Artikel Popular

Friday, April 20, 2012

Ekonomi Global: Di Manakah Malaysia?

JUMAAT, 20  April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Dalam konteks global, Malaysia pernah  dikenali  sebagai negara membangun atau negara Dunia Ketiga berbanding dengan negara maju atau negara Dunia Pertama. Malaysia yang bergerak daripada perindustrian penggantian import kepada perindustrian berorientasikan eksport, kini tergolong dalam senarai negara perindustrian baru (NICs) bersama-sama Afrika Selatan, Mexico, Brazil, China, India, Filipina, Thailand, dan Turki, menyertai Harimau Asia - Hong Kong, Korea Selatan, Singapura, dan Taiwan. Bagi aliran pemikiran atau pendekatan pergantungan yang banyak mempengaruhi debat pembangunan-kemunduran antara tahun 1970-an hingga 1980-an, Malaysia disebut   satelit dalam hubungannya  negara maju yang dikenali sebagai metropolis, atau disebut  pinggir berbanding dengan pusat.
Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, tidak dapat tidak, naik turun ekonomi  Malaysia banyak bergantung pada ekonomi dunia.  Apabila dunia terjebak dalam kemelesetan, Malaysia turut terjerumus, dengan ekonominya menguncup 1.7 peratus pada tahun 2009, sama dengan  dunia jika berdasarkan  ramalan Tabung Kewangan Dunia (IMF), yang  menguncup 1.7 peratus, tetapi   tinggi sedikit daripada dunia yang menguncup 1.4 peratus jika  berdasarkan ramalan Bank Dunia.
Daripada pelbagai dasar bijak kerajaan, Malaysia  berjaya memindahkan ekonomi daripada pengeluar komoditi utama kepada pembuatan dan ekonomi yang diterajui oleh perkhidmatan.  Namun begitu, kebelakangan ini Malaysia terpaksa berhadapan dengan cabaran kerana kebangkitan persaingan daripada negara kos rendah, seperti China, India, dan Vietnam, manakala kekurangan tenaga kerja berkemahiran  dan persekitaran pelaburan yang terbatas mengehadkan kemampuannya untuk meningkat kepada ekonomi nilai ditambah yang tinggi.    Malaysia terus  mengorak langkah untuk menjadi sebuah negara maju pada 2020, meskipun terpaksa menempuh beberapa rintangan, seperti krisis kewangan Asia 1997/1998 dan kemelesetan semasa. 

  Selepas keluar  daripada   kemelesetan,  ekonomi Malaysia,  menurut  Bank Dunia, yang   susut 2.3 peratus 2009,   melantun 4.1 peratus  pada tahun ini,  5.6 peratus pada 2011,  dan 5.9 peratus pada 2012.  Sementara Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan pada awal tahun ini bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 3.7 peratus untuk 2010  dan  lima peratus pada 2011.  Ketika memaklumkan pertumbuhan suku tahun keempat 2009 berkembang 4.5 peratus, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak  berasa yakin  bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2010 boleh mencecah lima peratus berbanding unjuran empat peratus.
 Pada November  lalu, Unit Perancang Ekonomi (UPE)  menganggarkan bahawa ekonomi Malaysia mesti tumbuh sekurang-kurangnya 5.4 peratus setahun sepanjang dekad yang akan datang.  Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap UPE, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,   berkata bahawa pertumbuhan ini membolehkan Malaysia menyertai liga ekonomi maju pendapatan tinggi.  Beliau melahirkan keyakinan bahawa Malaysia dapat mencapai sasaran pertumbuhan 5.4 peratus pada tahun 2011, tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh.
Namun begitu, MIER mengingatkan bahawa  sasaran  kerajaan untuk pertumbuhan lima peratus pada 2010 tidak realistik dan boleh membesarkan lagi defisit belanjawan.  Dalam situasi semasa, sasaran ini sukar dicapai. Malahan,  apabila  Datuk Seri Mohd. Najib  memaklumkan Malaysia akan berusaha ke arah mencapai pertumbuhan KDNK enam peratus hingga 2020 untuk mencapai sasaran menjadi negara pendapatan tinggi, ada yang berpendapat  bahawa untuk mencapai sasaran pertumbuhan pada kadar itu  bukanlah suatu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi memandangkan struktur ekonomi Malaysia yang  lebih bergantung pada perdagangan luar berbanding dengan penggunaan domestik.
Walau apa-apa pun angkanya, yang jelas, Malaysia belum dapat mencapai semula kadar pertumbuhan  9.1  peratus antara tahun 1990 hingga 1997, iaitu di belakang China yang mencatatkan pertumbuhan 11.5 peratus.  Selepas krisis kewangan Asia,  Malaysia tidak  dapat menebus  “dekad yang hilang”  kerana antara tahun 2000 – 2008, pertumbuhan KDNK, secara purata sekitar 5.5 peratus, di belakang negara serantau, seperti  China, Vietnam, dan India. 
Pelaburan swasta penting dalam pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Kadar pertumbuhan yang tinggi dalam pelaburan swasta  memberikan sumbangan yang kuat terhadap aktiviti ekonomi dan pertumbuhan KDNK Malaysia.  Apabila  Datuk Seri Mohd. Najib    memaklumkan  bahawa Malaysia akan berusaha ke arah mencapai KDNK   tahunan secara purata enam peratus hingga tahun 2020,  fokus kerajaan adalah terhadap pelaburan swasta.  Semasa membentangkan Bajet 2010 pada 23 Oktober lalu, dalam strategi pertama, iaitu memacu negara ke arah ekonomi pendapatan tinggi, beliau  menegaskan bahawa sektor swasta pernah menerajui pertumbuhan ekonomi.
Apabila Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyatakan sasaran pertumbuhan minimum 5.4 peratus, untuk  mencapai status negara pendapatan tinggi yang melibatkan pendapatan per kapita Keluaran Negara Kasar (KNK) atau Gross National Product per capita  AS$15,000 pada 2020,   antaranya memerlukan pertumbuhan pelaburan swasta 10.5 peratus setahun atau secara purata hampir-hampir RM90 bilion pelaburan swasta setahun.  “Ini sepatutnya dapat dicapai kerana pada masa sekarang, pelaburan swasta menyumbang 9.5 peratus KDNK.  Secara perbandingan, pelaburan swasta adalah menyumbang 25 peratus KDNK pada tahun pertumbuhan yang pesat dan sebelum krisis kewangan 1998.”
Sebelum krisis kewangan Asia, pelaburan  swasta meningkat secara berterusan dan bergerak seiringan dengan KDNK.  Pada tahun 1980, nisbah pelaburan swasta dengan KDNK kira-kira 19 peratus, kemudian meningkat kepada 22 peratus (1990), dan mencecah 32 peratus KDNK pada tahun 1997.   Dalam tempoh pascakrisis pelaburan swasta  merosot jika dibandingkan dengan tempoh sebelumnya. Satu isu yang mendepani ekonomi Malaysia pascakrisis kewangan Asia, seperti yang dibahaskan dalam Economic Review   keluaran Julai 2007,  ialah lemahnya pertumbuhan pelaburan swasta.  Pada tahun 1998, pelaburan swasta di Malaysia merudum sebanyak 55 peratus dan 23 peratus lagi pada 1999 akibat kesan sampingan (fallout) krisis kewangan Asia.  Berikutan pemulihan sekejap pada 2000, pelaburan swasta jatuh lagi sebanyak 20 peratus pada 2001 dan 15 peratus lagi pada 2002. Dalam tempoh sebelum krisis kewangan Asia, pelaburan swasta berkembang  pesat dengan kadar purata 19.5 peratus setahun. 
Hal yang sama dibangkitkan  pada November lalu oleh Malaysia Economic Monitor November 2009 yang merupakan kajian dwitahunan Bank Dunia, yang menyatakan  pelaburan di Malaysia mencapai tahap tertinggi dalam kalangan negara di rantau ini sebelum krisis kewangan Asia, tetapi juga kejatuhan seterusnya paling dramatik dan berkekalan.  Sebagaimana Thailand dan ekonomi krisis yang lain, penguncupan dalam pelaburan agregat adalah berpunca terutamanya oleh kejatuhan tergesa-gesa dalam pelaburan swasta.  Pelaburan swasta yang pernah menjadi jentera pertumbuhan Malaysia dari awal 1980-an, menjunam ketika krisis kewangan Asia dan sejak itu kekal meleset.  Antara tahun 1970 hingga 1996, pelaburan swasta merupakan jumlah yang cukup besar dalam jumlah pelaburan.  Pelaburan swasta kekal pada kira-kira 10 peratus KDNK antara tahun 2003 hingga 2007, jatuh daripada kira-kira 30 peratus pada 1997.
 Untuk mengukur kedudukan Malaysia di peringkat global,  beberapa pemeringkatan atau penarafan antarabangsa yang boleh dijadikan rujukan atau ukuran. Pada tahun lalu,  dalam pemeringkatan rasuah global oleh Transparency International’s Corruption Perceptian Index 2009 kedudukan Malaysia jatuh daripada tangga  ke-47  tahun 2008 kepada tangga ke-56  daripada 180 buah negara tahun 2009. 
Sementara Doing Business 2010: Reforming through Difficult Times  yang diterbitkan oleh Perbadanan Kewangan Antarabangsa  (IFC) dan  Bank Dunia, mencatatkan 287 pembaharuan antara Jun 2008 hingga Mei 2009, meningkat 20 peratus jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.  Laporan yang  melibatkan 131 ekonomi di seluruh dunia yang diterbitkan pada September tahun lalu, memaklumkan  bahawa Singapura terus menguasai tangga teratas, diikuti oleh New Zealand, Hong Kong, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Denmark, kedudukan Malaysia  jatuh daripada tangga ke-21 pada 2009 kepada tangga ke-23 pada 2010.  Dalam kalangan negara Asean, selain Singapura, berbanding dengan Malaysia,  Thailand  “lebih mesra” perniagaan, menduduki tangga ke-12.
Malaysia juga  merosot  daripada tangga ke-21 kepada tangga ke-24 dalam The Global Competitiveness Report 2009-2010 yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada akhir tahun lalu.  Daripada 133 buah negara, Switzerland menduduki tempat teratas, diikuti oleh Amerika Syarikat, Singapura, Sweden, dan Denmark (Jadual 1).  Kemerosotan kedudukan Malaysia adalah berpunca daripada penilaian yang lemah terhadap rangka institusi negara ini, keselamatan, iaitu potensi serangan pengganas dan jenayah -  kedua-duanya mengenakan kos perniagaan yang signifikan.  Selain itu, defisit belanjawan yang berjumlah hampir lima peratus KDNK turut menyebabkan kemerosotan itu.  Walau bagaimanapun, kebanyakan dimensi lain, Malaysia mendapat markah yang tinggi, seperti kecanggihan perniagaan dan inovasi.   Untuk mengekalkan daya saing, menurut laporan itu, Malaysia perlu bersedia untuk pertukaran kepada ekonomi berasaskan pengetahuan yang dipacu oleh inovasi. 
Sejak  Goldman Sachs  mencipta istilah BRIC pada tahun 2003, ekonomi negara berkenaan – Brazil, Rusia, India dan China – yang terdiri daripada 10 buah negara terbesar di dunia dari segi penduduk dan KDNK, sering menjadi perhatian dan perbandingan.  Ekonomi keempat-empat negara itu yang membangun dengan pesat dan dijangkakan mengatasi negara terkaya di dunia masa kini pada tahun 2050.  Goldman Sachs meramalkan China dan India akan menguasai pembekalan global untuk barang dikilang dan perkhidmatan, manakala Brazil dan Rusia akan menguasai pembekalan global untuk bahan mentah. 
Jim O’Neill, Ketua Ahli Ekonomi Goldman Sachs dalam “BRICs are Still on Top” yang diterbitkan dalam Newsweek  Isu 2010, membahaskan  pasaran sedang  muncul – Brazil, Rusia, India, dan China yang memainkan peranan baru dan lebih kuat dalam ekonomi global.  Dengan hujah bahawa satu satu perkara untuk mendapat pertumbuhan yang kuat apabila segala-galanya di tempat lain kelihatan elok, tetapi kekuatan hanya benar-benar terbukti menerusi keadaan luaran yang kurang menggalakkan, tegas O’Neill, dalam keadaan kacau-bilau baru-baru ini, ekonomi BRIC berjaya  mengharunginya.  Beliau juga menyenaraikan negara pasaran yang sedang muncul yang besar lain,  dikenali kumpulan N11 atau “Next 11” yang banyak daripadanya muncul daripada krisis dalam keadaan yang lebih baik daripada yang dijangkakan.  Dalam senarai itu termasuk Indonesia, Mexico, Nigeria, dan Turki.  
Amerika Syarikat bersama-sama BRIC berkemungkinan besar menerajui pemulihan pelaburan langsung asing (FDI) pada masa akan datang, seperti yang ditunjukkan oleh respons perbadanan transnasional (TNCs) dalam World Investment Prospects Survey 2009 – 2011.  Persidangan Tentang Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) dalam  World Investment Report 2009:  Transnational Corporations, Agricultural Production and Development memaklumkan bahawa  meskipun berlaku kemelesetan global,  tetapi tren aliran pelaburan langsung asing (FDI) menunjukkan bahawa pasaran yang sedang muncul, terutamanya BRIC dapat mengharungi gelombang ini.  Aliran masuk FDI global, menurut laporan itu, merosot sebanyak 14.2 peratus, iaitu kepada AS$1,697.4 bilion pada 2008, terutamanya berpunca daripada kemerosotan 29.2 peratus FDI di negara maju, iaitu kepada AS$962.3 bilion. Sebaliknya, aliran masuk FDI ke negara BRIC meningkat sebanyak satu pertiga, iaitu kepada AS$265.2 bilion.  Jumlah ini, bahkan lebih tinggi daripada peningkatan sebanyak 17.3 peratus dalam aliran masuk FDI ke negara membangun. 
Bahagian negara BRIC daripada jumlah aliran masuk FDI meningkat daripada 10 peratus pada 2007 kepada lebih tinggi, itu 15.6 peratus pada 2008.   Aliran masuk FDI untuk China dan India terus meningkat, Malaysia dan Thailand merosot sedikit,  manakala Indonesia dan Vietnam mampu mempertahankan pertumbuhan, meskipun berlaku krisis ekonomi global. Secara perbandingan untuk tahun 2008,  negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) menguasai aliran masuk FDI jika dibandingkan dengan lain di Asia, termasuk Malaysia (Jadual 2).  Pada tahun lalu, menurut sumber rasmi, akibat kemelesetan ekonomi dunia,   pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia  ialah RM20 bilion; meskipun mengatasi sasaran di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga,  jumlah ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan tahun 2008 yang mencecah RM62.8 bilion. 
Perbezaan semakin ketara antara negara BRIC dengan negara maju dan pasaran global dari segi aliran keluar FDI. Seperti yang ditunjukkan oleh World Investment Report 2009:  Transnational Corporations, Agricultural Production and Development, aliran keluar FDI  global jatuh sebanyak 13.5 peratus pada 2008, kepada AS$1,857.7 bilion, dengan negara maju mencatatkan kejatuhan 16.7 peratus,  dan negara membangun mencatatkan sedikit peningkatan, iaitu sebanyak 2.5 peratus, manakala aliran keluar FDI dari negara BRIC meningkat dengan jumlah yang menakjubkan, iaitu sebanyak 53.9 peratus, kepada AS$142.7 bilion.  Dengan jumlah ini, bahagian negara BRIC dalam aliran keluar FDI meningkat lebih dua pertiga, daripada 4.3 peratus pada 2007 kepada 7.7 peratus pada  2008.
Kajian UNCTAD dalam  World Investment Prospects Survey 2009 – 2011 yang dijalankan antara April – Jun 2008, menunjukkan beberapa perubahan tanggapan  TNCs tentang lokasi 15 ke atas untuk FDI sejak tahun lalu.  Hanya negara baru yang ditambah dalam senarai ialah Thailand, menggantikan Turki dan Afrika Selatan (yang terikat pada kedudukan ke-15 tahun lalu).  Anggota negara yang menduduki tempat kelima ke atas tidak berubah, yang berubah hanya dari segi pemeringkatan: Amerika Syarikat mengambil tempat kedua, memotong India, dan Brazil bergerak ke tempat keempat, memotong Rusia.  Dalam kalangan negara lain, United Kingdom, dan dalam keadaan tertentu, Australia, bertambah baik kedudukan masing-masing, sehingga menjejaskan dua negara Asean, iaitu Vietnam dan Indonesia
Berbanding dengan tahun lalu, World Investment Prospects Survey 2009 – 2011,  menunjukkan berlaku beberapa perubahan dalam pemeringkatan negara tahun ini.  Negara BRIC – Brazil, Rusia, India, dan China merupakan dalam senarai lima negara teratas untuk FDI.  TNCs menganggap pertumbuhan pasaran, diikuti oleh terdapatnya buruh murah, dan dalam sesetengah keadaan, akses kepada sumber asli merupakan beberapa aset lokasi utama negara membangun.  TNCs menyebut bahawa kualiti persekitaran perniagaan dan saiz pasaran merupakan kekuatan utama kebanyakan ekonomi maju. 
IMF dalam World Economic Outlook yang dikeluarkan pada Januari tahun ini, mengunjurkan output dunia ialah 3.9 peratus pada 2010 dan 4.3 peratus pada 2011.  Sementara negara BRIC diunjurkan – Brazil  4.7 peratus (2010) dan 3.7 peratus (2011),  Rusia  masing-masing  3.6 peratus dan 3.4 peratus, India masing-masing 7.7 peratus dan 7.8 peratus, dan China masing-masing 10.0 peratus dan 9.7 peratus, manakala Asean-5 (Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, dan Vietnam) 4.7 peratus (2010) dan 5.3 peratus (2011).   Secara berbandingan, untuk tahun 2010 dan 2011, berdasarkan unjuran IMF,   Bank Dunia, MIER,  dan pihak kerajaan, seperti  yang dinyatakan di atas, pertumbuhan KDNK Malaysia jika dibandingkan dengan negara BRIC: setanding atau lebih baik daripada Brazil dan Rusia, tetapi di bawah India dan China.
Untuk mencapai status negara maju pada 2020, Bank Dunia  dalam Malaysia Economic Monitor November 2009  mencadangkan strategi empat tonggak:  Malaysia mengkhusus ekonomi seterusnya, meningkatkan kemahiran tenaga kerjanya, menjadikan pertumbuhan lebih inklusif, dan mengkukuhkan kewangan awam. Dari segi kemahiran tenaga kerja agak memeranjatkan apabila Ketua Pengarah UPE, Datuk Noriyah Ahmad,   baru-baru ini memaklumkan, “tenaga kerja Malaysia kini secara relatifnya tanpa kemahiran dengan 80 peratus menerima pendidikan hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau sama taraf dengannya, dan hanya 25 peratus pekerjaan di Malaysia adalah dalam kategori kemahiran tinggi.”
Malaysia juga dikatakan terpaksa menempuh cabaran untuk beralih daripada ekonomi pendapatan sederhana kepada ekonomi pendapatan tinggi. Menurut Bank Dunia, “ini merupakan cabaran yang sukar, hanya beberapa buah negara dapat mencapainya dalam tempoh pascaperang dan ini memerlukan kepimpinan yang kuat dan konsisten dalam tempoh yang panjang.”  Di bawah tajuk  repositioning  for growth, cabaran  jangka sederhana yang utama, seperti yang dinyatakan dalam  Malaysia Economic Monitor November 2009, adalah untuk ekonomi Malaysia  menyertai kumpulan pilihan negara pendapatan tinggi.  Malaysia mengalami pertumbuhan yang padu sepanjang dekad lalu, tetapi bergantung pada model ekonomi yang terutamanya berasaskan pengumpulan modal, walaupun kadar pelaburan swasta tidak pernah pulih daripada 20 titik  peratusan  yang jatuh selepas krisis kewangan Asia 1997/1998.  Untuk Malaysia menaiki tangga pendapatan seterusnya, Malaysia perlu memberikan keutamaan terhadap penambahbaikan suasana pelaburan untuk meningkatkan kadar pelaburan dan memberikan tumpuan terhadap pertumbuhan produktiviti.
Pada tahun 2008, negara pendapatan tinggi mengikut hitungan Bank Dunia ialah pendapatan per kapita KNK  AS$11,906 atau lebih.  Pada tahun 2020, iaitu sasaran Malaysia untuk mencapai status negara berkenaan, pendapatan per kapita KNK ialah minimum AS$14,818.  Namun begitu,  Malaysia masih menempuh  perjalanan yang jauh   untuk bebas daripada  perangkap pendapatan sederhana. Seperti yang dibahaskan oleh  Fong Chan Onn dalam The Star  “per kapita KNK Korea Selatan ialah AS$16,450, Singapura AS$34,346, Hong Kong  AS$29,559, manakala Malaysia masih pada AS$7,469. Perlu diingatkan bahawa pada awal 1970-an, kita adalah setara dengan negara berkenaan.  Dalam masa lima tahun, negara itu akan pergi lebih jauh lagi.”   
Dalam satu dekad, sesungguhnya, banyak yang ingin dicapai oleh Malaysia: negara maju dan negara pendapatan tinggi  dengan pertumbuhan purata  enam  peratus setahun. Pada masa yang sama, negara terpaksa menyaingi  BRIC dari segi pertumbuhan dan  FDI,   sedangkan  negara bukan merupakan ekonomi yang paling  menarik  untuk FDI jika dibandingkan dengan BRIC.  Selain itu, untuk merancakkan pertumbuhan, negara perlu bergantung pada pelaburan swasta yang nampaknya tidak bangkit-bangkit daripada kejatuhan lebih satu dekad. Sesungguhnya,  pemeringkatan atau penarafan antarabangsa dan angka rasmi yang lain dapat menceritakan segalanya tentang kedudukan ekonomi Malaysia di peringkat global, iaitu banyak yang perlu dilakukan dalam satu dekad.  
 Jadual 1:  Indeks daya saing 2009 untuk  30 buah negara teratas berbanding dengan 2008
Negara/ekonomi
Taraf 2009
Mata
Taraf 2008
Switzerland
1
5.60
2
Amerika Syarikat
2
5.59
1
Singapore
3
5.55
5
Sweden
4
5.51
4
Denmark
5
5.46
 3
Finland
6
5.43
6
Jerman
 7
5.37
 7
Jepun
8
5.37
 9
Kanada
9
5.33
 10
Belanda
10
 5.32
8
Hong Kong
 11
5.22
11
Taiwan, China
12
 5.20
17
United Kingdom
13
5.19
12
Norway
 14
5.17
 15
Australia
15
5.15
18
Perancis
16
5.13
16
Austria
17
5.13
14
Belgium
18
5.09
 19
Korea Selatan
19
 5.00
 13
New Zealand
 20
4.98
24
Luxembourg
 21
4.96
25
Qatar
22
4.95
 26
Amiriah Arab Bersatu
 23
4.92
31
Malaysia
24
4.87
 21
Ireland
25
 4.84
 22
Iceland
26
 4.80
 20
Israel
27
4.80
23
 Arab Saudi
28
4.75
27
China
29
4.74
30
Chile
30
4.70
 28
Sumber:   The Global Competitiveness Report 2009-2010.





Jadual 2:  Aliran  FDI negara BRIC dan beberapa negara terpilih Asia mengikut suku tahun (juta dolar)



Aliran masuk FDI
Aliran keluar FDI

Negara
2008:
S1
2008:S2
2008:
S3
2008:
S4
2009:
S1
2008:
S1
2008:
S2
2008:
S3
2008:
S4
2009:
S1
Brazil
 8 799
7 910
14 145
14 203
5 342
4 453
4 125
6 829
5 050
- 392
Kemboja
 224
272
186
133
 87
6
 6
 6
 6
 -
China 
27 414
24 974
21 986
18 022
21 777
..
 ..
 ..
 ..
 ..
Hong Kong
19 588
14 806
11 097
17 513
11 792
12 381
 25 084
6 938
15 518
4 558
India
14 197
11 891
 8 782
6 684
6 256
..
..
..
..
 ..
Indonesia
 1 460
2 040
1 921
2 498
3 511
1 730
1 436
1 517
1 217
814
Korea Selatan
 - 674
- 212
1 633
1 454
 - 63
4 116
2 702
3 916
2 061
1 132
Laos
72
37
55
64
58
 ..
 ..
 ..
 ..
 ..
Malaysia
1 045
5 342
256
1 410
828
1 973
4 448
5 774
1 864
 - 130
Pakistan
983
2 104
1 117
1 234
691
5
36
 5
 - 11
 - 6
Filipina
266
434
 555
265
44
- 6
77
102
64
 52
Rusia
20 537
 22 679
16 799
10 305
9 993
15 818
16 342
11 174
9 056
12 892
Singapura
8 268
3 649
3 561
7 246
3 220
2 656
751
4 012
1 509
1 478
Taiwan
597
1 107
989
 2 739
263
 3 165
2 623
2 174
2 331
980
Thailand
2 959
2 230
2 545
2 357
2 324
541
1 215
186
893
573
Sumber:  World Investment Report 2009:  Transnational Corporations, Agricultural Production and   Development.
 (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi April 2010, kecuali rajah tidak dapat diterbitkan.) 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...