Artikel Popular

Thursday, August 1, 2019

DBP dan Pembinaan Bangsa

KHAMIS, 1 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Petikan daripada bahagian awal makalah saya, "DBP dan Pembinaan Negara," Dewan Masyarakat, Julai 2019:

Bersempena sambuan jubli emasnya pada 22 Jun 2006, Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan Mural Dewan: Seni Awam sebagai Lambang Pembangunan Bangsa, yang mengandungi beberapa buah makalah dan satu wawancara khas pereka mural, Ismail Mustam. Dato’ Dr. Firdaus Haji Abdullah, Ketua Pengarah ketika itu, menulis sebuah puisi berjudul “Dirgahayu Dewan Bahasa dan Pustaka” dan sebuah “Pengantar.” Baha Zain yang membantu menangani penerbitan buku itu menulis “Dewan Bahasa dan Pustaka: Lahir dari Lidah dan Api Kebangsaan,” manakala saya sendiri menyumbang sebuah makalah, “Dewan Bahasa dan Pustaka: Sejarah Perjuangan dan Masa Hadapan.”
            Dalam makalah itu, saya antaranya menulis, “Tatkala Tanah Melayu di ambang kemerdekaan, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan nama Balai Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956. Wajah sebuah negara merdeka terjelma dengan penubuhan DBP: nama dari suatu zaman. Sejarah kelangsungan dan api perjuangan bangsa yang tidak pernah padam, yang tidak pernah hilang, meskipun penjajahan silih berganti – Portugis, Belanda, dan British. Kesinambungan politi, iaitu Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu, dan adat istiadat Melayu yang wujud sejak kesultanan Melayu Melaka yang terdedah kepada pengaruh kosmopolitan dan pemodenan, dan pernah mengalami pasang surut, diperkukuh dan dipersegar semula dengan penubuhan DBP.”
Seterusnya, saya menambah: “Selain organisasi politik dan gerakan sosial, tidak banyak organisasi yang dapat dikaitkan dan dikenali dengan perjuangan; antara organisasi yang dapat menampilkan dirinya sebagai badan perjuangan ialah DBP. Meskipun DBP merupakan badan kerajaan, kewujudannya adalah hasil perjuangan rakyat. Penubuhan DBP merupakan wawasan dan keazaman para pejuang untuk mencorakkan negara pascamerdeka, iaitu memastikan kesinambungan politi dan meletakkan bahasa Melayu dan sastera kebangsaan dalam pembinaan bangsa (nation building).” Dalam perenggan akhir makalah itu, saya mencatatkan:  “Selama 50 tahun, DBP berdiri megah dengan memberikan sumbangan penting dalam kesinambungan politi dan pembinaan bangsa.”
            Sememangnya, tidak sukar untuk menilai peranan DBP dari segi pembinaan bangsa yang pernah terakam dalam sejarah negara ini.  Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, pernah memberitahu kita dalam bukunya,  Pandang Balik.  “Pada 17 September 1963,  Yang di-Pertuan Agong, menerangkan tujuh lambang yang berkaitan dengan pembentukan Malaysia, iaitu bangunan Parlimen, Masjid Negara, maktab, universiti dan lain-lain, Stadium Merdeka dan Stadium Negara, Tugu Negara, DBP, dan Muzium Negara.  Dewan Bahasa dan Pustaka, menjadi lambang tentang warisan yang kaya dan kedudukan istimewa bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa rasmi Malaysia.” Kobkua Suwannathat Pian dalam bukunya, Tunku: An Odyssey of a Life Well-Lived and Well-Loved, menyifatkan tujuh lambang tersebut sebagai  mercu tanda fizikal dalam pembinaan bangsa yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman.
Ketika menyampaikan ucapan dalam “International  Conference on Southeast Asian Security” yang berlangsung di Singapura pada 30 Mei 1974, Tun Muhammad Ghazali Shafie, yang ketika itu seorang menteri Kabinet, membahaskan pembinaan bangsa, dan kemudiannya  menjelaskan “mengapa kerajaan memberikan buku teks percuma kepada murid sekolah rendah yang kandungannya dikeluarkan oleh DBP dan diteliti dengan ketat demi memastikan buku berkenaan akan membantu mewujudkan masyarakat yang dibayangkan oleh Rukun Negara.” Berdasarkan penjelasan Tun Ghazali  itu,   tanggungjawab DBP untuk menerbitkan buku teks sekolah rendah dan menengah bukannya bertujuan  untuk mengaut keuntungan yang lumayan, tetapi  untuk melahirkan komuniti bayangan – konsep  yang kira-kira satu dekad kemudian selepas disebut oleh “King Ghaz,”   diperkenalkan   oleh Benedict Anderson, seorang daripada ahli teori utama tentang nasionalisme. Dalam bukunya, Imagined Communities: Reflections on the Origin and Spread of Nationalism, Anderson membahaskan takrif bangsa, “dalam semangat antropologi,  iaitu komuniti politik yang dibayangkan, dan dibayangkan kerana kedua-duanya memang terhad dan berdaulat. Dibayangkan kerana anggota, bahkan bangsa yang paling kecil tidak akan pernah mengetahui kebanyakan rakan anggota sesama mereka, berjumpa dengan mereka, atau bahkan mendengar mereka, namun dalam minda kehidupan mereka, imej  perhubungan mereka.”
Sejajar dengan era ekonomi ilmu, DBP turut dipertanggungjawabkan terhadap pembinaan bangsa, seperti yang dapat dilihat dalam Knowledge-Base Economy Plan yang disediakan oleh Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS) pada tahun 2001: Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, DBP  sepatutnya menerajui usaha kerajaan untuk memelihara dan menyebarkan budaya, sejarah, dan bahasa peribumi, dan oleh itu, akan membantu pembinaan bangsa.
Pembinaan bangsa merupakan wacana yang boleh dianggap popular oleh para sarjana di negara kita, bahkan lebih popular daripada pembinaan negara (state building), yang kadangkalanya dikelirukan dengan pembentukan negara (state formation). Bab 12 “Nation Building” dalam buku Political Order and Political Decay:  From  the Industrial Revolution to the Globalisation of Democracy,   Francis  Fukuyama membezakan antara pembinaan negara  dengan pembinaan bangsa.  Pembinaan negara, menurut beliau, merujuk kepada pewujudan institusi ketara, iaitu tentera, polis, birokrasi, kementerian, dan sebagainya.  Sebaliknya, pembinaan bangsa, ialah pewujudan rasa jati diri  nasional yang kepadanya individu akan taat, iaitu jati diri yang mengatasi kesetiaan mereka kepada puak, kampung, wilayah, atau kumpulan etnik.  Berbeza dengan pembinaan negara, pembinaan bangsa memerlukan pewujudan benda ketara, seperti tradisi, lambang nasional yang berkongsi memori sejarah, dan titik rujukan budaya bersama.  Jati diri nasional boleh dicipta oleh negara melalui dasar bahasa, agama, dan pendidikan. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...