Artikel Popular

Monday, April 22, 2013

Makroekonomi Hilang Keajaiban

ISNIN, 22 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Ratu Elizabeth pernah mengemukakan soalan yang sukar dijawab: "Mengapa tidak seorang pun yang melihat luluh kredit berlaku?"  Soalan yang kemudian dipetik secara meluas, secara tidak langsung, mempersoalkan kebijakan dan kewibaan ahli ekonomi, penggubal dasar, dan bahkan para pemimpin dunia yang seakan-akan lalai, sehingga tercetusnya krisis kewangan tahun 2008 - 2009 dan kemelesetan global. Kapitalisme dan globalisasi juga turut menjadi sasaran yang membayangkan bahawa kedua-dua itu turut dilanda krisis, dan bahkan dijangkakan berakhir.

Teori ekonomi, seperti fundamentalisme pasaran turut diragui, manakala Thatcherisme dicadangkan dikembumikan bersama-sama tuannya,  Margaret Thatcher.  Bekas Perdana Menteri British ini, ialah jaguh jimat-cermat, yang beliau dapat saksikan keruntuhan dasar itu sebelum beliau meninggal dunia.

Seterusnya, seperti yang dibahaskan oleh Robert J. Samuelson  dalam The Washington Post, yang merujuk persidangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini, tentang "Rethinking Macro Policy II."    Makroekonomi, tegas beliau, ialah kajian tentang seluruh ekonomi, tetapi persoalannya, berapa banyak dasar "makro" dapat mewujudkdan dan melindungi kemakmuran.  

Sebelum krisis kewangan 2008 - 2009, wujud keyakinan yang amat besar bahawa "makro" mampu melakukannya, hujah Samuelon.  "Kini, dengan 38 juta orang menganggur di Eropah dan Amerika Syarikat, dan pemulihan lemah atau tidak wujud, maka makroekonomi berselarak dan buruk."

Dalam kalangan ahli ekonomi, jelas beliau, tidak wujud konsensus tentang, misalnya tentang jimat-cermat yang sering diperdebatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  Demikian juga tentang kadar faedah yang menghampiri sifar dan "peredaan kuantitatif" dapat memacu pemulihan.  "Orang ramai keliru kerana ahli ekonomi berpecah belah."

Ahli ekonomi, seperti yang dibahaskan oleh  Heidi Moore, "mengingatkan kita  bukan tuhan," dengan merujuk  skandal data Rogoff-Reinhartt.  Walau bagaimanapun, ahli ekonomi Harvard yang dikritik, antaranya oleh Paul Krugman,  Dean Baker, Matthew O'Brien, dan Mike Konczal,   dan dibahaskan, tetap mempertahankan dapatan mereka:  apabila hutang kerajaan lebih 90 peratus, nescaya pertumbuhan  menjadi terbalik.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...