Artikel Popular

Friday, April 27, 2012

Najib Belanja Ikut Nafsu, Malaysia Hadapi Risiko Turun Gred

JUMAAT, 27 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Apakah Malaysia akan mengalami nasib, seperti Amerika Syarikat, Perancis, dan beberapa buah negara Eropah, iaitu diturunkan gred oleh agensi penarafan kredit? Negara terbaharu yang diturunkan gred ialah Sepanyol. 

Di Malaysia, Perdana Menteri Najib Razak, yang  menari mengikut gendang pembangkang, begitu ghairah mengamalkan politik populis.  Melihat Najib berbelanja sakan sebagai "persiapan pilihan raya,"  memang membimbangkan kalau-kalau negara ini terjebak dalam krisis ekonomi. 

Bagi sesiapa yang mengikuti siaran televisyen Bloomberg semalam, pastinya terpandang berita ringkas yang muncul berkali-kali bahawa kemungkinan Malaysia diturunkan gred akibat Najib berbelanja ikut nafsu. Berita itu memetik makalah Chong Pooi Koon bahawa dalam usaha Najib ingin meningkatkan sokongan sebelum pilihan raya seawal bulan depan, mungkin membawa risiko penurunan gred kredit yang pertama untuk negara ini selepas krisis kewangan Asia.

Makalah itu memetik Takahira Ogawa, penganalisis di syarikat penarafan bahawa Standard & Poor's "mungkin perlu memikirkan perkara" potensi pemotongan dalam beberapa tahun, kecuali kerajaan yang akan datang mengambil langkah untuk merangsang hasil dan mengurangkan subsidi selepas pilihan raya.  Moody's Investors Service dan Fitch Ratings juga dipetik sebagai berkata bahawa Malaysia mesti mengambil langkah untuk mengurangkan nisbah hutang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) unjurkan mungkin meningkat 55.9 peratus tahun ini, tertinggi dalam masa 20 tahun. 

Antara perbelanjaan  yang dinyatakan dalam makalah itu ialah kenaikan gaji penjawat awam sehingga sebanyak 13 peratus dan juga memansuhkan yuran sekolah untuk murid sekolah rendah dan menengah, dan bantuan RM500 untuk isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3000 atau kurang. Perbelanjaan gaji dan elaun diunjurkan meningkat kepada 4.2 peratus, iaitu kepada RM52 bilion pada tahun 2012 berbanding dengan RM49.9 bilion pada tahun 2011.

Berbanding dengan subsidi dan hutang Malaysia yang gamat dengan kemungkinan negara jatuh muflis, amaran turun gred tidak mendapat perhatian. Bahkan,  dalam kalangan pemimpin dan penyokong parti pembangkang, juga blog dan Facebook mereka tidak kelihatan reaksi terhadap  amaran atau peringatan yang agak serius ini.  Hal ini demikian mungkin kerana perbelanjaan ikut nafsu itu adalah untuk penjawat awam dan rakyat jelata yang merupakan "lombong emas," - kuasa undi yang amat besar,  lalu mereka keberatan membangkitkannya, takut kalau-kalau "senjata makan tuan."  


Lagipun, agensi penarafan kredit itu, antaranya  membangkitkan jumlah subsidi yang besar yang kerajaan pimpinan Najib.  Pastinya, dalam konteks politik masa kini, tidak ada mana-mana parti politik yang berani mengacau "lembu suci" ini, kecuali mereka sengaja ingin mencari nahas.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...