Artikel Popular

Friday, August 2, 2019

“Turki Muda” dan Golongan Pendidikan Cina

JUMAAT, 2 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Kira-kira empat tahun menyertai   MCA, Tun Dr. Lim Chong Eu mencabar dan  berjaya menewaskan pengasas dan penjawat kini, Tun  Tan Cheng Lock.  Kejayaan beliau itu dikaitkan dengan kebangkitan “Turki Muda” atau dalam bahasa Inggeris disebut Young Turks. Jelas bahawa kebangkitan Turki Muda  dalam MCA jauh lebih awal daripada kebangkitan golongan itu dalam UMNO yang muncul pada tahun 1969. “Pemimpin MCA yang berfahaman lama, Old Guard (Pengawal Tua), seperti Tan Cheng Lock, (Tun) Tan Siew Sin,  Ong Yoke Lin (Tun Omar Yoke Lin) yang kaya-kaya dan menjadi ahli perniagaan yang berjaya, telah digulingkan oleh Turki Muda yang diketuai oleh Dr. Lim Chong Eu dan disokong oleh orang kaya juga.  Kumpulan Turki Muda ini  tidak setuju tolak ansur  tentang bahasa, pendidikan, dan perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan yang dipersetujui oleh pemimpin Pengawal Tua”  (Ibrahim, 1986: 58). Lim disokong oleh Turki Muda radikal, seperti Too Joon Hing, Yong Pung How, dan Ng Ek Teong.  Beberapa orang penyokong kuat beliau juga terpilih untuk jawatan tinggi dalam MCA, misalnya Too dipilih sebagai setiausaha agung parti.  Kemenangan Lim dalam pemilihan parti membangkitkan kemarahan Pengawal Tua, yang kebanyakannya penyokong setia Tan Cheng Lock (Tan & Teoh, 2016: 39). Golongan Turki Muda ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai “perkauman melampau” (Tan & Teoh, 2016: 39).
            Apabila pemimpin baharu yang diketuai oleh Dr. Lim Chong Eu membangkitkan soal bahasa dan dasar pelajaran, mereka disokong oleh guru-guru dan murid-murid sekolah Cina yang berdemonstrasi pada akhir tahun 1957, membantah dasar pelajaran (Ibrahim, 1986: 58). Dalam MCA, timbul dua puak, satu golongan yang diketuai oleh Tan Cheng Lock yang mementingkan perpaduan negara dan satu golongan lagi yang diketuai oleh Dr. Lim Chong Eu yang mementingkan hal-hal kecinaan dan hal-hal ketanahmelayuan.  Malah, Lim berjanji kepada orang Cina bahawa MCA akan mencari jalan untuk menukar dasar pelajaran yang berat kepada orang Melayu itu (Ibrahim, 1986: 58).  Pucuk pimpinan baharu ini didapati lebih lantang dalam memperjuangkan hak dan kepentingan masyarakat Cina dan menyatakan pendiriannya secara terbuka untuk mendapatkan kesamaan hak dan memastikan pengekalan bahasa dan sekolah Cina (Thock, 2005: 47).
            Tuntutan Lim tentang pelajaran dan bahasa Cina adalah bertentangan dengan dasar yang telah dipersetujui oleh tokoh-tokoh MCA sebelum itu. Golongan Turki Muda ini disokong pula oleh Persatuan Guru Sekolah Cina Bersatu (UCSTA) yang menjadi baharu pelajaran Cina (Ibrahim, 1986: 58 – 59).  UCSTA ditubuhkan pada 25 Ogos 1951 bagi membantah Ordinan Pelajaran 1952, dan mereka disertai pula pada 21 April 1954 oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (UCSCA). Lim dan Too Joon Hing, setiausaha agung MCA yang bersuara lantang, bersimpati dengan pendirian UCSTA dan Jawatankuasa Pusat Pendidikan Cina MCA (MCACECC), terutamanya kerana pilihan raya tahun 1959 semakin hampir. UCSTA mendapat galakan sehingga mereka menuntut agar bahasa Cina diiktiraf sebagai bahasa rasmi, suatu tuntutan yang tidak realistik memandangkan untuk mengiktiraf bahasa Cina sebagai bahasa rasmi Tanah Melayu memerlukan pindaan Perlembagaan yang mustahil dicapai tanpa sokongan UMNO (Kobkua, 2017: 161).
Dengan kemenangan kumpulan Dr. Lim itu golongan pendidikan Cina mendapat sokongan yang kuat daripada mereka.  Ketika menyampaikan ucapan dalam persidangan yang dianjurkan oleh golongan pendidikan Cina di Johor pada 27 Mei 1958, Lim secara terbuka menyatakan sokongan terhadap pembangunan pendidikan Cina di Malaysia [sic].  Seterusnya, beliau merombak MCACECC demi memastikan bahawa MCACECC dapat memainkan peranan berkesan untuk memudahkan kerjasama MCA dengan golongan pendidikan Cina (Tan & Teoh, 2016: 40). Atas dukungan Lim, MCACECC memulakan tugas perjuangannya menganjurkan  Persidangan Kebangsaan Tentang Pendidikan Cina di Ipoh pada 29 November 1958, dengan lebih 250 orang perwakilan menghadiri persidangan itu (Thock, 2005: 47; Tan & Teoh, 2016: 40).  Dalam persidangan itu, Lim berucap menyokong pendidikan Cina (Thock, 2005: 47) dan mengecam dasar pendidikan kerajaan dan menyatakan dasar pendidikan yang paling adil dan berkesan di Malaya ialah melalui bahasa ibunda.  Persidangan itu menggesa kerajaan agar menerima bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi negara dan memasukkan permintaan ini dalam manifesto pilihan raya tahun 1959 serta menyemak semula dasar pelajaran agar bahasa peperiksaan sama dengan bahasa pengantar di sekolah Cina (Cheong, 2013: 53). Sebagai pemimpin baharu MCA, Lim cuba  menggunakan  persidangan itu untuk memperkukuh kedudukannya, manakala  “pendidik Cina menggunakan kesempatan itu untuk menguji kepimpinan baharu MCA untuk meluluskan resolusi mengiktiraf bahasa Cina sebagai bahasa rasmi” (Tan, 2010: 155).
Seterusnya, pada 26 April 1959, 1200 orang wakil dari 747 buah pertubuhan Cina telah mengadakan satu perjumpaan di Stadium Chinwoo, Kuala Lumpur, dan mengemukakan beberapa permintaan kepada kerajaan.  Antaranya, kerajaan perlu memberikan layanan yang adil kepada sekolah vernakular dan menambahkan peruntukan kepada sekolah menengah Cina, di samping bahasa ibunda harus dijadikan bahasa pengantar dan peperiksaan (Thock, 2005: 48; Cheong, 2013: 53). Sepucuk surat daripada Lim Chong Eu menyatakan permintaan itu dikemukakan kepada Tunku Abdul Rahman, tetapi Tunku menolak permintaan tersebut  (Cheong, 2013: 53).
Persubahatan antara Dr. Lim dengan pendidik Cina itu menjadi faktor yang menyebabkan hubungan antara MCA dengan UMNO merenggang. UMNO menuduh MCA telah membuat tuntutan secara terbuka berhubungan isu pendidikan Cina, padahal dia sepatutnya menyelesaikan isu itu dengan berunding dalam parti mengikut tatacara Perikatan. Hubungan antara MCA dengan UMNO semakin merenggang ekoran tuntutan Dr. Lim agar MCA diperuntukkan kerusi tambahan dalam pilihan raya umum 1959. Tuntutan itu ditujukan  kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, dalam sepucuk surat peribadi yang ditulis oleh Lim. Akan tetapi, sebelum Tunku sempat mengambil tindakan ke atas tuntutan itu, isi kandungan surat itu sudah bocor secara sengaja kepada akhbar dengan tujuan untuk mengenakan tekanan ke atas Tunku agar bersetuju dengan tuntutan itu (Tan, 2010: 156). Ibu pejabat MCA dikatakan menghebahkan kandungan penuh surat Lim itu kepada orang ramai (Ibrahim, 1981: 732). 
Dalam surat  yang panjang lebar bertarikh 22 Jun 1959, Lim menuntut sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen diperuntukkan kepada MCA untuk pilihan raya  yang akan diadakan pada tahun itu. Tulis Lim, “sekiranya kita menyemak pemecahan undi-undi dalam kawasan-kawasan pilihan raya, kita akan dapat melihat bahawa semenjak dua tahun yang lalu MCA telah bekerja sebegitu rupa dalam gerakan kerakyatan dan pendaftaran pengundi sehingga kita sepenuh-penuhnya menumpahkan tanggungjawab kita sebagai satu rakan Perikatan yang berguna sekali” (Ibrahim, 1981: 735). Perkara kedua yang dibangkitkan oleh beliau adalah “mengenai masalah pelajaran dan kesempatan hidup untuk anak-anak kita” (Ibrahim, 1981: 735). “Dalam Majlis Mesyuarat Undangan yang lalu kita telah membincangkan masalah ini dan Tuan telah menasihatkan Datuk Abdul Razak (Tun Abdul Razak) supaya membincangkan masalah ini dengan saya.  Ringkasnya, pendapat saya ialah bahawa kita hendaklah menunjukkan dengan jelas dalam manifesto Perikatan bahawa kita bermaksud mengulang kaji keseluruhan pelaksanaan dasar pelajaran daripada apa yang kita alami semenjak dua tahun yang lalu. Tetapi yang lebih penting ialah kita mesti dengan tegas, membentangkan dasar kita untuk pelaksanaan ceraian 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu” (Ibrahim, 1981: 736). Kandungan penuh  surat Dr. Lim kepada Tunku Abdul Rahman itu dapat dilihat dalam Ibrahim Mahmood (1981: 732 – 737).
Surat itu cukup menyedarkan Tunku Abdul Rahman terhadap hak sama rata yang dituntut oleh MCA.  Antara lain, surat itu menegaskan supaya Tunku berlaku adil kepada semua kaum dalam negara ini, walaupun terdapat peruntukan untuk menjaga kepentingan orang Melayu (Ramlah, 2005: 300).  Sementara itu, ketua Publisiti MCA, Yong Pung How, juga mengeluarkan kenyataan bahawa  jika Perikatan tidak menerima tuntutan Lim, maka MCA akan bertanding dalam pilihan raya yang akan datang dengan bersendirian (Tan & Teoh, 2016: 41).
Dengan tuntutan 40 kerusi itu bermakna jumlahnya meningkat berlipat ganda  jika dibandingkan dengan 15 kerusi pada tahun 1955.  Perhitungan Lim, ialah MCA  dapat  menguasai sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen yang berjumlah 104 kerusi, yang akan  memberikan kuasa tawar menawar  dalam pindaan  Perlembagaan dan melindungi kepentingan kaum Cina.   Dengan tuntutan kerusi sejumlah itu,  akan melibatkan sesetengah kawasan majoriti Melayu, yang pastinya memerlukan tolak ansur dan pengorbanan UMNO – sesuatu yang sukar diperoleh. Perlu dinyatakan  ketika itu  wujud pembangkang  yang mampu memberikan saingan kuat kepada  calon-calon MCA, seperti  Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Barisan Sosialis. 
Walau bagaimanapun, dalam keadaan yang demikian, Tunku mengambil sikap yang tegas dan berani. Dengan menyedari juga keadaan retak sedang membayang dalam Perikatan, khasnya antara MCA dengan UMNO, Tunku, Yang Dipertua (presiden) UMNO menolak tuntutan Dr. Lim Chong Eu, presiden MCA itu dengan sedia menghadapi apa juga akibatnya. Krisis dalam Perikatan telah berlaku.  Masa bagi perpecahan sudah tiba. Untuk terpaksa bersendiri-sendiri menghadapi pilihan raya.  Untuk berkemas sambil menghadapi krisis, UMNO mengadakan satu persidangan perhimpunan agung tergempar di Kuala Lumpur pada 12 Julai 1959 (Ibrahim, 1981: 737).  Tunku dalam ucapannya menegaskan, “bagi pihak UMNO, langkah yang kita ambil itu tidaklah dapat dielakkan kerana jika kita terima tuntutan daripada golongan ketua MCA yang tidak bertanggungjawab itu, bermaknalah UMNO ini tunduk dan kalah kepada mereka itu di atas tuntutan mereka berkenaan soal pembahagian kerusi dan pelajaran Cina yang mereka kemukakan sebagai harga kerjasama dengan kita.  Sekarang, kita telah tolak permintaan yang kita sifatkan sebagai kata dua dan jalan yang harus kita ambil ialah kita berjalan terus bersendirian... Begitu juga sekiranya kita mengambil sikap bersendirian itu, berertilah kita menolak dan mengetepikan setengah-setengah golongan MCA yang memang sentiasa taat setia dan hendak berdamping serta bekerjasama dengan kita. Dan lagi berertilah juga kita menganiaya pihak MCA yang tidak berdosa salam perkara krisis itu”  (Ibrahim, 1981: 738).
Selain mengingatkan  bahawa keselamatan negara ini bergantung pada kerjasama dan perasaan berbaik-baik antara bangsa Melayu dengan orang lain, Tunku juga memperlihatkan ketegasannya sambil  menyerang balas: “Terhadap golongan orang yang menyebabkan krisis ini kita tidak akan beralah dan termakan ugutan kerana perbuatan mereka itu sangat-sangatlah tidak jujur dan tidak ikhlas. Janganlah dicuba hendal ambil hati orang yang seperti ini kerana orang ini bolehlah kita sifatkan sebagai kata pepatah Melayu, ‘diberi betis hendaklah paha’” (Ibrahim, 1981: 738 – 739).  Tunku terutamanya dan UMNO amnya, kedua-duanya sangat terganggu oleh tindakan sedemikian dan mengutuk MCA kerana mengkhianati Perikatan.  Tunku bahkan mengancam MCA bahawa UMNO akan bertanding dalam pilihan raya tahun 1959 tanpa penyertaan MCA (Tan & Teoh, 2016: 42). Tunku berasa marah dengan tuntutan Lim dan menganggap tindakan itu sebagai “tikaman dari belakang” (Thock, 2005: 67).  Bagi Tunku, tindakan Lim adalah mengancam kerana memberi beliau kata dua dan tidak ada ruang untuk berunding.  Tunku  berpendirian tegas dan dengan menyebut MCA temberang pada Julai 1959, beliau mempamerkan realisme politiknya dan keazamannya untuk melindungi orang Melayu daripada apa yang beliau anggap tuntutan yang tidak munasabah dan secara terang-terangan perkauman daripada kepimpinan baharu MCA (Kobkua, 2017: 170). Selanjutnya, Tunku turut mengenakan syarat untuk MCA kekal dalam Perikatan, termasuklah menarik balik semua tuntutan, membersihkan parti daripada para cauvinis tertentu dan beliau mahukan supaya beliau diberikan kuasa untuk memilih sendiri calon yang akan bertanding dalam pilihan raya (Thock, 2005: 67).
Selepas mendapat mandat daripada UMNO, Tunku menulis surat kepada Lim dan disiarkan dalam akhbar-akhbar.  Beliau mencabar Lim dan MCA supaya  keluar daripada Perikatan kerana UMNO tidak bertolak ansur dengan tuntutan MCA.  Kata-kata Tunku itu memeranjatkan Lim  dan anggota MCA yang radikal. Mereka mungkin menduga Tunku tidak akan mengambil tindakan itu kerana MCA terlalu penting bagi Perikatan untuk mendapat sokongan orang Cina dalam menghadapi pilihan raya yang tinggal beberapa minggu sahaja. Cabaran Tunku itu menyebabkan Lim berunding dengan Tan Cheng Lock, penasihat MCA.  Lim dengan nasihat Tan menulis surat kepada Tunku menyatakan pihaknya tidak sanggup memasuki pilihan raya secara bersendirian.  Beliau merayu kepada Tunku dan Perikatan supaya menerima semula MCA dalam Perikatan (Ramlah, 2005: 302).
Pendirian tegas Tunku itu mengejutkan MCA dan mengakibatkan krisis dalam MCA (Tan & Teoh, 2016: 42). Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MCA bermesyuarat  pada 12 Julai 1959 dan mencapai keputusan bahawa Lim sepatutnya menarik balik tuntutan  itu dan menuntut memecat mereka yang bertanggungjawab mencetuskan krisis politik MCA itu (Tan & Teoh, 2016: 42).  CWC juga membuat keputusan menerima syarat Tunku untuk kekal dalam Perikatan (Thock, 2005: 67). Berikutan perkembangan ini, Lim tahu bahawa kedudukannya dalam MCA sudah tiba di penghujungnya dan beliau bercuti sebelum meletakkan jawatan presiden MCA pada September 1959 (Tan & Teoh, 2016: 42). Sumber lain menyatakan Lim meletakkan jawatan pada 30 Julai, atas alasan masalah kesihatan dan mendapatkan rawatan kesakitan automonic dystonia  di England (Tew, 2001: 71). Para penyokongnya meninggalkan parti itu (Thock, 2005: 67). Tindakan keluar parti itu diketuai oleh Yong Pung How.  Mereka menghadapi pilihan raya tahun 1959 sebagai calon bebas. Akhirnya, Yong mengaku bahawa dia sendiri bertanggungjawab  menghantar surat tuntutan kepada UMNO tanpa pengetahuan Lim (Ibrahim, 1986: 59).
Tawaran akhir kepada MCA ialah 31 kerusi bersama-sama dengan beberapa syarat yang ketat, termasuk semua calon MCA yang bertanding atas tiket Perikatan mesti mendapat kelulusan peribadi daripada Tunku, dan bahawa isu pendidikan Cina tidak dimasukkan dalam manifesto pilihan raya Perikatan.  Kepimpinan MCA menyerah kepada keputusan tegas dan bersemangat Tunku (Kobkua, 2017: 170).
Pendirian tegas Tunku terhadap MCA mengakibatkan kekalahan menyeluruh kepimpinan baharu kerana majoriti eksekutif baharu MCA, termasuk Lim meletakkan jawatan presiden MCA (Kobkua, 2017: 170). Dengan peletakan jawatan oleh Lim itu, MCA tidak pernah  lagi mendapat semula sokongan politik pada tahap yang sama yang diperoleh pada peringkat awal daripada komuniti Cina.  Sesetengah sarjana berpendapat bahawa hasil krisis politik antara MCA dengan UMNO telah memperkukuh kedudukan UMNO dalam Perikatan dan MCA tidak lagi mempunyai pengaruh untuk berkongsi kuasa politik dengan UMNO (Tan & Teoh, 2016: 42).  Meskipun jelas bahawa Tunku muncul sebagai pemenang daripada krisis MCA itu, dalam jangka panjang, juga jelas bahawa episod ini yang berjaya dalam memelihara kestabilan politik Tanah Melayu, mempunyai kesan negatif terhadap MCA sendiri.  Bagi sebilangan orang Cina di Tanah Melayu, MCA gagal melindungi kepentingan mereka (Kobkua, 2017: 170).  Sebagai alternatif, mereka mencari kepimpinan baharu di luar MCA untuk membela nasib mereka.
Lim sepatutnya tahu bahawa pakatan sulitnya dengan golongan pendidikan Cina menyimpang daripada model akomodasi elit yang diterima pakai oleh Perikatan.  Beliau ialah salah seorang wakil MCA dalam Jawatankuasa Razak yang menggubal Penyata Razak berasaskan pendirian tolak ansur untuk menyeimbangkan keperluan orang Melayu dan bukan Melayu MCA (Tan & Teoh, 2016: 42). Beliau sendiri mengakui  bahawa beliau  menganggotai Jawatankuasa Razak untuk pembaharuan dasar pelajaran Thuraisingam yang diwujudkan oleh kerajaan Onn (Lim, t.t.: 183).
Sebelum Lim menghantar surat kepada Tunku, Lim Lian Geok, pengerusi UCSTA (atau Jiao Zong), dikatakan menulis sepucuk surat menuntut supaya peperiksaan LCE di sekolah Cina dijalankan dalam bahasa Cina.  Tunku menjawab surat itu bukan sahaja menolak tuntutan itu, tetapi juga mengingatkan bahawa perkara itu tidak patut dibawa pada masa menghadapi pilihan raya yang penting yang akan diadakan dan membawa perkara pelajaran Cina pada masa seumpama itu adalah semata-mata untuk mengugut dan tegas belia: “Saya tidak takut kepada ugutan seumpama itu” (Ibrahim, 1981: 739 – 740).
Nyata bahawa Lim dan kumpulannya cuba mengambil peluang dengan keadaan ketika menghadapi pilihan raya itu untuk mengemukakan tuntutan atas muslihat mereka itu kerana difikirkan masa itu kerjasama dan sokongan orang Cina sangat dikehendaki dan tentulah tuntutan mereka tidak ditolak, tetapi anggapan mereka salah (Ibrahim, 1981: 739 – 740). Akhirnya, Lim mengaku kesilapannya dan beliau sendiri menyatakan bahawa kesilapan ini adalah berbangkit daripada sebilangan kecil dalam MCA yang hendak memecahbelahkan antara UMNO dengan MCA (Ibrahim, 1981: 740).
Berikutan peletakan jawatan Lim itu, Cheah Toon Lok dilantik sebagai pemangku presiden  sebelum kepimpinan MCA diambil alih oleh Tun Tan Siew Sin. Selain pendirian tegas Tunku dan berani mengenakan syarat pada MCA, “dalam parti itu sendiri ada pemimpin, seperti Tan Siew Sin dan Ong Yoke Lin yang rapat dengan Tunku  dan yang mempercayai kepimpinannya, dan mereka tidak bersedia merosakkan pakatan dalam Perikatan dengan menyokong Lim” (Lee, 2008: 496).  Mereka berdua dan beberapa orang lagi menentang Lim dan menyokong kuat sikap yang diambil oleh Tunku (Ibrahim, 1981: 740; rujuk juga Heng, 1996: 41).
Perubahan pucuk pimpinan MCA mempunyai akibat yang sangat besar terhadap gerakan bahasa dan pendidikan Cina.  “Di bawah kepimpinan baharu Tan Siew Sin dan Ong Yoke Lin, MCA membersihkan penyokong dan puak yang bersimpati pro-UCSTA, dan kemudian menerima syarat Tunku menyertai semula Perikatan dan bertanding dalam pilihan raya di bawah panji-panji Perikatan” (Kobkua, 2017: 170). Tidak seperti bapanya, Tan Siew Sin tidak pernah mewujudkan hubungan baik dengan golongan pendidikan Cina, dan bahkan, cuba menjauhkan dirinya daripada mereka.  Malahan, sebelum pelantikannya sebagai presiden MCA dan ketika mesyuarat dengan golongan pendidikan Cina yang diadakan pada 11 Julai 1959, beliau mempertahankan tindakan kerajaan menggunakan bahasa rasmi sebagai pengantar untuk peperiksaan awam untuk memastikan para pelajar yang lulus peperiksaan dapat bekerja dalam sektor kerajaan. Akan tetapi, golongan pendidikan Cina menyangkal dengan hujah bahawa pelajar ini tidak berminat bekerja dalam  sektor kerajaan (Tan & Teoh, 2016: 43).
Kepimpinan baharu MCA, iaitu Cheah Toon Lok, Leong Yew Koh, dan Tan Siew Sin, mempunyai pendirian yang berbeza dengan Dong Jiao Zong. Maka tercetus perbalahan antara pemimpin Jiao Zong dengan pucuk pimpinan MCA dan perpecahan dalam komuniti menyukarkan perjuangan gerakan pendidikan Cina (Cheong, 2013: 54).  Saluran perundingan secara dalaman telah tertutup akibat penukaran pucuk pimpinan MCA. Dengan itu, untuk meneruskan tuntutannya, Dong Jiao Zong terpaksa melancarkan gerakan menentang dasar  kerajaan secara terbuka serta berjuang di luar gelanggang penggubalan dasar.  Tahun 1959 merupakan permulaan penentangan secara terbuka terhadap UMNO dan MCA (Cheong, 2013: 54).  Dong Jiao Zong turut memberikan sokongan kepada sesiapa yang bersedia menyokong perjuangan mereka supaya memberikan tekanan kepada kerajaan, di samping menyampaikan mesej pendidikan Cina kepada pemerintah (Cheong, 2013: 54).  Tindakan berjuang di luar gelanggang menimbulkan kemarahan pihak berkuasa.  Kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pejuang pendidikan Cina. Pada Ogos 1961, sijil kerakyatan dan pendaftaran guru pengerusi Jiao Zong, Lim Lian Geok telah ditarik balik atas alasan memutarbelitkan dasar pendidikan dan tindakannya dilabel berunsur perkauman yang akan membawa kepada kebencian antara kaum (Cheong, 2013: 56).
Di bawah kepimpinan Lim,  MCA mendapat tekanan kuat dari dalam, daripada Turki Muda yang lantang dan agresif, dan juga daripada Pengawal Tua yang masih setia pada Tan Cheng Lock dan anaknya Tan Siew Sin. Tindakan Lim sendiri membawa perpecahan dalam MCA, apabila beliau sebaik-baik sahaja menerajui parti itu  mengadakan mesyuarat agung luar biasa  bagi meminda perlembagaan parti untuk menyatukan kuasa Jawatankuasa Pusat (CC). Walaupun cadangan itu diluluskan, iaitu  dengan kelebihan satu undi, ditentang oleh Tan Siew Sin dan penyokongnya. Dari luar, golongan pendidikan Cina  mengheret  Lim ke dalam kancah perjuangan  bahasa dan pendidikan Cina tanpa mengambil kira sensitiviti orang Melayu dan  tidak menunjukkaan sikap hormat pada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman. Sementara itu,  UMNO yang mula renggang dengan MCA sejak kepimpinan Lim,   memberikan tindak balas yang keras berikutan tindak-tanduk beliau sendiri, yang memulakan permainan. Seperti yang dicatatkan oleh Kobkua Suwannathan Pian, “krisis MCA tahun 1959 yang menggegarkan Parti Perikatan hingga ke peringkat teras, bermula dengan kemenangan Lim pada tahun 1958, menewaskan Tan Cheng Lock.  Kemenangan Lim dan pasukannya yang terdiri pemimpin muda yang agresif bukan sahaja memutuskan hubungan peribadi dan rapat antara pemimpin UMNO dengan pemimpin MCA, tetapi juga membawa bersama-sama pendekatan baharu ke arah cara memberi dan menerima yang lazim dalam menyelesaikan masalah antara parti.  Hal ini semakin jelas kerana pilihan raya tahun 1959 semakin hampir. Kepimpinan baharu dalam MCA kelihatan menerima pendirian UCSTA tentang sistem pelajaran tahun 1957 dan pelaksanaannya, dan dengan itu, merosakkan kepercayaan bersama perpaduan UMNO-MCA” (Kobkua, 2017: 169).
Setakat ini, Lim menerajui dua buah parti, iaitu  Parti Radikal dan MCA, dan kedua-duanya  berakhir dengan kegagalan.  Kegagalan beliau bersama-sama Parti Radikal mudah untuk difahami, kerana parti itu merupakan sebuah parti kecil yang  mempunyai pengaruh yang terhad, iaitu hanya  di Pulau Pinang.  Prospek masa depan Parti Radikal  kelihatan muram dan sekadar sebuah parti “semusim.” Walau bagaimanapun, Lim mengambil langkah bijak meninggalkan parti yang diasaskan dan diterajuinya untuk menyertai MCA, sebuah parti yang besar. Namun begitu, dalam MCA, beliau mara begitu cepat dan berundur juga begitu cepat. Sememangnya, perjudian yang silap yang diambil oleh Lim dan Turki Muda, menyebabkan mereka dan juga MCA terpaksa membayar harga yang tinggi. Jelas  bahawa Lim tidak mampu keluar sebagai pemenang daripada krisis yang beliau serta kumpulannya cipta sendiri.  
(Dipetik dan diubah suai daripada Bab Lapan, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...