,000 orang lagi anggota tentera ke Afghanistan.  Banyak   anggota Pentadbiran Obama mengambil pandangan yang murung tentang perang yang kurang sumber yang mereka warisi daripada Presiden George W. Bush.  Naib Presiden, Joseph R. Biden dikatakan berasa “pesimistik dan lebih yakin bahawa Afghanistan merupakan versi Vietnam.  Presiden menurut Woodard, nekad untuk mengelakkan kekalutan seperti Vietnam. 
         Beliau dilaporkan berunding dengan Jeneral Colin Powell, bekas Setiausaha Negara, yang berkata dalam pertemuan peribadi pada September 2009:  “Jangan biarkan diasak oleh golongan sayap Kiri  supaya  tidak berbuat apa-apa.  Jangan biarkan diasak oleh golongan sayap Kanan supaya melakukan segala-galanya.”  Dua bulan kemudian, beliau menasihati  Presiden supaya berdiri bersama-sama jeneral yang terus-menerus mendesak penghantaran jumlah yang besar anggota tentera, mengingatkan beliau bahawa “anda ialah Panglima Besar.”
          Tidak cukup dengan Afghanistan yang    menjangkau satu dekad, Presiden  Obama terlibat dalam serangan terhadap Libya dalam Operation Odyssey Dawn.  Resolusi Majlis Keselamatan  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB)  pada pertengahan  Mac lalu, bahas editorial The New York Times, merupakan detik luar biasa dalam sejarah terkini.  PBB, Amerika Syarikat, dan Eropah dalam keadaan serba tidak kena kerana begitu lama menyeksakan dan kini, dengan benteng terakhir penentang, iaitu Benghazi hampir-hampir jatuh, bertindak dengan kepantasan yang menghairankan untuk merestui mandat yang kuat yang melampaui zon larangan terbang yang mudah. Lebih luar biasa adalah bahawa desakan untuk bertindak diterajui oleh Perancis dan Britain dan diundang oleh Liga Arab.
        Presiden Obama, tulis editorial itu lagi, bersetuju dengan betul untuk mengatur kedudukan angkatan tentera Amerika hanya selepas dipujuk bahawa negara  lain akan berkongsi tanggungjawab dan kos menguatkuasakan undang-undang antarabangsa.  Amerika Syarikat kini terbenam dalam dua peperangan.  Peperangan yang baru ini tidak boleh dilihat sebagai campur tangan satu pihak di sebuah lagi negara Islam.
         Kata-kata Obama yang sering dipetik berhubung dengan campur tangan Amerika di Libya itu ialah “dalam hari, bukan minggu”  kepada  perintah antarabangsa yang Amerika akan menjadi hanya sebahagian daripadanya. Selain itu, beliau mengingatkan bahawa tindakan ketenteraan ini  tidak melibatkan tentera darat.
          “Dengan pembabitan Obama dalam serangan terhadap Libya,”  seperti yang dikatakan oleh Marc Ambinder dalam National Journal, “peperangan baru pertama Obama.”   Beliau perlu mengimbangkan antara   ideal  atau keunggulan demokrasi dengan   kepentingan keras hidung negara itu dalam membuat keputusannya. “Meskipun situasi Libya agak unik,” tulis Ambinder, “tenteranya entah dari mana hampir sekuat Iran adalah satu perkara, harapan Obama bahawa kempen peperangan yang tidak diterajui oleh Amerika itu adalah pendek,  tidak melibatkan tentara darat akan memuaskan rakyat Amerika yang berasa ragu-ragu tentang campur tangan ketenteraan dan tidak akan membangkitkan kecurigaan rakyat Arab dan orang Muslim bahawa campur tangan Amerika itu adalah percubaan untuk mempengaruhi demokrasi yang berkembang dengan sendirinya.
         Sejak tercetus pergolakan di Libya, Obama dilihat oleh banyak pihak  sebagai “pahlawan yang enggan.”  Apabila sekutu rapat, iaitu Perancis dan Britain secara agresif mendesak idea untuk campur tangan di Libya, Pentadbiran Obama dikatakan bertindak bijak dengan mendesak resolusi PBB membenarkan tindakan ketenteraan yang melampaui zon larangan terbang.  Undi Majlis Keselamatan itu pada hakikatnya memastikan bahawa jika Muammar Gaddafi tidak meletakkan jawatan, nescaya untuk kali ketiga dalam satu dekad, tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dilancarkan terhadap negara Islam.  Campur tangan Amerika itu atas desakan beberapa negara sekutu,  merupakan sumpah “negara  yang diperlukan.”  Sumpah ini, tulis James Kitfield dalam National Journal, menghantui dua Presiden pasca-Perang Dingin sebelum Obama, dan kini giliran beliau.
         Meskipun Presiden Obama akhirnya bertindak untuk campur tangan di Libya  atas alasan kemanusiaan demi memastikan Gaddafi tidak membunuh kejam rakyatnya sendiri, tetapi beliau tetap menjadi sasaran kritikan: terlalu  terlalu lewat, terlalu lemah.  “Obama memang betul dalam menyokong zon larangan terbang terhadap Libya, tetapi beliau sepatutnya melakukannya minggu lalu,”  tulis sejarawan  Niall Ferguson, kolumnis Newsweek.  Obama terpasung dengan persoalan bertindak atau tidak bertindak.  Hasil  teragak-agak beliau dalam keadaan tidak dapat membuat keputusan tidak menggembirakan.”
        Sebaik-baik sahaja Amerika Syarikat bersama-sama Perancis dan Britain campur tangan di Libya, terbongkar cerita bahawa Presiden Obama membuat keputusan itu kerana dipengaruhi oleh tiga srikandi, iaitu Hillary Clinton, Setiausaha Negara Amerika,  Samantha Power, pembantu kanan Majlis Keselamatan Negara, dan Susan Rice, duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - mereka digelar  the Amazon Warriors, the Lady Hawks, the  Valkyries, the  Durgas. Dan, sekali lagi, Presiden Obama dipersendakan seolah-olahnya beliau kewanita-wanitaan dan tiada tulang belakang, dan berlegar-legar di bawah hidung wanita.
        Tatkala tentera Amerika dan sekutu menggempur tentera Gaddafi, Obama terpaksa bertarung dengan kritikan demi   kritikan.  Antaranya mendakwa  bahawa puak neokonservatif  dan puak campur tangan liberal memaksa Obama melaksanakan zon larangan terbang terhadap Libya, meskipun tiada kepentingan utama Amerika Syarikat di negara itu.  “Libya, satu lagi kes fahaman berjaga-jaga terpilih yang dilakukan oleh Barat,” isytihar Tariq Ali dalam guardian.co.uk akhir Mac lalu. Campur tangan Amerika Syarikat-NATO di Libya, dengan restu Majlis Keselamatan PBB, adalah sebahagian respons yang diatur secara terperinci untuk menunjukkan sokongan kepada gerakan yang menentang seorang diktator khususnya dan dengan bertindak sedemikian untuk menamatkan pemberontakan Arab dengan memperlihatkan kawalan Barat. Tariq seterusnya menegaskan bahawa “hujah khusus direka untuk memenangi sokongan daripada warga Eropah-Amerika dan bahagian dunia Arab. ‘Lihat kami,’ kata Obama/Hillary Clinton dan para gabenor Kesatuan Eropah, ‘kami melakukan kerja yang baik.  Kami bersama-sama rakyat.’  Masyarakat sivil dengan mudah digerakkan oleh beberapa imej dan kekejaman Gaddafi dalam menghantar tentera udaranya untuk mengembom rakyatnya sendiri ialah dalih yang  Washington  gunakan untuk mengebom satu lagi ibu negara Arab.”
         Selain mencerminkan kepura-puraan pemimpin dunia yang menggunakan alasan kemanusiaan dan mengelakkan genosid untuk  bertindak,   kedudukan Obama bertambah rumit kerana beliau melibatkan Amerika dalam peperangan di negara asing tanpa kelulusan Kongres. Pengkritik yang lantang daripada  golongan sayap Kiri mendakwa Pentadbiran Obama membenarkan penggunaan angkatan tentera di Libya adalah “tidak mengikut perlembagaan.”  Bekas calon Presiden, Ralph Nader dengan lancar menyenaraikan arahan ketenteraan dan perisikan, yang jelas termasuk di Libya yang beliau berpendapat sebagai pencabulan yang besar undang-undang antarabangsa dan mempunyai asas pendakwaan.  “Mengapa kita tidak lihat apakah yang tersemat dalam minda banyak pakar undang-undang;”  bahas Nader,  “bahawa Pentadbiran Obama melakukan jenayah perang dan jika Bush sepatutnya  didakwa, Obama sepatutnya didakwa.”
        Yang lebih memeranjatkan anggota Perwakilan daripada parti Obama sendiri, iaitu Demokratik, Dennis Kucinich mengeluarkan kenyataan yang sama, menyelar Obama kerana melancarkan campur tangan ketenteraan di Libya tanpa kelulusan Kongres, dan oleh itu, melanggar Perlembagaan.  Bagi Kucinich, tindakan sedemikian merupakan keputusan yang serius dan tidak boleh dibuat oleh Presiden seorang diri. 
        Sebilangan pengkritik menganggap bahawa  memihak penentang Gaddafi bukannya  langkah bijak berdasarkan pengalaman Amerika dalam menentang Kesatuan Soviet di  Afghanistan kerana akhirnya puak yang disokong itu menudingkan senjata mereka ke arah Amerika pula.  “Saya nasihatkan jangan membekalkan senjata kepada pasukan penentang,” kata Richard N. Haass, Presiden Majlis  Tentang Hubungan Luar semasa mengemukakan testimoni pada 6 April di hadapan Jawatankuasa Senat Tentang Hubungan Luar.  “Kita tidak boleh yakin agenda penentangan  ke arah, sama ada rakyat Libya ataupun pelbagai kepentingan Amerika Syarikat, termasuk menentang keganasan. Tidak juga kita pasti seperti ke arah mana unsur penentangan yang menetapkan matlamat yang mungkin akhirnya terbukti dominan.”  Beliau mengingatkan,  “senjata yang dipindahkan boleh digunakan untuk apa-apa tujuan.  Situasi yang buruk selalunya boleh menjadi bertambah buruk.”
        Walau bagaimanapun, Fareed Zakaria dalam tulisan yang menarik dan analitis, “Why Are We in Libya?”   mengakui bahawa beliau berkongsi pandangan bahawa dengan semua yang berlaku di dunia Arab, Amerika Syarikat dan negara lain tidak boleh meninggalkan penentang Libya kerana mereka sedang bergelut dengan pembunuhan kejam.  Bahkan, Fareed yang menulis dalam Time, percaya bahawa tindakan membantu mereka adalah lebih bijak jika dibandingkan dengan campur tangan ketenteraan secara langsung.  “Pada masa lalu,” tulis beliau, “Amerika mampu membiayai perang gerila dengan begitu cekap, membekalkan senjata, makanan, bahan api, dan risikan kepada anak tempatan yang ingin berjuang untuk negara mereka.  Hampir kebanyakannya, kita berjaya menyahstabilkan  rejim lama.”  
       Namun, Fareed tidak dapat menyembunyikan kerisauannya:  “Dalam analisis akhir, cabaran yang paling signifikan untu Barack Obama adalah untuk memastikan penglibatan tentera Amerika adalah terhad.”  Tambah beliau, “jika Gaddafi tidak tumbang segera, nescaya hanya mengambil masa beberapa hari untuk orang ramai di Washington untuk mula mengatakan bahawa Obama kalah, Gaddafi menang, dan Amerika diaibkan.
       Presiden Obama yang berdiam diri selepas Amerika  campur tangan dalam perang saudara di Libya membuatkan rakyat naik berang, lebih-lebih lagi beliau masih sanggup mengadakan lawatan ke Brazil dan beberapa buah negara di Amerika Latin, meskipun beliau akhirnya  terpaksa memendekkan rangka lawatan itu.   Meskipun beliau melancarkan peperangan di bumi asing dan kemungkinan ada tentera Amerika yang terkorban, tetapi beliau  tidak muncul di kaca televisyen dan menjelaskan kepada rakyat Amerika mengapa beliau  membuat keputusan itu.  Apabila Ronald Reagan menghantar tentera ke Grenada pada 25  Oktober 1983,   dua malam kemudian, beliau muncul di kaca televisyen memberikan penjelasan. Apabila George H. W.  Bush memerintahkan serangan terhadap Panama yang bermula pada 19 Disember 1990,  malam berikutnya, beliau muncul di kaca televisyen menjelaskan mengapa. Sebaliknya, Obama mengambil masa seketika untuk menjelaskannya kepada rakyat  yang pada pandangan banyak pihak, beliau tidak sepatutnya bertindak-tanduk begitu.
       Hanya pada   Isnin 28 Mac, iaitu selepas 11 hari menyerang Libya, Presiden muncul memberitahu rakyatnya mengapa beliau bertindak demikian. Mempertahankan perang pertama yang dilancarkannya, beliau mengiystiharkan pada malam itu bahawa Amerika Syarikat campur tangan di Libya demi mencegah pembunuhan kejam terhadap orang awam yang akan menyebabkan hati nurani dunia berlumuran darah dan “mengkhianati siapa kita.”   Tegas beliau, “Sesetengah negara mungkin mampu memejamkan mata terhadap kekejaman di negara lain.  Amerika Syarikat adalah berbeza.  Dan sebagai Presiden, saya enggan menunggu bayang-bayang pembunuhan kejam dan mayat bergelimpangan sebelum bertindak.”
       Berita kabel yang mendahului ucapan itu mahu menyebutnya “doktrin Obama,” tetapi bagi sesetengah penganalisis, ucapan Obama menggariskan keputusannya untuk campur tangan di Libya menentang rejim Gaddafi hanya  menambah petua kepada apa yang telah pun diketahui tentang sikap Presiden terhadap peperangan dan keamanan. Allan Gerson yang muncul dalam akhbar The Huffington Post,  “The Reagan and Obama "Doctrines" vs. the State Department”, mendapati keselarian antara campur tangan Ronald Reagan di Grenada dengan  Barack Obama di Libya.  “Dalam mempertimbangkan respons Presiden Obama dengan Jabatan Negara terhadap krisis Libya, dengan pantas keselarian dengan pengalaman Grenada muncul dalam  minda  saya.”  Sebagaimana Grenada, tambah beliau, situasi di Libya, organisasi serantau, iaitu Liga Arab meminta campur tangan. Sebagaimana Grenada, Libya menunjukkan prospek bencana kemanusiaan yang segera.  Dan, sebagaimana Presiden Reagan di Grenada, Presiden Obama dan pasukannya mempunyai kepentingan keselamatan negara yang luas dalam minda.” 
        Meskipun operasi di Libya diambil alih oleh NATO, namun ada yang berpendapat Presiden Obama sepatutnya membenarkan pesawat Amerika  A-10 dan AC-130 digunakan  di bawah perintah NATO. Misi sebenar di Libya bukan untuk menghalang bencana kemanusiaan, tetapi memastikan Muammar Gaddafi berundur segera. Apabila Gaddafi baru-baru ini mengutus sepucuk surat terbaharunya  kepada Obama meminta beliau menghentikan NATO daripada melancarkan serangan  tidak adil itu, Washington bukan sahaja menolak surat itu, tetapi juga mendesak Gaddafi meletakkan jawatan.
        (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan  Masyarakat, Jun 2011.)

Monday, June 24, 2013

Pusat Beli-belah dan Percetakan Terus Wujud

ISNIN,  24 Jun 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Kajian Pew Research Center, seperti yang dipetik oleh Jordan Weissmann dalam The Atlantic, menunjukkan orang ramai di  Amerika Syarikat masih mengutamakan beli-belah batu-bata dan lepa (brick and mortar), meskipun wujud Internet komersial kira-kira dua dekad lalu.

Meskipun mereka  membeli-belah dalam talian, mereka masih mengutamakan kedai, iaitu 78 peratus wanita dan 75 peratus lelaki, berbanding dengan dalam talian, yang masing-masingnya ialah 17 peratus dan 19 peratus.

Sementara itu,  Matthew O'Brien, juga dalam The Atlantic, berhujah bahawa kematian percetakan dibesar-besarkan. Meskipun di Amerika Syarikat, lahir generasi sentuhan skrin, seperti yang dapat dilihat dalam rencana utama majalah itu, ibu bapa berpendapat membaca buku bercetak sangat penting (81 peratus) untuk anak-anak mereka.  Dengan kata lain, mereka masih bergantung pada buku bercetak berbanding dengan e-buku. 

Sama ada membaca buku bercetak, ataupun e-buku, pembacaan akan menjadikan seseorang lebih insan, seperti yang dibahaskan oleh Karen Swallow Prior, baru-baru ini.


Pemusnahan Kreatif: Berakhirnya Telegram

ISNIN,  24  Jun 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Inovasi atau rekaan baru teknologi, boleh menyebabkan sesuatu barang atau perkhidmatan, dan bahkan sesebuah organisasi, terpaksa hilang daya saing, dan seterusnya lenyap daripada pasaran.  Antara contoh yang terbaharu ialah Kodak yang suatu masa menjadi sentiasa di bibir kebanyakan isi rumah. Di  Amerika Syarikat misalnya, perkhidmatan pos, terpaksa bergelut kelangsungannya dan terpaksa bergantung pada ihsan Kongres untuk "talian hayat."

Di India, telegram, perkhidmatan yang popular pada suatu ketika dahulu, sebelum kemunculan Internet dan telefon bimbit,  dilaporkan akan berakhir pada bulan depan. Pada 14 Julai ini, ialah hari terakhir selama 160 tahun selepas Samuel Morse menghantar telegram pertama di Amerika Syarikat pada tahun 1844.  

Bharat Sanchar Nigam Limited, menurut The Christian Science Monitor, menanggung kerugian lebih AS$23 juta setahun untuk mengendalikan perkhidmatan telegraf.  Hanya kira-kira 5000 telegram dikirimkan sehari di India, negara yang mempunyai 1.24 bilion orang penduduk. Kira-kira 65 peratus telegram di negara itu dikirimkan oleh kerajaan.


Sunday, June 23, 2013

Emas Hilang Kilau?

AHAD,  23  Jun 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH

Berikutan pengumuman Pengerusi Rizab Persekutuan,  Ben Bernanke bahawa rangsangan mungkin dikurangkan pada akhir tahun ini kerana ekonomi Amerika Syarikat  pulih, niaga  hadapan emas dan perak, menurut Bloomberg, jatuh pada paling rendah sejak September 2010.  

Niaga hadapan emas untuk penyerahan Ogos jatuh 6.4 peratus, untuk kekal pada AS$1,286.20 pada pukul 1.42 petang, 21 Jun.  

Pada bulan ini, ahli ekonomi, Nouriel Roubini mengingatkan bahawa harga emas akan jatuh, iaitu menghala kepada AS$1000 per auns pada tahun 2015, meskipun harga komoditi itu diramalkan meningkat kepada AS$2000, AS$3000, dan bahkan AS$5000 dalam beberapa tahun ini.  Namun, harga emas bergerak ke arah bawah sejak itu.  Pada April lalu, emas dijual pada harga penutupan AS$1300  per auns dan harga masih berlegar-legar di bawah AS$1400, kejatuhan hampir 30 peratus sejak mencapai harga tertinggi pada 2011.


Friday, June 21, 2013

Pasaran Saham Global Lintang-pukang

JUMAAT, 21  Jun 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Laporan media hari ini tertumpu pada kejatuhan teruk  Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) pada 20 Jun, iaitu 353.87 mata (2.3 peratus), kepada 14,758.32.  Kejatuhan ini merupakan kemerosotan peratusan sehari terbesa sejak 7 November 2012.  Kejatuhan teruk Wall Street ini, seperti yang dilaporkan, berpunca daripada pengumuman Pengerusi Rizab Persekutuan +Ben Bernanke  yang membayangkan rangsangan ekonomi yang dilaksanakan di Amerika Syarikat sejak tahun 2008, akan dihentikan.

Selain kejatuhan Dow,  pasaran saham global, juga mengalami nasib sama, memberikan tindak balas negatif terhadap pengumuman Bernanke itu.  Daniel Gross yang menulis dalam The Daily Beast, menggesa supaya semua pihak menghentikan daripada memberikan reaksi berlebihan terhadap pengumuman tersebut.

Bloomberg, melalui The Editors, mempunyai pandangan yang berlainan, dengan mengungkapkan, "Bernanke bersin, dunia  demam selsema."  Ungkapan ini selalunya dikaitkan dengan Amerika Syarikat, ekonomi terbesar dunia, maksudnya jatuh bangun, pasang surut ekonomi global amat bergantung pada negara itu.  

Namun, sejak berlakunya krisis kewangan yang masuk tahun kelima jika diambil kira tarikh keruntuhan Lehman Brothers pada September 2008, negara kecil, seperti Greece, Dubai, dan yang terbaharu Cyprus, bahkan  wabak selsema babi (H1N1) yang berlaku pada tahun 2009, mampu mengharubirukan pasaran global.  

Keganasan Terhadap Wanita Dilakukan oleh Pasangan Mereka

JUMAAT, 21  Jun 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Lebih sebulan lalu, The Wall Street Journal, mendedahkan pelbagai keganasan yang dilakukan terhadap wanita di India, misalnya dari segi fizikal dan seksual, sesetengahnya dilakukan oleh suami atau saudara-mara mereka sendiri. Di negara itu, rogolkan dilaporkan berlaku secara berleluasa, seperti yang dinyatakan oleh Dilip D'Souza, "krisis rogol melemahkan India."

Walau bagaimanapun, keganasan terhadap wanita bukannya terbatas di India semata-mata, pastinya berlaku di tempat lain di dunia ini. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang dipetik oleh al-Jazeera dan NBC News,  antaranya, lebih satu pertiga wanita di seluruh mengalami keganasan fizikal atau seksual.  Kajian WHO itu menunjukkan 30 peratus wanita di dunia didera oleh pasangan mereka sendiri.

Statistik   yang mengejutkan menyalahkan tabu atau pantang larang yang mencegah mangsa daripada tampil untuk memberitahu, kegagalan sistem perubatan dan keadilan, dan norma yang bermakna lelaki dan wanita mungkin menganggap keganasan sebagai boleh diterima.  Data yang melibatkan 81 buah negara itu menunjukkan bahawa skala penganiayaan adalah tinggi di Asia, dengan Bangladesh, Timor Timur, India, Myanmar, Sri Lanka, dan Thailand menunjukkan 37.7 peratus wanita terlibat.  Timur Tengah menduduki tempat kedua, iaitu 37 peratus, disusuli oleh Afrika Sub-Sahara 36.6 peratus.

Purata 23.2 peratusan golongan yang terlibat dalam kumpulan negara berpendapatan tinggi, termasuk Amerika Utara, Kesatuan Eropah, Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand.


Wednesday, June 19, 2013

Kajian: Penduduk Dunia, Golongan Kaya, dan Pekerja Pendatang

RABU, 19  Jun 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam World Population Prospects, seperti yang ditunjukkan dalam carta harian The Economist, menjangkakan penduduk dunia meningkat daripada 7.2 bilion  orang sekarang kepada 9.6 bilion orang pada tahun 2050. Pertumbuhan ekonomi yang kukuh di Asia bersama-sama kesuburan di Afrika menyumbang kepada peningkatan jumlah penduduk, yang menurut carta harian tersebut, "pusat" pertumbuhan penduduk beranjak dari Eropah ke kedua-dua benua itu.  

Dalam kajian lain, yang dikeluarkan oleh RBC Wealth Management and Capgemini Financial Services, yang dipetik oleh The Huffington Post, bilangan jutawan di dunia meningkat 9.2 peratus kepada 12 juta orang pada tahun, 2012, sebahagian kerana kekukuhan serentak dalam pasaran saham, bon, dan hartanah.  Amerika Utara merupakan tempat bilangan jutawan yang paling banyak, iaitu 3.7 juta orang.  Namun, kajian itu menjangkakan bahawa wilayah Asia-Pasifik akan mengambil kedudukan itu.

Kegiatan ekonomi banyak negara, termasuk Malaysia adalah bergantung pada pekerja asing, sebahagiannya kerana pekerja tempatan enggan bekerja dalam sektor tertentu, antaranya kerana upah yang rendah.  Walau bagaimanapun, sesetengah negara Eropah, akibat kemelesetan ekonomi dan krisis hutang, juga alasan lain, bertindak mengetatkan kemasukan pekerja asing, bukan sahaja dari benua lain, bahkan dari benua Eropah sendiri.  

Menurut Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), banyak negara di seluruh dunia mempunyai program pekerja asing sementara, untuk memenuhi keperluan dalam pasaran buruh.  Dalam kalangan negara OECD, Amerika Syarikat adalah di tengah-tengah dari segi nisbah pekerja asing sementara dengan pendatang tetap yang tiba di negara itu pada tahun 2010, iaitu kira-kira empat hingga 10.  Jepun, New Zealand, Jerman, Australia, Finland, dan Mexico menerima lebih banyak pekerja sementara berbanding dengan pendatang tetap, manakala negara lain dalam OECD, menyaksikan lebih banyak ketibaan pendatang berbanding dengan pekerja sementara (rujuk carta di bawah):




Tuesday, June 18, 2013

Eropah Terus Bergelut

SELASA,  18  Jun 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Pada awal Mac 2011 lalu, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz menulis dalam guardian.co.uk melahirkan kekagumannya terhadap keajaiban Mauritius, bagaimana ekonomi kecil mengukir kejayaan yang besar. Negara kecil ini menyediakan pendidikan percuma hingga ke universiti untuk semua warganegaranya, pengangkutan untuk anak-anak sekolah, dan penjagaan kesihatan percuma, termasuk pembedahan jantung untuk semua. Sebaliknya, bahas Stiglitz, negara kaya di Eropah semakin  mendapati diri mereka tidak mampu membiayai pendidikan universiti, dan meminta orang muda dan keluarga mereka menanggung kos tersebut.  Selain itu, beliau melahirkan kekaguman terhadap negara pulau di pantai timur Afrika yang mempunyai penduduk 1.3 juta orang yang  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh  lebih lima peratus setahun hampir selama 30 tahun dan pendapatan per kapita penduduk  meningkat   kepada lebih AS$6700.
            Selepas menyatakan satu demi satu kejayaan Mauritius, Stiglitz cuba menarik perhatian bahawa “banyak negara, tidak kurang Amerika Syarikat, boleh belajar daripada pengalaman negara itu.”  Bahkan, beliau pergi lebih jauh dengan polemik bahawa persoalan bukannya sama ada kita mampu menyediakan penjagaan kesihatan atau pendidikan untuk semua, ataupun memastikan pemilikan rumah secara meluas.  “Jika Mauritius mampu melakukannya,” tegas Stiglitz, “Amerika dan Eropah yang dari banyak segi adalah lebih kaya – juga boleh.”
            Secara tersurat atau  tersirat, Stiglitz cuba mendedahkan kelemahan dan kegagalan negara besar atau negara kaya, seperti Amerika dan negara Eropah mengurus atau mentadbirkan ekonomi mereka. Amerika dan United Kingdom misalnya, meskipun mula mengalami pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran di kedua-dua negara, berdasarkan data terkini, masih  melebihi  lapan peratus.  Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini memotong unjuran pertumbuhan ekonomi United Kingdom untuk tahun 2011 kepada 1.75 peratus – penurunan gred untuk kali ketiganya  dalam setahun.  Penurunan unjuran ini mengukuhkan lagi pandangan umum bahawa Britain menghadapi tahun pertumbuhan yang rendah dan peningkatan kadar pengangguran yang tinggi dengan sedikit prospek pemulihan yang mencipta pekerjaan hingga akhir tahun 2012.
Di  Eropah, sebuah demi sebuah negara  terpaksa  bergelut dengan krisis ekonomi.  Krisis hutang yang bermula dengan pelan penyelamat Greece dan Ireland pada tahun lalu, dikatakan menjadi semakin buruk, dan  negara terbaharu   yang meminta diselamatkan, ialah Portugal.  Bergelut  dengan situasi kewangan yang semakin teruk, maka pada pertengahan April lalu, Portugal mula berunding untuk memohon pakej pelan penyelamat dengan Kesatuan Eropah dan IMF.  Negara itu mengikuti langkah Greece dan Ireland, dua negara yang dikatakan pelan penyelamat terbukti tidak berkesan. 
Yang jelas, pelan penyelamat yang dilaksanakan untuk kedua-dua negara itu tidak membuahkan hasil. Langkah tersebut dikatakan tidak menstabilkan pasaran, tidak menggalakkan pertumbuhan ekonomi, dan tidak memberikan inspirasi kepada perubahan hati tentang kredit.  Sebaliknya, menurut pemerhatian, pelan penyelamat bersyarat yang dikenakan terhadap Greece, Ireland, dan Portugal, membawa kepada kitaran tersembunyi dan bahaya yang berpunca daripada potongan perbelanjaan dan peningkatan cukai yang mewujudkan kebekuan ekonomi, kegelisahan sosial, dan pergolakan ekonomi.
Tatkala Portugal  merayu-rayu  diselamatkan, Greece terus diheret  ke dalam kancah krisis.  Laungan suara masih lantang mendesak kerajaan Greece supaya menyusun semula hutangnya kerana semakin dibimbangi bahawa pelan penyelamat 110 bilion euro gagal menyelamatkan negara itu daripada krisis kewangan yang sangat teruk dan memaksa orang biasa hidup dalam era jimat cermat yang sia-sia. Krisis terbaharu Greece ini mendedahkan kegagalan langkah jimat cermat, dan negara itu, seperti yang didakwa pada pertengahan April lalu oleh salah seorang anggota parti Perdana Menteri George  Papandreou, “negara itu terperangkap dalam ‘kitaran ganas’, tidak mampu membebaskan dirinya daripada krisis dengan dasar yang hanya mendalamkan lagi kemelesetan.”  Di tengah-tengah spekulasi tentang kemampuan negara itu mengelakkan kemungkiran, tercetus gelombang keingkaran awam yang mendorong banyak orang berfikir bahawa Greece menjadi negara yang dapat dikawal.
Sementara itu, Ireland kemungkinan  terjerumus ke dalam dekad yang hilang, seperti yang  dialami oleh Jepun suatu ketika dahulu.  Wujud persamaan antara kemelesetan di Jepun dengan Ireland,  tetapi  bolehkah kerajaan Irish belajar daripada Jepun dan mengelakkan dekad yang hilang? tanya Lisa O’Carroll dalam blognya dalam gurdian.co.uk.   Pastinya, ekonomi berbeza.  Pastinya, Jepun mempunyai mata wangnya sendiri. Pastinya, masalah fiskal dan politik  Ireland wujud, tanpa mempedulikan bencana perbankan Ireland. Tulis Lisa, “Akan tetapi, kita mempunyai krisis perbankan, harga aset runtuh, peningkatan besar-besaran dalam jumlah pinjaman tidak berbayar, deflasi, nyah penuilan (deleveraging), masalah kunci kira-kira dalam bank, perniagaan, dan isi rumah, keadaan tergesa-gesa oleh sektor swasta untuk membayar balik hutang, pengaturan institusi yang mesra antara banker dengan pusat kuasa, kegagalan berulang-ulang kali percubaan terhadap permodalan semula, dan akhir sekali, penyusunan semula yang dalam sistem perbankan Jepun dan Irish.”  Lisa merumuskan “wujud lebih banyak persamaan berbanding dengan perbezaan dalam cerita ini.” 
Ekonomi  Greece dan Ireland telah pun menjadi bingung daripada kadar faedah empat hingga enam peratus dan penguncupan belanjawan drakonian yang dikenakan oleh pelan penyelamat  Kesatuan Eropah atau IMF 110 bilion euro untuk Greece dan 80 bilion euro untuk Ireland.  Sejak Ireland melancarkan program jimat cermat fiskalnya dua tahun lalu, ekonomi negara itu menguncup sebanyak sekurang-kurangnya 11 peratus, manakala ekonomi Greece merosot sebanyak 6.5 peratus antara suku tahun keempat 2009 dengan 2010.  Dalam keadaan seperti ini, ahli ekonomi Nouriel Roubini dilaporkan menegaskan, “untuk seketika, tidak ada negara akan mampu mengurangkan beban hutang awam dan bahawa akhirnya, kedua-dua negara berkenaan akan mungkir.
Portugal yang merayu pertolongan untuk menyelesaikan beban hutangnya daripada IMF dan Kesatuan Eropah pada awal April sepatutnya menjadi amaran kepada demokrasi di mana-mana.  Demikian tulis Robert M.  Fishman dalam The New York Times, “Portugal’s Unnecessary Bailout”  dengan menarik perhatian bahawa Portugal mempunyai prestasi ekonomi yang kuat pada tahun 1990-an dan mengurus pemulihannya daripada kemelesetan global lebih baik daripada beberapa negara lain di Eropah.  Namun begitu, bahas Fishman, “negara itu menjadi sasaran tidak adil dan tekanan sembarangan daripada peniaga bon, spekulator, dan penganalisis penarafan kredit yang kerana pendek akal  atau alasan ideologi, kini berjaya menyingkirkan satu pentadbiran yang dipilih secara demokratik dan berpotensi mengikat tangan kerajaan yang baru.”
Seterusnya, beliau mengingatkan bahaya kuasa pasaran yang  jika dibiarkan tanpa dikawal selia, boleh membawa ancaman untuk menggerhanakan kapasiti kerajaan demokratik, bahkan mungkin Amerika, untuk membuat pilihan mereka sendiri tentang cukai dan perbelanjaan. Tanpa menafikan bahawa kesukaran Portugal mempunyai persamaan dengan Greece dan Ireland kerana tiga negara ini menerima pakai euro sedekad lalu bermakna mereka perlu menyerahkan kawalan terhadap dasar monetari mereka, dan peningkatan secara tiba-tiba premium risiko yang pasaran bon diserahkan kepada hutang kedaulatan ialah pemacu segera untuk memohon pelan penyelamat. 
Walau bagaimanapun, Fishman menegaskan bahawa  krisis Portugal berbeza sama sekali dengan  Greece dan Ireland.  Bagi negara itu, tidak sesuatu yang tulen yang mendasari krisis.  Institusi dan dasar ekonomi di Portugal yang sesetengah penganalisis lihat kecacatan dengan  putus asa pernah mencapai kejayaan yang ketara sebelum negara Iberia yang mempunyai penduduk 10 juta orang tertakluk kepada gelombang demi gelombang serangan peniaga bon.
George Irvin dalam guardian.co.uk, “Portugal Bailout: Three Scenarios for Europe's Economic Future,” menulis bahkan IMF kini memikirkan bahawa Greece akan mungkir tidak berapa lama lagi. “Namun begitu, syarat yang dikenakan terhadap pelan penyelamat Portugal bernilai antara 80 hingga 90 bilion euro yang kini sedang dirundingkan kelihaan sama-sama drastik, dan menyebabkan keadaan bertambah buruk, European Central Bank (ECB) mula menaikkan kadar faedah yang bermakna bahawa Portugal juga  mungkin akhirya mungkir.
Bagi Irvin, Eropah berhadapan dengan tiga kemungkinan  senario untuk baki 2011.  Pertama, senario “berita baik,” adalah bahawa jangkitan tidak merebak ke Sepanyol dan bahawa keadaan akan kekal juga secara relatif bahkan jika ekonomi pinggir terus menguncup.  Kedua, senario “berita buruk” adalah bahawa Sepanyol mungkin menjadi mangsa lagi kepada pasaran bon dan agensi penarafan pada tahun ini. Sepanyol hari ini mengalami pertumbuhan yang perlahan dan pengangguran yang tinggi berbanding dengan Portugal, dan cajas (bank simpanan)  terlalu terdedah pada hutang lapuk gelembung harta tanah yang meletus.  Irvin memetik  Bloomberg yang  menganggarkan bahawa bank-bank Sepanyol mempunyai jumlah hutang 85 bilion euro yang matang pada tahun 2011.  Ketiga, senario “berita benar-benar buruk” bahawa secara peribadi, beliau ragu-ragu Sepanyol akan digulingkan pada 2011.  Jangkitan bukan hanya tentang pasaran mengasak kadar faedah meningkat, tetapi juga berlaku apabila pasaran tidak lagi percaya ubat yang sakit boleh menjadi berkesan.  “Jika sebuah negara mungkir, domino yang masih ada menunggu giliran untuk melakukan perkara yang sama.”
PIGS, iaitu Portugal, Ireland, dan Greece telah terjebak dalam krisis hutang dan terpaksa diselamatkan.  Satu lagi negara PIGS, iaitu Sepanyol diyakini akan mengalami nasib yang sama. Bola api antara Sepanyol dengan Portugal jelas kelihatan. Walau bagaimanapun, Irvin melihat jauh dengan  merumuskan bahawa tanpa mempedulikan sama Sepanyol dapat bertahan pada tahun ini, pastinya pergolakan yang teruk sedang menunggu Eropah.
Pada masa yang sama, IMF mengeluarkan amaran bahawa masalah hutang Eropah membawa risiko kestabilan kewangan.  Risiko keruntuhan baru yang menimpa bank berakhir dalam tempoh enam lalu, tetapi sistem kewangan masih lemah selama empat tahun selepas krisis yang menyebabkan ekonomi global terheret ke dalam kegawatan yang teruk.   Dalam laporan setengah tahunnya,  Financial Stability Report, IMF berkata bahawa masalah hutang kedaulatan menjejaskan Eropah dan keadaan mudah terdedah bank-bank menimbulkan risiko terhadap kestabilan dan pemulihan ekonomi. Selepas mesyuarat terakhir IMF pada Oktober lalu, Ireland dan Portugal menyertai Greece dalam memohon pelan penyelamat supaya mereka dapat keluar daripada kesukaran kewangan mereka. Menurut laporan itu, “kunci kira-kira kedaulatan masih tertekan di banyak ekonomi maju, seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan ketidakstabilan pasaran bon kedaulatan di beberapa negara zon euro sepanjang enam bulan lalu.”
Untuk memburukkan lagi keadaan, pada pertengahan April lalu, IMF bertelagah dengan Canselor George Osborne dan Gabenor Bank England, Mervyn King, selepas agensi yang beribu pejabat di Washington itu melahirkan kebimbangannya terhadap keengganan Britain menyokong pakej pendanaan untuk menyelesaikan krisis zon euro.  Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn, mengingatkan bahawa Eropah perlu muncul dengan pelan koheren untuk menangani hutang kerajaan berikutan pelan penyelamat Ireland dan Greece.  Beliau mengkritik percubaan sedikit demi sedikit untuk menyelesaikan masalah hutang setiap negara, yang para pengkritik percaya boleh membawa kepada ketidakstabilan dan melemahkan keyakinan para pelabur di Eropah. 
Sementara itu, Olivier Blanchard, Ketua Ahli Ekonomi, IMF berkata bahawa krisis hutang Eropah adalah satu isu paling penting yang mengganggu ekonomi duna dan mencegah pemulihan keyakinan:  “Bagaimana Eropah akan keluar dari lubang ini merupakan isu yang besar.”  IMF, seperti yang difahami mahu Brussels menyelaraskan strategi jangka panjang dengan kemudahan pendanaan yang negara yang berhutang dapat memperolehnya tanpa memerlukan rundingan selanjutnya.  Para pemimpin zon euro bersetuju melaksanakan Mekanisme Kestabilan Eropah (ESM) bernilai 500 bilion euro, tetapi skim belum bersedia hingga tahun 2013 dan bergantung pada Perancis dan Jerman yang menerajui penaja jamin dana itu.
Walau bagaimanapun, Osborne menyatakan pendiriannya yang jelas bahawa beliau percaya menyelesaikan masalah hutang negara zon euro merupakan perkara untuk zon euro itu sendiri dan tidak melibatkan Kesatuan Eropah yang lebih luas, yang termasuk negara yang memiliki mata wang mereka sendiri.  United Kingdom dijangkakan  turut serta dalam mengumpulkan 85 bilion hingga 90 bilion euro untuk membantu Portugal, tetapi Osborne memberitahu Perancis dan Jerman bahawa tidak ada lagi wang tunai dari United Kingdom untuk pelan penyelamat zon euro selepas membantu Portugal.
Sekali lagi Kesatuan Eropah menjadi tumpuan yang menurut majalah The Economist dalam keluaran akhir Mac lalu, adalah cacat: bagaimana kelemahan para pemimpin nasional melumpuhkan pembuatan keputusan dalam Kesatuan Eropah. Apabila Enda Kenny, Perdana Menteri baru Ireland memohon ihsan dalam sidang kemuncak Kesatuan Eropah agar diringankan lagi terma pelan penyelamat, rakan-rakan sejawatan mempersendakan satu daripada hujah beliau:  bahawa beliau dipilih secara besar-besaran atas janji mendapatkan urus janji untuk negaranya.  Jadi apa? Kita semua ada pilihan raya, kata mereka.  Dua minggu selepas Kenny merayu, satu lagi sidang kemuncak Kesatuan Eropah dibayangi oleh peletakan jawatan Jose Socrates, Perdana Menteri Sosialis Portugal.  Dua hari kemudian, Angela Merkel, Canselor Jerman, yang terlalu berkuasa menundukkan Eropah mengikut keazamannya berhubung dengan krisis euro, dilemahkan oleh dua pilihan raya negeri.  Sekutu utamanya di Eropah, Nicolas Sarkozy dari Perancis, ditundukkan dalam pilihan raya tempatan  pada hari yang sama.
Majalah itu menyatakan satu demi satu kelemahan lain.  Di Mediterranean, Perdana Menteri Italy, Silvio Berlusconi, baru sahaja muncul di mahkamah untuk tuduhan pertama daripada beberapa kes perundangan yang boleh membawa ancaman melemahkan kepimpinannya. José Luis Rodríguez Zapatero Sepanyol terlalu  idak popular di negaranya.  Di bahagian utara Eropah, parti-parti antiimigran di Denmark, Belanda, dan Sweden mempunyai pengaruh politik baru.  Di Finland, parti True Finns dijangkakan memenangi pilihan raya pada 17 April.  Dan di Brussels, Perdana Menteri penjaga terpaksa mentadbirkan Belgium tanpa kerajaan sejak pilihan raya Jun 2010.  “Secara ringkas, hari-hari ini, sidang kemuncak seakan-akan wad  hospital gila, dipenuhi dengan tangan dan kaki yang patah, berbaju pasung, dan menghidap sakit yang membawa maut.  Tidak hairan, para pemimpin Kesatuan Eropah terpaksa bertungkus-lumus untuk mengubati krisis hutang kedaulatan.” 
Memetik klasik Agatha Christie, siapa yang melakukannya dalam Murder on the Orient Express, sejarawan Niall Ferguson muncul melalui  kolumnya dalam Newsweek, “Murder on the EU Express”: Dengan kesatuan monetari yang berpecah belah, tuding jari bermula.  Siapa sebenarnya membunuh Eropah?  Masalah mata-mata gelap Belgian, Hercule Poirot adalah bahawa terlalu banyak suspek.  Kematian aneh Kesatuan Eropah mungkin terbukti menjadi kes yang agak sama. “Bukan hanya krisis ekonomi memasuki lubang kewangan hampir semua negara Kesatuan Eropah,” tulis Ferguson, “tetapi juga mendedahkan rasa keberatan yang amat sangat bagi negara yang kurang terjejas untuk menyelamatkan negara yang terjejas dengan teruk.”
Krisis memacuk bukan hanya satu, tetapi dua baji yang memecahbelahkan  ekonomi Eropah.  Pertama, berlaku perselisihan  politik fundamental antara 17 anggota Kesatuan Eropah yang menyertai kesatuan monetari dengan 10 anggota yang tidak menyertainya.  Kemudian, dalam zon euro, wujud perselisihan yang sengit antara teras yang dikuasai oleh Jerman dengan pinggir yang sakit, iaitu negara yang disumpah dengan akronim yang tidak elok, iaitu PIGS. 
Pada mulanya, jari ditudingkan kepada Menteri-menteri Kewangan PIGS sebagai suspek.  Kemudian, apabila defisit Ireland terlalu besar, suspek nombor dua ialah bank-bank Eropah kerana menyelamatkan sektor perbankan yang sembap di negara itu.  Namun, Ferguson mengingatkan bahawa sejak bertahun-tahun kereta api penyatuan Eropah berjalan atas subsidi Jerman, tetapi kini tidak lagi. Oleh sebab proses penyepaian semakin pantas tahun ini kerana ekonomi pinggir lembap dan kerajaan mereka digulingkan, jangan salahkan mangsa. “Para pengundi Jerman yang melakukanya,” kerana angin atau mood mereka boleh disimpulkan seperti yang berikut: No More Herr Nice Guy.
Mungkinkah zon euro berkecai? Mungkinkah Kesatuan Eropah mati?  Demikian persoalan yang dibangkit dari semasa ke semasa akibat krisis yang berpanjangan yang melanda Eropah.  Jika selama ini negara gagal lebih bersebati dengan negara Dunia Ketiga, tetapi kini, negara Dunia Pertama, khususnya Eropah  tidak dapat mengelakkan diri mereka daripada igauan ngeri itu. Sebaliknya, negara Amerika Latin yang sentiasa bergelut dengan krisis kewangan, pergolakan politik, dan kegelisahan sosial, dengan bangga berjaya mengharungi kemelesetan global.  Dan, memetik semula Joseph Stiglitz, negara kecil, seperti Mauritius, boleh diteladani oleh negara kaya, seperti Amerika dan beberapa negara di Eropah.
(Nota:  Makalah asal yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Jun 2011.)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...