Artikel Popular

Wednesday, August 14, 2019

“Feudalisme” yang Mengelirukan

RABU, 14 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Clive S. Kessler ketika  menyampaikan ucapan dasar bersempena “Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas,” menegaskan bahawa Alatas sudah lama terkenal, baik di rantau Nusantara mahupun di Eropah, sebagai seorang ilmuwan bertaraf antarabangsa “kelas satu.” Sumbangannya kepada ilmu sains sosial serta wacana umum masyarakat terdidik adalah banyak, antaranya mencipta tiga  konsep besar, tiga gagasan penting dan amat berguna, tiga idea berkaliber dan berdimensi gergasi, iaitu konsep feudalisme rohani (psychological feudalism), masalah minda tertawan (the captive mind), dan “bebalisme” – hasil perkongsian dua yang pertama itu (Kessler, 2009: 5 – 7). Feudalisme rohani adalah berkait dengan mereka yang sudah biasa merendah diri kepada kuasa mutlak politik akhirnya memelihara satu “personaliti” atau perangai yang akan melanjutkan sikap manusia zaman dahulu, sikap yang sedia mengabadikan diri, malah sedia menjadi abadi (Kessler, 2009: 5). Masalah minda tertawan berkait dengan mereka yang tunduk kepada sikap feudalisme moden itu membina satu jenis perangai yang herot-benyot, yang cacat.  Kalau personaliti seseorang umumnya cacat, tentulah fikiran juga akan cacat. Ini merupakan masalah besar bagi semua ahli warga masyarakat (Kessler, 2009: 6). Bebalisme ialah idea besar yang ketiga yang diwariskan oleh Profesor Alatas.  Bebalisme merupakan satu jenis kebodohan dan kejumudan:  bukan setakat kebodohan biasa, bukan kebodohan sebagai satu realiti tabii atau sifat manusia yang semula jadi.  Yang dimaksudkan oleh Profesor Alatas ialah kejumudan sebagai satu sikap peribadi serta gaya dan kerangka fikiran – akhirnya satu pandangan dunia umum – yang direka, yang mesti dipelihara,  yang dengan susah payah sahaja dapat dilanjutkan.  
            Feudalisme rohani atau feudalisme psikologi digunakan untuk “differentiate it from its previous political, economic, and  judicial order of which those phenomena were the constituent psychological elements” (Alatas, 1972: 100). Meskipun institusi dan sistem kehakiman feudalisme di Malaysia secara beransur-ansur lenyap pada bahagian akhir abad ke-19, ciri psikologi ini  masih kekal. Sememangnya, ciri ini membentuk feudalisme psikologi.  Dalam konteks feudalisme psikologi, hubungan antara mereka yang berkuasa dengan mereka yang bergantung pada golongan ini dicirikan oleh perapatan peribadi dengan pemimpin atau orang yang mempunyai autoriti dan bukannya kerana  prinsip yang pemimpin atau orang itu  pegang.   Pemimpin atau orang ini mengharapkan orang bawahannya taat dan setia pada dirinya sepanjang masa, meskipun kadangkala cara itu bercanggah dengan norma dan etika kerja atau profesion (Alatas, 1972: 101).  Atau dalam bahasa yang mudah, setia dan percaya membabi buta.
            Namun begitu, dengan penggunaan konsep atau istilah “feudalisme Melayu” dan seterusnya “feudalisme psikologi,” Alatas yang sememangnya  kritis terhadap pemikiran kolonial, dianggap  masih terkongkong dengan pemikiran mereka.  Hal ini demikian kerana “feudalisme Melayu” dikatakan diperkenalkan oleh para penulis British sewaktu British campur tangan di negeri-negeri Melayu pada abad ke-19. Kemudian, istilah ini dipinjam dan digunakan oleh para pengkaji tempatan yang membicarakan sejarah orang Melayu. Alatas, di sebalik kritikannya yang keras terhadap ideologi kolonial dan warisan pemikiran kolonial, serta saranan beliau terhadap penolakan konsep kolonial dan pengenalan konsep baharu, beliau mungkin terlepas pandang tentang penggunaan istilah “feudal” dan “feudalisme Melayu.”  Sebenarnya, “feudalisme Melayu” juga merupakan satu lagi mitos atau kebohongan zaman kolonial yang dicipta sebagai alat untuk menjustifikasikan penjajahan British di negeri-negeri Melayu. Malangnya, tanpa menyedari kaitan serta kepentingannya terhadap penerapan ideologi kolonial itu, konsep ini telah diterima oleh Syed Hussein sebagai suatu amalan yang benar-benar wujud dan pernah diamalkan oleh orang Melayu (Azmi, 2009: 5 – 6). Penerimaan beliau terhadap penggunaan konsep itu, jelas bertentangan dengan pemikiran beliau tentang ideologi kolonial dan mitos peribumi malas (Azmi, 2009: 6).
            Azmi Arifin juga menegaskan  penggunaan istilah “psikologi feudal” oleh Syed Hussein amat longgar, yang dikaitkan dengan sikap kesetiaan dan kepatuhan melulu yang dikatakan terdapat dalam budaya orang Melayu sejak dahulu sampai ke hari ini.  Konsep terlalu umum dan luas, yang membawa kepada persoalan bagaimana  mengukur  sikap kesetiaan melulu sebagai “psikologi feudal” dan membezakannya dengan bukan feudal.  Adakah kesetiaan melulu dan membuta tuli wujud sejak zaman feudal, dalam  sesebuah masyarakat feudal sahaja atau berkaitan dengan amalan feudalisme semata-mata? (Azmi, 2009: 8 – 9).
Dari segi  tradisi bermula dengan  Karl Marx, ‘feudalisme’ selalunya digunakan untuk merujuk perhubungan ekonomi yang menindas antara pembesar (lord) dengan kaum tani yang wujud di Eropah Zaman Pertengahan, berpusat sekitar manor. Ketegaran banyak historiografi Marxis yang menyebabkan para sarjana dalam tradisi itu melihat tahap perkembangan feudal sebagai petanda yang tidak dapat dielakkan bagi kebangkitan kapitalisme moden dalam banyak masyarakat yang konsep berkenaan tidak relevan” (Fukuyama, 2011: 105). Dalam pada itu,  Marx sendiri dalam membincangkan bentukan prakapitalis, dikatakan kurang jelas tentang kewujudan feudalisme berikutan kemusnahan ragam purba (ancient mode).  Beliau tidak banyak memberitahu tentang feudalisme yang daripada sistem ini kapitalisme berkembang (Hobsbawm, 2011: 154 – 155).

            Feudalisme ialah  suatu sistem yang masyarakat berasaskan hubungan antara orang dengan orang, rantaian pergantungan; suatu sistem ekonomi yang tanah bukan hanya, tetapi paling kerap memampas perkhidmatan yang diberikan (Braudel, 1993: 314). Takrif yang paling tepat dari segi sejarah tentang feudalisme diasaskan oleh sejarawan Marc Bloch, memberikan tumpuan terhadap institusi tanah feudal (fief) dan jajahan takluk (vassalage) kerana institusi itu wujud di Eropah Zaman Pertengahan. Tanah feudal ialah perjanjian kontrak antara pembesar dengan lindungan (vassal), yang lindungan  diberikan perlindungan dan petak tanah sebagai balasan untuk berkhidmat kepada pembesar dalam kapasiti ketenteraan (Fukuyama, 2011: 105 – 106). Dari sudut pandangan pembangunan politik, aspek kritik feudalisme bukannya perhubungan ekonomi antara pembesar dengan lindungan, tetapi pemencaran kuasa yang dibayangkan. Dalam kata-kata sejarawan Joseph Strayer, “feudalisme Eropah Barat pada hakikatnya politik, iaitu bentuk kerajaan ... yang autoriti politik dimonopoli oleh kumpulan kecil pemimpin tentera, tetapi diagihkan secara agak sama rata dalam kalangan anggota kumpulan itu” (Fukuyama, 2011: 106).
            Feudalisme selalunya dikaitkan dengan amalan di Eropah, atau seperti yang ditegaskan oleh Fernand Braudel, “feudalisme membina Eropah” (Braudel, 1993: 313).   Suatu sistem yang ditumpas dan digantikan oleh kapitalisme, atau dalam ungkapan Karl Marx, “ragam pengeluaran kapitalis muncul daripada masyarakat feudal” (Hedis & Anderson, 2004: 59); atau dalam ungkapan Rosa Luxemburg, “kapitalisme bangkit dan berkembang dari segi sejarah di tengah-tengah masyarakat bukan kapitalis. Di Eropah Barat, kapitalisme ditemui mula-mulanya dalam persekitaran feudal dari situ, kemudian berkembang dan membesar yang akhirnya menelan sistem feudal” (Luxemburg, 2003: 348; Hedis & Anderson, 2004:  62).         
            Hujah Marx dan Engels, alat pengeluaran dan alat pertukaran, yang asas borjuis bina dengan sendiri adalah dijanakan dalam masyarakat feudal. Pada tahap tertentu perkembangan alat pengeluaran dan alat pertukaran ini, keadaan  yang masyarakat feudal hasilkan dan tukarkan, organisasi feudal pertanian dan pembuatan, dalam satu perkataan, hubungan harta feudal menjadi tidak lagi secocok dengan kuasa produktif yang dimajukan; hubungan harta feudal itu menjadi terlalu banyak belenggu.  Hubungan itu pecah berkecai; hubungan itu pecah berkecai (Marx dan Engels, 2008: 40 – 41).  Marx dan Engels berpendapat bahawa perkembangan feudal bermula pada wilayah ekstensif yang banyak, dan salah satu disediakan oleh penaklukan Roman dan pelebaran pertanian yang ada kaitan dengan penaklukan ini (Hobsbawm, 2011: 144).
            Sementara  Samir Amin meneliti feudalisme Eropah dalam konteks ragam ufti (tributary mode) pinggir. Hujah beliau, ragam feudal  mewakili semua ciri ragam penguftian secara umum. Walau bagaimanapun, ragam feudal juga mewakili, sekurang-kurangnya pada permulaannya, ciri yang berikut: organisasi pengeluaran dalam rangka domain atau ranah, melibatkan sewa buruh, dan pembesar menggunakan prerogatif politik dan kehakiman, yang mengakibatkan pemencaran politik.  Ciri ini mencerminkan asal bentukan feudal dalam pencerobohan  orang barbar, misalnya orang ramai yang kekal pada tahap bentukan kelas apabila mereka mengambil alih masyarakat yang lebih maju. Ragam feudal hanyalah primitif, ragam ufti yang tidak lengkap.  Feudalisme bukan berasal daripada hamba abdi (Amin, 2009: 233).
            Dalam kalangan Marxis, berlaku  perdebatan hangat tentang feudalisme dan kapitalisme, iaitu antara Paul Sweezy dengan Maurice Dobb (juga R.H. Hilton): Di manakah untuk mencari “penggerak utama” dalam peralihan daripada feudalisme kepada kapitalisme (Wood, 2002: 39 – 40; Hobsbawm, 2011: 353 - 354).  Sweezy berulang-ulang kali menegaskan peranan perdagangan melemahkan dan mentransformasikan ekonomi feudal.  Pertumbuhan perdagangan merupakan faktor muktamad dalam membawa kemerosotan feudalisme Eropah Barat (Hobsbawm, 2011: 354). 
            Ketiadaan perhambaan (serfdom) dan sistem manor dalam feudalisme Melayu membezakan feudalisme Melayu keseluruhannya dengan feudalisme Barat (Shaharuddin, 2014: 7). Takrif dan ciri feudalisme yang diberikan tidak langsung menggambarkan corak sesebuah institusi atau hubungan feudal.  Sebaliknya, ia lebih merupakan suatu kekeliruan yang amat jelas terhadap institusi perhambaan  (dan manorialisme yang pernah berkembang dalam masyarakat Eropah (Azmi, 2009: 8). Selain di Eropah, termasuk Rusia, feudalisme pernah wujud di Asia, iaitu di India, China, dan Jepun.
            Shaharuddin Maaruf, murid Alatas, nampaknya sedar akan kontroversial penggunaan istilah atau konsep feudal.  Justeru, beliau awal-awal lagi menjelaskan bahawa istilah “feudal” yang dimaksudkan ialah satu corak organisasi sosial bersama-sama dengan unsur psikologinya (Shaharuddin, 2014: 7).  Beliau juga menggunakan lima sifat sistem organisasi yang diperkenalkan oleh Alatas (1972: 100 - 101), iaitu terdapat jurang luas antara yang miskin (biasanya petani) dengan yang kaya (biasanya golongan bangsawan) dalam bidang ekonomi, sosial, politik, dan kehakiman, sistem politiknya dikuasai oleh kumpulan turun-temurun yang memiliki jajahan yang luas, perhubungan antara pembesar dengan rakyat bersifat penindasan: pembesar berhak ke atas tenaga buruh dan perkhidmatan rakyat tanpa upah, kelas hulubalang berpengaruh dalam struktur feudal, dan sistem feudal kurang pembahagian fungsi dan lebih menggalakkan pengagihan kuasa dan pentadbiran (Shaharuddin, 2014: 7).  Namun begitu, Shaharuddin juga tertarik dengan penggunaan istilah “psikologi feudal”  Alatas. Menurut beliau, organisasi sosial bentuk feudal, seperti digambarkan dalam rekod, bergantung pada psikologi feudal.  Psikologi ini mengandungi kedua-dua unsur eksploitasi dan belas bagi pihak pembesar, dan unsur tunduk menyerah pula bagi pihak bawahan (Shaharuddin, 2014: 8).
            Sebenarnya, Alatas sendiri mengakui bahawa istilah feudalisme, sebagai orde sejarah, sosial, politik, dan ekonomi, tidak mudah ditakrifkan (Alatas, 1972: 100).  Beliau  cuba menjelaskan penggunaan  istilah atau konsep feudal di rantau ini, yang sama sekali berbeza dengan yang digunakan di Eropah.   Dalam “pengenalan”  bukunya (Alatas, 1972), beliau mengingatkan, takrif feudalisme seperti yang terdapat dalam sejarah Barat tidak boleh digunakan bagi Asia Tenggara dengan cara terlalu harfiah.  Namun begitu, perbandingan antara kedua-duanya boleh dilakukan.  Di Asia Tenggara, wujud persamaan pembesar feudal, iaitu ketua atau raja kawasan kecil.  Ketua atau raja ini merupakan autoriti tertinggi.  Beliau menjalankan banyak fungsi yang sama dengan pembesar feudal Eropah, meskipun kedudukannya tidak sama secara keseluruhannya. Tidak wujud perhambaan di Asia Tenggara, atau Asia... Walaupun terdapat  perbezaan antara feudalisme Eropah Barat dengan feudalisme Asia Tenggara, persamaan antara kedua-duanya, terutamanya  struktur psikologi dari segi sikap pada zaman tersebut, tidak kurang pentingnya untuk diberikan perhatian.
(Dipetik daripada Bab Dua,  Pemerkasa Menara Gading, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...