Artikel Popular

Thursday, June 30, 2011

Laut China Selatan Bergelora


KHAMIS,  30  Jun 2011

Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Akhbar The Independent semalam melaporkan kumpulan pemikir dasar luar Australia yang utama,  Lowy Institute for International Policy  menyatakan kebimbangan tercetusnya peperangan yang berpunca daripada persengketaan di Laut China Selatan.  Pergeseran semakin memuncak dalam kalangan negara yang bersempadan di Laut China Selatan, diperburukkan lagi oleh sifat pendesak yang kian menjadi-jadi tentera China, boleh mencetuskan persengketaan  senjata dan bahkan mencetuskan peperangan.  Laporan kumpulan pemikir itu berkebetulan dengan Senat Amerika Syarikat yang meluluskan resolusi mengesali penggunaan kekerasan oleh  China terhadap kapal Vietnam dan Filipina, menyatakan bahawa Asia menjadi "zon bahaya untuk kemalangan di laut."

Berlaku ketegangan yang memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan antara China yang menuntut kedaulatan di Laut China Selatan dengan beberapa negara lain yang turut menuntut wilayah yang berkaitan.   Sesetengah pertikaian tertumpu pada dua kepulauan, iaitu Spratly dan Paracel yang dari segi potensi kaya dengan minyak dan gas asli.  Laporan Lowy Institute tentang keselamatan maritim melahirkan kebimbangan tertentu tentang  perselisihan antara China dengan Amerika Syarikat,  Jepun dengan India, yang dikatakan berkemungkinan berterusan dan menjadi-jadi.

Sebelum ini, Senator John McCain  menggesa Amerika Syarikat menyokong Asean  dari segi ketenteraan  dan politik untuk menghadapi China di  Laut China Selatan yang semakin bergolak.  Bekas calon Presiden  tahun 2008 berkata, Amerika Syarikat sepatutnya juga beralih kepada diplomasi untuk membantu negara Asean menyelesaikan pertikaian mereka dan "mewujudkan barisan yang lebih bersatu,"  dengan mengalu-alukan perjanjian terbaharu antara Malaysia dengan Brunei sebagai contoh. Beliau memberitahu persidangan di Center for Strategic and International Studies, sebuah kumpulan pemikir di Washington, "China cuba mengeksploitasikan perpecahan dalam anggota Asean untuk bersengketa antara satu sama lain untuk mendesak agendanya sendiri."  McCain mengalu-alukan hubungan kerjasama dengan China dan tidak berusaha mencari persengketaan, tetapi meletakkan kesalahan mentah-mentah terhadap China kerana  "sikap agresif" dan  "tuntutan wilayah yang tidak berasas." 

Kehadiran  China di  Asean, boleh dianggap  sebagai "duri dalam daging," dan setakat ini, dua negara di rantau ini, iaitu Filipina dan Vietnam, tanpa berselindung menggasak negara itu yang menggugat kestabilan Asean.  Pastinya, pendirian kedua-dua buah negara  terhadap China berbeza dengan pendirian Malaysia yang sentiasa menganggap  kebangkitan China bukan sebagai ancaman.  Sejak zaman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahahtir Mohamad membawa kepada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi,  dan seterusnya, kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Malaysia boleh dikatakan sentiasa membelai dan mendakap mesra China.  

Baru-baru ini, iaitu awal bulan ini, semasa menyampaikan ucapan dasar di  "The 10th International Institute for Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue"  di Singapura, Najib mengulangi pendiriannya tentang China:  Beliau berasa optimis bahawa Asean akan terus membangunkan hubungan yang penuh bermakna dan membina dengan kedua-dua negara, iaitu China dan India.  Kedua-dua negara itu berusaha meningkatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan bentuk pertukaran lain dengan 10 buah negara anggota Asean.  Beliau menegaskan, "untuk Asean, kita tidak perlu membuat pilihan kerana kita tidak mahu ke era Perang Dingin.  Kita mesti melihat ke hadapan untuk membina hubungan yang membina dengan kedua-dua negara itu." Beliau juga berkata bahawa kebangkitan penjana ekonomi Asia, iaitu, sepatutnya tidak dilihat sebagai ancaman terhadap dunia.  Selain itu,  berkembangannya kapasiti ketenteraan China sepatutnya tidak membangkitkan perasaan bimbang dan cemas yang tidak wajar.  Dari segi ketenteraan, Najib membela China, meskipun perbelanjaannya meningkat dengan pesat, Amerika Syarikat akan terus menerusi hingga kini, kuasa tentera yang cemerlang, dan hingga kini, negara yang suka berbelanja terbesar.

Pendirian Najib terhadap China boleh dianggap sebagai di belakang keluk.  Namun,   pujian melangit beliau terhadap negara itu tidak sempat bermalam kerana Filipina menuduh  China melemahkan keamanan dan  kestabilan di Asia.  Perang kata dan saling tuduh antara Filipina dengan China  tentang  pertikaian Laut China Selatan berlaku ketika kedua-dua negara sepatutnya gembira menyambut tahun ke-36 hubungan dua hala, yang pada tahun 2005 baru sahaja mengisytiharkan mencapai "zaman keemasan perkongsian."  Rommel C.  Banlaoi dalam "Word War in South China Sea:  A Diplomatic Crisis in Philippines, China Relations?" menulis bahawa tahun ini, bagaimanapun, kelihatan tiba-tiba terjejas hubungan Filipina-China yang berpunca daripada tuntutan yang bercanggah di Laut China Selatan.  Perang kata antara Filipina dengan China berhubung dengan pertikaian Laut China Selatan mencetuskan perasaan benci yang tidak perlu di kedua-dua belah pihak yang jika tidak diredakan dengan betul boleh menyebabkan kedua-dua buah negara berasa ganjil antara satu sama lain.

Filipina dan Jepun, seperti yang dilaporkan oleh Fred Hiatt, memohon bantuan Amerika Syarikat dalam  menghadapi  keagresifan China.  Tuntutan yang bercita-cita  tinggi China di Laut China Selatan, yang membangkitkan kebimbangan bukan sahaja Filipina, tetapi juga Jepun dan Vietnam dan negara Asia Tenggara lain. Albert F. del Rosario, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina dipetik sebagai berkata, "Pencerobohan semakin agresif.  China semakin meningkatkan cabarannya di kawasan yang baru-baru ini didapati mengandungi deposit gas asli yang sangat banyak.  Daripada melepaskan tembakan ke arah bot nelayan, mereka mengganggu bot  cari gali  untuk membawa pelantar dan pos kawalan."

Demikian juga dengan Vietnam yang tidak dapat bertolak ansur dengan keagresifan China di Laut China Selatan, terpaksa mengadakan latihan tentera laut.  Latihan tersebut diadakan selepas Hanoi dan Beijing saling tuduh menuduh berhubung dengan dua perkelahian terbaharu yang melibatkan kapal cari gali minyak dan gas Vietnam beroperasi di perairan yang dituntut oleh kedua-dua buah negara.  Vietnama mendakwa bahawa kapal China memotong kabel yang diletakkan pada bot yang menjalankan kajian seismos di pesisir pantainya, manakala China pula mendakwa menceroboh perairarannya dan meletakkan nyawa nelayan dalam bahaya.

China dan Vietnam telah beberapa kali bersengketa berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan, yang disebut oleh Ishaan Tharoor, perebutan gugusan kepulauan.    Pertikaian geopolitikn ini melibatkan Kepulauan Paracel yang tandus. Dituntut oleh kedua-dua buah negara, iaitu China dan Vietnam, gugusan itu mengandungi kira-kira 30 tetanjung kecil tanah di tengah Laut China Selatan dengan nama yang tidak berbahaya, seperti Woody Island dan Antelope Reef.  Tidak  ada manusia yang tinggal di sana, tidak juga wujud mana-mana bukti bahawa  sumber asli yang menguntungkan  terdapat di bawah lagun dan terumbunya.  Tharoor memetik pakar bahawa pada masa apabila ekonomi serantau melambung, dan sentimen nasionalis berkobar-kobar, Kepulauan Paracel dan Kepulauan Spratly yang menjadi rebutan masih tahap meledak di bahagian dunia ini apabila keseimbangan kuasa  lebih condong ke arah China.

Pertikaian pada tahun lalu itu berpunca daripada pengumuman kerajaan China untuk membina pusat pelancongan di beberapa tempat di Kepulauan Paracel sebagai sebahagian rancangan bercita-cita tinggi untuk menarik para pelancong di seluruh dunia ke Hainan, wilayah kepulauan China.  Walau bagaimanapun, Tharoor mengatakan bahawa pertikaian tersebut adalah kecil jika dibandingkan dengan peristiwa masa lalu, apabila dua negara terlibat dalam peperangan sempadan pada tahun 1979, dan pada 1988, peperangan di laut berhampiran Spratly mengorbankan 70 orang kelasi Vietnam.

Beberapa bulan kebelakangan ini, menurut pemerhatian Austin Ramzy dua hari lalu, menyaksikan ketegangan antara China dengan beberapa negara jirannya, terutamanya Vietnam dan Filipina berhubung dengan Laut China Selatan.  Dan sementara pertikaian dengan Jepun berhubung dengan Kepulauan Diaoyu menjadi reda sejak tahun lalu, ketegangan masih kekal, seperti yang ditunjukkan oleh reaksi waspada Jepun terhadap kehadiran kapal perang China di perairan antarabangsa berhampiran Okinawa baru-baru ini.  Punca segala pertikaian ini ialah kedaulatan kepulauan yang dipertikaikan di Laut China Timur dan Laut China Selatan.  Kemungkinan wujudnya minyak dan gas asli di dasar laut membantu meningkatkan tagan atau taruhan kerana meningkatnya kuasa ketenteraan dan sifat pendesak China.

Sebelum ini, Austin Ramzy dalam "The Drumbeats of War?  Tensions Rise in the South China Sea" menegaskan bahawa pertikaian berhubung dengan Laut China Selatan selalu mengusik perasaan deja vu.  Menteri Pertahanan Vietnam mengadu kejadian kapal China memotong kabel cari gali ketika "The 10th International Institute for Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue"  di Singapura.  Protes anti-China diadakan di Hanoi dan Ho Chi Minh City, dan dalam beberapa hari lalu, beberapa laman web Vietnam dan China dilaporkan digodam dan dicacati dengan mesej nasionalis.

Dalam soal jawab yang diterbitkan oleh Foreign Affairs tentang China, Robert D. Kaplan berkata China juga sebaga kuasa yang sedang meningkat, melalui demografik, keagresifan amalan korporat, tandatangan perjanjian sempadan, dan amalan perdagangan, China memperluas zon pengaruh ke dalam zon bersempadan: ke dalam Timur Jauh Rusia, ke dalam Mongolia, ke dalam Asia Tengah, ke dalam Asia Tenggara.  Dan China membina pelabuhan atau menolong membina pelabuhan di sepanjang Lautan Hindi.  China mengambil langkah dengan tentera lautnya yang akan melindungi China sekurang-kurangnya kawalan separa Laut China Selatan dan Laut China Timur.  "Peta China adalah berkembang," kata Kaplan, dan ini membawa cabaran geopolitik kerana sebagaimana Amerika Syarikat ialah hegemon Hemisfera Barat, China muncul, dalam perjalanannya untuk muncul, sejeni hegemon di, kita akan kata, kebanyakan Hemisfera Timur."  Beliau mengakui China bukannya ancaman eksistensial, China bukannya ancaman ketenteraan terhadap Amerika Syarikat, misalnya, secara tidak langsung, menerusi percubaannya untuk mengehadkan akses Amerika ke Laut China Timur dan Laut China Selatan dan Selat Taiwan.  

Bagi Abraham M.  Denmark,  "Crowded Waters"  medan pertarungan kuasa besar untuk kekuasaan di Laut China Selatan bergelora sekali lagi.  Sejak dua tahun lalu, betul-betul bersemuka dipertunjukkan berhubung Laut China Selatan, badan perairan disempadani oleh China, Vietnam, Malaysia, Singapura, Indonesia, Bruneai, Filipina, dan Taiwan.  Badan  perairan yang kurang dikenali ini adalah kepentingan strategik yang besar:  Sekurang-kurangnya satu pertiga perdagangan maritim dunia merentasi Laut China Selatan, dan sesetengah optimis menganggarkan stor minyak dan gas aslinya yang tidak diusahakan menjadikannya tempat kedua Teluk Parsi.  Laut China Selatan juga lebuh raya utama menghubungkan telaga minyak Timur Tengah dengan kilang Asia Timur, dengan lebih 80 peratus import minyak China mengalir sepanjang perairannya.  Denmark juga memetik tulisan Robert Kaplan yang  diterbitkan dalam Foreign Affairs,  bahawa pentingnya Laut China Selatan kepada rantau ini menjadikannya "Mediterranean Asia."

"Disebabkan pentingnya perairan ini," tulis Abraham Denmark, "beberapa buah negara, iaitu Brunei, Malaysiam Filipina, dan Vietnam, menuntut kedaulatan terhadap bahagian perairan ini.  Namun, China menuntut hak kedaulatan terhadap hampir keseluruhan Laut China Selatan, seperti yang diperincikan dalam 9-dash line termasuk dalam penyerahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu."  

Sesungguhnya,  bintang merah sedang dan akan terus  bertaburan di Laut China  Selatan.  Secara keseluruhannya, disedari   wujudnya usaha  China  untuk menguasai Laut China Selatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keamanan serta kestabilan di rantau ini.  Justeru, apabila Najib berulang-ulang kali, termasuk yang terbaharu di Singapura, mengatakan China bukannya ancaman, timbul keraguan tentang kebijakan beliau.  Walau apa-apa pun alasan, antaranya kepentingan politik dalam negara, untuk mengatakan sedemikian, pastinya  sesuatu yang tidak munasabah.


Wednesday, June 29, 2011

Eropah: Ketandusan Kepimpinan dan Cabaran Demokrasi

RABU,  29  Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kira-kira tiga bulan lalu, Niall Ferguson, kolumnis Newsweek menulis "Murder on the EU Express" menyamakan kematian aneh Kesatuan Eropah dengan klasik Agatha Christie, Murder on the Orient Express, untuk menjejaki siapa yang melakukan pembunuhan. Meskipun kelihatan berintegrasi, dari segi realiti, Eropah secara diam-diam berkecai sejak suatu ketika dahulu.  Bukan sahaja krisis ekonomi meletupkan lubang dalam kewangan hampir semua negara Kesatuan Eropah, tetapi juga mendedahkan keberatan yang mendalam negara yang kurang terjejas untuk menyelamatkan negara yang teruk terjejas.  Ferguson menegaskan  krisis semasa memacu bukan hanya satu, tetapi dua sendal yang memecahbelahkan ke dalam ekonomi Eropah.  Pertama, wujud perselisihan politik fundamental antara 17 negara anggota Kesatuan Eropah yang menyertai kesatuan monetari dengan 10 buah negara yang tidak menyertainya.  Kemudian, dalam zon euro, wujud perselisihan ekonomi yang meluas antara pusat yang dikuasai oleh Jerman dengan pinggir yang uzur - negara yang disumpah dengan akronim yang tidak elok, iaitu PIGS (Portugal, Ireland, Greece, dan Sepanyol).


Mampukah Eropah diselamatkan?  Masa dikatakan terlalu suntuk untuk menyelamatkan ekonomi Portugal, Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol - yang disebut PIIGS - yang terbeban dengan hutang awam dan hutang swasta yang  semakin tidak terpikul lagi.  Selain negara berkenaan, terutamanya Greece  dipersalahkan kerana mencetuskan porak-peranda, Jerman juga dikatakan turut terlibat, seperti yang dilihat dalam tulisan Niall Ferguson yang dipetik di atas.  "Jika euro gagal, Jerman akan bertanggungjawab," tulis Henrik Muller, baru-baru ini.


Tatkala sebuah  demi sebuah negara zon euro  dilanda krisis hutang pada tahun lalu, Timothy Garton Ash, mengingatkan bahawa hanya Jerman yang mampu menyelamatkan zon berkenaan.  "Krisis zon euro masih jauh untuk berakhir.  Jika Sepanyol menyusuli Portugal dan Ireland, tindakan bersejarah tataurus negara diperlukan," tulis beliau "Caling Germany, Calling Germany:"   Jika zon euro berkecai, ini adalah kerana Jerman tidak banyak berusaha untuk menyelamatkannya.  Jika zon euro selamat, terima kasih kepada Jerman.  Keadaan ini merupakan cabaran paling hebat terhadap tataurus negara Jerman sejak negarfa itu bersatu secara aman 20 tahun lalu.  Pada saat ini, para pemimpin kuasa pusat Eropah tidak menyambut cabaran ini, tetapi mereka masih ada beberapa minggu untuk membuktikan mereka mereka mampu.  Selepas itu,  segala-galanya sudah terlewat.


Negara mana yang patut selamatkan  euro?  Jerman atau Britain? Nampaknya, negara Kesatuan Eropah masih bertolak-tolak antara satu sama lain untuk menentukan negara penyelamat.  Jeremy Warner mencadangkan Britain mengambil kesempatan menyelamatkan euro, dan pada masa yang sama beliau mengkritik Jerman.  Bagaimana berdaya saing pun sesebuah negara di zon euro, walau bagaimanapun, Jerman selalunya dapat berada di hadapan.  Warner mendakwa  pendirian  Jerman  bahawa euro tidak boleh dibiarkan gagal, kerana ini akan memusnahkan Kesatuan Eropah itu sendiri  tidak sebagai satu retorik.


Tatkala krisis zon euro baru bermula tahun lalu, Garton Ash mengingatkan bahawa Eropah berjalan semasa tidur untuk  kemerosotan, lalu beliau mengingatkan bahawa mereka memerlukan Winston Churchill baru untuk menjelaskan keadaan ini kepada semua orang Eropah, dalam sajak "darah, keringat, dan air mata." Beliau mengakui Kesatuan Eropah masih ekonomi terbesar di dunia.  Banyaknya sumber kuasa keras dan lembut jauh lebih besar daripada yang terdapat di kuasa besar yang sedang muncul.  Akan tetapi, trend adalah sebaliknya, dan tumbukannya jauh di bawah kekuatannya.  Jika Kesatuan Eropah masih mahu membentuk dunia demi kepentingan warganya, maka Kesatuan Eropah mesti merapatkan jurang antara potensinya dengan kuasa sebenarnya.  Kesatuan Eropah tidak melakukannya.


Dalam salah satu makalah terbaharunya, Garton Ash mengingatkan bahawa di mana-mana sahaja projek Eropah tegun.  Krisis zon euro hanya merupakan contoh yang paling segera tentang kehilangan rentak atau momentum Eropah.  Hanya Canselor Jerman, Angela Merkel yang mampu memulakan pemulihan, tetapi beliau masih teragak-agak kerana terpaksa tunduk pada pendapat awam di negaranya.  "Projek Eropah ketandusan 'kepimpinan'," tulis Garton Ash, "Hal ini benar, tetapi kurang daripada separuh cerita.  Untuk seketika, kualiti kepimpinan Eropah benar-benar miskin jika dibandingkan dengan keadaan suku abad lalu, keperluan untuk kepimpinan itu semakin besar."  Oleh sebab, kepimpinan Eropah tidak menjelma atau masih terhegeh-hegeh untuk menyelamatkan krisis, maka jangan terperanjat bahawa China akan mengambil peluang daripada krisis yang berpanjangan ini.


Persoalan sekarang bukat setakat negara mana di zon euro yang pertama mungkir terhadap hutang kedaulatan mereka, tetapi juga seperti yang dinyatakan oleh hartawan George Soros baru-baru ini, negara mana yang akhirnya terpaksa meninggalkan zon berkenaan.  Beliau juga mencadangkan para penggubal dasar memperkenalkan "pelan B" yang mampu menyelamatkan Kesatuan Eropah daripada ancaman keruntuhan ekonomi.


Makapetaka yang menimpa Greece, bahas editorial guardian.co.uk,  "hanya erupakan insidens yang amat ketara tentang kecacatan yang berlaku sekian lama di zon euro."  Kelahiran idealistik zon euro pada tahun 1999, kini terjebak dalam  krisis  yang runcing.  Krisis hutang Greece mencetuskan ketakutan berlakunya perpecahan Kesatuan Eropah, tulis Toby Helm, menilmbulkan ketidakpastiaan tentang masa depan euro dan seluruh projek politik.  Melihat krisis yang berpanjangan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan amaran kepada para pemimpin Eropah bahawa mereka mesti bertindak menyelesaikan masalah di Greece atau berhadapan dengan risiko satu lagi krisis kewangan.  Tatkala para pemimpin bertemu untuk bergelut dengan krisis  Greece, gelombang udara padat dengan kewujudan debat tentang masa depan Kesatuan Eropah itu sendiri, dan bukannya sekadar tentang Greece atau zon euro semata-mata.


Krisis zon euro sekarang dikatakan merupakan ujian penting terhadap Kesatuan Eropah; dan Kesatuan Eropah setakat ini, tidak melakukan sesuatu yang baik untuk menyelesaikannya.  Sejak sekian lama, para pemimpin Eropah sekadar memberikan respons terhadap peristiwa yang terbentang dan bukannya berhadapan secara langsung terhadap punca krisis itu.  Politik ad hoc  dikatakan melemahkan perpaduan Eropah dan mencetuskan kekeliruan dan kesangsian dalam kalangan warga Eropah.  Justeru, Jurgan Habermas bersama-sama 18 orang lain mendesak "kita perlu mengubah pendekatan ini dan memulihkan kepimpinan politik demi mencegah kerosakan yang seterusnya."  "Kami menggesa para pemimpin Eropah mengambil alih agenda politik semula dan membangunkan rancangan baru untuk masuk depan zon euro yang makmur dan bersatu." Bagi mereka, Kesatuan Eropah memerlukan kepimpinan untuk mengatasi krisis tersebut, dan bukannya berulang-ulang melakukan  jimat cermat.


Lebih memeranjatkan bahawa krisis zon euro itu, seperti yang diperingatkan oleh Amartya Sen, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, bahawa hal ini sekadar pergelutan euro, tetapi juga demokrasi di Eropah menjadi pertaruhannya.  Eropah membimbing dunia dari segi amalan demokrasi.  Justeru, wujud kebimbangan bahawa bahaya terhadap tadbir urus demokratik hari ini, datang dari pintu belakang keutamaan kewangan, tidak mendapat perhatian yang sepatutnya. Wujud isu yang mendalam yang perlu dihadapi tentang bagaimana tadbir urus demokratik Eropah boleh melemahkan oleh peranan yang cukup menyerlah daripada institusi kewangan dan agensi penarafan, yang kini memerintahnya secara bebas di seluruh bahagian rupa bumi politik.  Banyak negara Eropah sekarang tergesa-gesa ingin mengurangkan defisit awam dengan pengurangan drastik perbelanjaan awam, yang menurut Amartya Sen, boleh mengakibatkan seperti membunuh angsa yang bertelur emas untuk pertumbuhan ekonomi.  


Setelah mengingatkan Eropah akan bahaya akibat terlalu mengikut telunjuk  agensi penarafan, beliau mengakhiri penulisannya dengan mengingatkan "berhenti meminggirkan tradisi demokratik Eropah yang mempunyai kesegeraan yang sememangnya sukar untuk membesar-besarkan cerita.  Demokrasi Eropah adalah penting untuk Eropah dan untuk dunia."


Orang tua-tua pernah berpesan bahawa "persahabatan teruji semasa kesusahan" benar-benar dapat dilihat apa yang terjadi di Eropah sekarang.  Meskipun sebuah demi sebuah negara di zon euro bergelut dengan krisis hutang, boleh dikatakan tidak muncul negara yang benar-benar mempunyai keazaman dan begitu komited untuk  mengeluarkan seluruh zon itu keluar daripada krisis berkenaan.  Walaupun krisis yang berpanjangan ini membawa akibat buruk bukan sahaja terhadap negara yang terlibat dan zon euro, bahkan terhadap Kesatuan Eropah, para pemimpin di negara yang kukuh dari segi ekonomi dan kewangan, seakan-akan tidak mengendahkannya.  Pernah dikatakan bahawa pemimpin muncul semasa krisis, tetapi  pemimpin yang diharapkan dapat menyelamatkan zon euro terutamanya, belum lagi menjelma. 











Monday, June 27, 2011

Perang Saudara DBP dengan DAWAMA Kian Runcing

Oleh: G Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 27 Jun — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan syarikat pencetak dan pengedar buku dan majalahnya, Dawama Sdn Bhd didakwa berhadapan dengan ‘perang dingin’ — dipercayai meruncing akhir minggu lalu, di sebalik isu kemerosotan penjualan dan cetakan buku dan majalah terbitan agensi itu sejak beberapa tahun lepas.

The Malaysian Insider difahamkan pengurusan kedua-dua entiti itu kini memasuki satu persekitaran yang sangat parah dengan dikatakan tidak dapat bersemuka dalam menyelesaikan isu mereka, sekali gus meletakkan DBP dalam keadaan serba salah.

DBP merupakan agensi yang terletak di bawah pengawasan Kementerian Pelajaran.

Ekoran ‘perang dingin’ itu, satu sumber memberitahu The Malaysian Insider, pengurusan DBP pula berhadapan dengan dilema, kemungkinan tidak dapat menyediakan bekalan buku teks sesi persekolahan 2012-2013 menjelang Ogos ini.

“Lazimnya buku-buku kerana diedarkan antara empat hingga lima bulan sebelum sesi baru sekolah bermula, bermakna Ogos ini,” kata sumber.

“Hubungan tidak mesra DBP dan pengurusan Dawama meruncing minggu lalu apabila editor-editor Dewan Bahasa tidak dibenarkan memasuki pejabat Dawama, untuk menjalankan urusan suntingan dan pemeriksaan akhir sebelum bahan-bahan dicetak, dan sebagainya. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Sumber itu juga berkata, hubungan tidak mesra itu wujud selepas DBP memutuskan untuk melantik pihak ketiga bagi mencetak buku-buku teks agar ia dapat dibekalkan kepada sekolah menjelang Ogos.

“Kemungkinan ia telah menyebabkan Dawama tersinggung dan kecil hati, lalu tidak membenarkan editor-editor Dewan Bahasa memasuki pejabat Dawama. Malah, difahamkan peralatan komputer yang mempunyai manuskrip juga disimpan oleh pengurusan syarikat itu,” kata sumber itu lagi.

Pejabat editorial Dawama terletak bersebelahan dengan Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa di sini. Kompleks percetakan dan pengedaran Dawama terletak di Hulu Klang.

Hari ini merupakan ‘deadline’ bagi pengurusan DBP menyerahkan manuskrip akhir sebahagian buku teks sebelum ia dicetak untuk diedarkan kepada sekolah.

“Kalau ikut jadual percetakan, buku-buku teks perlu dicetak sebelum akhir bulan depan dan diedarkan pada bulan berikutnya,” kata sumber itu lagi kepada The Malaysian Insider.

Pengerusi Gerakan Darurat Bahasa Mohd Azmi Abdul Hamid ketika dihubungi The Malaysian Insider juga tidak menafikan perkembangan terbaru ini.

“Kami pun ada dengar perkembangan ini. DBP nampaknya berada dalam keadaan dilema, kepincangan ini bermula disebabkan perjanjian percetakan dan pengedaran yang berat sebelah,” kata Mohd Azmi sambil menambah, perkembangan semasa itu menunjukkan keadaan semakin rumit.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan DBP dan memastikan penerbitan dan pengedaran buku teks sekolah tidak terjejas.

“Kerajaan dan DBP perlu bertanggungjawab dalam perkara ini,” kata beliau lagi.

The Malaysian Insider juga difahamkan pengurusan Dawama akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelajaran berhubung isu semasa ini Rabu ini.

Malah difahamkan ‘perang dingin’ DBP dan Dawama meruncing sehingga ke tahap menutup ‘pintu’ kepada pengurusan agensi itu ekoran selepas kata dua Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Abdul Aziz baru-baru ini — yang memberi satu tempoh kepada Dawama agar melakukan penambahbaikan dalam mengatasi masalah kemerosotan penjualan dan cetakan buku dan majalah terbitan sejak beberapa tahun lepas.

Termuzi bagaimanapun tidak menyatakan tempoh yang diberikan kepada Dawama untuk memperbaiki prestasinya.

Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002 dan sejak itu berlaku kemerosotan yang agak ketara daripada segi cetakan dan jualan.

Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam, Termuzi berkata, “tidak elok saya beri apa-apa komen pada masa sekarang. Saya mahu berbincang dengan lembaga (pengelola) saya.”

“Saya tidak mahu komen,” kata beliau ringkas ketika ditanya mengenai perkembangan akhir minggu lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi ketika dihubungi pula berkata, “elok tanya Ketua Pengarah DBP.”

Awal Mei lalu, Gerakan Darurat Bahasa menggesa Putrajaya dengan segera bertindak mengatasi masalah yang membelenggu DBP termasuk dakwaan bahawa ia mengalami kerugian berterusan dan sudah tidak lagi berintegriti.

Gerakan itu mengemukakan memorandum menyentuh isu penswastaan lima bahagian penting dalam DBP, pelantikan jawatan ketua pengarah, rasional penstrukturan semula Jabatan Sastera dan Bahagian Agama Falsafah dan Tamadun Islam dan pelantikan ahli Lembaga Pengelola yang perlu memenuhi kriteria kepakaran dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

Gerakan itu menyerahkan memorandum kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, 27 April lalu.

DBP atau nama asalnya Balai Pustaka merupakan sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 untuk menggerak dan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Gerakan Darurat Bahasa yang merupakan gabungan 60 badan bukan kerajaan menggesa kerajaan agar mengkaji semula kedudukan DBP sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Laporan media sebelum ini menyebut, sejak 2002 DBP telah kerugian antara RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun.

Sebelum penswastaan ini, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun, kata Mohd Azmi sebelum ini.

Termuzi sebelum ini berkata, sebelum penswastaan, secara purata DBP menerbitkan sebanyak 300 judul buku baru setahun dan purata terbitan buku cetak ulang adalah sebanyak 290 judul setahun berbanding selepas penswastaan apabila hanya 250 judul diterbitkan setahun manakala bagi buku cetak ulang sebanyak 95 judul sahaja yang diterbitkan.

Katanya, sebelum penswastaan itu juga hasil jualan bahan terbitan DBP pernah mencapai sehingga RM35 juta, malahan majalah Dewan Masyarakat misalnya, pernah mencecah jualan sehingga 150,000 naskhah.

Termuzi berkata, DBP mempunyai kuasa untuk menamatkan kontrak yang telah ditandatangani bersama Dawama berdasarkan terma-terma dalam perjanjian konsesi.

Namun demikian katanya, perkara itu tertakluk kepada bukti kukuh ketidakakuran Dawama dalam melaksanakan fungsi yang telah ditetapkan, misalnya dalam membayar fi tahunan minimum, kegagalan menerbitkan jumlah minimum buku judul am dan kegagalan mematuhi jadual penerbitan. - The Malaysian Insider

Rangsangan: Saiz dan Pukulan



ISNIN,  27  Jun 2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH


Sejak tercetusnya krisis kewangan global, rangsangan ekonomi menjadi kesayangan setiap orang, daripada  para pemimpin negara kepada masyarakat umum.  Seandainya John Maynard Keynes bangkit dari kuburnya  pasti beliau berasa beliau hidup seperti  pada zaman Kemelesetan Besar dan era New Deal Franklin D. Roosevelt tatkala idea beliau diterima pakai untuk menyelamatkan kapitalisme.   Keynes, ahli ekonomi tersohor pada abad ke-20 pernah mengemukakan idea bahawa dalam tempoh kemelesetan, kerajaan sepatutnya meningkatkan perbelanjaan, memotong cukai, atau melakukan kedua-duanya untuk merangsangkan ekonomi.  Beliau menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya menggunakan dasar fiskal, iaitu cukai dan program perbelanjaan untuk menstabilkan ekonomi.

Tatkala runtuhan Wall Street sejak  pertengahan September  lalu menghempap sebuah demi sebuah negara,   kerajaan di Amerika Utara, Eropah, dan Asia-Pasifik bagaikan berlumba-lumba  melaksanakan pakej rangsangan ekonomi di negara masing-masing untuk “berperang” dengan  krisis kewangan global dan kemelesetan.  Pada November lalu, Korea Selatan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai sekurang-kurangnya AS$10.98 bilion demi memastikan  ekonomi keempat terbesar Asia menerima kesan teruk daripada kemelesetan global yang sedang mengancam, manakala  kerajaan China mengumumkan pelan rangsangan AS$586 bilion untuk menentang kesan krisis kewangan global.  Pada bulan itu juga kerajaan Malaysia mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion. 

Seterusnya, pada bulan Disember, kerajaan India mengumumkan AS$4 bilion tambahan dalam perbelanjaan untuk melindungi ekonomi negara itu daripada kesan krisis kewangan global.  Sementara Perdana Menteri Jepun, Taro Aso mengumumkan pakej rangsangan baru AS$255 bilion untuk menopang ekonomi negara itu melalui langkah memacu guna tenaga, menggalakkan pemberian pinjaman, dan menyuntik modal ke dalam pasaran kewangan.  Pada akhir Disember, kerajaan Vietnam menyediakan pakej rangsangan ekonomi AS$6 biilion yang sesetengahnya diperoleh melalui penjualan bon.  

 Pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi berlanjutan ke awal tahun ini apabila pada bulan Januari, kerajaan pakatan Jerman mengumumkan pakej rangsangan AS$67 bilion (50 bilion euro) untuk dua tahun bagi pelaburan awam dan potongan cukai untuk melindungi ekonomi negara itu daripada kesan teruk kemelesetan global.  Sebagai tambahan, kerajaan juga mengumumkan dana   AS$134 bilion untuk  menaja jamin kredit baru untuk syarikat yang kehabisan pinjaman baru yang disediakan oleh bank.  Pakej rangsangan ini bertujuan membantu ekonomi terbesar Eropah mengharungi kemelesetan yang terburuk pascaperang.

Pada Januari juga,  Singapura mengumumkan pakej rangsangan bernilai S$20.5 bilion kerana negara kota yang kaya itu berhadapan dengan kemelesetan yang teruk dengan jangkaan ekonominya menyusut  hingga kepada  lima peratus tahun ini – usaha untuk menyelamatkan pekerjaan dan mencegah kadar pengangguran semasa 2.2 peratus daripada menjadi berganda.

Kabinet Thailand pula  meluluskan pakej rangsangan ekonomi dan kebajikan masyarakat bernilai AS$3.33 bilion yang secara keseluruhannya bertujuan menggalakkan penggunaan kerana jentera pertumbuhan ekonomi yang lain adalah perlahan akibat faktor domestik dan luaran, khususnya krisis ekonomi global yang menjejaskan perolehan eksport negara itu. Dana ini akan digunakan untuk menyokong keselematan sosial, program pendidikan percuma, mewujudkan pekerjaan, dan pinjaman faedah rendah untuk petani. Pada 28 Januari kerajaan Indonesia mencadangkan pakej rangsangan ekonomi bernilai 71.3 trilion rupiah yang bertujuan mengekalkan perbelanjaan pengguna, memperkukuh pekerjaan, dan membangunkan projek infrastruktur intensif buruh.

Sementara pada 2 Februari, Perdana Menteri Perancis, Francois Fillon mengumumkan peruntukan AS$33 bilion (26 bilion euro) yang bertujuan “memulihkan” ekonomi negara itu dalam memerangi krisis ekonomi dengan membantuk perniagaan dan menambah baik infstruktur dan perkhidmatan awam.  Pakej rangsangan ini dijangkakan dapat menghasilkan pertumbuhan ekonomi kira-kra 1.3 peratus. Kemudian, Parlimen Kanada meluluskan AS$32 bilion pelan rangsangan ekonomi dua tahun.

Itali yang dilaporkan  menghadapi  masalah hutang awam yang tinggi [dianggarkan 105 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar   (KDNK) pada tahun 2008 dan terus meningkat] menghalang kerajaan negara itu daripada memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi yang besar.  Namun,  pada 6 Februari, kerajaan   meluluskan pakej rangsangan AS$2.56 bilion untuk industri kereta dan industri barang domestik dalam usaha menggalakkan perbelanjaan dan memulihkan ekonomi yang terjebak dalam kemelesetan.

Sementara pada Februari juga,   kerajaan New Zealand mengumumkan  pakej rangsangan AS$260 juta untuk ekonomi yang sedang mengalami kemelesetan selama setahun dengan memacu projek perumahan, jalan raya, dan sektor pendidikan dalam usaha untuk mengekalkan pekerjaan kerana krisis kewangan global terus-menerus memberikan kesan terhadap ekonomi negara itu. Pada 13 Februari, Senat Australia meluluskan pakej rangsangan fiskal AS$27.06 untuk mengelak kemelesetan. 

Pertempuran sulung Barack Obama selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44 pada 20 Januari lalu adalah untuk mendapat kelulusan Kongres terhadap pelan rangsangan ekonomi beliau. Kecewa dengan dengan penentangan Republikan terhadap pakej rangsangan ekonomi  AS$838 bilion itu, Obama kembali ke jejak kempen.  Dalam   perhimpunan di Elkhart, Indiana pada 9 Februari, beliau mengingatkan para senator Republikan bahawa beliau diberi mandat oleh para pengundi dan mereka sepatutnya menghentikan daripada melengah-lengahkan rang undang-undang itu. Dalam sidang akhbar pertama sebagai Presiden yang berlangsung di Washington,  beliau mendesak  Kongres supaya meluluskan rang undang-undang pemulihan ekonomi itu dengan peringatan kegagalan untuk bertindak “boleh mengubah krisis kepada malapetaka.”

Akhirnya, pada 13 Februari,  pakej rangsangan ekonomi yang nilainya  dipinda kepada AS$787 bilion diluluskan oleh Kongres  tanpa sokongan anggota perwakilan  Republikan di Dewan Perwakilan, manakala    tiga orang senator  parti itu menyokong di Senat.  Presiden Barack Obama dalam meraikan rang undang-undang yang diluluskan itu berkata:   "Peristiwa penting dalam perjalanan ke arah pemulihan."

Ketika Obama bergelut dengan Kongres untuk mendapatkan kelulusan pakej rangsangan yang  bertujuan  menyelamatkan atau mewujudkan 3.5 juta pekerjaan menerusi pelaburan besar oleh kerajaan, dan  menggalakkan perbelanjaan pengguna melalui potongan cukai yang sederhana, dua rangkaian berita kabel, iaitu CNN pada 7 Februari membuat liputan,  “$780 billion: Too much or not enough?”  (“AS$780 bilion: Terlalu banyak atau tidak cukup?”), dan   Bloomberg 9 Februari, “Is $800+ bilion enough?” (“Adakah AS$800+ bilion cukup?”).

Saiz atau jumlah peruntukan pakej rangsangan  sering mengundang perdebatan dan mencetuskan kontroversi.  Dalam konteks Malaysia misalnya, ada yang mencadangkan pakej rangsangan sepatutnya berjumlah RM35 bilion atau lima peratus KDNK.  Pada bulan Disember, para pemimpin    Kesatuan Eropah  menyokong pakej rangsangan ekonomi AS$267 bilion,  iaitu 1.5 peratus daripada KDNK untuk  mengurangkan kesan kelembapan ekonomi.   Pada akhir tahun lalu, Alistair Darling, Chancellor of the Exchequer mengakui bahawa pakej perbelanjaan 20 bilion paun sterling mungkin tidak cukup untuk menyelamatkan ekonomi Britain daripada krisis kewangan.

Bagi pakej rangsangan ekonomi yang baru  diluluskan oleh Kongres Amerika, senator John McCain yang terlalu kritis, menegaskan bahawa rangsangan akan mewujudkan apa yang beliau sebut “pencurian generasi” – defisit Persekutuan yang besar dalam tahun-tahun mendatang. Ketua Republikan, anggota perwakilan John A. Boehner pula berkata, “Pekerjaan, pekerjaan, pekerjaan.  Dan apa yang berlaku tidak lebih daripada belanja, belanja, dan berlanja lebih banyak.”  Sementara Menteri Kewangan Jerman, Peer Steinbrueck mengingatkan  pakej rangsangan ekonomi itu membawa risiko mewujudkan semula keadaan yang sama yang menjerumus ke dalam krisis kewangan:  “Adakah kita pada kedudukan itu sekali lagi apabila berbilion-bilion dolar membiayai kredit dicurahkan ke dalam ekonomi Amerika, mewujudkan semula keadaan untuk gelembung (bubble) yang menjebak kita pada keadaan seperti pada hari ini?"

Majalah The Economist  keluaran 29 Januari, menganggarkan secara wajaran mengikut saiz ekonomi, pakej rangsangan ekonomi  tujuh  buah negara G7, iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Britain, Jerman, Itali, Perancis, dan Jepun, serta empat buah negara  ekonomi sedang muncul atau BRIC, iaitu Brazil,  Rusia,  India, dan China, bernilai secara purata 3.6 peratus KDNK, meskipun tersebar  ke beberapa tahun.  Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan potongan cukai dan perbelanjaan bernilai 1.5 peratus KDNK global bermula tahun ini.   Jika dilihat data   pakej rangsangan   dari segi KDNK, seperti yang dinyatakan dalam majalah itu, hanya dua buah negara melepasi lima peratus KDNK, iaitu  China adalah yang paling tinggi,  15.0 peratus KDNK, diikuti oleh Amerika Syarikat dengan 5.8 peratus KDNK. Manakala negara lain, antara satu hingga empat peratus KDNK, iaitu  Itali (4.3 peratus KDNK), Jerman (3.1 peratus KDNK), Kanada dan Jepun masing-masing (dua peratus KDNK), Perancis (1.5 peratus KDNK), Britain (1.1 peratus), India (1.3 peratus), dan Rusia (1.1 peratus). Hanya  Brazil yang terendah, iaitu  0.2 peratus KDNK.

Selain saiz atau jumlah peruntukan, yang sering menjadi tumpuan, ke manakah peruntukan itu disalurkan.  Ini bertujuan melihat keberkesanan rangsangan ekonomi yang  merujuk kepada penggunaan dasar fiskal, iaitu perbelanjaan kerajaan atau langkah cukai untuk menyokong atau memulihkan ekonomi dalam kemelesetan.  The Economist juga mengkategorikan tiga jenis rangsangan: pelaburan dan perbelanjaan lain, potongan cukai, dan pelan penyelamat (bail-outs) bukan kewangan.  Untuk jenis rangsangan  pelaburan dan perbelanjaan lain, misalnya Amerika tertumpu kepada tenaga, sains, infrastruktur, faedah, pendidikan, kesihatan, dan perumahan; China – perumahan awam, kawasan luar bandar, infrastruktur, dan kawasan    yang ditimpa gempa bumi; Itali – faedah sosial, pembekuan harga tenaga dan bayaran tol lebuh raya; Jerman – infrastruktur dan faedah sosial; Kanada – infrastruktur dan latihan pekerja; dan Jepun – faedah sosial, pengurangan bayaran  tol lebuh raya, dan insentif mengupah pekerja.

 Paul Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi adalah antara ahli ekonomi yang sentiasa mengemukakan pandangan dan mengkritik pakej rangsangan ekonomi  Amerika Syarikat, terutamanya apabila melibatkan pertikaian antara Demokrat dengan Republikan. Sesetengah pihak mentafsirkan  pertikaian ini  sebagai “rangsangan dan ideologi.” Tatkala pakej rangsangan ekonomi Obama menjadi perdebatan antara kedua-dua parti itu, Paul Krugman menulis “Bad Faith Economics” melalui kolumnya dalam The New York Times: “Pokoknya, tidak ada orang yang benar-benar percaya bahawa dolar  potongan cukai selalunya lebih baik daripada dolar  perbelanjaan awam.  Jelas bahawa apabila merujuk kepada rangsangan ekonomi, perbelanjaan awam lebih banyak menyediakan  pukulan bagi dolar berbanding dengan potongan cukai, dan oleh itu, kurang kos per pekerjaan.”  Bagi beliau, ini menunjukkan bahawa perbelanjaan awam dan bukannya potongan cukai sepatutnya menjadi teras mana-mana pelan rangsangan.  

Memandangkan kemungkinan Amerika menghadapi kemelesetan teruk sejak Kemelesetan Besar, dan Pejabat Belanjawan Kongres menjangkakan sepanjang tiga tahun akan datang wujud jurang AS$2.9 trilion antara apa yang ekonomi boleh hasilkan dengan apa yang akan dihasilkan sebenarnya,  “AS$800 bilion nampaknya terlalu banyak, tetapi sebenarnya tidak cukup untuk merapatkan jurang perbezaan itu,” tegas Krugman dalam  “Failure to Rise” melalui kolumnya pada 12 Februari.

Dalam makalahnya, “What to Do” yang diterbitkan dalam The York Review of Books November lalu, Krugman merujuk kepada pengalaman Sweden menghadapi krisis kewangan pada awal 1990-an.  Kerajaan Sweden campur tangan dan menyediakan modal tambahan kepada bank yang nilainya sama dengan empat peratus KDNK negara itu.  “Setara kira-kira AS$600 bilion bagi Amerika Syarikat hari ini,” tulis Krugman.  Tulis beliau lagi, apabila Jepun bertindak menyelamatkan bank-bank pada tahun 1988, kerajaan negara itu membeli lebih AS$500 bilion dalam saham terutama (preferred stock), relatif setara dengan KDNK kira-kira AS$2 trilion suntikan modal di Amerika Syarikat. 

 Beliau juga menarik perhatian terhadap rangsangan fiskal yang dicuba oleh Amerika Syarikat pada awal tahun 2008 yang mengecewakan kerana dua alasan: pertama, dikatakan terlalu kecil, iaitu hanya kira-kira satu peratus KDNK. Maka, yang akan datang sepatutnya lebih besar, iaitu empat peratus KDNK.  Kedua, kebanyakan wang dalam pakej pertama adalah dalam bentuk rebat cukai yang banyak disimpan berbanding dengan berbelanja.  “Maka, pelan yang akan datang,” cadang Krugman, “sepatutnya tertumpu kepada usaha untuk mengekalkan dan memperbesarkan perbelanjaan kerajaan – mengekalkannya dengan  menyediakan bantuan kepada negeri dan kerajaan tempatan, memperbesarkannya dengan perbelanjaan untuk  jalan raya, jambatan, dan bentuk infrastruktur lain.” 
Seorang lagi Penerima Hadiah Nlobel Ekonomi, Gary S. Becker menulis bersama-sama Kevin M. Murphy dalam The Wall Street Journal baru-baru ini tentang sukarnya bijak berbelanja dan cepat berbelanja sejumlah wang yang banyak, melalui makalah  “There's No Stimulus Free Lunch”.   Dengan mengemukakan persoalan “berapa banyak peningkatan dalam KDNK dapat dijangkakan  daripada pakej rangsangan”, kedua-dua penulis ini berpendapat bahawa dalam situasi guna tenaga penuh, peningkatan perbelanjaan kerajaan akan menggantikan perbelanjaan swasta, maka  rangsangan bersih terhadap KDNK kemungkinannya terlalu kecil.  “Kesimpulan kami,” tulis Becker dan Murphy, “rangsangan bersih terhadap KDNK jangka pendek tidak akan menjadi sifar, dan akan positif, tetapi rangsangan kemungkinan sederhana dari segi magnitud.”  Dan tegas mereka, “Sesetengah ahli ekonomi mengandaikan bahawa setiap AS$1 bilion yang dibelanjakan oleh kerajaan menerusi pakej rangsangan akan meningkatkan KDNK jangka pendek sebanyak AS$1.5 bilion.  Atau dalam jargon ekonomi bahawa  pengganda ialah 1.5.”  Walau bagaimanapun, kedua-dua penulis percaya bahawa pengganda besar kemungkinannya di bawah satu.

Tanpa menafikan kebenaran pendapat Becker dan Murphy bahawa “tiada makan tengah hari percuma” dalam perbelanjaan awam atau swasta, tetapi  tanpa pakej rangsangan,  mustahil ekonomi dapat keluar  daripada kemelesetan.  Dalam krisis yang kemungkinan berubah menjadi malapetaka, melakukan sesuatu adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa.  Seandainya pakej rangsangan ekonomi bukannya ramuan terbaik, apakah alternatifnya?
           (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Jun 2009.)



Sunday, June 26, 2011

Islam Politik: Pertukaran Idea antara Samir Amin dengan Tariq Amin-Khan

Islam Politik:  Pertukaran Idea antara Samir Amin dengan Tariq Amin-Khan


AHAD,  26  Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH 



Dalam bukunya, Eurocentrism  (edisi kedua),  Samir Amin membincangkan Islam politik secara mendalam, antaranya beliau mengatakan bahawa berbanding dengan para rasul bani Israel yang hanya menyeru kaum mereka, iaitu bani Israel, manakala Islam menyeru semua umat manusia.  Islam seperti yang disusun di Madinah tidak boleh dipecahkan kepada hanya dogma agamanya semata-mata.  Islam mengatur masyarakat di kota itu, atau sekurang-kurangnya menyertai organisasi ini.  Justeru, tegas beliau, untuk menentukan apa yang Islam lakukan dan tidak lakukan di Madinah, merupakan kepentingan muktamad.  


Dalam bab politik Islam ini, Amin juga menyentuh kehilangan secara beransur-ansur kuasa autokratik pada masa lalu dan masa sekarang, berpunca daripada ketidakmampuan untuk menangani kerosakan yang disebabkan oleh integrasi dunia Islam dan dunia Arab ke dalam sistem kapitalis dunia sebagai pinggir yang dikuasai.  Amin mengingatkan kesilapan yang membawa padah untuk mempercayai bahawa kemunculan gerakan politik Islam beridentiti sendiri yang mempunyai kemampuan menggembleng golongan massa adalah tidak dapat dielakkan akibat penyerbuan terus ke dunia orang yang mundur dari segi budaya dan politik yang tidak dapat memahami mana-mana bahasa selain amalan mengaburkan maklumat kuasi-atavistik.  


Islam politik, bahas Samir Amin lagi, menentang konsep kemodenan pembebasan dan menolak mula-mula lagi prinsip demokrasi, hak bagi masyarakat untuk membina masa depan mereka sendiri menerusi kebebasan yang memberi dengan sendiri untuk menggubal.  Islam politik menyatakan bahawa Syura merupakan bentuk Islam demokratik.  Syura hanya satu daripada banyak bentuk perundingan  yang boleh ditemui dalam semua masyarakat pramoden, iaitu prademokratik.  Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa akhirnya, Islam politik tidak lebih daripada adaptasi kepada status subaltern kapitalisme komprador.  "Dua wacana kapitalisme liberal global dan Islam politik tidak bercanggah antara satu sama lain, tetapi sebaliknya, saling lengkap melengkapi secara sempurna."


Samir Amin juga pernah menulis "Political Islam in the Service of Imperialism"  mendakwa dari segi realiti, golongan militan Islam politik tidak benar-benar berminat dalam membincangkan dogma yang membentuk agama.  Penegasan ritual keanggotaan dalam komuniti merupakan tumpuan eksklusif mereka.  Penekanan eksklusif terhadap budaya memungkinkan Islam politik membasmi dari setiap lingkungan kehidupan sosial sebenar berkonfrontasi antara kelas popular dengan sistem kapitalis diglobalisasikan yang menindas dan mengeksploitasikan mereka.  "Golongan militan Islam politik," tegas Amin, tidak benar-benar hadir di kawasan yang konflik sosial sebenar berlaku dan para pemimpin mereka tidak henti-henti menegaskan bahawa konflik tersebut adalah tidak penting.  Golongan Islamis hanya muncul di kawasan ini untuk membuka sekolah dan klinik kesihatan.


Pada muka bumi isu sosial sebenar, Islam politik bersekongkol dengan kem kapitalisme tanggungan dan imperialisme dominan.  Keadaan ini bergantung pada prinsip ciri suci harta dan mengesahkan ketidaksamaan dan semua keperluan pengeluaran kapitalis.  Tulis Amin, "sokongan oleh  Ikhwanul Muslimim (Muslim Brotherhood) di parlimen Mesir untuk undang-undang reaksionari terbaharu yang mengukuhkan haki pemilik harta sehingga menjejaskan hak petani penyewa (majoriti kaum tani kecil), hanya merupakan satu contoh dalam kalangan beratus-ratus yang lain.  Tidak satu contoh bahkan satu undang-undang reaksionari yang diusahakan untuk diluluskan di mana-mana negara Islam yang ditentang oleh gerakan Islamis.  Tambahan pula,  undang-undang tersebut diisytiharkan dengan persetujuan para pemimpin sistem imperialis."  Bagi Samir Amin, Islam politik bukannya antiimperialis, bahkan jika golongan militannya berfikir sebaliknya.  Islam politik merupakan sekutu yang sangat tinggi nilainya bagi imperialisme dan imperialisme  mengetahuinya. Memang mudah untuk memahami, maka bahawa Islam politik selalunya dihitung  kedudukannya dalam kelas pemerintah Arab Saudi dan Pakistan.  Borjuis komprador tempatan, orang kaya baru, benefisiari globalisasi imperialis semasa, dengan murah hati menyokong Islam politik.


Tiga hujah utama, bagaimanapun, tegas Amin, dimajukan untuk menggalakkan gerakan sosial secara keseluruhan untuk menyertai dialog dengan gerakan politik Islam, yang dipetik di sini secara ringkas.  Pertama bahawa Islam politik menggembleng beberapa massa popular yang tidak boleh diabaikan atau dipandang rendah.  Alasan kedua dikemukakan oleh partisan "dialog" adalah bahawa Islam politik, bahkan jika reaksionari dari segi cadangan sosial ialah "antiimperialis."  Hujah ketiga yang menarik perhatian puak kiri kepada perlunya melawan Islamofobia.


"Islam politik," tulis Amin, "lebih banyak berhadapan dengan kesukaran untuk bergerak keluar dari sempadan Arab Saudi dan Pakistan tanpa sokongan yang berterusan, sangat kuat, dan tegas daripada Amerika Syarikat.  Masyarakat Arab Saudi bahkan tidak mula meninggalkan tradisi apabila petroleum ditemui di dalam perut bumi.  Perseikatan antara imperialisme dengan kelas pemerintah tradisional, termeterai serta-merta, adalah dicapai antara dua sekutu dan memberikan nafas baru kepada Islam politik Wahabi.  Sementara itu, British berjaya memecahkan perpaduan India dengan memujuk para pemimpin Islam mewujudkan negara mereka sendiri, terperangkap dalam Islam politik sejak mula-mula kelahirannya."


Beliau merumuskan bahawa daripada pemerhatian yang dibuat di sini adalah bahawa Islam politik bukannya hasil spontan penegasan agama tulen yang penuh keyakinan oleh orang ramai yang berkaitan.  Islam politik dibina oleh tindakan sistematik imperialisme, disokong pastinya, oleh kuasa reaksionari yang kabur dan kelas komprador yang menurut perintah.


Berikutan penulisan itu, Tariq Amin-Khan yang juga menulis dalam Monthly Review  memperlihatkan pertentangan pendapatnya dengan hujah Amin berhubung dengan pemahaman  politik Islam  dari perspektif materialis sejarah.  Amin yang menyentuh secara sepintas lalu terhadap beberapa isu, seperti kemodenan, sekularisme, dan imperialisme, dan pada amnya, menolak Islam politik dan secara kabur mengatakan golongan Islamis "berkhidmat untuk imperialisme."  Perkara yang membimbangkan dengan penolakan itu, tegas Tariq, adalah ketidakupayaannya untuk menyediakan pemahaman kritis tentang Islam politik sebagai fenomena ideologi, dan peranan semasa imperialisme Amerika Syarikat dalam menyasarkan Islam militan dan mengawal hasil poliltik di negara majoriti Islam.  Pandangan sedemikian juga tidak membantu puak sayap kanan kecil dan kuasa sekular di negara ini untuk membangunkan bahkan daya usaha strategik yang sederhana untuk menyaingi politik dan tuntutan Islam politik.


Tulisan Amin, hujah Tariq, tidak menangani peranan isu sosial dan ekonomi yang luas, termasuk impak globalisme kapitalis, di negara Islam majoriti.  Amin mengatakan bahawa Islam  politik adalah "berbaris di belakang kuasa dominan pada skala dunia," tetapi  berusaha sedikit sahaja untuk menjelaskan bagaimana ini muncul memandangkan Islam militan kini juga menghadapi Amerika Syarikat dan imperialisnya menduduki dan menyerbu negara Islam majoriti.  Realiti baru konfrontasi ketenteraan antara bekas sekutu bukannya menunjukkan bahawa tindakan politik Islam adalah antiimperalis."  Sebaliknya, tegas beliau, "yang menjadi keprihatinan saya di sini adalah untuk memajukan pemahaman materialis sejarah yang kritis tentang Islam politik yang sebahagiannya bersetuju, tetapi juga tidak bersetuju dengan beberapa analisis Amin."  Tambah Tariq, analisis materialis kritis yang digunakan di sini juga sedar amalan penindasan pengikut Islam politik, terutamanya yang berkaitan dengan layanan terhadap kaum wanita.


Meskipun pada peringkat awal, Tariq  seakan-akan tidak sabar lagi untuk menggasak Amin, tiba-tiba beliau  mengakui bahawa tidak boleh wujud pertikaian dengan pandangan bahawa Islam politik dari segi sejarah, bekerjasama dengan imperialisme Amerika Syarikat sepanjang tempoh Perang Dingin.  Ini bermula terlalu awal, pada tahun 1950-an dengan sokongan Ikhwanul Muslimim dan berakhir dengan mujahideen Afghan yang merasakan mereka ditinggalkan dalam kesusahan dengan penutupan bantuan senjata Amerika Syarikat, sokongan kewangan Arab Saudi, dan latihan serta bantuan ketenteraan Pakistan berikutan pengunduran tentera Soviet dari Afghanistan.  Namun, sebaik-baik sahaja kerjasama berakhir, sekitar awal 1990-an, persetanan Islam dan tesis pertembungan peradaban dimaju oleh Bernard Lewis (kemudian diambil lle Samuel Huntington), yang mencerminkan anjakan Perang Dingin dasar luar Amerika Syarikat, yang rangka kerja tidak lagi memerlukan sokongan politik Islam.


Tariq juga bersetuju dengan Amin bahawa fahaman budaya perlu ditentang, tetapi beliau menarik perhatian dengan membangkitkan soalan yang cukup besar, siapa yang akan menggemblengkan orang ramai menentang fahaman budaya Islam mililtan di negara Islam majoriti?  Wujud kesinambungan yang bermakna, menurut pemerhatian Tariq antara sasaran terhadap Marxis dan puak sayap kiri dengan serangan terhadap Islam politik/militian ialah Amerika Syarikat masih bergantung pada fahaman budaya untuk menaikkan penguasaan imperialnya.  "Faham budaya Islam politik ini menyembunyikan kecacatan sosial dan ekonomi yang disebabkan oleh globalisme kapitalis dan melencongkan persoalan politik terhadap  muka bumi budaya." 


Selain itu, Tariq bersetuju dengan Samir Amin bahawa jika puak kiri adalah berdaya  maju semula dalam masyarakat pascakolonial, mereka hanya tidak boleh mendapatkan kebolehpercayaan melalui persekongkolan dengan Islam politik dan Islam militan.  Persekongkolan tersebut merupakan tidak produktif dan akan merosakkan kuasa progresif dalam jangka panjang.  "Dalam konteks ini, Amin mengatakan bahawa Islam politik bergantung pada hubungan harta dan persekongkolannya dengan kem kapitalisme tanggungan dan imperialisme."   Namun, Tariq menjelaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan cakupan dakwaan Amin itu.  "Tanpa ragu-ragu," tulis Tariq, "Islam politik bukannya antikapitalis dan bukan juga menentang hubungan harta, tetapi dalam gabungan semasa, Islam politik juga bukannya 'sekutu yang sangat tinggi nilainya' bagi imperialisme, meskipun kedua-dua saling menyuap antara satu sama lain."


Untuk memperlihatkan perbezaan pendapatnya dengan Samir Amin, Tariq Amin-Khan menjelaskan secara terperinci bidang keprihatinan dalam analisis materialis sejarah Amin, bermula dengan kemodenan dan sekularisme.  Dakwaan Amin bahaw kemodenan dan sekularisme "mungkin bahkan demokrasi"  mungkin perlu "diadaptasikan dengan kehadiran kuat Islam," tegas Tariq, pandangan seperti itu betul-betul tersebar luas dalam arus perdana Barat dan bahkan dalam kalangan puak kiri yang mempercayai bahawa Islam politik merupakan manifestasi moden, sungguhpun sebagai kemodenan tidak berasaskan prinsip Enlightenment.  


Samir Amin, seperti yang dibahaskan oleh Tariq, tidak memasukkan dalam renungannya aspek penting materialisme sejarah yang merupakan perhatian penuh yang tajam kepada sejarah.  Misalnya, Amin menganggap Islam politik terutamanya sebagai pembangunan pascakolonial.  Pandangan tersebut mengabaikan kecenderungn dominan semasa Islam politik Wahabi/Salafi/Deobandi.  


Sebagai peringatan secara tidak langsung pada Samir Amin, dalam kesimpulan, Tariq menulis:  Pokoknya adalah bahawa jika puak kiri sentiasa ingin menjadi serius dalam mencabar Islam militan/politik, mereka perlu bergerak pantas dan mencampakkan bagasi berat Eurocentrism dan kecuaian analisis tentang Islam politk.  "Benar bahawa Islam militan tidak dikongsi oleh majoriti besar orang Islam di Afghanistan, Mesir, Indonesia, Pakistan, dan bahkan India."  Tambah beliau, "Akan tetapi, di sini masalahnya, Islam militan juga disokong oleh orang ramai di wilayah ini bukan, seperti yang dinyatakan sebelum ini, kerana wawasan 'negara kebajikan' Islam,' sebaliknya kerana Amerika Syarikat dilihat sebagai kejam, penakluk imperial anti-Islam.  Di samping itu, orang ramai di negara ini juga sangat letih dengan taktik golongan Islamis, terutamanya kerana mereka mengganas  dan menyasarkan orang ramai yang tidak bersenjata dan yang tidak terlibat."


Dalam respons terhadap komen Tariq itu,  Samir Amin menyatakan bahawa beliau tidak terperanjat dan cuba memberikan penjelasan  untuk membetulkan  kejahilan Tariq.  Beliau menyedari bahawa percanggahan pendapat ini adalah keprihatinan  cadangan mereka untuk strategi berkesan untuk menewaskan Islam politik, dan di sebalik itu jelas bahawa, keprihatinan beberapa konsep teoritis fundamental yang berkenaan dengan kemodenan, Eurocentrism, dan pembentukan budaya politik pelbagai orang ramai.  Tariq, tegas Amin, tidak biasa dengan bukunya,  Eurocentrism  


Amin juga melahirkan rasa terkejutnya bahawa Tariq boleh percaya bahawa beliau tidak tahu apa-apa tentang keadaan objektif oran ramai yang sengsara di pinggir (termasuk negara Islam) disebabkan oleh kapitalisme, yang merupakan alasan untuk kejayaan Islam politik sezaman, sedangkan beliau bukan sahaja banyak menulis buku tentang polirasi, tetapi juga yang berkait rapat dengan respons Islam politik terhadap kesan pemusnahan kapitalisme terhadap seluruh orang ramai.  Amin juga mengingatkan bahawa beliau tidak pernah mengasimilasikan Islam politik dunia moden dengan Islam "tradisional," "prakolonial," dan "pramoden."


Menegaskan bahawa Islam politik merupakan fenomena moden, Amin mendakwa bahawa Tariq tidak melihat hal ini dalam tesisnya.  "Semua ideologi, politik, dan gerakan sosial dunia 'moden' adalah moden kerana tidak dapat dipisahkan daripada kapitalisme." 


Tanpa berselindung, Amin mengakui dirinya Marxis dan pembela potensi kreatif Marxisme.  "Saya fikir alat materialisme sejarah dan alat itu sahaja, membolehkan kita memahami cabaran sebenar yang mendepani para pekerja dan mangsa lain kapitalisme dan kemodenannya." 


Samir Amin juga menjelaskan bahawa beliau mati-matian menolak fahaman budaya yang diketengahkan oleh Tariq, dan menolak dakwaan Tariq bahawa dirinya tidak pernah tidak peka terhadap Islamofobia.  Akan tetapi, beliau menjelaskan bahawa Islamofobia bukan sekadar ketakutan  yang pihak autoriti galakkan dalam pendapat Barat.


Sekali lagi Amin menegaskan bahawa Islam politik bukannya gerakan untuk pembaharuan agama, tetapi sekadar  gerakan politik yang menggembleng keanggotaan agama  dalam empatinya, lebih berbentuk  ritual, pengakur, dan reaksionari.  Kejayaan Islam politik tidak pergi jauh dengan ciri ini.  Dalam keadaan ini, Islam politik boleh hanya menyeleweng dalam  arah perisytiharan pengakuan fanatik, mendorong Sunah dan Syiah saling benci membenci antara satu sama lain.


Dengan menegaskan bahawa beliau menolak cadangan "kononnya liberalisme politik demokratik" yang "demokrasi (di negara Islam) patut menyesuaikan dirinya untuk menerima kehadiran sosial Islam yang kuat," beliau mendakwa bahawa "Tariq melakukan kesilapan dalam  pentafsiran apabila beliau menganggap saya mana-mana sokongan untuk cadangan tersebut.  Saya mengutuk cadangan ini dan natijahnya, meninggalkan sekularisme."


Perdebatan antara Samir Amin, intelektual Marxis dengan Tariq Amin-Khan, ahli akademik dari Pakistan tentang Islam politik mampu meningkatkan kefahaman kita tentang topik menarik perhatian sejak kebangkitan semula Islam.  Mungkin ada yang tidak bersetuju salah seorang dengan mereka atau kedua-dua mereka, tetapi sumbangan pemikiran mereka tentang Islam politik boleh dikatakan sesuatu yang amat berharga.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...