Artikel Popular

Tuesday, August 6, 2019

Dari Firma Perakaunan ke Dunia Perbankan

SELASA, 6 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Tindakan  Tan Sri Azman Hashim meninggalkan Bank Negara mengejutkan semua rakan dan pegawai yang lebih kanan daripadanya, dan  beliau  dihujani oleh berbagai-bagai  teguran dan nasihat (Tan, 1994: 36).   Gabenor Bank Negara ketika itu, Tun Ismail Mohamed Ali menasihati  beliau    dengan mengingatkan bahawa suatu hari kelak, beliau akan menjadi gabenor (Bowie, 2014: 63).  Akan tetapi, Azman yang ketika itu sebagai orang nombor dua di Jabatan Ketua Akauntan sedar bahawa masa sudah tiba untuk melakukan perkaranya sendiri.  Selain itu, Bank Negara mengekang bakat keusahawanannya (Bowie, 2014: 63). Beliau tetap nekad, kerana beliau ingin membuka firma perakaunannya sendiri, yang dikenali sebagai Azman &  Co (Tan, 1994: 36). Beliau menyewa bilik di sebuah bangunan di Kuala Lumpur dan dikendalikan oleh beliau sendiri, manakala isterinya, Tunku Arishah sebagai jurutaip dan seorang budak pejabat (Tan, 1994: 36).
            Kepayahan menerajui  firma perakaunan masih segar dalam memori Azman dan beliau turut berkongsi pengalamannya itu. “Pada permulaannya, saya mengalami  berbagai-bagai kesulitan.  Saya terpaksa menggunakan wang simpanan saya sendiri untuk menguruskan pejabat kerana sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada bank.  Walau bagaimanapun, saya berasa seronok kerana dapat mengendalikan syarikat sendiri”  (Tan, 1994: 36). Azman juga terpaksa memandu kereta sendiri untuk ke Kota Bharu, Alor Setar, Pulau Pinang, Melaka, dan beberapa buah bandar untuk bertemu dan berunding dengan para pelanggan (Tan, 1994: 36).
            Apabila Wong Phui Lun menyertai beliau,  firma perakaunannya berubah menjadi Azman Wong (Bowie, 2014: 63). Menjelang tahun 1971, syarikat yang pernah dikendalikan oleh tiga orang  meningkat kepada 100 orang.  Azman berkongsi dengan dua orang rakan dengan tujuan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat.  Nama asal syarikatnya berubah kepada Azman, Wong, Salleh & Co. (Tan, 1994: 36),  apabila  Salleh Yusof yang pernah menuntut bersama-sama Azman di Australia menyertai firma ini. Dalam masa lapan tahun, mereka mempunyai 200 orang staf dan mempunyai reputasi yang sangat baik (Bowie, 2014: 63).
            Pada tahun 1966, Bank Negara melantik Azman dan Yong Pung How sebagai anggota lembaga pengarah sebagai Pengarah Bukan Eksekutif  Malayan Banking    (Bowie, 2014: 64) Ketika itu,  Maybank  menghadapi masalah yang merosakkan imej stabilnya (Kalsom, 2009: 153). Jika diperhatikan tarikhnya, Azman menyertai Maybank ketika bank itu dipengerusikan Dato’ Abdul Rahman  Muhammad  Yasin, yang meletakkan jawatan pada tahun berikutnya dan digantikan oleh anaknya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, yang meletakkan jawatan menteri dalam Kabinet Tunku Abdul Rahman Putra.
            Berikutan Peristiwa 13 Mei 1969, Tun Dr. Ismail dilantik sebagai anggota  Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan seterusnya menyertai  Kabinet semula. Kekosongan jawatan pengerusi Maybank diisi oleh Tan Sri Taib Andak yang dilantik ke jawatan itu pada Ogos 1969.  Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu pengarah Mageran dan Timbalan Perdana Menteri, selepas berunding dengan gabenor Bank Negara, Tun Ismail Mohamed Ali,  mengisytiharkan Maybank “bank dilindungi’ (rujuk Kalsom, 2009: 153 – 154). Tun Abdul Razak melantik lembaga pengarah sembilan orang untuk selama tiga tahun.  Daripada sembilan orang ini, enam bekas pengarah, iaitu Taib Andak (dilantik semula sebagai pengerusi), Yong Pung How, Azman Hashim, Khoo Teck Puat, Goh Tjoel Kok, dan Oeo Tjong Le.  Nomini atau namaan  kerajaan ialah Dato’ Syed Nahar Shahabuddin, Hew Kian Main, dan Lee Hee Seng.  Langkah ini adalah untuk memastikan bahawa kemajuan yang memuaskan yang dicapai oleh Maybank dikekalkan dan diurus oleh lembaga pengarah yang sangat cekap yang mempunyai tempoh pemegangan yang stabil (Kalsom, 2009:  154).
            Pada tahun 1972, Azman dilantik salah seorang daripada dua orang pengarah  eksekutif  (Bowie, 2014: 64; rujuk juga Tan, 1994: 36 – 37,   dan Gomez 1990a: 47 – 47;   1990b: 51 - 52). Beliau menganggap pelantikan  itu  suatu cabaran terhadap kemampuannya (Tan, 1994: 37). Ketika  berkhidmat di bank ini, Azman terdedah pada dunia korporat, menduduki beberapa lembaga pengarah, dan terlibat dalam urus janji kompleks Pernas (Perbadanan Nasional Bhd.), semuanya memberi beliau rasa dan pengetahuan pengembangan pesat menerusi ambil alih dan peminjaman (Jesudason, 1989: 106).  Menjelang tahun 1978, Maybank berjaya menarik simpanan bernilai RM3 bilion dan mempunyai 142 cawangan, termasuk di Singapura, Hong Kong, London, dan Hamburg.  Bilangan stafnya bertambah kepada 3600 orang. Tan Sri Azman berasa puas dengan perkembangan pesat yang dilalui oleh sebuah institusi kewangan yang terbesar di negara ini (Tan, 1994: 37).
            Mengimbas kembali pengalamannya menerajui Maybank selama 12 tahun, Tan Sri Azman menegaskan: “Ada kalanya cabaran dan tanggungjawab lebih penting daripada wang. Saya memperoleh banyak pendedahan di sini dan benar-benar dapat merasai kehidupan dalam dunia perniagaan.  Saya dapat bertemu dan berhubung dengan berbagai-bagai jenis orang. Saya tidak mungkin bersara daripada bank pada usia 55 tahun atau 60 tahun (Tan,1994: 38). Azman yang dilantik sebagai pengarah Maybank pada tahun 1970 dan pengarah eksekutif  pada tahun 1971 (Kalsom, 2004: 192), masih ingat bahawa Maybank mencapai kemajuan yang mengagumkan. Matlamatnya adalah untuk mengembangkan bank ini.  Dengan  Taib sebagai “pemimpin, model peranan, dan penuntun,” pasukan pengurusan bank mampu mencapai objektifnya (Kalsom, 2009: 155).
            Pada tahun 1980,  Azman meletakkan jawatannya untuk menjadi   pengerusi Kwong Yik Bank, subsidiari Malayan Banking (Gomez, 1990b: 52; Bowie, 2014: 66; Tan, 1994: 38). Beliau mempunyai saham minoriti dalam bank ini (Gomez, 1990b: 52). Beliau memperkenalkan empat rancangan utama untuk Kwong Yik Bank dengan mewujudkan lebih banyak cawangan bank, mengadakan meja pelanggan dalam bank, mengadakan meja pelanggan dalam bank, melaksanakan sistem komputer dalam bank dan cawangan pinjaman perumahan pelanggan, dan ruang yang selesa untuk pelanggan Perubahan ini memberikan kesan positif terhadap Kwong Yik Bank untuk berkembang (Tan, 1994: 38).
            Setelah 10 tahun, Azman meninggalkan Kwong Yik Bank untuk menceburi dunia perniagaan (Bowie, 2014: 66), apabila pada  tahun 1982, beliau memperoleh  40 peratus kepentingan dalam Taiping Textiles Bhd., syarikat tersenarai awam yang dikawal oleh kepentingan Hong Kong.  Azman yang kurang berminat dalam tekstil berbanding dengan memperoleh akses kepada sarana korporat (corporate vehicle), yang membantu pengumpulan kekayaannya.  (Jesudason, 1989: 106; rujuk juga Gomez, 1990b: 52).  Beliau membeli Taiping Textiles yang terletak di kawasan seluas 40 ekar di kawasan perindustrian Ipoh, Perak, menerusi syarikat keluarganya, Ginagini Sdn. Bhd. (Tan, 1994: 38).  Sebenarnya, beliau bercita-cita memiliki bank sendiri, tetapi impiannya untuk menjadi pemegang saham yang mengawal Kwong Yik Bank tidak menjadi kenyataan. Walau bagaimanapun, kegagalan ini ada hikmahnya: jika menjadi kenyataan, pastinya AmBank tidak akan muncul (Bowie, 2014: 67).
(Dipetik daripada Bab Lima, Peneraju Dunia Korporat, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...