Artikel Popular

Thursday, July 18, 2019

Memajukan Ekonomi Bumiputera

KHAMIS, 18 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Pada Jun 1965  berlangsung Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama, yang mencadangkan  penubuhan Bank Bumiputra Berhad dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).  Bank Bumiputra Berhad    ditubuhkan tahun itu juga dengan bantuan kerajaan untuk berkhidmat sebagai pusat kewangan untuk pengumpulan modal Melayu.  Pada  Mac 1966, MARA ditubuhkan menggantikan RIDA (Lembaga Kemajuan Perusahaan dan Kampung), di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.
            Kongres Ekonomi Bumiputera itu, menurut Tun Ismail Mohamed Ali, “menjadi perkara yang bersejarah yang penuh bermakna.  Tun Abdul Razak mengaturkan mesyuarat pertama kongres.  Beliau melantik saya menjadi Pengerusi Kumpulan Sekerja Ekonomi dan kami meneruskannya dengan penubuhan Bank Bumiputra Berhad, MARA, dan pusat-pusat latihan (Ismail, 2006: 195).
            Pada 22 September 1970, Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra.  Pada Julai 1971, iaitu beberapa bulan selepas demokrasi dipulihkan berikutan perisytiharan Darurat akibat Peristiwa 13 Mei 1969, beliau  membentangkan Rancangan Malaysia Kedua  1971 – 1975 di Parlimen yang mengandungi prinsip dan program Dasar Ekonomi Baru (DEB).  Penggubalan Rancangan ini pada prinsipnya dilaksanakan oleh Unit Perancangan Ekonomi yang diketuai oleh Tan Sri Thong Yaw Hong, dengan input daripada Raja Tun Mohar Raja Badiozaman, Tan Sri Chong Hon Nyan, Tun Ismail Mohamed Ali, Tan Sri Rama Iyer, dan beberapa yang lain (Ahmad Sarji, 2016: 33).
            DEB dilancarkan sebagai sebahagian strategi Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri ketika itu, bagi menyatukan dan membangunkan semula negara selepas pengalaman yang mengejutkan pada tahun 1969.  Selain objektif mewujudkan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia supaya tidak ada komuniti yang akan mengalami kehilangan dan penafian hak, rancangan ini juga  menekankan objektif yang penting bagi meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu selaras dengan semangat dan niat “tolak ansur” Perlembagaan (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991:  18).
Rancangan Malaysia Kedua merupakan tahap pertama pelaksanaan DEB,  “mengakui bahawa usaha mewujudkan perpaduan dan pengenalan negara merupakan kerja pelbagai bidang. Tugasnya tidaklah sebegitu mudah, terutamanya bagi negara yang dibebankan dengan pembahagian bangsa, agama, taraf ekonomi, dan pengasingan geografi... Di Malaysia, usaha begini melibatkan penggunaan seluruh bidang dasar ekonomi dan dasar sosial, daripada dasar pendidikan dan kesihatan kepada dasar buruh dan guna tenaga, serta juga langkah bagi menyusun semula pemilikan modal, dan bagi mengadakan urutan pengubahan sosial yang akan memberikan sedikit banyak keadilan kepada bilangan teramai rakyat negara.  Usaha ini tidak mahu tidak berkehendakkan perbelanjaan” (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 94).
Tun Ismail masih ingat “peristiwa di Parlimen sewaktu membuat undian bagi mendapatkan sumbangan untuk membiayai penyertaan orang Melayu dalam bidang perniagaan dan sektor swasta.  Kerajaan memiliki saham dalam syarikat-syarikat besar dan kami telah menjual saham-saham tersebut kepada individu Melayu” (Ismail, 2006: 195). Beliau juga  tidak lupa akan sahabat karibnya,  menulis, “DEB dimajukan dan insan yang memainkan peranan utama dalam membangunkannya ialah Timbalan Perdana Menteri kedua, iaitu Tun Dr. Ismail Abdul Rahman” (Ismail, 2006: 195).
Semasa berkhidmat sebagai gabenor Bank Negara Malaysia, Tun Ismail  diminta menimbangkan kemungkinan penubuhan sebuah tabung amanah bagi membeli saham-saham yang diperuntukkan kepada bumiputera.  Beliau sendiri mempengerusikan jawatankuasa kerja yang  mencadangkan penubuhan Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) dan seterusnya PNB. Menurut Tun Dr. Mahathir,  syarat utama tabung itu adalah menjana pulangan yang lebih tinggi daripada faedah simpanan tetap di dalam bank.  Hasilnya, lahir YPB dan buat permulaan kerajaan memperuntukkan RM200 kepada YPB sebagai modal.  YPB kemudiannya menubuhkan PNB (Mahathir, 2015: 549). Tun Ismail berkhidmat sebagai  pengerusi PNB yang pertama, iaitu sejak PNB ditubuhkan   pada 17 Mac 1978 hingga 17 Oktober 1996.  Beliau kekal di PNB sebagai penasihat hingga beliau meninggal dunia pada 6 Julai 1998.  Semasa kepimpinannya, Perbadanan  Nasional Bhd. (Pernas) memindahkan 11 syarikat yang paling menguntungkan, dengan aset bernilai RM1 bilion kepada PNB pada tahun 1981 atas permintaan kerajaan dan PNB (Jesudason, 1989: 87).
Pengerusi PNB, Tun Ismail, disanjung kerana mempunyai pengetahuan terbaik tentang sektor korporat di negara ini, adalah berpendidikan ekonomi di Cambridge, yang mempunyai kerjaya yang unggul sebagai pengerusi  [sic] Bank Negara sejak penubuhannya pada tahun 1959 hingga beliau bersara pada tahun 1978 (Jesudason, 1989: 86 – 87). Di bawah kepimpinannya  amanah saham di bawah PNB berjaya  menggerakkan dana daripada bumiputera untuk menjadi dana amanah saham terbesar di negara ini, memperoleh kepercayaan dan keyakinan lebih tujuh juta pemegang unit, melaburkan sedikit demi sedikit pendapatan dan simpanan mereka. Sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangan beliau,  maka  Galeri PNB, dinamakan Galeri Tun Ismail Mohamed Ali (Ahmad Sarji, 2001). Selain galeri tersebut,  PNB juga mewujudkan Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan  yang amat penting dan berharga oleh beliau kepada kedua-duanya, iaitu sektor awam dan sektor korporat di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.  Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali mengiktiraf dasar monetari beliau yang berhemat, tegas, dan sangat bijak sebagai gabenor Bank Negara Malaysia (Ahmad Sarji, 2001).
(Dipetik daripada Bab Satu, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...