Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Runtuhnya Kesatuan Soviet lebih 20 tahun lalu, bermakna kegagalan sosialisme, lenyapnya Komunisme, dan pastinya, kemenangan kapitalisme. Negara yang di bawah naungan atau sehaluan dengan Kesatuan Soviet meninggalkan Komunisme. Kalaupun ada negara yang masih setia pada sistem yang dianggap gagal itu, hanyalah beberapa buah negara, antara yang menonjol ialah Cuba yang kini diperhatikan dalam perjalanan ke arah kapitalisme.
Justeru, pastinya memeranjatkan apabila Allen West, anggota Kongres Republikan dari Florida, seperti yang diperkatakan oleh Lee Siegel dalam The Daily Beast, mengatakan bahawa beliau "mendengar" hingga 80 orang anggota Kongres merupakan anggota Parti Komunis. Walau bagaimanapun, West enggan menyatakan nama anggota Kongres berkenaan, dan tidak dipastikan daripada jumlah itu, berapa orang anggota Perwakilan dan berapa orang Senator.
Tokoh kenamaan, seperti West dikatakan menjaja ke sana ke mari dan menuduh puak liberal Komunisme, Parti Demokratik sosialisme, Presiden Barack Obama bersimpati terhadap puak militan Islam, yang disifatkan oleh Siegel, seperti "menonton kebangkitan semula Broadway tentang Oklahoma! dipersembahkan oleh pengangkat berat pekak ton dari Bulgaria."
Siegel mentafsirkan bahawa keruntuhan Kesatuan Soviet menyebabkan puak kanan jauh Amerika hidup tanpa musuh sebenar. Justeru, mereka terpaksa mencipta musuh mereka dengan melontarkan dakwaan yang kelihatan tidak berasas sama sekali.
Kewujudan bayang-bayang Komunisme di Amerika Syarikat itu mengingatkan McCarthyisme pada tahun 1950-an, iaitu mana-mana rakyat negara itu yang disyaki sebagai boleh didakwa.
No comments:
Post a Comment