Artikel Popular

Thursday, August 8, 2019

Sebilangan Wanita dalam Dunia Lelaki

KHAMIS, 8 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Memulakan kerjayanya sebagai ahli ekonomi penyelidikan pada tahun 1979 di South-East Asian Central Bank Research and Training Centre atau ringkasnya, SEACEN  (sangkut dengan IMF dan Bank Dunia),  Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menyertai Bank Negara Malaysia pada tahun 1985 sebagai timbalan pengurus Jabatan Ekonomi. Dari tahun 1989 hingga 1994, beliau  berkhidmat  sebagai ketua perwakilan di Pejabat Perwakilan Bank Negara Malaysia di London. Apabila kembali ke Malaysia, beliau   memegang jawatan ketua Jabatan Ekonomi sebelum dinaikkan pangkat sebagai  penolong gabenor Bank Negara pada tahun 1995. Pada 1 September 1998, ketika kemuncak krisis kewangan Asia, beliau dilantik sebagai pemangku Gabenor Bank Negara Malaysia, mengetuai pasukan kawalan pertukaran asing.  Beliau kemudian memegang jawatan Timbalan Gabenor selama dua tahun sebelum  dilantik sebagai gabenor Bank Negara Malaysia pada Mei 2000, menggantikan Tan Sri Dr. Ali Abul Hassan  Sulaiman,  merupakan wanita pertama yang dilantik menerajui bank pusat   di Asia.
Wharton Magazine dalam mukadimah wawancara  tersebut   menyatakan bahawa selepas dilantik sebagai gabenor, Dr. Zeti menetapkan ekonomi negara pada keadaan mapan, hala lebih inklusif, dan dalam proses menjadi pemimpin ekonomi di seluruh Asia dan dunia Islam. Sejak itu, beliau mendapat sanjungan sebagai gabenor Bank yang terkemuka, kalaupun tidak satu-satunya terkemuka, dan terus menerus menjadi perintis.  Malaysia mengharungi krisis kewangan global tahun 2009 dengan kerosakan minimum, dan sebagai contoh, apabila Malaysia menaikkan kadar faedah pada tahun 2010, India dan China menyusul.
Dalam wawancara  itu Dr. Zeti juga berbicara tentang pemimpin agung yang menurut  beliau: “Mereka yang menyumbang ke arah mewujudkan masa yang depan yang lebih baik. Mereka ialah pemimpin yang mampu membayangkan ke hadapan dan menumpukan perhatian bukan hanya sekadar hasil segera dan jangka pendek, tetapi terhadap hasil jangka sederhana dan jangka panjang.”  Majalah itu memberitahu bahawa Dr. Zeti ialah model peranan untuk para pelajar Wharton masa kini dan orang muda dalam bidang kewangan di seluruh dunia.
Sebenarnya, Dr. Zeti merupakan sebilangan kecil wanita  yang merupakan tokoh atau orang bertokoh  dalam dunia ekonomi dan kewangan yang boleh dikatakan dikuasai oleh kaum lelaki; antara yang lain,  Christine Lagarde, pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Janet Yellen, pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, dan Sri Mulyani Indrawati, pengarah urusan Kumpulan Bank Dunia. 
Apabila  Dominique Strauss-Kahn, pengarah urusan IMF meletakkan jawatan  kerana menghadapi tuduhan pencabulan seksual  di New York, Dr. Zeti adalah antara nama yang dicadangkan untuk jawatan yang lazimnya dipegang oleh orang Eropah, manakala orang Amerika untuk Bank Dunia.  William Pesek, kolumnis Bloomberg News,  mencadangkan empat calon  Asia yang memang hebat yang  patut dipertimbangkan  untuk mengisikan kekosongan itu, iaitu  Haruhiko Kuroda, ahli ekonomi Jepun yang sejak tahun 2004, mengetuai Bank Pembangunan Asia (ADB), Sri Mulyani Indrawati yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Indonesia dari tahun 2005 hingga 2010, Zeti Akhtar Aziz, dan  Montek Singh Ahluwalia, bekas ketua Pejabat Penilaian Bebas IMF dan pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan Kementerian Kewangan India pada tahun 1991.
Untuk Dr. Zeti, tulis Pesek, “beliau dihormati di peringkat antarabangsa kini. Gabenor Bank Negara Malaysia ini memainkan peranan penting dalam mengubah Kuala Lumpur menjadi hub global industri kewangan Islam AS$1 trilion.”  Pesek  mengimbas krisis kewangan Asia 1997/1998, yang Dr.  Zeti juga merupakan bahagian pasukan yang menentang IMF dan menang.  Pada akhir tahun 1990-an, tidak dapat tidak, Malaysia berkemungkinan menyertai Thailand, Indonesia, dan Korea Selatan dalam menerima pelan penyelamat (bail-out) berbilion-bilion dolar daripada IMF dan syarat ketat, seperti kenaikan kadar faedah, pemotongan perbelanjaan, dan membiarkan syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab gagal.
“Malaysia kata tidak,” tulis Pesek, “dan Zeti membantu Malaysia mengharungi gelora. Dan kemudian, beliau melihat Amerika Syarikat yang benar-benar hipokrit, melakukan semua perkara yang Amerika Syarikat beritahu pegawai Asia jangan lakukannya.  Zeti akan membawa perspektif yang berbeza untuk IMF, sesuatu yang amat diperlukan.”
(Dipetik daripada Bab Enam, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...