Artikel Popular

Thursday, July 25, 2019

Daripada Perguruan kepada Keusahawanan

KHAMIS, 25 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Tun Tan Cheng Lock dilahirkan pada 5 April 1883 di Jalan Heeren, Melaka,  anak lelaki ketiga pasangan suami isteri Tan Keong Ann dan Lee Seck Bin, yang mempunyai tujuh anak lelaki dan perempuan (Yeo, 1990: 1 dan 75, Lampiran A). Leluhurnya tinggal di Melaka sejak 250 tahun lalu, pengasas MCA, berkhidmat sebagai presiden hingga tahun  1958.  Pada tahun 1860-an, bapanya menubuhkan syarikat kapal wap di Melaka untuk berulang-alik di antara pelabuhan Negeri-Negeri Selat dan perintis utama peladang ubi kayu dan gambir” (Voon, 2007: 34, nota 17; Morais, 1981: 1).
Beliau menuntut di Sekolah Tinggi Melaka hingga tamat Darjah VII pada tahun 1899  dan memenangi  Biasiswa Tan Teck Guan yang dianugerahkan kepada pelajar terbaik.   Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Raffles Institution di Singapura (Yeo, 1990: 6; Morais, 1981: 2). Di sini wujud beberapa tanda tanya, kerana menurut sumber, beliau penerima Biasiswa Queen, manakala sumber lain mengatakan beliau, “Kepujian Kelas Ketiga dan menyatakan bahawa sekiranya Biasiswa Queen tidak digantung ketika itu, beliau mungkin dianugerahi biasiswa itu.  Rekod dokumen lain yang dapat diperoleh menunjukkan Cheng Lock, dalam dua peperiksaan tahun 1900 dan 1901 untuk Junior dan Senior Cambridge School Certificates, “memuaskan Pemeriksa,” tetapi tidak cukup untuk dianugerahi mana-mana tiga  kelas kepujian dan juga Biasiswa Queen (Yeo, 1990: 6 – 7).
Tun Tan Cheng Lock tidak dapat melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom untuk menuntut dalam bidang undang-undang  kerana tanpa biasiswa dan kewangan, maka alternatif kedua terbaik ialah mengajar  di Raffles Institution dari tahun 1902 hingga 1908 – profesion untuk calon yang kurang berjaya (Yeo, 1990: 7). Oleh sebab beliau sangat tidak gembira dengan pekerjaan gurunya dan sangat tidak sabar, maka ibunya, Lee Seck Bin, mendesak beliau pulang ke Melaka.  “Cheng Lock yang meninggalkan profesion perguruan  dan Singapura pada tahun 1908, pada usia 25 tahun, menjadi orang yang berubah” (Yeo, 1990: 8).
Pada tahun itu juga, dengan pertolongan sepupu di sebelah ibunya, Lee Chim Tuan, Cheng Lock menceburi industri getah.  Dari tahun 1908 hingga 1910, beliau penolong pengurus, estet sepupunya, iaitu Estet Getah Bukit Kajang (Yeo, 1990: 8; Morais, 1981: 2).  Di sini beliau menimba pengalaman yang berharga dalam perladangan getah, yang membawa pelantikannya sebagai “ejen pelawat Estet Getah Nyalas pada tahun 1909” (Yeo, 1990: 9). 
Walau bagaimanapun, Tan Cheng Lock tidak lama di situ kerana dikatakan letih bekerja dengan orang lain. Kuat berpegang pada tradisi, seperti ayahnya, Tun Tan Cheng Lock, ialah orang berwawasan dan berani, mengapungkan syarikat baharu, iaitu Ayer Molek Rubber Co. Ltd yang beliau menjadi pengurus.  Cheng Lock mengapung dua buah lagi syarikat, iaitu Malaka Pinda Rubber Estates Ltd. pada tahun 1909 dan United Malacca Rubber Estates Ltd. pada tahun 1910.  Seterusnya, beliau memegang jawatan pengarah urusan dan pengerusi (Morasi, 1981: 2). Beliau mengapung tiga ladang getah itu dengan pertolongan Chan Kang Swi, ahli perniagaan yang terkenal di Melaka dan pinjaman $10,000 daripada Lee Chim Tuan (Yeo, 1990: 9).  Beliau juga menganggotai lembaga Overseas Assurance Corporation Ltd., Sime Darby & Co. Ltd., dan Overseas Chinese Banking Corporation (Morais, 1981: 2).
Setelah kelihatan berjaya dalam perladangan getah, pada tahun 1913, Tan Cheng Lock berkahwin dengan Yeo Yeok Neo, anak Yeo Tin Hye, pemimpin komuniti Hokkien di Melaka (Yeo, 1990: 9; Morais, 1981: 5). Perkahwinan ini penting bagi kerjaya beliau kerana tidak lama selepas itu,  kerana kira-kira 1913 hingga 1914, beliau mengalami masalah kecairan akibat menerima nasihat  usaha niaga yang silap dalam spekulasi getah dan Lee Chim Tuan, pemiutang beliau, mengancam untuk merampas ladang getah beliau.  Walau bagaimanapun, dengan bantuan isterinya, yang mewarisi $130,000 daripada ayahnya, Yeo Tin Hye, Tan Cheng Lock mampu bayar semula (Yeo, 1990: 10).  Daripada perkahwinan itu, mereka dianugerahi lima orang anak, iaitu Lily Kim Tin, Wee Geok Kim (dijadikan anak angkat oleh adik beradik perempuan Tan Cheng Lock),  Siew Sin, Alice Kim Yoke, dan Agnes Kim Lwi (Yeo, 1990: 75, Lampiran A dan 77, Lampiran C).  Tun Tan Siew Sin kemudiannya menerajui MCA – parti yang diasaskan oleh Tan Cheng Lock, dan menganggotai Kabinet Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein.
Tun Tan Cheng Lock  ahli perniagaan Cina Malaysia dengan kepentingan yang meluas dalam perlombongan bijih timah, estet getah, perbankan, dan perdagangan. Tokoh penting  yang menumpukan hidupnya untuk memperjuangkan hak dan kebajikan komuniti Cina di Malaya (Paridah, 2011: 185).  Beliau empunya perladangan getah yang besar, pemilik banyak sekali rumah, dan pengarah dalam 16 buah syarikat saham bersama (Voon, 2007: 34, nota 17; Paridah, 2011: 185 - 186).  
Walaupun menerima pendidikan Inggeris dan hidup kaya-raya, Tun Tan Cheng Lock masih berpegang  pada amalan tradisi.  “Dia sangat suka menghidangkan makanan Melaka kepada tetamunya. Hidangan utamanya ialah nasi lemak dengan segala lauk-pauk.  Biasanya, kami gemar sekali akan masakannya, dan apabila selesai makan, dia akan mengeluarkan cerutunya yang masyhur, yang barangkali telah bertahun-tahun disimpannya, kerana dia sendiri tidak merokok.”  Oleh sebab cerutu itu sudah dimakan bubuk, maka  menimbulkan kesukaran untuk menghisapnya (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 213). Satu lagi punca kebanggaan Tun Cheng Lock ialah perabot dari China purba, terutama katil besi datuknya.  Setiap kali Tunku ke Melaka dan perlu bermalam, Tunku bermalam di rumah Tun Tan Cheng Lock kerana beliau tidak membenarkan Tunku  tidur di rumah rehat. Tunku menghadapi kesukaran untuk tidur nyenyak kerana katil tua itu “berkiut-kiut dan mengerang” (Tunku Abdul Rahman Putra, 1980: 213).
(Dipetik daripada Bab Lima, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...