Artikel Popular

Monday, August 19, 2019

Sistem Dunia: Konsep dan Debat

ISNIN, 19 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH  

Boleh dikatakan bahawa pendukung  ragam pengeluaran  juga pendukung  sistem dunia,[i]  misalnya Samir Amin,  Immanuel Wallerstein,   dan Andre Gunder Frank. Sistem dunia  berkaitan dengan teori pergantungan yang diperkenalkan oleh Paul Baran,  Dos Santos, Celso Furtado,  Andre Gunder Frank, dan dikaitkan dengan Amin.  Frank dan Wallerstein pula memperkenalkan teori kemunduran, manakala Amin,  Hamza Alavi, Jairus Banaji, dan  Doug McEachern memajukan konsep “kapitalisme pinggir.”
            Kalangan Marxis yang lebih tradisionalis berpendapat bahawa teori pergantungan radikal, secara fundamental berbeza dengan rangka teoretis materialisme sejarah. Sememangnya, kita diberitahu bahawa “hujah penyarian lebihan” (dikaitkan dengan ahli teori, seperti Baran, Frank, dan Amin) mempunyai dua perkara ini: (1) “eksploitasi dapat dilihat sebagai perhubungan antara negara”, dan (2) “ragam pengeluaran kapitalis ialah ragam pengeluaran yang tidak lengkap, misalnya tidak boleh menjanakan pengeluaran semulanya sendiri.”[ii]
            Dalam kategori sejarah radikal, yang seakan-akan sama seperti ekonomi politik, tidak wujud persoalan bahawa paradigma dominan yang diasaskan oleh Immanuel Wallerstein dalam model sistem-dunianya. Sejak jilid pertama muncul pada tahun 1974, karya beliau menentukan agenda, menyebabkan golongan Marxis ortodoks, apatah lagi ahli teori pemodenan, penganalisis pasaran liberal, dan golongan empirik terkial-kial dalam kebangkitan beliau.[iii] Meskipun teori[iv] sistem dunia diperkenalkan oleh Wallerstein dan Amin,  tokoh Amerika Latin, Raul Prebisch dan Furtado telah mengembangkan dua tema asas untuk teori sistem dunia; pertama, konsep sinkroni tentang struktur sedunia tentang ketidaksamaan hubungan pusat-pinggir, dan kedua, anggapan tentang kemelut sejarah, iaitu tesis diakroni bahawa struktur sinkroni itu muncul pada ketika tertentu dalam sejarah.”[v] Ada penulis atau pengkaji sistem dunia, seperti Ian Roxborough, bermula dengan merujuk dan membincangkan “teori pergantungan” Frank. Menurut Roxborough, salah satu kriteria unggul dalam teori Frank ialah teori itu merangkumi entiti, kawasan, dan juga kelas sosial, dan oleh itu, hubungan antara tuan tanah dengan kaum tani juga menunjukkan satu bentuk ikatan satelit-metropolis, sama seperti ikatan  antara kawasan yang renggang.[vi] Tambah beliau, rangkuman dan penggunaan konsep lebihan bagi menggantikan konsep lebihan nilai Marxislah yang membolehkan Frank mengatasi dua fenomena yang berbeza, iaitu hubungan eksploitasi antara kelas sosial dan hubungan perpindahan nilai antara wilayah ekonomi, dengan metafora satu siri ikatan satelit-metropolis yang menghubungkan kaum tani Bolivia dengan kapitalis New York. Roxborough memetik penjelasan Frank dalam karya awalnya:
            Percubaan untuk menerangkan struktur sosial satelit-metropolis dan perkembangan kapitalisme telah menyebabkan saya tidak menumpukan perhatian sewajarnya, khususnya kepada perhubungan dan struktur kelas.  Ini tidaklah bermakna bahawa analisis kolonial ini mempunyai matlamat sebagai pengganti kepada analisis kelas.  Sebaliknya, analisis kolonial ini bertujuan untuk melengkapkan analisis kelas serta meneroka dan menekankan aspek struktur kelas yang masih kabur dalam negara mundur.[vii]
Walau bagaimanapun, hujah  Roxborough, malangnya, hasrat tidak selalunya dapat ditunaikan. Salah satu kritikan yang dibuat terhadap karya Frank adalah tidak menganalisis hubungan eksploitasi dari segi kelas sosial. Jawapan Frank telah menegaskan lagi perlunya memahami kemunduran dari segi kelas.       
            Menurut Frank, hubungan metropolis-satelit terdapat pada semua peringkat kapitalisme dunia, iaitu antara negara dan dalam sesebuah negara. Proses eksploitasi bermula dalam negara apabila metropolis tempatan mengambil lebihan yang dihasilkan oleh satelit tempatan. Proses ini berterusan ke peringkat yang lebih tinggi dan dalam sistem itu, lebihan ekonomi mengalir ke atas mengikut corak hierarki berangkai sehingga sampai ke peringkat metropolis dunia.[viii]
            Frank dan Wallerstein yang memperkenalkan teori kemunduran adalah antara beberapa orang penulis yang cuba mengutarakan teori yang berlainan daripada teori klasik Marx tentang perkembangan kapitalis dalam bentukan masyarakat pinggir. Mereka menolak pandangan yang menyatakan bahawa kapitalisme bersifat “progresif.”[ix] Penulisan Frank yang berdasarkan pengalaman sejarah negara Amerika Latin, menolak dengan tegas teori dualisme, dan sebaliknya mendakwa bahawa pembangunan dan kemunduran negara membangun merupakan aspek atau kesan proses pembangunan dunia kapitalis. Beliau juga mengutarakan hujah bahawa perkembangan kapitalisme dalam bentukan masyarakat pinggir menghancurkan ragam pengeluaran prakapitalis  dengan amat pesat dalam bentukan masyarakat tersebut, dan menggantikannya dengan hubungan pasaran yang disifatkannya sebagai kapitalis.[x]
            Sebagaimana Roxbrough, Ishak Shari juga mengetengahkan kelemahan besar analisis Frank dan kritikan terhadap beliau. Salah satu kelemahan utama yang ditekankan oleh para penulis, ialah tumpuan Frank kepada hubungan pertukaran untuk menentukan, sama ada sesuatu ragam pengeluaran terus kekal bersifat prakapitalis ataupun telah mengalami perubahan kepada ragam pengeluaran kapitalis. Dengan berbuat demikian, Frank dikatakan mengabaikan keadaan pengeluaran yang berbeza-beza yang terdapat dalam sesebuah bentukan masyarakat pinggir. Frank menggunakan konsep kapitalisme secara longgar dan dengan berbuat demikian, segala bentuk proses kerja dan hubungan pengeluaran telah disifatkannya sebagai kapitalis.  Kriteria utama yang digunakannya ialah penglibatan dan penyerapan proses tersebut dalam rangkaian perdagangan dunia. Sebenarnya, kegiatan pertukaran komoditi dan kemunculan modal komersial atau modal saudagar dengan sendirinya bukan merupakan syarat yang cukup untuk kewujudan kapitalisme. Banyak pengkaji menunjukkan bahawa penggunaan wang dan kegiatan perdagangan komoditi telah dijalankan oleh berbagai-bagai masyarakat yang wujud sebelum kemunculan kapitalisme. Oleh yang demikian, kajian yang bermakna tentang kapitalisme haruslah melibatkan analisis keadaan dalam bidang pengeluaran dan tidak hanya dalam bidang pertukaran dan hubungan pasaran.[xi]
            Kemunculan Wallerstein dengan analisis sistem dunia, yang dikatakan mengemukakan hujah yang sama dengan yang dikemukakan oleh Frank. Wallerstein, yang mencadangkan satu cara radikal bagi menghadapi masalah luaran dalaman, yang merupakan satu persoalan pokok, tetapi tidak terdapat jawapan yang mudah, mengambil sistem dunia sebagai unit analisisnya.  Hujah beliau, negara berdaulat dan masyarakat nasional, bukanlah sistem sosial dan seseorang itu hanya boleh bercakap tentang perubahan sosial dalam sistem sosial. Sistem sosial dalam skema ini ialah sistem dunia.[xii]
            Teori sistem  dunia memberikan tumpuan kepada struktur sistem dunia kapitalis dan ekonomi dunia dan bukan kepada pengalaman pembangunan sesebuah negara tertentu.  Wallerstein mendesak supaya sistem sosial dilihat sebagai satu keseluruhan. Ini bermaksud bahawa sistem kapitalis dunia tidak boleh diubah secara satu persatu, tetapi keseluruhan sekali gus, sama ada dengan keseluruhannya mengalami kehancuran ataupun mungkin menerusi gerakan revolusioner seluruh dunia yang bermula di negara separuh pinggir. Teori ini juga menganalisis proses sejarah yang khusus dan bukan undang-undang/hukum pembangunan yang sejagat. Berdasarkan sistem dunia sebagai unit analisisnya, Wallerstein mentakrifkan apakah pengaruh luaran yang menerangkan kurang pembangunan di negara Dunia Ketiga.  Beliau memberikan perhatian yang terperinci kepada persejarahan struktur dan pertumbuhan ekonomi dunia..[xiii]
            Menurut Wallerstein, sejak abad ke-16 lagi sudah terbentuk satu sistem sosial, iaitu sistem ekonomi dunia kapitalis yang berasaskan pembahagian kegiatan pengeluaran mengikut kawasan, dan segala kegiatan pengeluaran dijalankan dengan tujuan untuk dipasarkan dan mendapatkan keuntungan maksimum. Menurut beliau lagi, sistem tersebut terbahagi kepada tiga kawasan, iaitu “negara pusat,” “negara separuh pinggir,” dan “negara pinggir,” dengan sifat setiap kawasan ditentukan berdasarkan taraf teknik kegiatan pengeluaran dan cara “pengawalan buruh” yang diamalkan oleh golongan berkuasa.[xiv]
            Seperti juga analisis Frank, Wallerstein menegaskan bahawa “negara pusat” membangun dengan mengeksploitasi “negara pinggir.” Oleh yang demikian, beliau sefikiran dengan Frank yang menganggap persoalan peralihan kapitalisme sebagai persoalan hubungan perdagangan dan dikaitkan dengan perkembangan dan pengkhususan. Seperti juga Frank, beliau berpendapat bahawa tidak timbul persoalan peralihan kepada kapitalisme dalam bidang pertanian dalam bentukan masyarakat pinggir.[xv]
            Seperti analisis Frank, pemahaman Wallerstein mengenai asal sistem dunia merujuk kepada perubahan konsep ragam pengeluaran.  Kesimpulannya, sama juga dengan kesimpulan Frank, (iaitu semua bahagian dalam sistem dunia adalah dianggap sebagai kapitalis). Hujah Wallerstein:
            Hubungan pengeluaran yang menjadi takrif kepada sesuatu sistem ialah hubungan pengeluaran kepada keseluruhan sistem, dan sistem pada peringkat ini, pada masa itu, ialah ekonomi dunia Eropah. Buruh bebas memang merupakan suatu ciri yang mentakrifkan sistem kapitalis, tetapi bukanlah buruh bebas dalam keseluruhan perusahaan pengeluaran. Buruh bebas ialah satu bentuk kawalan negara utama, manakala buruh paksa digunakan untuk kerja kurang mahir dalam kawasan pinggir. Kombinasi kedua-duanya ialah inti kepada kapitalisme.[xvi]
Bukan sahaja tidak terdapat perbezaan yang besar antara mereka berdua, bahkan Wallerstein juga terdedah dengan kritikan Laclau bahawa penglibatan dalam ekonomi dunia bukanlah satu alasan yang cukup bagi menganggap sesuatu itu sebagai kapitalis.
            Seorang lagi pendukung sistem dunia, iaitu Samir Amin, menegaskan bahawa kapitalisme telah menjadi satu sistem dunia, dan bukan semata-mata satu rangkaian kepada “kapitalisme nasional.” Oleh yang demikian, kontradiksi sosial yang menjadi ciri sistem kapitalis berlaku dalam satu peringkat dunia, iaitu kontradiksi itu bukanlah antara borjuis dengan proletar dalam setiap negara secara terpisah, tetapi adalah antara golongan borjuis dengan kaum proletar di seluruh dunia.[xvii] Penyataan Amin ini merupakan peralihan daripada peringkat analisis yang sesuai untuk sistem ekonomi kapitalisme (seluruh dunia) kepada struktur sosial (umumnya, pada peringkat nasional).[xviii] 
            Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Amin adalah antara yang memajukan konsep “kapitalisme pinggir,” dan beliau bersetuju dengan pendapat asas yang diutarakan oleh pendekatan artikulasi antara ragam pengeluaran, yakni ragam pengeluaran kapitalis dikatakan tidak dapat berkembang di negara membangun dan tersangkut dalam keadaan peralihan yang tersekat. Oleh itu, beliau berpendapat bahawa proses pengumpulan dan perkembangan modal di negara membangun harus dianalisis dalam konteks perkembangan kapitalisme di peringkat antarabangsa yang mengakibatkan pembangunan tidak seimbang antara bentukan masyarakat “pusat” dengan bentukan masyarakat di kawasan “pinggir.”[xix]  Dengan menggunakan konsep “pusat-pinggir” ini, nampaknya Amin sependapat dengan Frank dan Wallerstein. Selain dalam Accumulation on a World Scale: A Critique of the Theory of Underdevelopment, ramalan masa depan sistem dunia Amin dapat diteliti dalam Obsolescent Capitalism: Contemporary Politics and Global Disorder, Dalam buku ini, Amin antaranya menegaskan bahawa kapitalisme yang usang, yang bermaksud sistem ini memasuki keadaan kekacauan kekal, yang akan membawa sama ada, dalam kes terbaik, kepada peralihan panjang kepada sosialisme, ataupun dalam kes teruk, kepada malapetaka dan bunuh diri kemanusiaan.[xx]
            Seorang lagi pengkaji atau penulis yang wajar dinyatakan di sini, iaitu  “geng empat Marxis” – Amin, Frank, dan Wallerstein, ialah Giovanni Arrighi, yang membincangkan penggantian hegemoni sejarah, selepas protohegemoni negara kota Venice dan Genoa di Itali  Renaissance.  Naratif beliau kemudian berpindah kepada tiga hegemoni agung zaman moden, bermula dengan Republik Belanda pada abad ke-17, kemudian  kemudian hegemoni British dan imperialisme perdagangan bebas pada abad ke-19, dan akhir sekali, hegemoni Amerika Syarikat dan kebangkitan sistem perusahaan bebas pada abad ke-20.[xxi]  Pemacu rentetan ini ialah, pengumpulan modal.
            Perbincangan tentang konsep dan perdebatan tentang sistem dunia, memberikan gambaran umum  bahawa sistem itu wujud ketika zaman kapitalisme dan bukannya zaman prakapitalisme.  Seperti yang ditegaskan oleh Wallerstein, “dunia yang kita diami sekarang, iaitu sistem-dunia moden, mempunyai asal-usulnya pada abad ke-16. Sistem-dunia ini ketika itu  bertempat hanya bahagian dunia, terutamanya di bahagian Eropah dan Amerika, dan kemudiannya berkembang ke seluruh dunia. Sistem-dunia ialah dan selalunya ekonomi-dunia.  Sistem-dunia ialah dan selalunya ekonomi-dunia kapitalis.”[xxii] Tambah beliau, kapitalisme bukan hanya semata-mata kewujudan orang atau firma yang mengeluarkan barang untuk dijual dalam pasaran dengan hajat untuk memperoleh untung. Orang dan firma sedemikian telah pun wujud sejak beribu-ribu tahun di seluruh dunia. Bukan juga kewujudan orang yang bekerja untuk upah cukup sebagai  takrif. Buruh upah juga diketahui sejak beribu-ribu tahun.  Kita hanya dalam sistem kapitalis apabila sistem itu memberikan keutamaan kepada pengumpulan modal  tidak habis-habis. Dengan menggunakan takrif tersebut, hanya sistem-dunia yang mempunyai sistem kapitalis. Pengumpulan tidak habis-habis merupakan konsep yang sangat mudah: bermaksud bahawa orang dan firma mengumpulkan modal untuk menambah lebih banyak modal, proses yang berterusan dan tidak henti-henti.[xxiii] Bagi Wallerstein, ekonomi-dunia dan sistem kapitalis bergerak seiringan. Sistem kapitalis tidak boleh wujud dalam mana-mana rangka, kecuali dalam ekonomi-dunia. Berdasarkan takrif dan konsep tersebut seolah-olahnya sistem dunia hanya relevan atau berkaitan dengan zaman  kapitalis  dan tidak ada kena mengena dengan zaman prakapitalis.
            Namun begitu, oleh sebab kajian sistem dunia terus berkembang, maka  beberapa “teori” atau analisisnya baharu dapat dikenal pasti.  Beberapa orang  pengkaji atau penulis lain, dan bahkan  Frank  sendiri    tidak membiarkan sistem dunia mereka  terikat dengan  dunia kapitalis semata-mata.  Frank jelas  cuba menjauhkan dirinya daripada “sistem dunia moden” Amin dan Wallerstein.



[i] Sesetengah pengkaji, misalnya Immanuel Wallerstein menggunakan sempang untuk sistem-dunia dan dua subkategorinya, iaitu ekonomi-dunia dan empayar-dunia. Sempang diletakkan bertujuan untuk menandakan bahawa kita tidak bercakap tentang sistem, ekonomi, empayar (seluruh) dunia ini, tetapi tentang sistem, ekonomi, empayar yang ialah dunia (akan tetapi, kemungkinan dan memang biasanya, tidak merangkumi seluruh dunia). Ini merupakan konsep penting untuk digarap. (Rujuk  Immanuel Wallerstein, 2005. World-System Analysis: An Introduction. Cetakan Kedua. Durham: Duke University Press, hlm. 16 – 17.) Saya akan mengekalkan penggunaan asal pengkaji atau penulis, sama ada  sistem-dunia ataupun tanpa sempang, sistem dunia.
[ii] John Bellamy Foster, 2014. The Theory of Monopoly Capitalism, hlm. 160.
[iii] M.N. Pearson, 1997.  “World-System Before Capitalism”, dlm. Sydney Studies in Society and Culture, Jilid 15, hlm.  163.
[iv] Wallerstein keberatan menggunakan istilah “teori,” sebaliknya beliau menggunakan analisis sistem-dunia. (Rujuk Immanuel Wallerstein, 2004. The Uncertainties of Knowledge. Philadelphia: Temple University Press, hlm. 83.)
[v] Rahimah Abdul Aziz, 2001. Pengantar Sosiologi Pembangunan, hlm. 100.
[vi] Ian Roxborough, 1983. Teori-teori Kemunduran,  hlm. 61.
[vii] Ian Roxborough, 1983, hlm. 62.
[viii] Rahimah Abdul Aziz, 2001, hlm. 88.
[ix] Ishak Shari, 1988. Pembangunan dan Kemunduran: Perubahan Ekonomi Luar Bandar di Kelantan, hlm. 29.
[x] Ishak Shari, 1988, hlm. 31 – 32. Rujuk juga Rahimah Abdul Aziz, 2001, hlm. 98.
[xi] Ishak Shari, 1988, hlm. 32 – 33.
[xii] Ian Roxborough, 1983, hlm. 69 – 70. Rujuk juga  Rahimah Abdul Aziz, 2001, hlm. 100.
[xiii] Rahimah Abdul Aziz, 2001, hlm. 100 – 101.
[xiv] Ishak Shari, 1988, hlm. 33; Jomo Kwame Sundaram, 1986. A Question of Class:  Capital, the State, and Uneven Development in Malaya,  hlm. 306; Rahimah Abdul Aziz, 2001, hlm. 101.
[xv] Ishak Shari, 1988, hlm. 34.
[xvi] Ian Roxborough, 1983, hlm. 70.
[xvii] Ian Roxborough, 1983, hlm. 63 – 64.
[xviii] Ian Roxborough, 1983, hlm. 64.
[xix] Ishak Shari, 1988, hlm. 42.
[xx] Samir Amin, 2003. Obsolescent Capitalism: Contemporary Politics and Global Disorder. Diterjemah oleh Patrick Camiller. London:  Zed Books, hlm. 92 – 93.
[xxi] Giovanni Arrighi, 2000. The Long Twentieth Century, Bab 1 (hlm. 27 – 84.
[xxii] Immanuel Wallerstein, 2005, hlm. 23; huruf condong oleh beliau sendiri.
[xxiii] Immanuel Wallerstein, 2005, hlm. 24; huruf condong oleh beliau sendiri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...