Artikel Popular

Sunday, August 4, 2019

Askar Melayu dan Ancaman Komunis

AHAD, 4 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Selepas  berkhidmat dengan Perkhidmatan Kerajaan Negeri Johor seketika,  Ibrahim  memasuki Rejimen Askar Melayu untuk “memulakan fasa kedua kerjaya saya” (Ibrahim, 2008: 219). Walau bagaimanapun, beliau hanya ditauliahkan sebagai pegawai berpangkat leftenan dalam Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1951 (Ibrahim, 2008: 152).  Pertukaran itu membolehkan  Ibrahim membina kerjaya ketenteraannya dengan  masa depannya lebih cerah.  Tegas beliau, “tidak gunanya menjadi askar sekiranya saya terus menganggotai Pasukan Tentera Negeri yang sudah berkurang kekuatannya” (Ibrahim, 2008: 165).
            Usaha  Ibrahim untuk berkhidmat dalam  Askar Melayu bukan mudah, bahkan hampir-hampir menamatkan kerjaya ketenteraannya.  Ketika bercuti selama tiga bulan untuk terus berhenti daripada Tentera India (Tentera Darat India British), pada 13 Disember 1946, beliau ketika itu berpangkat mejar menulis surat kepada pesuruhjaya residen Johor, memohon supaya beliau diserapkan ke dalam   Askar Melayu di bawah King’s Commission.  Walau bagaimanapun, jawapan surat daripada pegawai pemerintah Askar Melayu di Port Dickson, bertarikh 30 Disember tahun itu, yang membawa maksud bahawa beliau layak untuk berkhidmat di bawah Governor’s Commission yang tidak setaraf dengan King Commission, meskipun mereka mempunyai pangkat yang sama (Abdul Samad, 1983: 537).  Sebenarnya, tindakan ini bersifat diskriminasi terhadap pegawai-pegawai Melayu berbanding dengan kedudukan tentera yang tentera daripada orang Inggeris.  
 Ibrahim yang menduga jawapannya menolak tawaran itu bulat-bulat. “Saya berasa amat tersinggung dan tidak puas hati dengan layanan yang diberikan itu, padahal semasa saya bertugas dalam Tentera Darat India British pada masa perang saya sudah pun diterima setaraf dengan pegawai-pegawai Inggeris (Ibrahim, 2008: 165 – 166). Pada 25 Jun 1947,   Ibrahim menerima surat sulit daripada Pejabat Pesuruhjaya Residen Johor, mengingatkan beliau bahawa kerjayanya sebagai tentera akan berakhir jika enggan berkhidmat di bawah Governor’s Commission (Abdul Samad, 1983: 537).
Keengganan   Ibrahim berkhidmat dalam  Askar Melayu di bawah Governor’s Commission menyebabkan beliau menerima berbagai-bagai tekanan.  Semasa berkhidmat sebagai pegawai penjaga di Pejabat Rekod Pasukan Sukarela Johor, beliau menerima surat yang ditandatangani oleh  (Dato’) Mohd. Seth Mohd. Said, daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, bertarikh 27 Julai 1948, menyatakan bahawa beliau tidak layak menerima gaji bulanannya (Abdul Samad, 1983: 537).  Walau bagaimanapun, kawannya semasa di bangku sekolah, di Dehradun, dan dalam UMNO, iaitu Tun Hussein campur tangan, “meminta setiausaha kerajaan Johor membayar gaji  Ibrahim, termasuk tunggakan.  Tun Hussein yang menulis surat pada 6 Februari 1949, juga menyatakan bahawa gaji beliau ialah $300 sebulan, termasuk Cola $150, berjumlah $450 sebulan” (Abdul Samad, 1983: 538).  Bahkan, Dato’ Onn yang ketika itu Menteri Besar Johor campur tangan dengan mengirimkan surat kepada Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British.  Dalam surat yang bertarikh 6 Jun 1949, beliau meminta penjelasan daripada Henry Gurney, sama ada boleh atau tidak kelonggaran diberikan kepada pegawai yang berkhidmat dengan cemerlang untuk menyertai Askar Melayu di bawah King’s Commission (Abdul Samad, 1983: 542).  Dato’ Onn dilantik sebagai pemangku Menteri Besar Johor oleh Sultan Ibrahim pada 1 Oktober 1946, dan beliau meletakkan jawatan Menteri Besar pada 17 Jun 1949.
 Ibrahim sendiri mengadakan pertemuan dengan Komandan Askar Melayu di Port Dickson pada 5 Ogos, 1949, dan  akhirnya pada 2 November 1950, apa yang beliau perjuangkan tercapai. Beliau kembali menyarung seragam tentera dengan melaporkan diri menyertai Askar Melayu pada 1 Mac 1951, dengan berpangkat leftenan.  Sebelas bulan kemudian, seperti yang dipersetujui beliau dinaikkan pangkat kapten (Abdul Samad, 1983: 539 – 543).
Pada 11 Ogos 1958, beliau mengambil alih pemerintahan Batalion Keenam Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kuala Lumpur, menggantikan Leftenan  Kolonel  H.L. Darlington. “Peristiwa ini merupakan detik yang membanggakan diri saya kerana saya mengimpikan untuk memerintah sebuah batalion suatu hari nanti; impian saya semenjak hari pertama saya memasuki akademi tentera”  (Ibrahim, 2008: 240).
             Ibrahim menyertai  Rejimen Askar Melayu tatkala Tanah Melayu diancam oleh pemberontakan komunis dan Darurat telah diisytiharkan pada 16 Jun 1948 oleh pesuruhjaya tinggi British Sir Edward Gent.   Sepanjang perkhidmatan beliau dalam angkatan tentera,  Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia sentiasa  bergolak.  Pengunduran Jepun disusuli dengan kacau-bilau seketika,  kemudian PKM melancarkan pemberontakan,  Presiden Sukarno melancarkan Konfrontasi,   rusuhan kaum tercetus  sebaik-baik sahaja selepas pilihan raya umum tahun 1969, dan  Sarawak pula  diancam oleh komunis. Namun begitu,   “bahunya  besar.” 
            Disebabkan gagal melaksanakan perjuangan secara berperlembagaan, PKM pada tahun 1948 memilih untuk beralih kepada gerakan militan, bertukar menjadi ganas, termasuklah memusnahkan sasaran ekonomi, khususnya ladang getah dan kawasan industri. Kemuncak kegiatan tersebut ialah peristiwa pembunuhan tiga peladang Eropah di Sungai Siput, Perak pada tahun 1948 yang kemudian mendorong British mengharamkan PKM pada 17 Julai dan lebih 1000 tangkapan dibuat,  dan selanjutnya mengisytiharkan Darurat (Mohd Rizal dan Shamrahayu, 2015: 113, 117). Pembunuhan di Sungai Siput itu menyebabkan Darurat diisytiharkan di Perak pada 16 Jun.  Dua hari kemudian, Darurat diisytiharkan di Johor kerana komunis menyerang Kampung Choh dan balai polisnya. Pada 23 Jun 1948, seluruh Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan Darurat (Ramlah, 2014: 10).
            Menurut Anthony Short, mobilisasi PKM untuk perjuangan bersenjata dilaksanakan dalam tiga fasa. Pertama, secara gerila di dalam hutan yang membabitkan Lau Tong Tui – satu pasukan pembunuh yang dianggotai revolusioner profesional.  Mereka kebiasaannya bergerak dalam kumpulan kecil antara empat atau lima anggota dengan matlamat menghapuskan sasaran yang kebanyakannya orang Melayu.  Fasa kedua ialah keanggotaan terbuka anggota PKM atau secara gabungan, khususnya dengan MPAJA, manakala fasa terakhir ialah perjuangan bersenjata PKM sebaik Darurat diisytiharkan. Objektif utama PKM ialah menimbulkan kekacauan serta huru-hara di kawasan luar bandar, selain menubuhkan kerajaan komunis di beberapa kawasan yang dikuasai mereka di Tanah Melayu.  Pada masa yang sama, PKM juga berhasrat memulakan revolusi umum dan mencapai kemenangan akhir dengan mengalahkan kuasa British serta pihak bersenjata tempatan, seterusnya membentuk rejim komunis atau Republik Sosialis di Tanah Melayu (dipetik daripada Mohd Rizal dan Shamrahayu, 2015: 118).
            Pada permulaan Darurat, PKM mempunyai kekuatan 5000 orang anggota yang dibahagikan kepada 10 batalion, manakala kekuatan British jauh lebih besar dengan peningkatan pasukan polis daripada 9000 orang anggota pada tahun 1948 kepda 67,202 orang pada tahun 1952. Daripada jumlah tersebut, 22,187 ialah polis biasa, 44,878 polis bantuan, manakala kekuatan Pengawal Kampung (Home Guard) pula meningkat hingga 300,000 pada Januari 1951 (Mohd Rizal dan Shamrahayu, 2015: 118 - 119).
            Penglibatan   Ibrahim dalam menentang ancaman komunis bermula sebaik-baik sahaja Darurat diisytiharkan pada tahun 1948. Di negeri Johor, Menteri Besar ketika itu, Dato’ Onn Ja’afar, mengambil langkah serta-merta untuk menghalang komunis daripada menguasai kampung Melayu terpencil.  Anaknya, Tun Hussein yang sedang berkhidmat sebagai penolong pegawai daerah di Kuala Selangor, diminta pulang ke Johor untuk mengetuai urusan penubuhan Pengawal Kampung.  Hussein yang memikul tanggungjawab itu meminta  Ibrahim bersama-sama beliau sebagai timbalan. Kedua-duanya, iaitu  Ibrahim dan  Hussein bertanggungjawab melatih kader jurulatih Pengawal Kampung, di samping atas permohonan Markas Kontinjen Johor yang dalam proses penubuhan pasukan hutan, mereka berdua membantu mereka melatih anggota polis mereka dalam taktik peperangan hutan  (Ibrahim, 2008: 205; Ramlah, 2014: 19; Zainah, 2011: 181).   Mereka berdua tanpa mengenal penat lelah menjelajah seluruh Johor, pergi ke kampung-kampung di daerah yang terjejas teruk, untuk mengatur dan melatih orang kampung menggunakan senjata dan dalam strategi mempertahankan diri (Zainah, 2011: 181 – 182). Pada masa itu, keselamatan negara sedang terancam.  Ini bermakna Pengawal Kampung   terpaksa lebih berwaspada semasa melaksanakan tugas mempertahankan diri daripada kemungkinan diserang oleh pengganas komunis (Ibrahim, 2008: 206), yang turut mencatatkan Peristiwa Bukit Kepong, apabila pada 23 Februari 1950, komunis menyerang balai polis. Ibrahim memberitahu, “Setiap orang berasa takut kerana gerila bersenjata, sedangkan penduduk kampung tidak.  Kami memberi mereka senapang patah dan melatih mereka menggunakan senjata.  Apabila kami kehabisan senapang patah, kami mengagihkan parang panjang yang dibuat oleh orang kampung sendiri” (Zainah, 2011: 182).  
            Hussein dan Ibrahim mengumpulkan, mengatur, dan melatih 10,000 orang Pengawal Kampung.  Menurut Ibrahim, sambutan terhadap misi mereka sukar dipercayai. Orang Melayu berdiri teguh di belakang mereka dan bangkit menentang gerila dan mencegah kampung mereka daripada disusupi atau diganasi. Memang tidak sukar untuk mengambil penduduk kampung kerana mereka telah pun penuh rasa bangga dengan semangat nasionalisme Melayu dan dengan UMNO yang baru sahaja ditubuhkan, dan menentang Malayan Union” (Zainah, 2011: 182).  Ibrahim yakin bahawa strategi melawan balik pemberontakan merupakan instrumental dalam mencegah PKM daripada mengambil alih kawasan luar bandar dan kampung (Zainah, 2011: 182).
            Menjelang tahun 1952,  PKM yang melancarkan pemberontakan itu terpaksa berhadapan dengan pasukan keselamatan yang lebih mantap kerana beberapa perubahan yang dilakukan oleh pesuruhjaya British Sir Gerald Templer yang juga merupakan pengarah operasi mulai Januari 1952. Sepanjang tahun 1953 dan 1954, komunis terus menerima tentangan hebat di setiap medan dan penjuru, terutama sekali dengan pelancaran operasi besar-besaran pihak polis dan Pengawal  di Kelantan, timur Pahang, dan barat Perak. Tentera pula menumpukan operasi di tempat-tempat lain. Kawasan putih semakin banyak diisytiharkan, terutamanya di Pantai Timur (Mohd. Reduan, 2008: 57 – 60).
Pasukan Askar Melayu yang ditubuhkan pada 1 Mac 1933, merupakan satu-satunya pasukan angkatan tentera tempatan yang telah tersedia ada semasa Darurat diisytiharkan (Ramlah, 2014: 20). Akibat Darurat, British menambah kekuatan Askar Melayu dengan melakukan pembesaran secara berperingkat-peringkat, bermula dengan Batalion 3 (Januari 1949, Batalion 4 (Jun 1950), Batalion 5 (Disember 1951), Batalion 6 (Februari 1953), dan Batalion 7 pada Mac 1954 (Ramlah, 2014: 20).
Ketika Darurat, Ibrahim  yang  berpangkat kapten ikut sama menjalankan operasi di hutan-hutan di sekitar Raub, Bentong, dan Jerantut.  Walau bagaimanapun, beliau tidak terlibat dalam pertempuran besar.  Pada masa itu juga, iaitu pada tahun 1955, beliau dihantar untuk mengikuti kursus jangka pendek di Star Colleges, London (Abdul Samad, 1983: 544 – 545).
Sementara itu,   antara 1960 – 1968, komunis di Sarawak meneruskan usahanya untuk menyebarkan fahaman  komunis dan meluaskan pengaruhnya dalam kalangan rakyat tempatan.  Sebagaimana PKM di Semenanjung, Pertubuhan Komunis Sarawak (PKS) juga mempergunakan kesempatan suasana revolusi yang dicetuskan oleh Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya di Sarawak (Mohd. Reduan, 2008: 125).  Sebagaimana PKM di Semenanjug, PKS juga mempergunakan kesempatan suasana revolusi yang dicetuskan oleh Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya di Sarawak (Mohd. Reduan, 2008: 125). 
Di Sarawak, wujud Pertubuhan Klandestin Komunis atau Communist Clandestine Organization  (CCO) yang dianggotai oleh kaum Cina. Matlamat perjuangan pertubuhan sulit komunis  CCO   adalah sama seperti matlamat PKM di Tanah Melayu, iaitu untuk mendapatkan kemerdekaan dan membentuk sebuah Republik Komunis di Sarawak (Mohd. Reduan, 2008: 91). COO dipercayai mempengaruhi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pimpinan Tan Sri Ong Kee Hui, yang pada mulanya menentang kuat penubuhan Malaysia (Ghazali, 2015: 245). COO  juga menekankan kaum Iban dan mempelawa orang muda kaum itu menyertai kumpulan mereka (Ghazali, 2015: 243), dan menakut-nakutkan orang Cina di Sarawak melalui gangguan dan subversif dengan motif supaya orang Cina menentang penyertaan negeri itu ke dalam Malaysia (Ghazali, 2015: 249). COO mahukan kemerdekaan Sarawak di bawah komunis (Ghazali, 2015: 266).  Tatkala Malaysia dalam proses  pembentukan,  CCO  semakin cergas dengan bantuan negara Cina melalui Parti Komunis Malaysia (PKI) yang menyediakan latihan untuk unit tentera CCO, dan mereka mula masuk ke dalam SUPP, sekolah Cina, pertubuhan buruh, dan pelajar (Ghazali, 2015: 274).
Menurut Ibrahim, mengikut penilaian perisikan Markas DOBOP, yang dibawa balik dari Labuan, ancaman komunis paling ketara di Sarawak, sebaliknya di Sabah tidak terdapat ancaman sedemikian. CCO yang terdiri daripada anggota komunis tegar berjumlah kira-kira 1000 aktivis Cina dan seramai kira-kira 150 kader.  Di samping itu, terdapat kekuatan pejuang seramai 3500 orang dan sehingga seramai 25,000 orang pesimpati dan bakal pejuang.  Hubungan dengan Indonesia diperkukuh apabila seramai 1000 pemuda Cina menyeberangi sempadan ke Kalimantan untuk menjalani latihan senjata dengan Tentera Darat Indonesia (Ibrahim, 2008: 293).
Akan  tetapi,  usaha  mereka untuk melancarkan pemberontakan dapat dibanteras apabila pihak polis Sarawak bertindak menyelamat keadaan dengan menarik balik lesen senjata api.  Pada 19 April 1965, kesemua 8500 lesen untuk senapang patah tolok 12 yang dikeluarkan ditarik balik, dan seterusnya mengeluarkan dekri supaya semua senjata api diserahkan.  Pada akhir minggu pertama, 8000 senapang patah dikumpulkan (Ibrahim, 2008: 294). 
Ancaman komunis itu terpaksa dihadapi oleh Briged Infantri Malaysia Ketiga, selain yang sedia ada untuk dihadapi di sebarang sempadan di Kalimantan.  Kawasan tanggungjawab briged meliputi tiga kawasan yang paling sering dimasuki komunis, iaitu Divisyen Pertama, Kedua, dan Ketiga Sarawak – yang saiz ketiga-tiga  kawasan itu sama luas dengan saiz keseluruhan Semenanjung Malaysia (Ibrahim, 2008: 294).
“Saya mengarahkan Brigadier  (Tan Sri)  Ungku Nazaruddin  (Ungku Mohamed) untuk memberikan perhatian kepada beberapa perkara terperinci semasa merancang operasi di kawasan tanggungjawabnya” (Ibrahim, 2008: 294).
(Dipetik daripada Bab Sepuluh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...