Artikel Popular

Thursday, August 15, 2019

Marxian atau Weberian?

KHAMIS, 15 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Jika kita mahu menilai pencapaian Dr. Syed Husin Ali  secara perbandingan, maka boleh  dikatakan beliau lebih berjaya atau mengukir nama sebagai intelektual awam berbanding dengan sebagai ahli politik.  Beliau memberikan sumbangan besar terhadap perkembangan bidang antropologi dan sosiologi, dengan itu, terhadap kecemerlangan universiti di negara ini, khususnya dalam bidang sains sosial.    “Dr. Syed Husin, sebagaimana ahli-ahli sains selalu katakan, sui generis.”  Demikian komen  ringkas Anwar Ibrahim yang menulis “pengenalan” buku Syed Husin (2014: x).
Muhammad Ikmal Said dan Zahid Emby (1996: 1) mencatatkan:  “Sumbangan Syed Husin Ali terhadap pembangunan sains sosial di Malaysia dan kepimpinan hebatnya dalam PSSM, yang beliau berkhidmat sebagai presiden dari tahun 1982 hingga 1991.”  Sepanjang tempoh khidmatnya yang lama di Universiti Malaya, Syed Husin menyelia sejumlah besar pelajar siswazah.  Dan banyak pelajarnya ketika itu  profesor atau pensyarah kanan di Universiti Malaya dan universiti lain  di negara ini.  Untuk pelajar siswa, Syed Husin mempunyai minda yang sangat jelas memastikan buku dan makalah sangat mudah dibaca dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia   (Muhammad Ikmal dan Zahid, 1996: 1 - 2). 
Sumbangan kesarjanaan Syed Husin Ali menjangkau ruang lingkup yang luas, termasuk budaya dan politik hubungan kelas di luar bandar, pembangunan luar bandar, etnisiti, kemiskinan, dan buruh.  Penerbitan beliau yang terkenal pastinya dua kajian perintis tentang hubungan kelas komuniti Melayu luar bandar, iaitu “Social Stratification in Kampung Bagan” dan Malay Peasant Society and Leadership.  Kedua-dua penerbitan ini mencetuskan minat besar kesarjanaan terhadap kaum tani Melayu dalam kalangan kumpulan sarjana Malaysia yang seterusnya.  Sumbangan abadi Syed Husin dalam pengajian tani berpunca daripada analisis empirikal yang kaya beliau tentang struktur kelas kaum tani Melayu.  Tatkala para sarjana menjalankan penyelidikan tentang Malaysia lebih berminat melihat institusi budaya dan nilai kaum tani, Syed Husin memberikan penekanan terhadap hubungan kelas dalam memahami kemunduran kaum tani.  “Bahkan, Syed Husin mengingatkan kita bahawa sifat hubungan kelas dalam kalangan kaum tani Melayu sangat kompleks, kerana hubungan itu saling berjalin dengan persanakan, parti, agama, dan hubungan status” (Muhammad Ikmal dan Zahid, 1996: 2). 
Penahanan Syed Husin di bawah ISA selama enam tahun, berikutan protes petani di Baling dan Sik dan oleh pelajar yang bersimpati di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, maka  beliau dituduh Marxis.  Pendekatan kelas yang beliau gunakan untuk mengkaji kaum tani Melayu mengundang tuduhan bahawa beliau Marxis (Muhammad Ikmal dan Zahid, 1996: 2).  Walau bagaimanapun, dalam kalangan ahli sains sosial tempatan, khususnya ahli antropologi dan ahli sosiologi, berdasarkan  kajiannya dalam Malay Peasant Society and Leadership, yang edisi bahasa Melayu berjudul, Masyarakat dan Pimpinan Kampung di Malaysia,  beliau lebih Weberian berbanding dengan Marxian.  Justeru, dari segi analisis, beliau lebih Weberian berbanding dengan Marxian. Perkara ini dijelaskan oleh  Muhammad Ikmal dan Zahid (1996: 3), “kerana kelas dilihat beroperasi secara prinsip pada tahap pasaran berbanding dengan pengeluaran.  Kategori analitis (kelas, status, parti, mobiliti) yang Syed Husin gunakan dalam analisisnya tentang kaum tani Melayu juga lebih terhutang pada (Max) Weber berbanding dengan (Karl) Marx.” 
Syed Husin bukan Marxisme-Leninisme, kerana beliau  sendiri pernah menjelaskan bahawa beliau bukan golongan sayap kiri radikal.  Beliau memberitahu bahawa beliau terlibat dalam politik progresif, prorakyat, dan pelbagai etnik di Malaysia selama lebih 50 tahun, sejak beliau seorang mahasiswa universiti di Singapura.  Beliau menyertai Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada usia yang masih muda, iaitu pada tahun 1958 (Syed Husin, 2015: 13).  Syed Husin juga   menjelaskan bahawa beliau tidak terpengaruh sangat dengan pemahaman serta pengetahuan yang agak mendalam tentang gerakan radikal antarabangsa ketika beliau di England.  Beliau berpegang teguh  pada dasar yang tidak kekirian melulu (Syed Husin, 2012: 45). Beliau juga memberitahu bahawa beliau tidak pernah membatu Parti Komunis Malaya (PKM) dan menyebarkan idea subversif dalam kalangan pelajar dan dalam parti untuk menjatuhkan kerajaan secara revolusi, sebagaimana yang dituduh dalam perintah tahanan (Syed Husin, 2008: 160).
(Dipetik daripada Bab Tiga, Pemerkasa Menara Gading, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...