Artikel Popular

Thursday, August 29, 2019

Ungku Aziz dan Kemiskinan

KHAMIS, 29 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Ekonomi Melayu menjadi tumpuan Ungku Aziz apabila pada tahun  1957 beliau menulis “Zahir dan Batin Ekonomi Melayu” dalam Utusan Melayu, Singapura, pada 22, 23, 25, dan 26 Februari  (Ungku A. Aziz, 1975: 77 - 100). Sebelum ini, rencana berkenaan bersama-sama beberapa rencana lain diterbitkan dalam Renchana2 Ekonomi dan Kemiskinan [sic]. “Rencana itu beliau tulis dengan harapan ia akan menjadi satu asas untuk memikirkan dengan lebih jelas tentang hal keadaan dan masalah-masalah yang sebenarnya berkenaan ekonomi orang Melayu”  (Ungku A. Aziz, 1975: 77).  Dalam rencana itu juga, beliau membahaskan penindasan dan  “perampasan”  modal Melayu dan bukan Melayu terhadap “lebihan” yang dihasilkan oleh petani dan nelayan Melayu. Justeru, bagi beliau, “menggantikan pemodal-pemodal dan lain-lain yang seumpamanya itu dengan sebilangan orang Melayu tidak akan menyelesaikan masalah-masalah ekonomi orang Melayu.”   Hujah beliau, “gerak-geri kaum pemodal Melayu tidak akan berbeza dengan gerak-geri kaum pemodal bukan Melayu.  Bahkan, pemodal-pemodal Melayu boleh jadi lebih keras  menindas orang-orang kampung dalam perniagaan daripada pemodal-pemodal bukan Melayu tadi, kerana pengalaman mereka dalam lapangan ini masih kurang” (Ungku A. Aziz, 1975: 79; huruf condong oleh beliau sendiri.)  Di sini, beliau membahaskan eksploitasi atau penindasan kaum tani dan nelayan Melayu oleh pemodal dan bagaimana lebihan yang dihasilkan oleh mereka dirampas oleh modal.
            Kemiskinan orang Melayu benar-benar menjiwai diri  Ungku Aziz.  “Kecintaan beliau kepada masalah kemiskinan bermula sejak beliau masih kecil lagi... suasana sekeliling masyarakat Melayu yang tidak jauh dari dunia kemiskinan itu cukup mempengaruhi keperibadian beliau”  (Aziz Zariza, 1982: 21- 22).   Meskipun dekad 1970-an 1980-an terutamanya, menyaksikan “ledakan kajian” tentang kemiskinan luar bandar khususnya,  dan ketidaksamaan di negara ini yang dijalankan oleh para pengkaji atau ahli sains sosial tempatan dan asing, Ungku Aziz yang paling menonjol dan dianggap mempunyai wibawa atau autoriti, seperti yang diakui oleh  Faaland, Parkinson, dan Rais.     “Keprihatinan terhadap kemiskinan orang Melayu, terutama kemiskinan dan ketaksamarataan di luar bandar digambarkan dalam tulisan Profesor Diraja Ungku Aziz. Pengaruh beliau terhadap ahli ekonomi dan ahli politik Melayu yang muda adalah besar, yakni sejak zaman mereka menuntut di universiti di Singapura dan Malaysia, malahan juga mereka yang menuntut di luar  negeri.  Mereka ini ‘diserahkan’ dengan tugas untuk membaiki nasib bangsa dan negara mereka, telah berjaya mengetengahkan sesetengah buah fikiran Ungku Aziz ke dalam dasar dan program tertentu apabila memegang jawatan-jawatan penting dalam bidang pentadbiran dan perancangan negara” (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 234).   Teori utama yang dikemukakan oleh Profesor Ungku Aziz ialah kemiskinan orang Melayu disebabkan “daya pengeluaran yang rendah, eksploitasi dan orang tengah, terbiar, dan dasar kerajaan yang memberikan tumpuan yang lebih terhadap bandar” (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 234).   Isu ini diperkembangkan lagi dalam pelbagai kajian lain. Berbagai-bagai kategori kemiskinan telah dikenal pasti, seperti kemiskinan teras dalam kalangan pekebun kecil, penanam padi, dan lain-lain, juga kemiskinan mengikut wilayah. Bermacam-macam dasar yang terperinci untuk menangani masalah tersebut telah dicadangkan.  Beberapa institusi khusus telah ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah tersebut... Penyelesaian yang dicadangkan, termasuk penyelesaian berbentuk sosialis dan Marxis, di samping pelbagai kaedah yang dicadangkan oleh badan antarabangsa, seperti Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (Faaland, Parkinson, dan Rais, 1991: 234).
Bagi Ungku Aziz, kemiskinan mereka hanya boleh dipelajari melalui penyelidikan. Justeru, beliau banyak bertanggungjawab terhadap penyelidikan dalam usaha menangani kemiskinan di negara ini.  Beliau menjalankan penyelidikan tentang punca kemiskinan luar bandar, di samping mengenal pasti kaedah untuk membasmi kemiskinan. 
Ungku  Aziz adalah antara intelek Melayu yang banyak membincangkan kemiskinan orang Melayu melalui tulisannya yang bertajuk “Facts and Fallacies about the Malay Economy” dan “Poverty and Rural Development in Malaysia.”   Penelitian beliau menyimpulkan pada ketika itu kira-kira 76 peratus Melayu bekerja sebagai petani dan nelayan, dan 80 peratus tinggal di desa dengan memperoleh pendapatan paling rendah. Menurut Ungku Aziz, masalah kemiskinan utama ialah masalah kemiskinan Melayu dan kemiskinan desa dan menyarankan beberapa penyelesaian, antaranya melalui pembangunan desa, reformasi institusi, dan gerakan koperasi.  Ungku Aziz mengaitkan kemunduran Melayu dengan sistem eksploitasi “monopoli-monopsoni” dan juga pengabaian sektor desa (Chamhuri, 2008: 218 – 219). Beliau menekankan perlunya reformasi institusi supaya halangan fundamental terhadap pembangunan desa  dan pembasmian kemiskinan dapat diketepikan (Chamhuri dan Nik Hashim, 1991: 122).
Meskipun kemiskinan dalam kalangan orang Melayu dibincangkan oleh beberapa tokoh sebelum dan selepas  Perang Dunia Kedua, “ahli akademik yang paling penting ketika itu, khusus dalam penyelidikan empirikal, ialah Ungku Aziz, seorang ahli ekonomi”  (Shamsul Amri, 2007: 74). Pertama, Ungku Aziz menghuraikan dan membuktikan bahawa kemiskinan orang Melayu  tergolong dalam fenomena  kemiskinan luar bandar kerana kemiskinan sedemikian terikat  rapat dengan soal tanah.  Kedua, Ungku Aziz juga memperkenalkan satu ukuran atau indeks, tentang kemiskinan Melayu luar bandar, yang dipanggilnya sarong index, suatu ukuran kemiskinan luar bandar yang cukup asli dan kemudiannya menjadikan Ungku Aziz terkenal di seluruh dunia (Shamsul Amri,  2007:  74 - 75).
Tentang indeks sarung, Isahak Haron yang pernah mengikuti kursus Ekonomi Luar Bandar (Rural Economics) yang diajarkan oleh Ungku Aziz pada tahun 1961, menulis:  “Kebanyakan kami mudah mengikuti kuliah dan penerangan Ungku tentang teori dan ciri-ciri kemiskinan di Tanah Melayu, kerana beliau menerangkannya dengan memberi banyak contoh dan statistik (termasuk sarong index) untuk mengukur kemiskinan di luar bandar, yang digunakan dalam kajian lapangannya di pelbagai tempat dan negeri di Tanah Melayu” (Isahak, 2010: 128):   
Walau bagaimanapun, kajian kemiskinan yang dijalankan oleh Ungku Aziz dikritik oleh Kamal Salih (1976), kerana keterbatasan analisis struktur dan institusi, dan kebanyakannya tertumpu pada kemiskinan luar bandar dan kemiskinan orang Melayu. Hujah Kamal, analisis struktur dan institusi Ungku Aziz bertitik tolak daripada teori kemiskinan yang masih wujud ialah andaian dualisme ekonomi, bahawa ekonomi Malaysia boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu sektor moden dan sektor tradisional.  Wujud banyak pencirian andaian ini, yang boleh ditakrifkan dari segi istilah ragam pengeluaran dominan, orientasi atau fokus aktiviti ekonomi, atau integrasi sosiobudaya.  Wujud struktur ekonomi dualistik, yang terdiri daripada sektor moden intensif modal skala besar kapitalis, dikuasai oleh komersial dan kepentingan perindustrian asing  dan bukan Melayu beroperasi berasaskan ekonomi eksport utama pada satu pihak, dan prakapitalis, iaitu kaum tani atau sektor tradisional intensif buruh skala kecil, dikuasai oleh orang Melayu beroperasi pada campuran orientasi eksport (getah dan baru-baru ini kelapa sawit) dan aktiviti  sara diri (penanaman padi dan perikanan) pada satu pihak yang lain (Kamal, 1976: 24).
Dalam teori Aziz, akar umbi kemiskinan orang Melayu berpunca daripada tiga faktor, iaitu pengabaian, produktiviti yang rendah, dan eksploitasi pengeluaran tani (dalam kedua-duanya, iaitu eksportnya dan orientasi sara dirinya) oleh orang tengah monopoli-monopsoni. Maka, kemiskinan mereka menunjukkan dengan sendiri dalam keberhutangan luar bandar yang ekstrem, pemecahan tanah, dan masalah penyewaan yang kronik, yang memperkukuh pemakanan yang rendah, pendidikan yang rendah, produktiviti yang rendah, dan pendapatan rendah isi rumah luar bandar dalam kitaran ganas kemiskinan.  Meskipun tiga punca utama kemiskinan  dikenal pasti dalam teori ini, peranan utama faktor institusi, iaitu eksploitasi, adalah sah (Kamal, 1976: 25).
Namun begitu, hujah Kamal Salih, teori Aziz dibatasi oleh fokus yang terlalu sempit tentang eksploitasi.  Dalam konteks yang terhad ini, fokus itu menyetempatkan wawasan Aziz hanya pada eksploitasi petani, nelayan, dan pekebun kecil getah Melayu oleh orang tengah bukan Melayu.  Oleh itu, beliau cenderung mengabaikan proses yang lebih luas yang terlibat dalam pewujudan dan pengagihan (dalam  istilah ekonomi politik, perampasan atau ekspropriasi) lebihan ekonomi, mengabaikan peranan sektor asing, iaitu protagonis penting, selain golongan elit dan kaum tani dominan lain dalam masyarakat luar bandar Melayu sendiri.  Seterusnya, dalam mempertimbangkan hanya dimensi kemiskinan bandar, beliau mengabaikan kuasa penjelasan yang mungkin terletak dalam proses hubungan bandar-luar bandar, bukan hanya semata-mata impak penembusan sektor tradisional luar bandar oleh unit sosioekonomi bandar yang dominan, tetapi juga akibat struktur agraria yang berubah di kawasan luar bandar kepada bentuk ekonomi bandar (Kamal, 1976: 27).
Hujah Kamal Salih, pengehadan analisis struktur Aziz tentang kemiskinan, oleh itu, adalah akibat kategori struktur yang terbatas, yang tidak mencerminkan sifat sebenar realiti.  Dalam struktur beliau yang dipermudahkan, kumpulan bukan Melayu kecil terikat dengan sistem nasional dan antarabangsa agen pengagihan (litar atasan), memerah  sewa monopoli-monopsoni dengan menjalankan fungsi menjaga pintu (pemasaran, pemberian pinjaman wang, dan pembarangan) untuk kaum tani yang dikuasai, terperangkap dalam cengkaman yang sangat kuat daripada  keberhutangan yang meningkat, produktiviti yang merosot menerusi kehilangan insentif, nyah pemodalan (decapitalization), dan kecekapan yang terbenam tidak dipampas oleh input teknologi yang meningkat atau inovasi organisasi lain… Dengan tekanan penduduk yang berterusan dan pergantungan isi rumah semakin meningkat, maka proses pengumpulan oleh kelas monopoli-monopsoni membawa kepada kemiskinan yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan orang Melayu luar bandar, Kemiskinan luar bandar menurut teori ini, dengan itu, akibat proses dialektik yang betul-betul  terbatas kepada percanggahan etnik dalam masyarakat luar bandar (Kamal, 1976: 27).
Dalam Siri Rencana Anugerah Merdeka yang Ungku Aziz merupakan penerima sulung anugerah ini, iaitu pada tahun 2008,  Nurul Halawati Azahari, antaranya menulis, “Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid,  sungguhpun bukanlah seorang usahawan, diplomat, ahli politik, dan seorang menteri, hasratnya menjadi seorang intelektual tidak menghalang beliau mendekati masyarakat.
Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), menurut Ungku Aziz,  adalah seiring dengan maksud utama teori kemiskinan beliau, iaitu untuk membasmi kemiskinan (Aziz Zariza, 1982: 21).  DEB yang diperkenalkan akibat Peristiwa 13 Mei 1969,   seperti ditegaskan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, “cuma satu cara untuk mengelakkan berlakunya peristiwa itu, iaitu menyusun semula seluruh ekonomi dengan menghapuskan kemiskinan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dengan menambah penyertaan bumiputera dalam kehidupan ekonomi negara.” 
(Dipetik daripada Bab Satu, Pemerkasa Menara Gading, yang diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...