Artikel Popular

Sunday, July 28, 2019

Pendatang Lewat

AHAD, 28 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Nama yang agak kelihatan samar-samar dalam   KMM,  ialah Dr. Burhanuddin al-Helmy,   yang   “menyertai KMM setahun kemudian, iaitu pada tahun 1939, di Singapura.  Beliau diperkenalkan oleh Mustapha Hussain kepada KMM dalam satu pertemuan mereka di kliniknya. Sikap Dr. Burhanuddin yang anti-British memang secocok  dengan matlamat KMM yang menentang penjajahan British”  (Ramlah,  2003: 17).  Dr. Burhanuddin mula aktif secara perlahan-lahan dalam KMM, terutama semasa bersama-sama Ibrahim Haji Yaacob yang ketika itu menetap di Singapura (Mohamad Muzammil, 2015: 133). Jika demikian, bermakna beliau mula aktif dalam KMM pada tahun 1941, iaitu tahun Ibrahim menyertai Warta Malaya di Singapura.  Walau bagaimanapun, catatan lain mengatakan bahawa keanggotaan beliau tidaklah begitu berkesan.  Beliau tidak dilantik memegang jawatan penting, tetapi sebagai ahli biasa sahaja. Beliau bukanlah orang yang penting atau inner circle  Ibrahim  Haji Yaacob (Ramlah, 2003: 17).
Sebagai perbandingan,  Ahmad  Boestamam juga bukan pengasas KMM, tetapi beliau bergerak  sederap dengan anggota lain dalam KMM  sebaik-baik sahaja   beliau menyertai organisasi itu. Perkara seperti itu tidak berlaku pada Dr. Burhanuddin.  Ishak Saat membuat perbandingan yang berani tentang dua pemimpin golongan kiri Melayu ini yang jelas menampakkan kedinamikan Boestamam dalam politik.  “Ahmad Boestamam sanggup menubuhkan parti politik demi menjayakan cita-cita politiknya, berbeza dengan Dr.  Burhanuddin yang tidak pernah menubuhkan parti politik, tetapi sering dijemput memimpin sesebuah parti politik” (Ishak, 2007:  174).
Penulisan atau kajian  tentang KMM  boleh dikatakan tidak menunjukkan bahawa Dr.  Burhanuddin seorang anggota yang aktif dalam organisasi itu.  “Oleh sebab beliau tidak terlibat secara mendalam, maka beliau tidak ditangkap oleh British bersama-sama anggota lain dalam KMM  sebelum Perang Dunia Kedua (Funston, 1980:  119).  Mungkin alasan ini dapat dipersoalkan, kerana Mustapha Hussain yang sangat aktif juga tidak ditangkap oleh British. Satu versi lain mengatakan bahawa “pada awal penubuhannya, Dr. Burhanuddin tidak terlibat secara langsung dalam kegiaatan KMM kerana beliau  melanjutkan pelajarannya di Aligarh University di India”  (Mohamad Muzammil, 2015: 133).  Hujah ini mengelirukan kerana beliau dikatakan pulang ke tanah air pada tahun 1937 setelah berada di luar negara hampir satu dekad,   iaitu dari tahun 1928 - 1937 (rujuk Funston, 1980: 118 - 119),  manakala  KMM ditubuhkan pada tahun 1938. D
 Hanya selepas Pendudukan Jepun, nama  Dr. Burhanuddin kelihatan  kerana beliau dilantik dalam pentadbiran Jepun.  “KMM berhubung dengan beliau seminggu selepas Singapura diperintah oleh Jepun.  Ibrahim Haji Yaacob dan Mustapha Hussain menemu ramah Dr. Burhanuddin dan mengesyorkan kepada Jepun untuk melantik beliau sebagai penasihat tentang adat istiadat dan agama orang Melayu di Jabatan Pentadbiran Jepun (Gunseikanbu).  Beliau menerima cadangan  itu dengan baik.   Dr. Burhanuddin berkhidmat di Singapura, tetapi apabila pentadbiran Sumatera disatukan dengan Malaya, Jabatan Pentadbiran Jepun pun berpindah ke Taiping, dan begitu jugalah dengan beliau” (Insun Sony, 1999: 202 – 203), dengan jawatan Penasihat Adat dan Kebudayaan Melayu, satu jawatan tertinggi yang disandang oleh orang Melayu (Saliha, 1974: 1).
Sebagai pegawai kerajaan Jepun, Dr. Burhanuddin tidak berasa tertekan dengan dasar kekejaman Jepun terhadap penduduk tempatan. Beliau dianggap sebagai “orang besar Jepun,” yang boleh memberikan pandangan dan pendapat yang boleh diterima oleh mereka  (Ramlah, 2003: 22). Namun begitu, sejauh mana kebenaran dakwaan ini diragui, kerana Dr. Burhanuddin pernah melahirkan rasa serba salah beliau berkhidmat dengan Jepun.   Pada suatu ketika Dr. Burhanuddin   tersempit antara kedudukannya sebagai seorang Islam dan Melayu dari satu segi,   dengan kehendak majikannya dari satu segi yang lain. Dalam suatu peristiwa, seperti yang diceritakan oleh Mustapha Hussain, Dr. Burhanuddin pernah datang tidur semalaman di pondoknya di Batu 20, Batu Kurau, Perak.  Setelah dipecat daripada Malai Giyu Gun atau Pembela Tanah Air (PETA), Mustapha berladang di situ.  Dalam perbualan mereka berdua, Dr. Burhanuddin bersungut sebab tidak sanggup lagi memberikan kerjasamanya kepada Jepun sehingga boleh melakukan perkara yang bertentangan dengan agama Islam. Jepun meminta beliau membawa satu perkara yang amat berat kepada Raja-Raja Melayu, supaya dimansuhkan sembahyang lima waktu sehari dan hanya mempraktikkan sembahyang Jumaat. Perkara ini dan banyak perkara lain lagi yang merunsingkannya.  Ketika menunaikan solat Subuh keesokan harinya, Mustapha  mendengar beliau menangis teresak-esak semasa membaca doa qunut, seolah-olah seorang anak meminta sesuatu daripada bapa atau begitulah bunyi rayuannya.  Mengenangkan tangisan itu, Mustapha berasa pilu, tambahan pula, beliau dan Ibrahim Yaacob mencadangkan Jepun supaya  melantik Dr. Burhanuddin sebagai penasihat hal yang berkaitan dengan orang Melayu (Insun Sony, 1999: 370 – 371). 
(Dipetik daripada Bab Tujuh Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...