Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Apabila DEB berakhir pada tahun
1990, didapati tindakan afirmatif dari segi pembasmian kemiskinan mencapai
kejayaan yang besar apabila “kemiskinan mutlak dalam kalangan orang Melayu
dikurangkan daripada 64.8 peratus pada tahun 1970 kepada 20.4 peratus pada
tahun 1990” (Gomez, Saravanamuttu, dan
Maznah, 2013: 9). Pengurangan kemiskinan
ini dihasilkan oleh kedua-duanya, iaitu pertumbuhan ekonomi yang pesat
berikutan perindustrian dan tindakan afirmatif kerajaan yang tersebar luas, terutamanya
dalam sektor luar bandar dan pendidikan (Ragayah, 2013: 56).
Telah diakui akan peranan
pendidikan dalam meningkatkan produktiviti
dan tahap pendapatan, dengan itu, DEB memberikan tumpuan terhadap
pendidikan untuk cara membasmikan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dua dekad pelaksanaan DEB pertumbuhan yang
sangat besar kaum bumiputera menjadi terpelajar
pada semua tahap, rendah, menengah, dan tertiari, dan dalam semua
bidang. Program pendidikam, termasuk
kuota pengambilan masuk ke universiti, biasiswa, dan subsidi lain dalam bidang
pendidikan, membantu bumiputera meningkatkan kapasiti perolehan upah mereka,
yang membawa kepada pengurangan petunjuk kemiskinan (Ragayah, 2013: 52).
Namun begitu, pada penghujung perkhidmatannya sebagai
Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad kelihatan
mula berundur daripada program tindakan afirmatif dan mula menerima pakai
meritokrasi, misalnya dalam bidang
pendidikan, iaitu “menawarkan untuk melepaskan kuota bumiputera untuk kemasukan
ke universiti” (Karim, 2003: 138). Perubahan ini, iaitu daripada sistem kuota
kepada meritokrasi, menurut pemerhatian Muhammed Abdul Khalid, “menghalang
mobiliti sosial golongan miskin dan bumiputera” (Muhammed, 2014: 168). Muhammed menjelaskan bahawa sistem
kuota yang digantikan dengan sistem meritokrasi pada Januari 2003, dan
akibatnya, bukan bumiputera mempunyai bahagian yang lebih besar kemasukan ke
universiti awam. Misalnya, pengambilan
pada tahun 2004 menunjukkan bukan bumiputera menerima manfaat paling banyak
daripada anjakan dasar ini, dengan pelajar India dan Cina masing-masing
meningkat sebanyak 46 peratus dan 36 peratus, pelajar bumiputera hanya
meningkat sebanyak 10 peratus. Angka pada tahun sebelumnya menunjukkan pelajar
Cina melihat pengambilan mereka meningkat sebanyak 27 peratus pada tahun 2003
berbanding dengan tahun 2002, manakala pelajar bumiputera meningkat tiga
peratus (Muhammed, 2014: 169). Muhammed juga membandingkan jurang pendapatan
relatif antara bumiputera dengan Cina dalam era tiga Perdana Menteri, yang
menurut beliau, pascatahun 2009,
menyaksikan jurang tersebut semakin melebar. Jurang pendapatan relatif melebar
sebanyak 10 peratus dalam tempoh 2009 – 2012, iaitu era Perdana Menteri Najib
Tun Abdul Razak, manakala jurang ini dipotong separuh semasa pentadbiran Tun
Abdullah Badawi. Sebagai perbandingan,
ketika era Mahathir, jurang pendapatan antara Cina dengan bumiputera dipotong
kira-kira 10 peratus (Muhammed, 2014: 94 – 95).
(Dipetik daripada Bab Sepuluh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, yang dapat diiperoleh melalui e-Sentral.)
No comments:
Post a Comment