Artikel Popular

Sunday, July 28, 2019

Tumpasnya Guru Melayu Terakhir

AHAD, 28 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Di sebalik prestasi cemerlang dalam dua pilihan raya umum, iaitu pada tahun 1986 dan 1990,  UMNO (Baru) yang semakin stabil, dan Tun Ghafar setia pada ketuanya, tidak bermakna kedudukannya tidak tergugat.  Prestasi baik dalam dua pilihan raya umum tidak  menjamin penakatan atau kelangsungan politiknya.   Pengalaman pahit pada tahun 1987 yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan pengharaman parti itu mempunyai hayat yang singkat dalam memori pemimpin dan anggota  UMNO.  Apabila Tengku Razaleigh dan saki-baki pengikutnya tidak menyertai UMNO (Baru) dan para penyokong Tun  Musa boleh dikatakan terpinggir, dijangkakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang memenangi salah satu kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1987 dan 1990, akan menggerakkan “buah catur” beliau. Riak-riak di air tenang mula kelihatan apabila Dr. Mahathir diserang sakit jantung dan dibedah, dan kebetulan pada ketika itu, Januari 1989,  berlangsung pilihan raya Parlimen Ampang Jaya:  Anwar berasak-asak dengan Tun  Ghafar untuk menampilkan diri masing-masing. Seawal tahun 1992 lagi, “sembang-sembang politik kedai kopi” menjangkakan Anwar akan mencabar Tun Ghafar dalam pemilihan tahun 1993.  Walau bagaimanapun, Anwar menafikannya.
Kem Tun  Ghafar mungkin   dapat mengagak bahawa Anwar akan mencabar Tun Ghafar, lalu sebagai persediaan awal,  mereka mengusahakan penerbitan buku yang merupakan himpunan  esei yang diberikan pengenalan oleh Mohd. Taib Osman, manakala Alias Mohamed sebagai editornya:  Ghafar Baba: Kupasan oleh Profesor dan Cendikiawan Melayu.  Alias ketika itu Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri.  Malangnya, segala pujian dan sanjungan, tidak ketinggalan sumbangan Tun Ghafar kepada UMNO, orang Melayu, dan negara, yang terkandung dalam buku itu tidak mampu menyelamatkan beliau.
Memang benar bahawa “politik bukannya ‘sains,’ tetapi perjuangan berasaskan intuisi dan perhitungan rasional tentang kemungkinan” (Sanbonmatsu,  2004: 133). Berbanding dengan Tun Ghafar, Anwar lebih bijak menghitung segala kemungkinan.   Anwar akhirnya menjawab teka-teki yang berlegar-legar dalam arena politik tanah air sejak berbulan-bulan, dan mungkin bertahun-tahun.  Pada 23 Ogos  1993, beliau   mengumumkan bahawa beliau bersedia menerima pencalonan daripada bahagian UMNO. Sidang akhbar Anwar untuk mengumumkan pencalonannya, lebih merupakan langkah untuk menunjukkan kekuatan dengan sokongan tahap tinggi daripada hampir kebanyakan semua pemimpin kanan UMNO.  Anwar diiringi oleh setiausaha agung UMNO, semua lapan orang Menteri Besar dan Ketua Menteri, sembilan menteri Kabinet daripada UMNO, 18 orang timbalan menteri, dan lima orang setiausaha parlimen. Bahkan, pertemuan itu turut dihadiri oleh pemimpin dari Wilayah Persekutuan dan Sabah – dua negeri yang Ghafar merupakan ketua perhubungan UMNO. Akan tetapi, yang paling menarik daripada semua yang hadir itu, mereka yang dipercayai daripada kem Ghafar, iaitu Menteri Penerangan Mohamed Rahmat, Menteri Besar Terengganu Wan Mokhtar Ahmad, Menteri Kehakiman Syed Hamid Albar, dan Menteri Besar Negeri Sembilan Mohd. Isa Abdul Samad. Mereka yang tidak hadir sidang akhbar itu ialah Menteri Luar Abdullah Badawi, Menteri Pertanian Sanusi  Junid, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz (Hwang, 2003: 218).
Jika diperhatikan,  langkah  Anwar   mengadakan sidang akhbar dan  membentuk “Team Wawasan,”  penjadualan mesyuarat bahagian UMNO, dan peranan media arus perdana, jelas menunjukkan bahawa  beliau  membuat persiapan rapi untuk mencabar Tun Ghafar. Untuk memenangi “perang psikologi,” mana-mana bahagian UMNO yang pro-Anwar mengadakan mesyuarat  lebih awal, kerana setiap pencalonan  akan memperoleh 10 “undi subsidi.” Betul-betul  “senjata makan tuan,” kerana pemberian “undi subsidi” bertujuan melindungi presiden dan timbalan presiden UMNO  daripada dicabar. Akan tetapi, apa yang berlaku, Tun   Ghafar menerima padah daripada peraturan yang beliau turut gubal.
Lebih parah lagi, sesetengah bahagian UMNO yang mencalonkan Tun  Ghafar diarahkan oleh ibu pejabat parti supaya mengadakan mesyuarat dan pencalonan semula.  Negeri-negeri yang pada mulanya dijangkakan “deposit tetap” Tun  Ghafar, seperti Wilayah Persekutuan dan Sabah yang beliau merupakan ketua perhubungan UMNO, Melaka tempat beliau berpolitik, dan pada takat tertentu, Negeri Sembilan negeri kelahiran beliau – semuanya memihak kepada Anwar.  Akibat “kesan domino,” Ketua-ketua Bahagian yang pernah mengisytiharkan menyokong Tun Ghafar terpaksa  mengubah pendirian mereka.  Rakan-rakan karibnya boleh dikatakan semua meninggalkannya. Beliau  sebatang kara, tanpa penyokong, tanpa pembiaya besar, tanpa banker. 
Menteri Penerangan Tan Sri Mohamed Rahmat yang dikenali sebagai “ Mat Setia” dipercayai  turut memainkan peranan memenangkan Anwar dan  menamatkan perjalanan politik Tun Ghafar. Sebagai setiausaha agung UMNO, beliau mengatur jadual mesyuarat setiap Bahagian UMNO, dengan mendahulukan bahagian  yang dijangkakan  memberikan “undi subsidi” kepada Anwar. RTM bersama-sama media arus perdana yang UMNO ada kepentingan, berkempen untuk Anwar.  Sementara Syarikat Utusan Melayu yang Ghafar pernah kuasai (rujuk Gomez, 1990), melalui akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia bekerja mati-matian untuk Anwar.  Tidak pernah terjadi dalam politik Malaysia seorang Timbalan Perdana Menteri dan timbalan presiden UMNO tanpa sokongan media.
Sekali lagi  politik Malaysia menyaksikan babak “jeneral tanpa tentera.”  Guru-guru Melayu yang merupakan tonggak hegemoni UMNO dan  merupakan sokongan akar umbi terhadap Tun Ghafar selama ini seakan-akan lenyap.  “Setelah 145 daripada 153 Bahagian UMNO bersidang, Anwar  berjaya mengumpulkan 138 pencalonan, manakala Ghafar mendapat tujuh  pencalonan sahaja. Kecewa dengan mendapat hanya satu pencalonan daripada UMNO Sabah,  yakni bahagian Kudat yang diketuai Tun Mustapha, Ghafar meletakkan jawatan sebagai ketua perhubungan UMNO Sabah. Perletakan jawatan ini memberi petanda kejayaan kempen yang dilakukan oleh pihak ‘Team Wawasan’ yang menentang Ghafar”  (Zainunabidin,  Abdullah Zakaria,  dan Junaidi,  2013). Melihat kekuatan luar biasa Anwar dan sejak awal Oktober lagi beliau dijangkakan menang, maka Tun   Ghafar mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam kerajaan dan  parti pada 15 Oktober 1993, sebelum Perhimpunan Agung UMNO. Jika sebelum ini, beliau berjaya mempertahankan yang lama, iaitu naib presiden UMNO selama 25 tahun sehingga membolehkan beliau menakluki yang baharu, iaitu timbalan presiden UMNO, tetapi kali ini, beliau terpaksa melepaskan jawatan kedua tertinggi itu.  Dalam masa tujuh tahun, dua orang Timbalan Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan, tetapi  dengan alasan yang berbeza.
 Dengan perletakan jawatan itu, Anwar menang tanpa bertanding, memadai dengan “undi subsidi.”  Untuk jawatan naib presiden, “Team Wawasan,” iaitu    Muhyiddin Yassin, Mohd. Najib Tun Abdul Razak, dan Muhammad Muhammad Taib menang  – menewaskan dua penjawat kini, iaitu Abdullah Ahmad Badawi dan Sanusi Junid,  manakala  Abdul Rahim Tamby Chik memenangi jawatan ketua Pemuda UMNO, menewaskan Mohd. Isa  Abdul Samad.
Dalam Penitianku..., Ghafar secara tersirat menyalahkan amalan politik wang yang menyebabkan beliau tewas. “Ada orang yang sanggup mencurahkan wang ringgit yang begitu banyak untuk mendapatkan jawatan.  Percayalah cakap saya apabila ramai bilangan skimmers dalam parti bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri, persaingannya akan menjadi terlalu hebat dan boleh membawa kepada perpecahan” (Abdul Ghafar, 2006: 171).  Dalam bahagian lain, beliau melahirkan rasa kesal beliau terhadap sikap sombong sesetengah pemimpin muda dalam yang mengatakan bahawa zaman guru-guru Melayu menguasai UMNO sudah luput (Abdul Ghafar, 2006: 173). Meskipun Tun  Ghafar boleh dikatakan berjaya dalam bidang politik, daripada Ketua Menteri kepada Timbalan Perdana Menteri, beliau tetap merendah diri: “Tidak terlintas sedikit pun dalam pemikiran saya hendak menjadi pemimpin apabila saya menceburkan diri dalam politik. Saya bukan seorang skimmer.  Saya hanya seorang pekerja biasa sahaja” (Abdul Ghafar, 2006: 165). Meskipun beliau tidak menjelaskan siapakah skimmer  yang beliau maksudkan itu, para pembaca pasti dapat mengagaknya! 
Dalam pemilihan UMNO tahun 1993, “Anwar’s team of vice presidents outpolled opponents, RM500 million to  RM600  million was distributed”  (Wain, 2009: 142).  Para perwakilan diaibkan dengan laporan berita bahawa Bank Negara Malaysia kehabisan wang RM500 dan RM1000 ketika kemuncak kempen yang membawa kepada Perhimpunan Agung 1993 (Wain, 2009: 143). Kelompok terpilih elit  perniagaan, terutamanya bumiputera yang memegang tonggak utama dalam aset penswastaan baharu telah mengukuhkan kedudukan mereka di sekeliling Anwar pada awal tahun 1990-an, dan membantu mengalahkan Ghafar Baba untuk jawatan timbalan presiden UMNO pada tahun 1993 (Hilley, 2008: 71). Wang menundukkan perjuangan dan kesetiaan.
Tan Sri Rais Yatim yang ketika itu melanjutkan pengajian di peringkat Ph.D di London dan masih dalam parti pembangkang, sebagai timbalan presiden Parti Semangat 46,  turut  mengikuti perkembangan politik di tanah air, pernah mengulas penggulingan Tun Abdul Ghafar itu dengan rasa simpati. “Yang sedih ialah apabila semua Menteri Besar berbaris di sebuah hotel besar di KL dengan memberi ikrar menyokong Anwar sebagai timbalan presiden UMNO.  Kita dimaklumkan bahawa peristiwa itu adalah sebagai mukadimah kepada penggantian Ghafar dalam parti dan kerajaan.  Sebelum ini, berkali-kali Anwar memperakukan bahawa beliau tidak akan menandingi Ghafar selaku timbalan presiden. Kini, Ghafar kecundang, walaupun dalam rekod beliau merupakan pemimpin UMNO yang paling lama mampu bertahan bukan sahaja sebagai anggota Parlimen, tetapi juga sebagai salah seorang naib presiden UMNO.  Dalam rekod perjuangan bangsa, Ghafar tercatat sebagai satu-satunya pemimpin UMNO yang tidak dirasuk politik wang dalam pencalonan dan pemilihannya. Caranya bersahaja, kadang-kadang dianggap orang sebagai aloof  tidak pernah menyukarkan perjuangannya sebagai salah seorang pemimpin kanan parti dan kerajaan (Rais, 2004: 539).
Peristiwa Tun Abdul Ghafar menghadapi kejatuhannya juga mendapat perhatian Rais Yatim. “Saya berasa sedih, apabila pada suatu pagi saya melihat gambar Ghafar keseorangan di Lapangan Terbang Antarabangsa  Subang yang sedang hendak  ke Jakarta dengan hanya menjinjing beg plastik. Masyghul jelas tertulis di wajahnya.  Saya dapat membayangkan betapa sedih dan pilunya rasa Ghafar susulan tindakan golongan muda yang menggunakan jentera parti dan kerajaan, di samping politik wang dalam proses menggulingkannya. Selebihnya sejarah telah menukilkan tinta hitamnya.  Saya sempat menulis kepada Ghafar menyatakan simpati saya (Rais, 2004: 539 – 540).
Rais Yatim yang mengkritik kerakusan dan kepura-puraan Anwar dalam usaha menjatuhkan Tun Ghafar,  menulis:  “Bagaimana Anwar mengatakan tidak melalui media, tetapi melalui penyokongnya menggalakkan jentera faksinya menyerang Ghafar habis-habisan” (Rais, 2004: 541). Walau bagaimanapun, komen Rais Yatim bahawa  “perkembangan ini tidak diketahui oleh presiden” (Rais, 2004: 541), sememangnya diragui: agak mustahil Dr. Mahathir tidak mengetahuinya. Tulis beliau lagi, “kisah Ghafar digulingkan adalah sebenarnya kisah unik dalam UMNO.  Kisah ini belum pernah berlaku lagi dalam sejarahnya. Ghafar merupakan timbalan presiden yang pertama digulingkan oleh seorang naib presiden dan bekas ketua Pemuda UMNO.  Nampaknya, tiada budi dalam faksi Anwar dan tiada hormat kepada tradisi berparti.  Dari jauh saya terasa bahawa nilai dalaman UMNO berkecai sudah” (Rais, 2004: 541). Rais Yatim juga mengkritik barisan Menteri Besar dan menteri yang bersekongkol dengan Anwar. “... saya ternampak bagaimana muka-muka lama dalam UMNO tidak bertindak. Sebaliknya, seperti yang tertera dalam akhbar, muka-muka Menteri Besar dan beberapa orang menteri berbaris menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi untuk Anwar.  Semacam patahlah dayung, bocorlah perahu.  UMNO hanya menunggu masa bila hendak tenggelam (Rais, 2004: 541).
(Dipetik daripada Bab Lapan, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...