Artikel Popular

Tuesday, August 20, 2019

Selepas Pendudukan Jepun: Catatan Ringkas

RABU, 21 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Kekalahan Jepun dan kedatangan semula Inggeris merupakan detik runcing di Tanah Melayu, terutamanya terhadap orang Melayu.  Ketika Pendudukan Jepun di Tanah Melayu selama tiga tahun enam bulan, orang Cina menerima layanan buruk dan banyak yang dibunuh oleh Jepun.  Sebaliknya, orang Melayu, secara relatifnya, menerima layanan baik daripada Jepun.  Jepun selama pemerintahan mereka di Tanah Melayu, melaksanakan dasar pro-Melayu dan anti-Cina. Perbezaan layanan yang diberikan oleh Jepun terhadap orang Cina dan orang Melayu memarakkan lagi  perseteruan antara kedua-dua kaum ini, seperti yang dicatatkan oleh Leon Comber, “perasaan benci-membenci yang telah wujud sekian lama menyebabkan pecahnya rusuhan kaum antara orang Melayu dengan orang Cina yang serius dalam tempoh kira-kira sebulan selepas Jepun menyerah diri dan kembalinya Inggeris” (Comber, 2007: 54).  Perasaan perkauman menampakkan ketegangan ketika pemerintahan Jepun. Orang Melayu dan orang Cina lebih terpisah dalam kehidupan semasa zaman peperangan (Abdul Rahman, 2015: 8). Tambahan pula, “Jepun memberikan keutamaan kepada orang Melayu untuk menyertai perkhidmatan pentadbiran, polis, dan tentera tempatan, yang menyebabkan timbul perasaan benci yang kuat dalam kalangan orang Cina terhadap orang Melayu, terutamanya apabila Jepun menggunakan unit tentera Melayu menentang kuasa tentangan Cina” (Ariffin, 2015: 42; rujuk juga Abdul Rahman, 2015: 9).
Akibat kekejaman Jepun, banyak orang Cina menyertai Tentera Rakyat Malaya Menentang Jepun (Malayan People’s Anti-Japanese Army – MPAJA) yang didukung oleh Parti Komunis Malaya (PKM). “Menjelang kedatangan semula Inggeris ke Tanah Melayu, MPAJA bermaharajalela dengan mengetepikan undang-undang.  Mereka menggunakan undang-undang sendiri untuk membicarakan orang (kebanyakannya orang Melayu) yang disyaki bekerjasama dengan Jepun (Comber, 2007: 54; Abdul Rahman, 2015: 9; rujuk juga Ariffin, 2015: 45).  MPAJA juga cuba merampas kuasa dan menggulingkan Sultan Kedah dan merancang  menculik Sultan Abu Bakar di Pahang.  Di Kota Bharu pula, kumpulan gerila Cina dari Kuomintang mengambil alih bandar itu dan menanamkan rasa takut dalam kalangan rakyat tempatan (Ariffin, 2015: 43 – 45). 
Keganasan disahut dengan keganasan – itulah yang benar-benar berlaku ketika itu.   “Banyak kejadian rusuhan kaum yang berlaku ekoran tindakan ganas MPAJA, seperti yang berlaku di Batu Pahat, Sungai Manik, dan Sabak Bernam, dalam usaha orang Melayu berindak balas terhadap keganasan orang Cina.  Pada 30 Disember 1945, kira-kira 100 orang Cina menyerang kampung Melayu di Lambur, Perak” (Abdul Rahman, 2015: 9).
Tatkala Tanah Melayu terjebak ke dalam kancah anarki, “Inggeris yang bersiap sedia untuk kembali semula, Jabatan Timur Pejabat Tanah Jajahan Inggeris segera membuat rancangan dan menggubal perlembagaan Tanah Melayu yang berbeza sama sekali, yang dikenali sebagai Malayan Union.  Tujuannya adalah untuk menyelaraskan dan menyatukan pentadbiran Tanah Melayu, dan memperkenalkan kerakyatan yang sama bagi tujuan memenuhi tuntutan orang bukan Melayu untuk memikul sebahagian tanggungjawab dalam pentadbiran negara” (Comber, 2007: 55). Rancangan Malayan Union yang dirangka pada masa perang oleh Jabatan Tanah Jajahan diwujudkan hanya enam  bulan selepas Pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu.  Sir Harold MacMichael yang ditugaskan untuk merundingkannya dengan Raja-Raja Melayu tiba pada bulan Oktober 1945. Beliau telah pun menemui kesembilan-sembilan Raja Melayu pada bulan Disember 1945 dan mendapatkan persetujuan mereka terhadap cadangan yang baharu itu (Comber, 2007: 59).  Malayan Union terdiri daripada semua negeri Melayu, termasuk Pulau Pinang dan Melaka, tetapi tidak termasuk Singapura.
Pada 22 Januari 1946, kerajaan British mengeluarkan Kertas Putih mengandungi butiran tentang dasar Malayan Union, antaranya Malayan Union yang akan dibentuk diketuai oleh seorang gabenor Inggeris. Raja-Raja Melayu hanya berkuasa dalam urusan adat dan agama Islam sahaja. Taraf kewarganegaraan akan diberikan kepada orang bukan Melayu yang berumur 18 tahun ke atas dan telah tinggal selama 10 tahun di Malayan Union dari tempoh 15 tahun sebelum 15 Februari 1942 (Nik Anuar, Muhammad dan Abd. Ghapa, 2011: 77).  Wujudnya Malayan Union bermakna pengambilalihan kuasa Negeri-Negeri Melayu dan taraf Raja-Raja Melayu dikurangkan menjadi patung-patung sahaja dalam soal-soal agama (Comber, 2007: 59).
British boleh dikatakan memperkenalkan Malayan Union pada masa yang silap dan juga silap percaturan, atau gagal memahami “mood” atau perasaan orang Melayu ketika itu.  Satu demi satu malapetaka atau krisis yang melanda menyebabkan orang Melayu semakin berani dan tabah: “alah bisa tegal biasa.” Kesan Pendudukan Jepun masih segar dalam ingatan mereka, bukan sahaja kekejaman, bahkan yang lebih penting, kesannya yang  meniupkan dan membangkitkan nasionalisme  dalam kalangan orang Melayu. Seperti yang diperhatikan oleh John Funston, kesan  Pendudukan Jepun hampir pasti menandakan titik tolak yang besar dalam perkembangan politik Melayu.  Pendudukan itu mempolitikkan kaum tani Melayu hingga ke takat yang mereka dapat digerakkan dan digembleng sebaik-baik sahaja selepas perang, dan memberi mereka yang telah pun mempunyai kesedaran politik keyakinan baharu dalam perjuangan menentang kolonialisme  (Funston, 1980:  35).  Tambahan pula,  ketika itu, Tanah Melayu bergolak dan orang Melayu merasakan diri mereka terancam akibat keganasan  yang dilakukan oleh pertubuhan yang mewakilik orang Cina.  “Satu faktor yang menambahkan lagi perasaan syak wasangka orang Melayu adalah disebabkan oleh bertambahnya kegiatan PKM, yang kebanyakan ahlinya orang Cina” (Comber, 2007:  62). Mereka menempuh pengalaman yang paling pahit akibat kekejaman Kesatuan Rakyat Menentang Jepun (Malayan People’s Anti-Japanese  Union – MPAJU)/MPAJA (Cheah, 2014:  196).
Nasionalisme Melayu pada amnya menerima dorongan seterusnya daripada peristiwa yang berlaku berikutan sebaik-baik sahaja Jepun menyerah kalah.  Sebelum British mampu menduduki semula Tanah Melayu, MPAJA Cina yang paling berpengaruh mewujudkan kawalan pentadbiran de facto mengawal pekan dan kota, pada mulanya melancarkan tindakan balas terhadap orang yang bekerjasama dengan Jepun; iaitu  dalam kebanyakan kes, adalah terhadap orang Melayu.  Orang Melayu yang  terkejut dengan apa yang berlaku, berjaya melawan balik, dan “justeru, menjelang kepulangan semula British ke Tanah Melayu pada tahun 1945, orang Melayu jauh daripada hanyut ke dalam kelenaan politik (political slumber).  Pada ketika itu setiap tiga aliran nasionalisme politik Melayu telah mewujudkan ceruk (niche) khusus masing-masing, meskipun tidak ada satu pun dikembangkan menjadi gerakan massa.  Tiga aliran itu ialah golongan reformis Islam, Kesatuan Melayu Muda (KMM), dan golongan daripada latar belakang aristokrat  (Funston, 1980:  36).
(Dipetik daripada Bab Empat, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...