Artikel Popular

Wednesday, July 17, 2019

Keluarga Nasionalis Melayu

RABU,  17 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Tun Ismail Mohamed Ali, anak kedua daripada 13 orang adik beradik, iaitu Mohd Noor, Tan Sri Saleha, Tan Sri Abdul Aziz, Abdul Rahman (meninggal dunia semasa kecil), Siti Jameah, Tun Dr. Siti Hasmah, Dato’ Ahmad Razali, Omar dan Halimah (kembar, meninggal dunia semasa kecil), Dato’ Jaffar, Tan Sri Hashim, dan Dato’ Zainal Abidin  (Azizah et al., 1999: 12 – 13).  Beliau dilahirkan pada 16 September 1918 di Pelabuhan Kelang, Selangor, berketurunan Minangkabau dari Rao, Sumatera Barat. 
Ayahnya, Haji Mohamed Ali Taib, dan ibunya bernama Hajah Siti Khadijah Haji Ahmad.  Mohamed Ali mula bekerja sebagai kerani di Pejabat Kesihatan di Kelang.  Melalui usaha gigihnya, beliau meningkat hingga ke peringkat pegawai Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur dan akhirnya dilantik sebagai Official Assignee (Pegawai Pemegang Harta) dan Public Trustee (Pemegang Amanah Raya).  Keluarga Mohammed Ali dan tidak banyak berbeza dengan keluarga kelas menengah yang lain.  Didikan dalam keluarga mereka berteraskan kepatuhan kepada agama dan sifat-sifat kemelayuan.  Di samping itu, sebagai seorang yang berpelajaran, Haji Mohamed berjaya menerapkan nilai-nilai sejagat dalam kalangan anaknya, seperti mementingkan pelajaran, sifat berdikari, dan rasa  tanggungjawab segala tugas hingga sempurna.  Hajah Siti Khadijah pula lebih banyak menekankan pemupukan nilai-nilai murni, seperti murah hati, kasih sayang, dan taat setia sesama keluarga, serta tingkah laku yang lemah lembut, sopan santun, dan penuh beradab (Azizah et al., 1999: 9 – 10). “Bapa mertua saya, Haji Mohamed Ali, juga ada seorang isteri sahaja”  (Mahathir, 2015: 22).
Tun Ismail dilahirkan dalam keluarga yang terkenal dan “berpengaruh di Selangor” (Adshead, 1989: 40).  Adik-beradiknya  tidak asing  dalam masyarakat Malaysia,   kebanyakannya berpendidikan tinggi dan ada memegang jawatan penting dalam kerajaan,  iaitu Tun Dr. Siti Hasmah, Tan Sri Saleha, Dato’ Ahmad Razali, mantan Menteri Besar Selangor, Jeneral (Bersara) Tan Sri Hashim, Dato’ Jaafar, Dato’ Zainal Abidin, dan Jameah (Reena, 2006). Seorang lagi, Tan Sri Abdul Aziz,  melanjut pelajaran di United Kingdom bersama-sama Tun Ghazali Shafie dan beberapa pelajar lain pada tahun 1948.  “Keluarga mereka terkenal dan nasionalis Melayu yang kuat.  Sesetengah dalam keluarga ini terlampau nasionalistik, bahkan tidak mahu  menerima diri mereka disebut orang Malaya kerana mereka telah pun orang Melayu” (Ghazali, 1998: 37).
Tan Sri Saleha yang merupakan salah seorang daripada dua orang wanita Melayu pertama melanjutkan pelajaran di London School of Economics (LSE) pada tahun 1940-an, memberitahu dalam satu wawancara bahawa “bapa mereka progresif’ – beliau ialah Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pemegang Harta. Keluarga Mohamed  Ali merasakan memang tugas kami untuk memperhambakan diri pada Tuhan dan orang ramai, bukannya untuk mencari nama” (Reena, 2006).
Menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu dan Victoria Institution (V.I.) Kuala Lumpur, dari tahun 1931 hingga 1938, Tun Ismail aktif dalam bidang pengakap, renang, badminton, dan berkebun. Beliau ialah pengawas Shaw House dan merupakan pelajar Melayu kedua di negara ini yang memenangi Biasiswa Diraja (Queen Scholarship). Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Kesusasteraan dalam Ekonomi daripada University of Cambridge pada tahun 1941.  Terkandas di England akibat Perang Dunia Kedua,   beliau melanjutkan pengajian dalam bidang undang-udang pada tahun  1943 di Middle Temple, Inns of Court,  London, dan beliau diterima sebagai peguam (barrister-at-law).
Ketika menyampaikan ucapan di V.I pada 12 Julai 1991, Tun Ismail memberitahu bahawa beliau memasuki sekolah itu ketika beliau berusia 13 tahun, terasa kecil dan sedikit takut datang ke sekolah besar untuk pertama kali, datang dari Sekolah Jalan Batu  (Batu Road Boys School). Beliau ditempatkan dalam apa yang disebut ketika itu Darjah 6A (Tingkatan Dua sekarang).  Beliau memberitahu bahawa beliau hanya pelajar sederhana, lulus semua peperiksaan, tidak paling tinggi  dan tidak juga paling rendah dalam kelas, hanya di tengah-tengah.  Tun Ismail memberitahu bahawa beliau lulus peperiksaan senior ketika beliau berumur kira-kira 17 tahun, satu usia yang dianggap terlalu muda untuk ke universiti di luar negara.  Beliau juga memberitahu bahawa beliau berasa gembira ketika selama tujuh menuntut di V.I. tempat murid Melayu, Cina, India, dan Eurasia bercampur gaul sesama mereka tanpa mengenali kaum atau ras. Di V.I. juga Tun Ismail mempunyai kawan rapat, Cina Kristian, Rodney Lam, seorang murid yang pintar, terutamanya dalam matematik dan juga mempunyai tangan yang baik untuk melakukan sesuatu perkara.  Hanya mata pelajaran yang beliau dapat mengatasi Rodney Lam, ialah bahasa Latin. Rodney Lam, amat rapat dengan Tun Ismail berbanding dengan adik beradik lelakinya sendiri dan ibu bapa beliau menerima Rodney sebagai salah seorang anggota keluarga besar mereka. Rodney juga memenangi Biasiswa Diraja selepas Perang Dunia Kedua dan pergi ke Edinburgh untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, akhirnya menetap di England sebagai pakar bedah (Ismail, 1991).
(Dipetik daripada Bab Satu, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...