Artikel Popular

Friday, August 30, 2019

Syed Husin Ali dan Kemiskinan

JUMAAT, 30 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Nyata bahawa dalam membahaskan dan menganalisis kemunduran, kemiskinan,  dan  penindasan atau eksploitasi yang berlaku dalam masyarakat luar bandar di negara ini, Syed Husin Ali  ada kalanya berpegang pada ekonomi politik Andre Gunder Frank: metropolis-satelit.  Namun begitu, ada kalanya juga, beliau bercanggah dengan sendiri apabila beliau berhujah bahawa “kemiskinan di kampung wujud kerana keadaan terbiar dan penindasan”  (Syed Husin, 1979: 11).   Dengan menyebut keadaan terbiar, sekali gus bermakna kaum tani dan sektor luar bandar terasing daripada sistem dunia moden, iaitu sistem dunia kapitalis.  Justeru, jika benar-benar  keadaan terbiar, bagaimana pula  dakwaan beliau bahawa sistem ekonomi kapitalis menyerap ke dalam kawasan luar bandar?  Anehnya,  beliau bermati-matian berhujah bahawa berlaku penindasan, dan oleh itu, berlaku perampasan lebihan serta pengumpulan modal terhadap  hasil yang dikeluarkan oleh kaum tani dan sektor luar bandar.  Dalam proses ini, seperti yang pernah beliau hujahkan, tuan tanah, orang tengah, pemodal tempatan, dan pemodal monopoli asing bersekongkol.
Dalam buku Apa Erti Pembangunan yang tebalnya kurang daripada 100 halaman, yang merupakan himpunan makalah yang pernah diterbitkan dari tahun 1966 – 1974,  Syed Husin menulis dalam pengantar: “Sudah lama saya memandang berat kepada masalah kemiskinan rakyat dan kemunduran negara...  masalah ini sangat serius dan melibatkan sebahagian besar penduduk negeri ini” (Syed Husin, 1979: vii). Beliau mempersoalkan ukuran yang  digunakan oleh ahli ekonomi untuk mengukur pembangunan ekonomi atau kemajuan ekonomi, iaitu pendapatan individu dalam masyarakat.  Seterusnya, beliau tidak bersetuju pendapatan purata digunakan untuk mengukur kemajuan ekonomi negara kerana menurut beliau,  “pendapatan purata tidak memberikan gambaran tentang kedudukan dan kemajuan golongan masyarakat dalam sesebuah negeri” (Syed Husin, 1979: 2 – 3). Apabila beliau menyebut “pendapatan purata” digunakan  untuk mengukur kemajuan ekonomi sesebuah negara, sebenarnya kenyataan beliau itu boleh menimbulkan tanda tanya dan boleh mengelirukan.  Hal ini demikian kaedah ini memang mudah, dan oleh itu, mustahil pihak kerajaan, penggubal dasar, atau ahli ekonomi bergantung pada pendapatan purata atau pendapatan per kapita  semata-mata untuk mengukur kemajuan ekonomi atau pembangunan ekonomi.  Bahkan, untuk mengukur pendapatan, apatah lagi  mengukur kemajuan atau pembangunan, boleh dikatakan “pendapatan purata” terlalu mudah;  sebaliknya,  orang menggunakan pendapatan isi rumah median. Untuk mengukur agihan pendapatan, orang selalunya menggunakan koefisen Gini. 
Syed Husin juga mengkritik sistem laissez faire, sistem ekonomi  bebas, yang diamalkan di Malaysia.  Dalam sistem ini, hujah beliau, dalam bidang ekonomi, orang yang kuat ialah orang yang menguasai modal, yang sebahagian besar bukannya anak negeri. Dalam sistem ini, yang akan menanggung kerugian sebesar-besarnya adalah yang kurang modal atau tidak bermodal, terutama petani, buruh, dan nelayan. Sebagai alternatif kepada laissez faire beliau mencadangkan gerakan kerjasama (Syed Husin, 1979: 13; 2015: 161).  Apabila beliau mencadangkan gerakan kerjasama atau koperasi, dari segi idea, beliau nampaknya sealiran dengan Profesor Diraja Ungku Aziz. Ungku Aziz yang berminat dengan soal syarikat kerjasama dan rapat hubungannya dengan pekebun kecil, sering  mengajak Syed Husin  bersama-samanya  apabila  beliau  melawat dan menyampaikan ceramah (Syed Husin, 2012: 77). Dari   segi dasar, Syed Husin, nampaknya  menyokong usaha Abdul  Aziz Ishak,  Menteri Pertanian dan Kerjasama ketika itu, yang cuba melaksanakan projek koperasi, tetapi tidak kesampaian (Abdul Aziz, tiada tarikh: Bab 3 dan Bab 4; Ishak, 1996: 225).   
Dalam bukunya yang lain, Syed Husin (2008: 119),  berhujah bahawa “kemiskinan dan jurang ketidaksamaan ekonomi yang kian melebar itu adalah akibat yang berhubung rapat dengan sistem ekonomi yang menggalakkan falsafah laissez faire atau ekonomi bebas.”  Beliau meragui bahawa sistem ekonomi bebas ini menguntungkan orang Melayu, bahkan mana-mana golongan miskin di negara ini (Syed Husin, 2008: 120). Bahkan,  beliau mengingatkan penyusunan semula masyarakat melalui sistem ekonomi bebas boleh menimbulkan sebilangan kecil pemodal atau kapitalis Melayu yang jauh lebih besar pendapatan mereka daripada sebilangan besar petani.  Di sini, Syed Husin cuba melihat kemungkinan berlakunya persekongkolan modal Melayu dengan modal bukan Melayu dari dalam dan luar negara untuk melakukan bermacam-macam penindasan ke atas petani dan pekerja yang berpendapatan rendah demi memaksimumkan keuntungan mereka (Syed Husin, 2008: 142).
Dari segi pembasmian kemiskinan,  Syed Husin tidak menafikan “kewajaran”  penekanan kerajaan terhadap daya pengeluaran atau produktiviti yang rendah, namun hujah beliau, “puncanya, ialah sistem yang ‘mengambil’ secara tidak langsung dan halus, sebahagian daripada hasil titik peluh orang miskin itu” (Syed Husin, 2008: 138).   Bagi beliau, pengambilan  ini berlaku di pelbagai peringkat. Di peringkat pengeluaran, melalui amalan bahagi dua atau sewaan, menyebabkan petani terpaksa menyerahkan sebahagian besar hasil yang diperoleh kepada tuan tanah. Seterusnya, di peringkat pemasaran yang mengamalkan sistem monopoli dan monopsoni,  “yang menyebabkan petani mendapat harga rendah bagi hasil pengeluaran yang mereka jual dan mesti membayar harga yang tinggi bagi barang keperluan yang mereka gunakan” (Syed Husin, 2008: 138).  Beliau  mendedahkan rantaian penindasan atau eksploitasi  terhadap petani miskin: tuan tanah dan orang tengah di peringkat kampung, yang ditindas pula oleh saudagar atau pemodal besar di peringkat kebangsaan, yang sebahagian besarnya pula menjadi mangsa kepada pemodal monopoli asing. Golongan yang terhimpit teruk sekali di bawah penindasan berlapis-lapis itu ialah para petani (Syed Husin, 2008: 138). Beliau sebenarnya melihat  rantaian penindasan  yang melibatkan pelbagai peringkat, dari kampung ke peringkat kebangsaan, dalam konteks teori pergantungan metropolis-satelit.
“Mengambil” yang dibangkitkan oleh Syed Husin, pada hakikatnya dalam bahasa Marxis, ialah  perampasan terhadap lebihan yang dihasilkan oleh kaum tani; atau memetik David Harvey, “pengumpulan melalui perampasan,” yang antara melalui pengkomoditian dan penswastaan tanah (Harvey, 2003: 145).  Tuan tanah, menurut Harvey, ialah golongan pemberi sewa (rentier class) yang mengambil semua kekayaan dan pendapatan tanpa memberikan apa-apa tumpuan pada pengeluaran.  Dengan konsep pemberi sewa yang lebih luas, yang menggabungkan tuan tanah tradisional dengan semua bentuk pemilikan harta yang dengan sendirinya tidak produktif, tetapi dengan memudahkan pengambilan kekayaan dan pendapatan (Harvey, 2014: 260 -261).
Pendirian beliau terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB), seolah-olahnya beliau tidak menentang sepenuhnya  dasar  yang bermatlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. Hanya yang berbeza,  beliau terang-terangan menolak  sistem ekonomi bebas atau laissez faire, yang menurutnya, menghalang pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.  Beliau juga tidak bersetuju dengan  pengenalpastian punca kemiskinan oleh kerajaan yang dikaitkan dengan produktiviti yang rendah, kerana bagi beliau, punca sebenarnya, ialah penindasan atau eksploitasi.
Satu aspek  lagi yang Syed Husin tidak setuju, ialah dari segi cara pembasmian kemiskinan, kerana hujah beliau, “kemiskinan paling meluas sekali dalam sektor pertanian di luar bandar dan sewajarnya diberikan peruntukan yang besar untuk sektor ini.” Beliau memetik peruntukan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ketiga, 1976 – 1980, yang berjumlah RM18,555 juta, daripada jumlah itu, kira-kira RM4,746 juta (25.5 peratus) untuk pertanian dan pembangunan luar bandar, yang melibatkan pembukaan tanah rancangan baharu,  tanaman semula getah, dan parit serta tali air (saliran).  Beliau  nampaknya bersetuju dengan  pembukaan tanah rancangan itu mengatasi masalah ketiadaan dan kekurangan tanah. “Walau bagaimanapun,” hujah beliau, “rancangan ini belum cukup untuk menyelesaikan masalah kekurangan dan kelaparan tanah”  (Syed Husin, 2008b: 138).
Pada suatu ketika, kajian kemiskinan di Semenanjung Malaysia menjadi tumpuan ahli ekonomi, seperti Ungku Aziz dan E.K.  Fisk, kemudian oleh ahli antropologi/sosiologi, seperti Raymond Firth,  Michael Swift, dan Syed Husin Ali.  “Sementara dalam teori Aziz, akar umbi kemiskinan orang Melayu terletak pada tiga faktor, iaitu pengabaian, produktiviti rendah, dan eksploitasi pengeluaran tani oleh orang tengah monopoli-monopsoni” (Kamal, 1976: 25),  “dengan  menggunakan ragam analisis yang berbeza, Syed Husin Ali menganalisis  bahawa proses penumpuan tanah ialah faktor ekonomi paling penting dalam menjelaskan kemiskinan luar bandar”  (Kamal, 1976:  28). Dalam “Penumpuan Milik Tanah dan Kemiskinan di Kalangan Melayu Luar Bandar” berdasarkan penyelidikan di empat komuniti kampung, iaitu Kangkong (Kedah), Kerdau (Pahang), Bagan (Johor), dan Changkat Larang (Perak), beliau menunjukkan bahawa wujud dua faktor yang menggalakkan pengumpulan tanah, iaitu wujudnya dorongan ekonomi dan sosial, dan wujudnya institusi yang memungkinkan atau yang menggalakkan pengumpulan (Syed Husin, 1979: 23).  Beliau menjelaskan bahawa proses pengumpulan dan perlucutan milik tanah berlaku serentak.  Akibatnya, sebilangan kecil orang memiliki sebahagian besar tanah, manakala sebilangan besar kekurangan tanah ataupun tidak memiliki tanah sama sekali (Syed Husin, 1979: 29).
Dalam membahaskan kemiskinan dalam kalangan petani, Syed Husin tidak bersetuju dengan hujah bahawa “faktor bilangan penduduk adalah satu-satunya atau faktor yang terpenting sekali mengakibatkan kelaparan tanah dan kemiskinan dalam kalangan orang luar bandar.” Sebaliknya, hujah beliau, “peresapan sistem ekonomi kapitalis ke kampung-kampung telah menimbulkan golongan orang yang telah dapat memperbaiki kedudukan ekonomi mereka dengan tidak mengira kesannya ke atas orang lain” (Syed Husin, 1979: 30).  Beliau dapat mengenal pasti golongan kecil ini, yang terdiri daripada orang tengah, tuan tanah, dan peminjam wang. Beliau bersetuju dengan Ungku Aziz bahawa pentingnya faktor penindasan oleh orang tengah dan tuan tanah, memanglah  tidak boleh diperkecil apabila menganalisis keadaan kemiskinan orang Melayu di kampung (Syed Husin, 1979: 30).
Dengan menyangkal kajian yang menunjukkan bahawa kemiskinan berpunca daripada keciciran pembukaan  tanah dan perkembangan teknologi di belakang penambahan bilangan  penduduk dan ada kena mengena sistem kepercayaan orang Melayu, Syed Husin menegaskan bahawa “struktur dan institusi ekonomi-politik pada masa ini merupakan punca lebih besar yang menyebabkan kemiskinan.  Dalam masyarakat Melayu, perlanjutan sistem feudal yang menjelmakan tuan-tuan tanah, dan perkembangan sistem kapitalis yang membawa ekonomi kewangan serta orang tengah, menimbulkan berbagai-bagai institusi dan orang yang boleh mengancam hidup petani miskin” (Syed Husin, 1979: 34 – 34).
Sementara Syed Husin kelihatan teragak-agak untuk mengatakan bahawa DEB berjaya mengurangkan kemiskinan, rakan karibnya, Ishak Shari mempunyai pendirian yang agak berbeza.  Menurut Ishak, matlamat DEB untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Semenanjung kepada 15.0 peratus pada tahun 1990 sudah tercapai; demikian juga di Sabah dan Sarawak.  Untuk kadar kemiskinan di kawasan luar  bandar di Semenanjung, didapati berkurangan 58.2 peratus pada tahu 1970 kepada 19.3 peratus pada tahun 1989.  Sementara di kawasan luar  Sarawak, kadar kemiskinan  berkurangan daripada 60.0 peratus pada tahun 1976 kepada 24.7 peratus pada tahun 1989.  Di Sabah pula, kadar kemiskinan luar bandarnya menurun daripada 58.6 peratus pada tahun 1976 kepada 39.1 peratus pada tahun 1989 (Ishak, 1996: 233).  Ishak  (1996: 233), dalam esei penghargaan kepada Syed Husin, merumuskan bahawa “kadar kemiskinan di luar bandar Malaysia berkurangan daripada 49.9 peratus pada 1976 kepada 21.8 peratus pada  tahun 1989.  Bilangan isi rumah miskin di kawasan luar bandar negara ini jatuh daripada 848,300 orang  kepada 530,000  orang pada tahun 1989.”
Walau bagaimanapun, kritikan Syed Husin terhadap orang tengah ada kalanya berlebih-lebihan apabila beliau mendakwa bahawa “orang tengah dan peraih mendapat keuntungan yang besar daripada perniagaan yang dijalankan oleh mereka.” Keuntungan yang besar lazimnya diperoleh hasil pengeluaran tani yang besar, iaitu jauh melebihi tahap sara diri.  Bahkan, beliau mendakwa “semakin bertambah lambang, seperti jalan, makin bertambah senanglah peraih dan orang tengah masuk untuk melakukan kerja-kerja lintah darat mereka” (S. Husin, 1979: 12).  Apakah semata-mata kerana ingin menyekat lintah darat daripada melakukan penindasan sewenang-wenangnya,  hak petani dan masyarakat luar bandar untuk menikmati kemudahan infrastruktur, seperti jalan raya dan jambatan dinafikan?
(Dipetik daripada Bab Tiga, Pemerkasa Menara Gading, yang diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...