Artikel Popular

Friday, July 19, 2019

Kapitalisme Kroni: Tidak Ada Tempat untuk Mengelak


JUMAAT, 19 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, kerajaan melancarkan pelbagai rancangan lima tahun, seperti General Plan of Development, 1956 – 1960,  Second Five-Year Plan,  1961 – 1965, Rancangan Malaysia Pertama, 1966 – 1970, Rancangan Malaysia Kedua, 1971 – 1975, dan seterusnya. “Rancangan Malaysia Pertama dan Rancangan Malaysia Kedua mempunyai impak segera terhadap laluan yang diambil oleh Kuok Brothers Ltd.  Rancangan termasuk insentif untuk menarik pelabur swasta dan menggalakkan pembangunan ekonomi di Malaysia yang digunakan sepenuhnya oleh Kuok Brothers. Pemahaman ciri ini penting dalam menjelaskan kejayaan Robert Kuok” (Sia, 1995: 57).
Kepentingan yang sangat luas ditunjukkan dalam hubungan antara Kuok Brothers Ltd.  dengan anggota terkemuka kerajaan Malaysia di kedua-dua peringkat, iaitu negeri dan Persekutuan. Hal ini dapat dikesan dengan kawan dan jiran di Johor Bahru dan rakan persekolahan dan pengajiannya di Raffles College (Sia, 1995: 57). Analisis tentang syarikat awalnya yang diperbadankan di Malaysia dan kini bersatu ke dalam Perlis Plantations  Bhd. pada tahun 1987, menunjukkan gaya pengembangan yang dilaksanakan oleh Robert Kuok. Anehnya, Robert Kuok tidak sangat berjaya dalam perniagaan papan lapis dan venir yang dicadangkan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.  Beliau mengatasi perkara ini dan memberikan tumpuan terhadap semua peluang yang diberikan secara percuma oleh kerajaan pada tempoh pascamerdeka (Sia, 1995: 57).
Pada tahun awal kemerdekaan, kerajaan memperkenalkan perindustrian penggantian import (ISI), berdasarkan cadangan rombongan Bank Dunia pada tahun 1954, yang dalam laporannya mencadangkan usaha menggalakkan modal perindustrian tempatan, menarik modal asing, menawarkan pengecualian cukai serta galakan lain, membekalkan kemudahan bagi kawasan perindustrian dan membangunkan infrastruktur lain.  Dalam usaha menggalakkan ISI, secara langsung atau tidak langsung, kerajaan melindungi pasaran tempatan dan menawarkan galakan untuk menawarkan galakan untuk menubuhkan kilang baharu (Jomo, 1992: 54). Dorongan ISI  pascakolonial mencerminkan kepentingan kedua-duanya, iaitu modal perindustrian asing yang bimbang untuk mengekalkan atau memperluas pasaran era pascakolonial, di samping kepentingan modal tempatan yang terlibat dalam litar nasional (Jomo, 1986: 210).
Kerajaan juga  memperkenalkan Ordinan Industri Perintis 1958, untuk menggalakkan pelaburan, dengan memberikan insentif yang menarik kepada para tempatan dan asing. Industri yang diberikan taraf perintis layak menikmati pelepasan cukai, termasuk peruntukan cukai untuk pelaburan modal.  Apabila menghadapi batasan dasar ISI, kerajaan beralih kepada strategi perindustrian berorientasikan eksport yang memberikan dorongan baharu kepada sektor perkilangan atau pembuatan.  Pada awal tahun 1970-an, kerajaan giat menggalakkan perindustrian berorientasikan dengan memperkenalkan pelbagai langkah baharu, termasuk penubuhan zon perdagangan bebas.
Komoditi gula dan tepung gandum diberikan taraf perintis oleh kerajaan Malaysia. Langkah ini selari dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan para pelabur dan usahawan tempatan terlibat secara aktif dalam perindustrian di negara ini (Sia, 1995: 59). Robert Kuok mengambil peluang daripada pelbagai insentif yang ditawarkan oleh kerajaan. Beliau memperoleh taraf perintis untuk kedua-dua syarikatnya, iaitu Malayan Sugar Manufacturing, yang didirikan bersama dengan syarikat Jepun di Perai, dan Federal Flour Mills.  Dua syarikat Robert Kuok ini seterusnya menikmati faedah apabila di bawah Rancangan Malaysia Pertama, 1966 – 1970, kerajaan mencorakkan industri gula dan tepung gandum untuk promosi dalam  menggalakkan usaha ISI. Syarikat Kuok menikmati pelepasan cukai, seperti peruntukan pengurangan pelaburan, kredit cukai pelaburan, dan susut nilai dipercepat (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  278). 
Dasar ISI pada tempoh sebelum rusuhan  13 Mei menampakkan sebagai contoh, Robert Kuok – daripada perniagaan keluarga yang mapan – bergerak secara berturut-turut ke dalam kedudukan dilindungi dalam mengilang gula, mengilang gandum, dan perkapalan  menerusi perkongsian dengan penyedia teknologi Jepun (Studwell, 2007: 32). Di setiap tempat wilayah ISI gagal mewujudkan tradisi kapitalisme perindustrian untuk melengkapi kapitalisme saudagar yang dibenarkan berkembang maju pada era kolonial.  Sebaliknya, kapitalis saudagar  berjaya memperoleh kepentingan pembuatan atau perkilangan dalam usaha sama atau hubungan teknologi dengan pengusaha  Barat atau Jepun. Pola ini tidak pernah berubah seterusnya (Studwell, 2007: 33).
Negara dikatakan menyediakan rangsangan awal kepada perniagaan Robert Kuok, meskipun ketika itu, “hubungan perniagaan  dengan kerajaan agak unik bagi perniagaan Cina, berkemungkinan berpunca daripada persahabatan dengan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak, yang beliau temui semasa di Raffles College” (Jesudason, 1989: 61).
Pada tahun 1971, kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB),  dan pada tahun 1975, kerajaan memperkenalkan  Akta Penyelarasan Perindustrian (ICA).  Pelaksanaan ICA dikatakan mencetuskan pelbagai reaksi daripada komuniti perniagaan Cina.  ICA mendorong anjakan pelaburan Cina dari sektor  perkilangan atau pembuatan ke sektor perdagangan, kewangan, pembinaan,  pembangunan hartanah, dan usaha niaga spekulatif yang menjanakan pulangan segera dan tidak tertakluk kepada syarat ICA. Beberapa syarikat Cina besar yang berasa tidak terjamin dalam pelaburan domestik mula menempatkan semula operasi dan modal mereka di luar negara menyebabkan berlakunya “larian modal” dari Malaysia,  dalam jumlah yang besar, iaitu menurut anggaran, antara tahun 1976 hingga 1986, berjumlah AS$12 bilion. Sesetengah syarikat pula,  menyesuaikan strategi perniagaan mereka dengan persekitaran politik dan ekonomi yang berubah (Chin, 2007: 285 – 286). Keluarga Kuok misalnya, berpindah ke Hong Kong dengan meningkatkan  jumlah syarikat mereka di sana dan mengurangkan syarikat mereka di Malaysia  Jesudason, 1989: 154; Chin, 2007: 286). Syarikat-syarikat di Malaysia disemai dengan penyertaan bumiputera yang berpengaruh dan pengarah bumiputera  dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Kuok Brothers Sdn. Bhd. (Chin, 2007: 286).
Robert Kuok  dianggap usahawan yang mencapai kejayaan dan mencipta “konglomerat” perniagaan sebelum pelaksanaan DEB (Chin, 2007: 287).  Selain itu, dalam penglibatan bumiputera, beliau dikatakan “mendahului DEB.” Hal ini jelas kerana   “sebelum pelaksanaan kuota, perniagaannya  memasukkan penyertaan bumiputera yang signifikan. Beliau menarik penyertaan Melayu menerusi Felda dan Tabung Haji sebagai rakan kongsi dalam Malayan Sugar Manufacturing, Perlis Plantations Bhd., dan Federal Flour Mills” (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  279 – 280). Oleh sebab Robert Kuok mempunyai hubungan rapat dengan elit Melayu, maka beliau peka terhadap keprihatinan parti pemerintah untuk menggalakkan lebih banyak orang Melayu dalam bidang ekonomi.  Pada mulanya, penyertaan orang Melayu melibatkan mereka yang mempunyai hubungan rapat  beliau ketika di Johor dahulu, terutamanya kerabat diraja, di samping rakan karib beliau di negeri itu (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  280).
Namun begitu, di sebalik kejayaannya di Malaysia, “layanan baik” yang diberikan kepada syarikatnya oleh kerajaan Malaysia, dan sebagai ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan para pemimpin negara ini, Robert Kuok, kira-kira empat dekad lalu,  bersiap sedia untuk  meninggalkan Malaysia berpindah  ke Hong Kong. “Tempat persembunyian Hong Kong atau Singapura merupakan sumber keselamatan dan pelaburan yang boleh dipercayai bagi taikun dari Thailand, Malaysia, Indonesia, dan Filipina, sama ada pada ke-19 ataupun hari ini” (Studwell, 2007: 35). Wujud tanda tanya mengapa beliau menempatkan semula dirinya dan perniagaannya ke Hong Kong (misalnya,  Lee, Cheong, dan Lee, 2013). Ada yang mengatakan bahawa beliau   amat tidak menyukai  DEB yang mengutamakan bumiputera dan mengakibatkan kronisme, (Li, 2013; huruf condong oleh saya sendiri).
Kalau benar bahawa pelaksanaan DEB merupakan salah satu alasan perpindahan itu, maka perlu dinyatakan bahawa “pemilikan ekuiti orang Cina dalam sektor korporat  tidak terjejas dalam tempoh pelaksanaan DEB (1971 – 1990), meskipun pemilikan bumiputera (individu, institusi, dan agensi amanah) meningkat daripada hanya 2.4 peratus pada tahun 1970 kepada hampir 20 peratus pada tahun 1990. Sebaliknya, orang Cina mencatatkan peningkatan ekuiti korporat mereka dalam tempoh yang sama, meningkat daripada 23 peratus kepada 41 peratus” (Muhammed, 2014: 100; rujuk juga Jadual 1.3). Peningkatan ini dirumuskan, “mencerminkan hakikat bahawa persaudaraan taikun lebih baik daripada sebelum ini;  DEB tidak menamatkan urus janji antara politik yang terasing dari segi politik dengan elit ekonomi” (Studwell, 2007: 27).
Kajian  tentang pemilikan dan kawalan syarikat tersenarai awam yang terdiri daripada 172 buah syarikat yang tersenarai di bawah Kaunter Perindustrian Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 1 Ogos 1992, lebih sedikit daripada satu pertiga dikawal oleh individu atau keluarga Cina Malaysia.  Turut tersenarai ialah Robert Kuok yang merupakan pemegang utama Federal Flour Mills Bhd. dan Perlis Plantations Bhd. (Beh, 2007: 242). Sebelum itu, dalam keluaran April 1989, Shang Hai, majalah ekonomi bulanan dalam bahasa Cina, menyenaraikan ““Ten Largest Chinese Businessmen”  di Malaysia, dengan Robert Kuok menduduki senarai paling atas (Hara, 1991: 360). Robert Kuok yang memiliki perniagaan bukan sahaja di Malaysia, Singapura, Hong Kong, dan tanah besar China, tetapi juga berkembang ke Liberia, Panama, Australia, Filipina, dan Kanada, dirujuk oleh majalah itu sebagai “commersial kingdom” Kuok.  Pusat “kingdom” itu ialah Kuok Brothers Sdn. Bhd. (Hara, 1991: 361). Selain itu, arahan awal  DEB mempunyai kesan sedikit terhadap Robert Kuok. Bahkan, Robert Kuok adalah antara  usahawan Cina yang berjaya memperluas kekayaan mereka dan membina yang baharu semasa pelaksanaan DEB dan ICA. Taikun Cina ini mewakili kumpulan pertama “wang lama,” iaitu perniagaan yang mapan sebelum DEB, dan bahkan semakin membesar semasa DEB (Heng, 1997: 275).
Selain mempengerusikan  Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia dan MISC, beliau juga dilantik sebagai pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS) selepas berpecah dengan MSA. Apabila kerajaan menubuhkan Bank Bumiputra Bhd. dan Perbadanan Nasional Bhd. (Pernas), beliau dijemput untuk menduduki lembaga pengasas.  Berbanding dengan ahli perniagaan Malaysia tempatan lain, Robert Kuok merupakan pemain utama dalam syarikat yang disokong oleh kerajaan (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  280).  Justeru, ada penulisan akademik tentang Robert Kuok menggambarkan beliau sebagai contoh kapitalisme kroni. Kajian ini berasaskan korpus meluas kepustakaan primer dan sekunder, menunjukkan walaupun Robert Kuok bergantung pada pengaruh politik untuk kebaikan perniagaan, beliau menjangkau mencari sewa (rent-seeking) dengan bergantung pada sumber kekuatan lain untuk menjadi pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, pengeluar gula kelapan terbesar di dunia, dan pengusaha rantaian Hotel Shangri-La mewah (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  270 - 271).  Walau bagaimanapun,  “untuk mengatakan bahawa Robert Kuok mendapat manfaat kerana menjadi kroni negara  adalah berlebih-lebihan, terutamanya dalam hubungan penggunaan istilah ini untuk mereka yang bergantung pada naungan kerajaan pada tahun 1980-an dan seterusnya” (Lee, Cheong, dan Lee, 2013:  278). Sementara itu, beberapa orang pengkaji melihat kapitalis Cina di Asia Tenggara sebagai pencari sewa (rent-seekers), iaitu kelas  kapitalis yang bergantung pada negara dan modal asing (Beh, 2007: 231).  Perusahaan Kuok ialah contoh baik bagaimana hubungan antara perniagaan Cina dengan negara adalah penting untuk kejayaan, dan bagaimana, sebaik-baik syarikat menjadi antarabangsa dan tidak lagi bermastautin dalam persekitaran dilindungi oleh negara, maka kerapuhan struktur syarikat yang dikuasai oleh keluarga menjadi kelemahan yang serius (Beh, 2007: 240).
Kalau benar bahawa Robert Kuok ke Hong Kong kerana ingin mengelakkan daripada kroni atau amalan  mencari sewa  – yang disebut oleh ahli ekonomi – jenis khusus bikin wang, iaitu melalui hubungan politik -  hakikatnya,  amalan tersebut berlaku di banyak negara dan bukannya di Malaysia semata-mata. Seperti yang dapat dilihat dalam “The Crony-Capitalism Index,” yang menunjukkan kekayaan hartawan sebagai peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  Daripada 23 buah negara, pada tahun 2014, Hong Kong menduduki tempat pertama, diikuti oleh Rusia, Malaysia, Ukraine, dan Singapura. Kelima-lima buah negara ini mengekalkan kedudukan pada tahun 2007 masing-masing. Negara lain yang   turut tersenarai, ialah Filipina yang menduduki tempat keenam berbanding dengan tempat kesembilan (2007), Indonesia tempat ke-10 berbanding dengan tempat ke-18 (2007), Thailand tempat ke-16 berbanding dengan  tempat ke-23 (2007), manakala China kekal dengan tempat ke-19 (The Economist, 2014: 55, Jadual 3). Sektor mencari sewa yang termasuk dalam indeks ialah kasino; arang batu, minyak sawit, dan balak; pertahanan; perbankan pengambilan deposit dan perbankan pelaburan; infrastruktur dan salur paip; minyak, gas, bahan kimia, dan tenaga lain; pelabuhan dan lapangan terbang; hartanah dan pembinaan; keluli, logam lain, perlombongan, dan komoditi; dan utiliti dan perkhidmatan telekom (The Economist, 2014: 54, Jadual 1). Di negara yang ahli perniagaan mempunyai hubungan politik berkemungkinan besar maju dan berjaya (The Economist, 2014: 54). Hong Kong dan Singapura padat dengan hartawan dalam industri kroni.  Hal ini menggambarkan tanah yang kurang, yang merangsang nilai harta, dan peranan negara dan wilayah itu sebagai entrepot untuk negara jiran  yang licik.  Hong Kong juga sudah lama kendur antitrust: hanya meluluskan undang-undang persaingan ekonomi meluas dua tahun lalu (The Economist, 2014: 55).
Perlu dinyatakan, negara yang Robert Kuok mempunyai kepentingan perniagaan, turut tersenarai dalam indeks tersebut, misalnya: Singapura (tempat kelima), Indonesia (tempat ke-10), dan China (tempat ke-19). Bahkan, di Indonesia, Robert Kuok  menubuhkan syarikat perladangan tebu, Gunung Madu, dengan Kuoks memiliki 45 peratus saham, manakala 55 peratus lagi dibahagikan sama rata antara Yani Haryanto dengan anak lelaki dan menantu lelaki Presiden Suharto.
(Dipetik daripada Bab Dua, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...