Artikel Popular

Wednesday, April 10, 2013

Krisis Euro: Soros Terus Lanyak Jerman

RABU, 10 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Hartawan terkenal, +George Soros,  adalah antara individu yang tidak jemu membicarakan krisis zon euro yang berlaku lebih tiga tahun. Dalam tulisannya dapat dikesan bahawa beliau mengharapkan Jerman memainkan peranan penting untuk menyelesaikan krisis tersebut, dan dalam pada itu, beliau mengkritik Canselor +Angela MerkeI yang bersikap bena tak bena untuk menyelesaikannya.  Bahkan, semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada tahun lalu, Soros bertelagah dengan Angela Merkel.

Dalam tulisan terbaharunya, yang diterbitkan dalam The Guardian dan Project Syndicate, bagaimana menyelamatkan Kesatuan Eropah, Soros memberikan kata dua kepada Jerman, sama ada menerima bon euro atau meninggalkan euro.  Krisis euro, menurut pemerhatian beliau, telah pun mengubah Kesatuan Eropah daripada persekutuan sukarela untuk kesamaan negara menjadi hubungan pemiutang-penghutang yang daripada situ tidak mudah untuk mencari jalan keluar.  

Beliau dilaporkan  menggesa Angela Merkel agar mempertimbangkan langkah untuk meninggalkan euro.  Bagi beliau, prospek mata wang tunggal itu lebih baik tanpa Jerman, anggota dominan zon euro.

Dalam syarahan di Frankfurt, pusat kewangan Jerman, peniaga dana lindung nilai itu memberitahu negara terkaya Eropah itu yang pergi terlalu jauh ketika pelan penyelamat Cyprus, sendiri menjunam ke arah kemelesetan dan sepatutnya, sama ada meninggalkan euro atau mengubah pendiriannya selama ini yang menentang bon euro, iaitu bentuk hutang kedaulatan yang bermakna setiap pinjaman negara anggota dijamin oleh seluruh zon euro.

"Keutamaan pertama saya," jelas Soros, "ialah bon euro; keutamaan kedua saya ialah Jerman meninggalkan euro."  Maka, tegas beliau, terpulang kepada Jerman untuk memutuskan, sama ada bersedia untuk membenarkan bon euro ataupun tidak.

Tentang Eropah, ulas Stefan Kornelius, Angela Merkel, tidak ada pilihan, dan kerana desakan serta kepentingan politik, beliau tidak boleh lagi terus terhegeh-hegeh. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...