SABTU, 14 April 2012
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Apabila berlakunya krisis kewangan global pada tahun 2007-2008 bersama-sama dengan kemelesetan terburuk sejak Perang Dunia Kedua, sebilangan ahli ekonomi dan para pengulas membayangkan bahawa kapitalisme terbenam dalam curang yang amat dalam. Kapitalisme yang berdiri megah, khsususnya selepas berakhirnya Perang Dingin yang menyaksikan kekalahan Komunisme dan keruntuhan Kesatuan Soviet, dilihat sedang bertarung dengan krisis, kemuflisan, dan lebih jauh lagi, pasti akan berkubur.
Teriakan berakhirnya atau berkubur kapitalisme hingga kini masih kedengaran, dan yang terbaharu, datangnya daripada Klaus Schwab, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF), yang setiap awal tahun akan terkenal dengan Davos. Melalui tulisannya dalam blog The Huffington Post, "The End of Capitalism - So What's Next?" Schwab membayangkan bahawa kapitalisme berkubur, tetapi beliau masih tidak pasti, apakah sistem yang akan muncul.
Schwab merujuk Forum Ekonomi Dunia di Davos pada tahun yang menyaksikan perdebatan sengit tentang masa depan kapitalisme. Banyak peserta, tegas beliau, menanyakan, sama ada kapitalisme dengan segala lebihannya, masih mempunyai tempat di dunia hari ini. Sementara itu, media membuat spekulasi bahawa bahkan para pengurus dan banker membangkitkan keraguan tentang masa depan sistem ini, seterusnya mungkin kapitalisme telah berkubur di Davos.
"Laporan tentang kapitalisme pasti berkubur mungkin agak dibesar-besarkan," tulis beliau, "sebagai ideologi bebas, tetapi komitmen dari segi sosial dan ekonomi pasaran yang dikawal selia secara adil tidak pernah dipersoalkan di Davos." Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa wujud beberapa perbincangan, sama ada kapitalisme dalam bentuk sekarang berguna ataupun melemahkan ekonomi pasaran bebas.
Dalam hubungan ini, Schwab cuba menjelaskan bahawa perbezaan yang jelas perlu dibuat antara ideolog pasaran ekonomi sosial berasaskan tanggungjawab individu pada satu pihak, dengan kapitalisme terma seperti itu pada satu pihak yang lain. Beliau cuba menarik perhatian bahawa sepanjang 200 tahun lalu, julat tafsiran yang berbeza tentang kapitalisme muncul sebagai reaksi terhadap perindustrian.
Meskipun kapitalisme tidak berkubur di Davos, namun Schwab menegaskan bahawa memang adil untuk mengatakan modal hilang statusnya sebagai faktor pengeluaran paling penting dalam sistem ekonomi. "Seperti yang saya gariskan dalam ucapan perasmian di Davos, modal digantikan oleh kreativiti dan keupayaan untuk melakukan inovasi, dan dengan itu, oleh bakat manusia, sebagai faktor pengeluaran paling penting." Bagi beliau, jika bakat menjadi faktor daya saing yang muktamad, kita dengan yakin menyatakan bahawa kapitalisme digantikan oleh "fahaman bakat." Sebagaimana modal menggantikan perdagangan manual ketika proses perindustrian, modal kini memberikan laluan kepada bakat manusia.
"Saya yakin," Schwab mengakui, "bahawa dalam proses transformasi ini akan juga membawa kepada pendekatan baru dalam bidang ekonomi."
Pada penghujung tulisannya itu, Schwab kelihatan bercakap senada dengan Keynesian, iaitu perlunya kawal selia dan pasaran tidak boleh dibiarkan bergerak sebebas-bebasnya: "Demi memastikan bahawa kapasiti ini untuk pembangunan adalah adil, maka kawal selia dan pelindung diperlukan, terutamanya untuk pasaran modal yang juga memerlukan penyelarasan global" sambil mencadangkan "kapitalisme kini diseru supaya membuat penyelarasan yang perlu untuk kekal sebagai tonggak utama dalam sistem ekonomi pasaran bebas kita, tetapi juga untuk menyesuaikan dengan keadaan hari ini dan untuk menjadi hamba dan bukannya tuan ekonomi pasaran yang bertanggungjawab dari sosial."
Intipati tulisan Schwab itu ialah bahawa beliau sendiri hilang keyakinan terhadap kapitalisme. Hanya melalui penyelarasan dan penyesuaian, sistem yang menjadi anutan beliau itu mampu memastikan kelangsungannya. Jika selama ini laungan tentang kematian kapitalisme kedengaran dalam Forum Sosial Dunia (WSF), tetapi kini di WEF juga kedengaran, meskipun kedua-duanya berbeza: WSF mengharapkan kapitalisme berkubur, manakala WEF, meratapi kematian itu dan mencari jalan untuk menyelamatkannya.
No comments:
Post a Comment