Artikel Popular

Tuesday, July 9, 2013

Pasaran Buruh AS Masih Lemah

SELASA,  9  Julai 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Seperti biasa, pada hari Jumaat pertama setiap bulan, Biro Perangkaan   Buruh Amerika Syarikat mengumumkan laporan bulanan guna tenaga di negara itu.  Laporan terbaharu menunjukkan bahawa 195,000 pekerjaan ditambah pada Jun, manakala  pengangguran kekal kekal pada 7.6 peratus.  Sepanjang suku tahun yang berakhir Jun, pekerjaan bukan ladang, dilaporkan berkembang secara purata lebih 190,000 pekerjaan setiap bulan, hampir dua kali ganda purata setiap bulan sepanjang tiga bulan yang berakhir pada Jun 2012.

Laporan pekerjaan itu dikemukakan selepas Pengerusi Rizab Persekutuan  Ben Bernanke  mengumumkan bahawa pihaknya akan menamatkan program pembelian bon AS$85 bilion sebulan pada akhir tahun ini jika ekonomi Amerika Syarikat terus mengukuh.  Dengan laporan terbaharu itu, dijangkakan bahawa Rizab Persekutuan akan menghentikan rangsangan fiskal yang sedang dilaksanakan itu.  Hal ini demikian kerana laporan pekerjaan itu menunjukkan peningkatan yang memeranjatkan, seperti yang dibahaskan oleh Jared Bernstein, meskipun pertumbuhan masih lemah, iaitu 1.8 peratus pada suku pertama tahun ini.  

Namun begitu, Matthew C. Klein mengingatkan jangan teruja dengan data pekerjaan itu kerana menurut beliau, Amerika Syarikat dalam laluan ke arah dekad yang hilang menurut andaian paling optimistik.  Demikian juga Jordan Weissmann, yang mengingatkan jangan berpuas hati dengan laporan pekerjaan tersebut, dengan memetik graf daripada The Washington Post, seperti yang di bawah:  



Sementara Dean Baker mengulas bahawa ekonomi Amerika Syarikat masih dalam lubang yang dalam.  Dari segi nisbah guna tenaga dengan penduduk, hujah beliau, peratusan orang yang mempunyai pekerjaan, hanya meningkat sebanyak 0.5 titik peratusan daripada titik terendah semasa kelembapan ekonomi.  Dan masih jatuh sebanyak lebih 4.0 titik peratusan daripada tahap prakemelesetan, dan sebanyak 6.0 peratus titik peratusan penuh daripada tahap puncak ketika zaman melambung tahun 2000.  Data pekerjaan pada Jun, tambah Baker,  termasuk dalam kategori "yang teruk, yang begitu cepat menjadi slogan rasmi pemulihan.  Ekonomi berkemungkinan besar di bawah tahap potensi output lebih satu dekad.  Hal ini bermakna berjuta-juta orang yang menganggur atau tanpa pekerjaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...