Artikel Popular

Saturday, August 3, 2019

Kehakiman dan Penghakiman

SABTU, 3 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Bagi Tun Mohamed Suffian Hashim, kuasa kehakiman ertinya kuasa untuk membicarakan dan menentukan pertikaian tentang hak dan liabiliti sejajar dengan kehendak Perlembagaan dan undang-undang – iaitu pertikaian antara Persekutuan dengan negeri, antara negeri dengan negeri, antara rakyat Persekutuan atau   negeri, dan antara rakyat dengan rakyat.  Kuasa kehakiman juga bermakna kuasa untuk menentukan, sama ada seseorang telah melakukan jenayah atau tidak dan hukuman yang wajar ke atasnya (Mohamed Suffian, 1990: 62). Ringkasnya, kuasa kehakiman ialah sebagai “kuasa untuk mendengar dan mengadili pertikaian” (Abdul Aziz, 2015: 60).
            Akan tetapi, Suffian menjelaskan bahawa jika hakim berasa bebas memasukkan berat sebelah serta prasangka peribadi dalam menjalankan kewajipannya, sudah pasti akan terdapat keadaan yang sungguh membimbangkan (Mohamed Suffian, 1987: 26).  Mohd. Salleh Abas juga mempunyai pandangan yang sama apabila beliau menegaskan, oleh sebab tugas hakim-hakim ialah untuk menyelesaikan pertelingkahan, sama ada antara individu atau antara satu individu di suatu pihak dengan pihak berkuasa kerajaan di suatu pihak yang lain, maka adalah sangat penting supaya kehakiman bersifat bebas agar mereka dapat menjalankan tugas mereka dengan sempurna (Salleh, 1989: 55).
            Menurut Badan Peguam Malaysia, penghakiman Suffian sering dipetik di mahkamah hari ini,  dan meskipun sesetengah penghakimannya dibuat 30 tahun lalu atau lebih, penghakimannya menjadi asas  yang menyebut dengan terang prinsip yang betul yang beliau terapkan dengan mengambil kira kedua-duanya, iaitu undang-undang seperti yang diterapkan dan sebagai bagaimana undang-undang itu patut diterapkan terhadap latar belakang keadilan  dan common law (Badan Peguam Malaysia, 2006).
            Selain itu, yang jelas, sebagai hakim, Suffian bersusah payah bukan hanya melakukan penyelidikan menyeluruh, tetapi semua keputusannya ditulis dengan ketinggian kualiti dan gaya yang unik yang mudah untuk difahami. Penghakiman beliau ditulis dalam bahasa yang mudah dan jelas dan tidak pernah lembap dan berjela-jela. Suffian bukan hanya amat  dihormati di Malaysia dan Singapura, tetapi sangat dihormati di peringkat antarabangsa oleh Komanwel Peguam dan Hakim. Beliau dikenali secara peribadi kepada kebanyakan hakim terkenal Privy Council, Mahkamah Rayuan,  dan Dewan Pertuanan di England. Suffian ialah Kehakiman Malaysia yang paling dihormati dan sangat disanjung (Badan Peguam Malaysia, 2006).
            Suffian bersara pada November 1982 setelah menyumbangkan bakti lebih 30 tahun.            “Pada kedudukannya sebagai hakim, beliau dikatakan telah membuat lebih 1000 penghakiman, semuanya dibuat dengan hujah intelektual   dan kejelasan undang-undang (Chamil, 2007: 255).  Walau bagaimanapun, Suffian tidak menganggap dirinya reformer, sebaliknya sebagai gradualist dan traditionalist (Morais, 1980: 37 - 38)
            Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapan sempena  Majlis Perpisahan untuk Yang Amat Arif, Tun Mohamed Suffian bin Hashim, Ketua Hakim Negara pada 11 November 1982, menyentuh pengalaman  Suffian sebagai juruhebah dengan All India Radio dan British Broadcasting Corporation atau BBC. “Saya percaya pengalaman beliau dengan kedua-dua ini telah membolehkan beliau memberi ucapan-ucapan dan judgement  beliau dalam bahasa yang senang dan mudah difahami. Jarang sungguh seorang peguam dapat menulis dengan menggunakan bahasa yang senang dan mudah difahami. Malahan ramai peguam yang suka menulis dan bertutur bahasa yang berbunyi tinggi melangit, sekurang-kurangnya kepada layman seperti saya” (Pejabat Perdana Menteri, t.t.). 
            Walau bagaimanapun, Suffian mengakui bahawa mungkin, tetapi sukar untuk menjelaskan perkara undang-undang dalam bahasa yang mudah.  Setakat ini, hanya seorang Hakim, Lord Denning, berjaya berbuat demikian, tetapi beliau mempunyai minda kelas pertama (Morais, 1980: 76). “Saya bekerja keras untuk menjadikan penghakiman saya mudah difahami. Dan saya akan fikirkan kebanyakan penghakiman adalah mudah difahami, terutamanya jika saya tahu bahawa penghakiman itu ditujukan dan khas untuk majistret. Akan tetapi, untuk menjadikan mudah, beberapa kemuliaan (dignity) akan hilang dalam proses itu.  Saya belajar untuk menulis secara mudah apabila saya penyiar  radio ketika perang.  Pendengar radio tidak dapat berpatah balik sekiranya mereka terlepas sesuatu, maka penyiar mesti sampai kepada mereka kali pertama setiap masa (Morais, 1980: 76).
            Bersama-sama dengan beberapa orang hakim lain dari Mahkamah Persekutuan,  Suffian  pernah mendengar  rayuan Dato’ Harun Idris, yang melibatkan rasuah dan pecah amanah. Suffian yang mendengar rayuan itu mengesahkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Harun didapati bersalah. Kes yang berlaku pada   tahun 1970-an itu dianggap berprofil tinggi kerana Harun ialah bekas Menteri Besar Selangor dan bekas ketua pemuda UMNO, mempunyai jumlah pengikut yang banyak dan     sesetengahnya sanggup “berkorban” demi Harun. Harun dan perngikut setianya bukan sahaja mencabar kepimpinan Perdana Menteri Tun Hussein Onn, tetapi juga mereka  mencemarkan  integriti badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang. Namun begitu, Suffian tidak tunduk pada kekuatan Harun dan kemahuan kumpulan ramai yang berdiri teguh di belakangnya.  Victor Morais memberikan liputan terperinci tentang kes Harun Idris ini (Morais, 1980: 126 – 154).
            Satu lagi kes, yang patut disebut di sini, berkait dengan pelantikan Undang Luak Jelebu. Kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban itu akhirnya dibawa ke Mahkamah Persekutuan.   Dalam  Kes Othman Baginda lawan Syed Alwi Idrus  itu, Mahkamah Persekutuan,  pada 26 September 1980, dengan para hakim yang terdiri daripada Raja  Azlan Shah, Ketua Hakim Malaya; Salleh Abas, Hakim Mahkamah Persekutuan; Ibrahim Manan, Hakim Mahkamah Persekutuan; dan Hakim Hashim Yeop A. Sani membuat penghakiman seperti yang disebut oleh Rais Yatim (2004: 418), “muktamadlah kes tersebut dan Musa terlepaslah daripada sebarang angkara berkaitan pusaka adat yang dituntutnya itu.”
            Sebaliknya, Tun Suffian Hashim, Ketua Hakim Negara, bersetuju dengan  keputusan Mahkamah Tinggi Seremban bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan tentang pemilihan Undang Luak Jelebu, sebagaimana mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan pemecatan penjawat awam oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam apabila tindakan itu dicabar.    Suffian berhujah, “sama ada Undang dipilih secara sah ataupun tidak, pastinya merupakan persoalan yang perlu dikendalikan secara bijaksana, dan persoalan politik adalah secara terbaiknya  diselesaikan melalui cara politik; tetapi apabila memerlukan perlembagaan dan undang-undang, saya fikir,  perkara itu diselesaikan oleh mahkamah, maka sehingga perlembagaan sesuai dipinda, mahkamah tidak mempunyai alternatif,  kecuali dengan menjalankan tugas sebaik-baik mungkin, meskipun akan menimbulkan kesan yang tidak menguntungkan dengan mencampakkan mahkamah ke gelanggang politik.”
            Raja Azlan Shah membuka hujah dengan “kita diamanahkan dengan isu yang serius dan perlu dikendalikan secara bijaksana, iaitu sama isu perisytiharan bahawa pemilihan Undang Jelebu ke-15 yang dimaksudkan adalah ultra vires hukum adat atau perlembagaan Luak Jelebu.  Seterusnya,  Raja Azlan Shah antara lain berhujah bahawa Dewan Keadilan dalam kes ini telah merestui pelantikan Undang Jelebu ke-15, dan Dewan Keadilan merupakan forum yang paling sesuai untuk melaksanakan fungsi berkenaan berbanding dengan panel lima orang hakim.  Terbuka kepada mahkamah di negara ini untuk menolak remedi dengan alasan bahawa forum ini adalah bukan kesenangan.  Doktorin ini adalah bahawa mahkamah mungkin enggan melaksanakan bidang kuasa dengan alasan badan lain adalah lebih sesuai.
            Dengan  mempertahankan  bahawa Dewan Keadilan mempunyai autoriti untuk membuat penentuan,  Salleh Abas merumuskan: “Perkataan ‘merestui pelantikan’ yang digunakan dalam  minit untuk mencatatkan keputusan Dewan Keadilan dan Undang pada akhir perbincangan tertutup  selama satu jam, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, giving its blessing,” pada pandangan saya, “menyampaikan maksud bahawa Dewan Keadilan dan Undang mempunyai pendapat yang serupa  dan bersetuju  dengan kesahan pelantikan responden kedua sebagai Undang Jelebu ke-15.”
            Meskipun benar bahawa Perkara XVI itu tidak menyatakan dengan sendirinya kesahan tindakan tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah,  Ibrahim Manan,  Hakim Mahkamah Persekutuan, berpendapat kesan berpadu Perkara XVI dan XIV dalam Perlembagaan Negeri dibaca dari sudut Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan adalah bahawa Dewan Keadilan berhasrat menjadi autoriti tunggal untuk menentukan dan memberikan nasihat tentang pertikaian.  Dengan alasan ini, beliau  mengatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan pertikaian ini. 
            Hakim Hashim Yeop A. Sani  berpendapat bahawa untuk memperluas bidang kuasa mahkamah untuk memasukkan penghukuman tentang perkara itu, seperti penggantian Pembesar-Pembesar Memerintah akan ultra vires Perkara 71.  Menurut beliau, dalam konteks Perlembagaan Negeri Sembilan, Dewan Keadilan sudah pasti mesti dianggap sebagai penjaga adat di Negeri Sembilan.  Susunan anggota Dewan Keadilan menunjukkan hasrat ini mula-mula lagi.  Nasihat Dewan Keadilan dalam perkara adat oleh itu, mesti dianggap sebagai mengikat dan muktamad kerana jika tidak akan mencetuskan ketidakpastian.
            Keputusan Mahkamah Persekutuan itu bukan sahaja memberikan penyelesaian undang-undang tentang pelantikan Datuk Musa Wahab sebagai Undang Luak Jelebu ke-15, bahkan juga memberikan tafsiran yang jelas dan muktamad tentang autoriti Dewan Keadilan dan Undang berhubung dengan  Adat Perpatih di Negeri Sembilan.  Merujuk kepada penghakiman yang dibuat oleh keempat-empat hakim berkenaan jelas bahawa mahkamah di negara ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencampuri apa-apa jua keputusan Dewan Keadilan tentang hal yang berkaitan dengan Adat Perpatih.  Keputusan ini juga merupakan peristiwa penting dalam amalan Adat Perpatih di negeri ini.  Rais Yatim (2004: 417) merumuskan keputusan tersebut:    “Dalam hal-hal berkaitan adat atau pemilihan ketua adat, seperti Undang, mahkamah sivil tidak wajar melibatkan diri atas kuat kuasa Perkara 71, Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 32, Undang-undang Tubuh Perlembagaan Negeri Sembilan.  Justeru, soal siapa yang sah menjadi Undang atau Yang Dipertuan Besar tetap berada dalam bidang kuasa institusi ada itu sendiri.”  
            Menerusi penghakiman Mohd. Salleh Abas dan Raja Azlan Shah yang mewakili penghakiman majoriti kes tersebut, dengan berasaskan keterangan Dewan Keadilan dan Undang yang telah pun memberikan restu terhadap pelantikan Musa Wahab, maka mahkamah berpendapat tidaklah wajar dipertikaikan lagi pelantikan itu.  Sementara itu,  Tun Suffian Hashim, Ketua Hakim Negara ketika itu, berbeza pendapat.  Beliau menerusi penghakiman yang bercanggah, berpendapat mahkamah berhak membangkitkan isu pelantikan Musa, walaupun Dewan Keadilan memang mempunyai bidang kuasa tertinggi tentang adat di Negeri Sembilan (Rais, 2004: 418 – 419). 
          Yang menarik dalam kes ini, ialah para hakim bukan sahaja   membuat  penghakiman yang berbeza daripada penghakiman Ketua Hakim Negara, tetapi juga beliau betul-betul keseorangan.
(Dipetik daripada Bab Sembilan, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid II, yang dapat diperoleh melaljui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...