Artikel Popular

Sunday, April 29, 2012

Kegagalan Terbesar Jimat-cermat

ISNIN, 30 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perdana Menteri David Cameron dilaporkan menyalahkan duka lara zon euro yang menyebabkan Britain terhumban ke dalam kemelesetan curam berganda sambil mengingatkan krisis hutang Eropah masih jauh untuk berakhir. Dengan mengambil pendirian sedemikian, jika diperhatikan sebaliknya, beliau mempertahankan langkah jimat-cermat yang menurut banyak pihak, menyebabkan Britain terjebak semula dalam kemelesetan dan berkemungkinan terperangkap dalam "dekad yang hilang."

Sementara Sepanyol "jatuh bebas" atau "sudah jatuh ditimpa tangga" terpaksa bergelut dengan krisis hutang, terjebak semula dalam kemelesetan,  pengangguran yang tinggi, iaitu  mencecah 24.4 peratus, manakala pengangguran dalam kalangan belia, mencecah 50 peratus, setanding dengan Greece, dan diturunkan gred kepada BBB+.

Britain dengan kemelesetan curam berganda, Perancis dengan Pilihan Raya Presiden yang dalam pusingan pertama menyaksikan Presiden Nicolas Sarkozy tumpas di tangan Francois Hollande, dan Belanda dengan keruntuhan kerajaan, membayangkan bahawa jimat-cermat yang dilaksanakan secara berleluasa di Eropah, kini berada di persimpangan.  Para pengundi yang sengsara akibat pelaksanaan jimat-cermat, diperhatikan,  semakin berani menolak pemimpin melalui peti undi.  Khusus untuk Perancis dan Belanda yang menendang keluar jimat-cermat seperti yang dibahaskan oleh Charlemagne dalam The Economist, sekali lagi menentang konsensus Eropah, seperti yang kedua-dua negara ini lakukan tujuh lalu. 


Seandainya Hollande memenangi Pilihan Raya Presiden yang pusingan kedua berlangsung pada 6 Mei ini, Canselor Angela Merkel akan kehilangan sekutu rapatnya, Sarkozy.  Siang-siang lagi Hollande memberitahu bahawa "bukannya Jerman yang membuat keputusan untuk negara lain di Eropah."  Jika terpilih, beliau berjanji tidak akan meluluskan perjanjian jimat-cermat fiskal yang dipersetujui oleh 25 buah negara Eropah, kecuali perjanjian itu mengandungi langkah untuk memacu pertumbuhan. Pertembungan antara Perancis dengan Jerman berhubung dengan perjanjian jimat-cermat tersebut semakin dapat dibayangkan. 


Tatkala Hollande bersiap sedia untuk menggantikan Sarkozy, The Economist membayangkan bahawa beliau orang yang bahaya untuk negaranya dan Eropah.   Tracy McNicoll yang menulis dalam Newsweek juga seolah-olahnya menggambarkan Hollande adalah bahaya. Beliau dipercayai akan "belanja sakan" untuk negaranya, Perancis tanpa mempedulikan langkah jimat-cermat yang dilaksanakan oleh negara-negara lain di Eropah.


Dalam kalangan mereka yang menentang jimat-cermat, Paul Krugman, tanpa berasa penat, kira-kira dua tahun terus mengkritik langkah tersebut. Melalui kolumnya, beliau menegaskan kegagalan dasar jimat-cermat, meskipun para pemimpin Eropah menafikannya,  sebaliknya mengatakan  dasar ini  berkesan. Dalam tulisan terbaharunya, beliau mengkritik editorial The Financial Times yang enggan menerima hakikat bahawa jimat-cermat gagal di Britain, dan mendesak supaya dasar yang "memusnahkan" ekonomi negara itu diteruskan. 


Setelah menulis dalam The Atlantic bahawa jimat-cermat memusnahkan Eropah, dengan  merujuk kepada Sepanyol,  Matthew O'Brien muncul sekali lagi dengan nada yang tidak kurang kerasnya: kegagalan terbesar jimat-cermat. Setelah membandingkan hasil bon 10 tahun antara negara yang melaksanakan jimat-cermat, iaitu Portugal dan United Kingdom, dengan Amerika Syarikat yang tidak melaksanakan langkah tersebut, beliau menegaskan bahawa United Kingdom bukan sahaja terjebak dalam kemelesetan curam berganda, tetapi juga di bawah prestasi zon euro sejak David Cameron menjadi Perdana Menteri dan mula mengurangkan defisit. "Eskprimen Great Britain," hujah beliau, "semuanya kesakitan dan tidak ada keuntungan."


Walau bagaimanapun, Angela Merkel yang mula kesepian, diperhatikan tidak akan berganjak daripada mendesak supaya  jimat-cermat diteruskan, meskipun  di Eropah, penentangan terhadap langkah itu semakin lantang. Berlin sepatutnya terus mendesak disiplin perbelanjaan untuk negaranya dan untuk benua itu. Tanpa mempedulikan akibat sosial dan politiknya, Bundesbank dan kerajaan Angela Merkel dikatakan masih menyokong jimat-cermat yang dilaksanakan di Eropah sejak dua tahun lalu. Setelah merasakan bahawa  kehilangan Sarkozy tidak dapat dielakkan lagi, Merkel didapati cuba mendakap Perdana Menteri Italy, Mario Monti, dan beliau juga mendakap pertumbuhan


Lebih berleluasa berlaku  pergolakan politik dan kekacauan sosial di Eropah,  nescaya berlaku penolakan secara besar-besaran terhadap  langkah yang terbukti gagal sama sekali, iaitu jimat-cermat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...