Artikel Popular

Sunday, April 21, 2013

Bom dalam Rumah

AHAD, 21 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Pada  tahun 2009, seperti yang pernah diumumkan, terdapat 3.2 juta pemegang kad kredit di Malaysia.  Secara purata, peratusan pemegang kad kredit yang diisytiharkan muflis  hanya 0.04 peratus daripada jumlah pemegang kad kredit utama  dalam masa lima tahun.   Atau hanya 405 orang pemegang kad kredit, suatu jumlah yang kecil daripada yang difikirkan.  Walau bagaimanapun, pemegang kad kredit sering dinasihatkan supaya berhemat atau bijak menggunakan kemudahan ini:  bom di dalam saku yang boleh meletup.
            Selain hutang kad kredit, yang menjadi perhatian  ialah hutang isi rumah yang  agak tinggi.  Seperti dimaklumkan oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz  pada Januari lalu,  “jumlahnya mencecah RM577 bilion atau 74.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat November  berbanding RM561.5 bilion atau 78.1 peratus KDNK pada Ogos 2010. Hutang isi rumah ini adalah kira-kira 50 peratus daripada jumlah hutang, masih pada tahap hati-hati.” Pada akhir 2009,  hutang isi rumah berjumlah RM516.6 bilion atau 76.6 peratus KDNK, berbanding dengan 63.9 peratus KDNK pada 2008.  Dari 2005 hingga 2008, seperti yang dilaporkan,  jumlah isi rumah secara purata kira-kira 67 peratus.  Hutang kad kredit pula RM26.7 bilion daripada hutang isi rumah pada akhir 2009 dan berjumlah RM23 bilion pada 2008.
Di Malaysia, selain ah long atau lintah darat, orang ramai sering dihubungi oleh pihak bank yang menawarkan pinjaman peribadi.  Tidak ketinggalan,  pengeluar kad kredit yang juga menawarkan pinjaman tunai, sama ada pelanggan  boleh mengeluarkannya di ATM yang disenaraikan,  ataupun dengan mengirimkan “Ready Cash Form” kepada pelanggannya.  Tawaran demi tawaran seperti ini, pastinya akan menggoda sesiapa sahaja.  Sekali dua mungkin mereka tidak mempedulikannya, tetapi akhirnya tumbang juga apabila  pintu hati mereka sentiasa diketuk.  Akibatnya, seperti kata peribahasa,  “hutang berbaris” atau “hutang biduk belum langsai; hutang pengayuh tiba pula.” 
Hutang isi rumah yang tinggi merupakan fenomena global yang sukar dibendung. Ekonomi Eropah, misalnya,  dikatakan lemah dan semakin lemah.  Banyak isi rumah terpaksa membayar balik hutang dan bukannya berbelanja.  Keadaan ini diperburukkan lagi oleh produktiviti yang rendah, iaitu 24 peratus lebih rendah daripada Amerika Syarikat.
Pertumbuhan di Barat,   dirangsangkan oleh kredit yang mudah dan penggunaan,  runtuh semasa krisis kewangan 2008.  Sebaliknya, pertumbuhan di Timur, dirangsangkan simpanan dan pengeluaran, terus stabil.  Namun, jika diperhatikan betul-betul, hakikat budaya simpanan yang diamalkan oleh orang Asia merosot di banyak tempat. Kelahiran golongan kelas menengah di bandar-bandar  mewah Asia,  ternyata bahawa gaya hidup mereka tidak jauh berbeza dengan kelas menengah di Barat. 
“Dengan pertolongan bank-bank yang begitu ghairah memperkembang perniagaan mereka,” tulis Owen Matthews dan Alexandra A. Seno dalam “Special Edition:  Issues 2011”  Newsweek, “berpuluh-puluh juta pengguna merentas pasaran sedang muncul mengambil gadai janji rumah, kad kredit, pinjaman kenderaan.”  Disubahatkan oleh wang plastik yang mudah, generasi di Asia dikatakan mendapati sungguh seronok “berbelanja sebelum memperoleh pendapatan.” 
Negara-negara Asia Tenggara yang merupakan satu rantau Asia yang mempunyai tahap kredit peribadi yang tinggi, kini 77 peratus KDNK.  Sementara lebih separuh bahawa hutang adalah daripada gadai janji rumah dan pinjaman kereta, jumlah besar selebihnya ialah hutang kad kredit dan pembiyaan pengguna yang lain.  Di Hong Kong, baki hutang kad kredit purata kini lebih tinggi daripada di Eropah Barat.  Bank of International Settlements, menurut  Matthews dan  Seno,  memberikan amaran seawal tahun 2008  bahawa ledakan hutang yang pesat di Asia dan pasaran sedang muncul yang lain menimbulkan “risiko baru terhadap kestabilan kewangan.”
Persoalan  tersebut  memperkukuhkan lagi anggapan bahawa hutang meningkat pada setiap tahap, daripada pengguna kepada syarikat kepada bank kepada negara keseluruhan.  Jawapan untuk semua masalah, baik bagi  pengguna, syarikat, mahupun negara ialah kumpul lebih banyak hutang.  Pengguna yang beria-ria membeli-belah menggunakan kad kredit; bagi yang ingin cepat kaya, baik pengguna mahupun syarikat, gunakan wang yang dipinjam. 
Newsweek  dalam keluaran yang sama, mengandungi makalah William Underhill, “Can Anglo-Saxons Really Stop Spending?” yang bermula, “sepatutnya, para pengguna yang cuai di dunia maju dalam perasaan penuh keinsafan” kerana perbelanjaan mereka yang mengikut nafsu  terhadap rumah dan barang pengguna turut menyumbang kepada malapetaka kewangan 2008. Rakyat Amerika dan British, tegas Underhill, gemar berbelanja. Untuk beberapa tahun, rakyat Amerika hanya menyimpan sebanyak dua atau tiga peratus pendapatan mereka, jika dibandingkan dengan 10 peratus atau lebih di negara Eropah dan Asia.  British pula, terpaksa menanggung  beban hutang peribadi yang besar.  Pada tahun 2008, hutang isi rumah purata mencecah 183 peratus pendapatan boleh guna tahunan, tahap tertinggi bagi mana-mana ekonomi utama.
Fiil lama sukar berubah,  meskipun mungkin serik untuk seketika.  Seperti  yang sering dikatakan, manusia mempunyai memori yang pendek; demikian juga dengan pengalaman pahit untuk menyelesaikan hutang yang bertimbun. Nafsu untuk berbelanja sukar dikawal, bahkan kalau dicuba, nescaya nafsu  itu semakin meronta-ronta.  Hidup mati bersama-sama hutang, bersama-sama bom  di dalam saku.  Bagi rakyat Amerika, bahas Underhill, meskipun hutang peribadi merosot pada suku ketiga 2010 sahaja, jatuh AS110 bilion atau satu peratus, tetapi kemorosatan itu adalah akibat perampasan ruma dan kemungkiran hutang kad kredit.  “Tidak mungkin petunjuk  tabiat kewangan peribadi yang semakin baik.”  Statistik itu gagal menunjukkan siapakah sebenarnya yang mempunyai simpanan yang kian meningkat.  Di Amerika jika dibandingkan dengan negara maju lain, isi rumah kaya mampu menyimpan, manakala isi rumah miskin terbenam dalam hutang. Seluruh generasi pengguna, bahas Underhill lagi, “membesar dengan idea kepuasan pengguna segera dan budaya kredit yang muncul bersama-samanya.” Wujud sesuatu dalam budaya Amerika atau British yang menjadikan orang ramai pemboros selama-lamanya dan berasa gembira hidup dengan hutang keliling pinggang.
Rakyat Amerika dikatakan mempunyai reputasi yang buruk kerana hidup di luar kemampuan mereka, menimbunkan hutang. Hutang isi rumah negara itu berjumlah AS$11.4 trilion pada akhir Disember 2010, jatuh sebanyak AS$155  bilion atau 1.3 peratus  daripada jumlah pada akhir September.  Menurut laporan Rizab Persekutuan New York, para pengguna telah mengurangkan kira-kira AS$1.08 trilion hutang mereka sejak mencecah tahap tertinggi pada suku ketiga 2008.  
Namun,  isi rumah Kanada, menurut Businessweek, mempunyai nisbah hutang dengan pendapatan yang lebih tinggi daripada isi rumah Amerika, untuk kali pertama dalam masa 12 tahun.  Di Kanada, pada suku tahun ketiga 2010, nisbah hutang pasaran kredit isi rumah dengan pendapatan boleh guna peribadi meningkat kepada 148.1 peratus daripada 143.4 peratus kerana pendapatan jatuh sebanyak 1.5 peratus.  Sementara di Amerika Syarikat, hutang menunjukkan 147.2 peratus daripada pendapatan boleh guna isi rumah.  
Hutang isi rumah, menurut  OECD Factbook 2010, mencecah lebih 120 peratus pendapatan boleh guna di United Kingdom, Kanada, Amerika Syarikat, Jepun, dan Ireland sebelum tercetusnya krisis pada tahun 2008.  Pada tahun 2009, Ireland yang paling tinggi, dengan hutang isi rumah  176 peratus pendapatan boleh guna.  
Laporan  McKinsey tentang Debt and Deleveraging, memaklumkan  tahap hutang rumah negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China pada tahun 2008.  Hutang isi rumah China meningkat daripada empat peratus KDNK  pada 2000 kepada  12 peratus KDNK pada 2008, dengan majoriti hutang ini dalam bentuk gadai janji. Hutang isi rumah India meningkat daripada dua peratus KDNK pada 2000 kepada 10 peratus KDNK pada 2008; Rusia daripada satu peratus KDNK kepada 10 peratus KDNK; dan Brazil, daripada enam peratus KDNK kepada 13 peratus KDNK.  Tahap hutang isi rumah negara BRIC ini jauh lebih rendah  jika diibandingkan dengan Amerika Syarikat, yang hutang isi rumahnya 72 KDNK  peratus pada 2000 dan 97 peratus KDNK  pada 2008.  Menurut laporan itu lagi, banyak lagi ruang untuk pertumbuhan bagi pengguna di negara BRIC.
Korea Selatan pula, hutang isi rumah meningkat sebanyak 6.9 peratus pada 2010, peningkatan  secara ketara jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.  Pada akhir Disember, institusi kewangan mempunyai  722.8 trilion won (AS$642 bilion) pinjaman belum bayar untuk sektor isi rumah, menurut Korea Credit Bureau.  Angka ini termasuk 124.1 trilion won pinjaman isi rumah tidak bercagar, meningkat 19.4 peratus daripada jumlah tahun sebelumnya, dan 311.5 trilion won dalam pinjaman gadai janji, meningkat 9.5 peratus.
Dalam kes Kanada, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengingatkan bahawa hutang isi rumah yang tinggi boleh menjelaskan pertumbuhan.  Dan, kerajaan pusat nampaknya sedar akan masalah yang kita membusut ini.  Pada awal tahun ini, Menteri Kewangannya, Jim Flaherty mengubah tempoh maksimum bagi kebanyakan gadai janji dari 35 tahun ke 30 tahun. “Kami mahu mengingatkan rakyat Kanada bahawa kami tidak memudahkan andaian hutang berlebihan oleh sesetengah mereka pada kadar faedah yang sangat rendah kerana ini akan membawa kepada kesusahan dalam jangka sederhana dan jangka panjang. 
Manusia dilahirkan bebas, dan dia di mana-mana sahaja dalam rantai.  Kata pembukaan Jean-Jacques Rousseau,  dalam karyanya  yang mengundang perdebatan yang penuh semangat tanpa kesudahan sejak penerbitan pertamanya,   The Social Contract  pada tahun 1762. Kini, orang mengungkapkannya semula, “manusia dilahirkan bebas, tetapi di mana-mana sahaja  dalam hutang.”  Di negara kaya, memperoleh kad kredit pertama merupakan rite of passage yang lebih penting untuk kehidupan harian berbanding dengan seseorang itu membuang undi pertama.  Membeli rumah pertama biasanya perlu berhutang yang jumlahnya beberapa kali lebih besar daripada pendapatan tahunan peminjam berkenaan.  Ulas  The Economist dalam “A Special Report on Debt:  Repent at Leisure”  pada pertengahan tahun lalu.  Hutang mungkin menjadi beban dan bukannya rahmat kerana orang ramai atau syarikat  meminjam untuk mengekalkan keinginan tahap keinginan perbelanjaan mereka.  Satu lagi alasan ialah optimisme, iaitu mereka percaya pulangan atas wang yang dipinjamkan lebih besar daripada kos khidmatan hutang berkenaan (cost of servicing the debt).  Pemiutang pula percaya bahawa pendapatan penghutang meningkat; kalau tidak, bagaimana dia mampu membayar hutang bersama-sama faedah.
Hutang, tambah The Economist  lagi,  selalunya dianggap sebagai isu moral, di samping isu ekonomi.  Dengan memetik Margaret Atwood dalam buku eseinya, Payback:  Debt and the Shadow Side of Wealth, majalah itu menegaskan bahawa dalam tempoh 100 tahun lalu, pertarungan moral lebih memihak kepada penghutang.  Muflis tidak lagi distigmakan, tetapi sekadar hanya  nasib malang.  “Apa para  pengguna meminjam di luar kemampuan mereka, kesalahan dilemparkan terhadap amalan  peminjaman  yang longgar dan bukannya terhadap peminjaman yang tidak bertanggungjawab.”  Dengan kata lain, jangan salahkan mangsa.  Kerajaan pula menggalakkan lebih banyak orang ramai menjadi pemilik rumah, dan dengan itu, terpaksa berhutang.  Seperti yang sering didengar,  jika tidak berhutang, mana mampu memiliki rumah, kereta,  menanggung pengajian anak-anak, dan bahkan untuk  berkahwin.
Taraf hidup, tegas Christopher Swann dan James Pethokoukis dalam The New York Times pada Oktober lalu, boleh menjadi korban utama krisis hutang.  Untuk satu dekad, golongan kelas menengah yang terjebak dalam pendapatan yang beku menjadi semakin teruk terjerumus ke dalam hutang.  Bayaran untuk mengurangkan beban hutang bukanlah mudah. Meskipun mereka menulis pengalaman Amerika, tetapi pengajaran yang serupa boleh diterapkan untuk tempat-tempat lain apabila tahap hutang tidak terkawal.  Dengan  kadar hutang 123 peratus pendapatan isi rumah, tulis Swann dan Pethokoukis “pada kadar simpanan semasa hampir enam peratus pendapatan boleh guna, untuk mengurangkan hutang kepada 100 peratus pendapatan boleh guna akan mengambil masa selama empat tahun.” 
Pada kulit hadapan edisi khas Newsweek yang dipetik di atas terpampang, “The Key to Power,”  dengan mukadimah, “Untuk negara, syarikat, dan pengguna, persoalan kritikal dalam tahun mendatang ialah: Mampukah anda menangani hutang anda?”  Untuk pengguna sekurang-kurangnya, jawapannya adalah sukar kerana sikap mereka terhadap hutang berakar umbi dalam sejarah bertapak kukuh dalam sikap nasional, dan pengguna di Malaysia, tidak terkecuali.  Seperti arak, ledakan hutang cenderung membangkitkan rasa sangat gembira.  Dan, lazimnya, ledakan akan disusuli oleh dentuman. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, April 2011.)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...