Artikel Popular

Wednesday, July 31, 2019

Penjawat Awam dan Pemimpin Etnik

RABU, 31 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Menurut laman Web Istana Negeri, Tun  Datuk Seri Panglima Haji Sakaran  Dandai dilahirkan pada 15 April 1930 di Kampung Air, yang terletak di persisiran pantai Daerah Semporna, iaitu sebuah perkampungan orang Bajau.  Nama asal Tun  Sakaran ialah Hashim (kemudian dinamakan Sakaran).  Ayah beliau,  Dandai  Ajibuddin, keturunan Bajau.  Beliau mempunyai sembilan orang adik-beradik,  iaitu dua orang lelaki dan tujuh orang perempuan. Salah seorang adik perempuannya, Bunga Suara, ibu Datuk  Seri Mohd.  Shafie Apdal, meninggal dunia akibat sakit tua  pada 16 Mac 2017.
            Orang Bajau yang menetap di Semporna dikenali sebagai etnik Bajau Pantai Timur. Kedudukan geografi Semporna dibahagikan kepada kawasan pulau dan darat, amat sesuai dengan corak hidup etnik Bajau itu sendiri.  Bajau Pantai Timur berasal dari pulau-pulau yang berbeza di sekitar Kepulauan Borneo (Md. Saffie dan Ramzah, 2012: 8). Menurut beberapa kajian, Bajau Pantai Timur berasal dari Johor (Md. Saffie dan Ramzah, 2012: 15). Bagi etnik Bajau yang menetap di Pantai Timur Sabah, khususnya di Semporna, kebanyakannya berasal dari Kepulauan Sulu. Faktor asal usul ini mempengaruhi penggunaan istilah Bajau, Sama, Samal, Pala’u, Mangat, dan Luwa’an, iaitu sebutan yang biasa digunakan untuk merujuk etnik Bajau ini. Selain itu, ada sebahagian kecil masyarakat Bajau yang menetap di kawasan Pantai Timur ini berasal dari kepulauan di Indonesia (Md. Saffie dan Ramzah, 2012: 22).
            Sakaran mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Semporna (1937-1941).  Pada masa Pendudukan Jepun, beliau sempat belajar dalam persekolahan Jepun dan menyambung semula di government vernacular school, Semporna.  Selain itu, beliau  mendalami bidang agama dari 1945-1948.  Antara guru agama yang pernah mengajarnya ialah ulama dari Arab, Indonesia dan orang tempatan.
            Dalam wawancara dengan Utusan Borneo, Sakaran pernah menceritakan pengalaman persekolahannya pada zaman pemerintahan British dan persekolahan serta pengalaman hidup semasa  Pendudukan Jepun.  Ketika pemerintahan British, sistem pelajaran pada masa itu lebih menitikberatkan agar pelajar menguasai menulis, membaca, dan mengira. Walau bagaimanapun, pelajaran beliau  terganggu ketika pencerobohan tentera Jepun pada tahun 1941.  Ketika zaman Jepun, mereka cuba menerapkan nilai-nilai patriotik dalam jiwa pelajar. Pembelajaran lebih tertumpu kepada pembelajaran bahasa Jepun. Sekolah Jepun memang agak berbeza dengan vernacular school pada  zaman British. Pemerintahan Jepun lebih keras. Mereka cuma menyerapkan budaya dan semangat patriotik dalam  kalangan pelajar sekolah dan penduduk tempatan. Pendekatan dan sistem pemerintahan yang mereka amalkan itu menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat (Abd. Naddin, 2011).
            Sakaran memberitahu,  “Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 4.00 pagi. Mendayung perahu kecil yang diberi nama kaya-kaya. Kira-kira jam 7.00 pagi kami sampai di sekolah. Ada kalanya dari Tinagayan itu, kami diiringi oleh buaya. Ada masa kami nampak buaya. Walaupun kami takut,  itu tidak menghalang kami untuk pergi ke sekolah. Setelah sampai, perahu kami tambatkan di satu tempat yang jauh. Supaya kalau air surut kami boleh limpas. Selepas itu kami berjalan di tengah hutan. Kadang-kadang kami dikejar beruk yang pendek ekornya. Malah,  ada rakan kami pernah digigit beruk. Banyaklah kesusahan yang dialami ketika itu. Pernah pula satu ketika kena sengat ikan sembilang. Ada juga ikan kapu',  ikan berbisa yang boleh menyerupai pasir, boleh menyerupai batu” (Abd. Naddin, 2011).
            “Ketika itu bekal kami ke sekolah hanyalah sebiji ketupat dan ikan goreng. Bekal ini biasanya kami simpan di satu tempat. Kini berdekatan hospital. Kadang-kadang bekalan kami yang kami sangkutkan atau gantungkan itu diambil orang. Ketika Pendudukan Jepun, kehidupan terasa lebih teruk. Sampai tiada makanan, tiada ubat. Peperangan itu telah memberikan kesedaran mengenai makna penderitaan dan kesengsaraan hidup. Kami terpaksa mengangkat air sendiri. Bahkan, kami pernah makan ubi kayu mentah semasa kami berjalan mencari bahan-bahan makanan. Waktu itu umur saya kira-kira 12 tahun. Kehidupan sekarang berbeza dengan masa dijajah dahulu. Seperti bumi dan langit”  (Abd. Naddin, 2011).
            Menurut Sakaran, pemerintahan Jepun terkenal dengan kekerasan dan kekejamannya. Ramai penduduk Semporna yang ditangkap oleh tentera Jepun kerana mereka disyaki membantu Alliance (Tentera Bersekutu) yang ketika itu berpangkalan di Bongao. Ramailah ketua  kampung yang ditahan kerana disyaki bersubahat. Padahal mereka hanya menjalankan kegiatan tukar barang di pekan Semporna. Jepun menyangka mereka menghantar barang untuk membantu Amerika. Sebab itu mereka menangkap penduduk tempatan. Sebahagian mereka diseksa dengan pelbagai bentuk penyeksaan. Ada yang diberi minum air sabun, dikasari, ditendang, dipukul dan diseksa sedemikian rupa. Antara mereka yang ditangkap itu ialah pakcik Amat Jamli yang berkahwin dengan makcik saya. Yang lain,  termasuklah Panglima Habibuddin bin Sekati, Hani bin Jahaludin, Jabilan bin Jahaludin. Nasib ketiga-tiga bapa saudara saya ini agak  begitu malang. Panglima Habibbudin meninggal semasa dalam tahanan Jepun, Hani bin Jahaludin dan Jabilan bin Jahaludin pula  [sic] oleh tentera Jepun ke Tawau dan sehingga kini pusara mereka tidak ditemui. Selain itu, beberapa ketua kampung dan dua peniaga Cina juga telah dibunuh oleh tentera Jepun.
            Tambah Sakaran, “Kekejaman tentera Jepun bukan hanya menangkap orang dan menyeksa mereka. Mereka juga melakukan rampasan binatang-binatang ternakan yang dipelihara oleh orang kampung. Makanan penduduk juga dirampas. Apa-apa sahaja yang mereka nampak semuanya dirampas. Sebab itu, penentangan dan kebencian penduduk kampung juga semakin menebal terhadap Jepun. Tentera Jepun sentiasa memburu orang kampung. Ramai  antara mereka terpaksa bersembunyi di pulau-pulau dan beberapa buah kampung berdekatan, seperti Kampung Tinagayan, Kampung Bubul, Tampi-Tampi, Pulau Menampilik, Kampung Lihak-Lihak, Pulau Timbun Mata dan Melanta Tutup. Oleh sebab itu,  orang kampung berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Di kalangan mereka yang diburu Jepun itu termasuklah pakcik yang juga mentua saya, Datu Panglima Haji Abdullah bin Panglima Uddang. Beliau diburu Jepun kerana beliau merupakan bekas kakitangan British sebelum penjajahan Jepun ke Semporna. Oleh sebab itu, ramai ahli keluarga beliau yang turut bersembunyi daripada turut dikesan oleh tentera Jepun” (Abd. Naddin, 2011).
            Kerjaya  Sakaran  dalam perkhidmatan awam  bermula sebagai kerani Anak Negeri  di Pejabat Daerah Semporna pada 31 Ogos 1948.  Pada tahun 1950,  beliau telah ditukarkan oleh Kerajaan British untuk bertugas di Pulau Tambisan, Lahad Datu.  Beliau kemudiannya ditukar ke Semporna, dan pada tahun 1958,  sekali lagi ditukarkan ke Pejabat Daerah Tuaran (Pejabat Tanah).  Pada awal tahun 1959, beliau ditukar kembali ke Semporna dan menjabat jawatan pemangku kerani besar. Pada awal tahun 1960,  Sakaran telah dilantik menjadi ketua Anak Negeri (Native chief) di Semporna.  Jawatan ini merupakan salah satu daripada jawatan tertinggi yang dapat dicapai oleh kalangan peribumi semasa pemerintahan British di Sabah.  Sakaran merupakan ketua Anak Negeri yang paling muda pada masa itu.  Beliau selalu memberikan  perhatian terhadap pembangunan pendidikan di Semporna, khasnya kerana pada masa itu hanya 35 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur bersekolah dihantar ke sekolah.  Beliau kemudiannya telah membantu dalam mendirikan lebih banyak sekolah rakyat untuk meningkatkan taraf pendidikan penduduk Semporna.
            Pada tahun 1950, Pejabat Daerah Semporna berpindah dari rumah panjang ke pejabat baharu yang jauh sedikit dari pinggir laut. Ketua pentadbirnya, ialah Albert Watson, yang dibantu oleh penolong pegawai daerah pembangunan serta dibantu oleh seorang ketua Daerah Semporna, iaitu Sakaran.  Beliau juga merupakan anak jati Semporna dan orang Bajau yang banyak menyumbangkan tenaga dan idea demi melicinkan lagi pentadbiran Semporna pada zaman penjajahan British (Md. Saffie dan Sabihah, 2012: 147). Sakaran dikategorikan sebagai pemimpin muda yang banyak membantu etnik Bajau Semporna dan daerah Semporna untuk terus mengejar pembangunan sebelum Sabah merdeka (Md. Saffie dan Sabihah, 2012: 147).
            Sakaran  mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Hajah Siti Rukaiyah  Datuk Panglima Abdullah.  Mereka dikurniakan dua belas orang anak,  termasuk tujuh orang anak daripada perkahwinan pertamanya (isteri pertamanya bernama Halimah meninggal dunia pada tahun 1964).  Anak-anak mereka bernama Asiah, Asmah, Nasir, Aisah, Haji Omar, Haji Abdul Rahman, Haji Jamal, Shamsiah, Hajah Saleha, Haji Mohd. Suffian, Haji Razak,  dan Haji  Mohd.  Arif.
(Dipetik daripada Bab Enam, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
            

Tuesday, July 30, 2019

Pencemaran Minda

SELASA, 30 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Ketika pulang ke Kuala Terengganu untuk menyambut Aidilfitri, saya memerhatikan tidak banyak bendera parti politik yang berkibar jika dibandingkan dengan dua raya yang lalu.Kain rentang Wang Ihsan atau royalti minyak juga tidak kelihatan. Yang ada banyak kain rentang parti politik, iaitu UMNO dan PAS mengucapkan "Selamat Hari Aidilfitri." Oleh itu, sangkaan saya meleset sama sekali kerana pada mulannya, saya menjangkakan bahawa bendera politik sentiasa berkibar di sepanjang jalan dari Kemaman ke Kuala Terengganu. Apabila saya melihat keadaan sedemikian, saya mengandaikan bahawa pertarungan politik mulai reda.

Namun begitu, ketika berhari raya bersama-sama keluarga dan sahabat handai, saya dapat merumuskan pertarungan poliik antara penyokong dengan penyokon PAS belum reda, meskipun pilihan raya telah berlalu lebih dua tahun. Di bawah ini, saya senaraikan beberapa kes:

Kes pertama: Penyokong PAS mengatakan bahawa banyak orang PAS Terengganu gagal menunaikan ibadat haji tahun lalu kerana Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang kini berkhidmat Duta Besar di Arab Saudi "menyekat" kehadiran mereka.

Kes kedua: Penyokong UMNO mengatakan bahawa penyokong PAS juga mengambil Wang Ihsan  yang diberikan sebanyak RM300 seorang, meskipun wang itu dianggap "haram."

Kes ketiga:  Kejayaan pasukan bola sepak Terengganu menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2001 kerana tuah pemerintahan PAS di negeri itu.  Jawab penyokong UMNO, kalau kemenangan itu kerana tuah PAS, maka Kelantan lebih layak menang kerana PAS memerintah negeri itu sejak tahun 1990.

Kes keempat: Menurut penyokong UMNO, jika banjir berlaku semasa pemerintahan UMNO, maka banjir itu dianggap bala Tuhan. Jika banjir berlaku semasa pemerintahan PAS, dianggap rahmat Tuhan. Menurut penyokong UMNO lagi, ada sebuah tempat di Besut tidak pernah banjir, tiba-tiba banjir besar berlaku di tempat itu semasa pemerintahan PAS.

Setelah mendengar beberapa kisah daripada penyokong kedua-dua belah pihak, saya termenung dan berfikir: Jelas bahawa pertarungan politik antara kedua-dua buah parti itu tidak akan reda. Apa-apa sahaja yang berlaku, seperti menunaikan ibadat haji, banjir, atau menjuarai sesuatu pertandingan, seperti bola sepak, akan dikaitkan dengan politik. Yang kononnnya dianggap "haram" boleh bertukar halal sekiranya seseorang itu mendapatnya.

Selain itu, saya juga tertanya-tanya dari mana mereka mendapat semua cerita yang seakan-akan rekaan itu. Adakah mereka mendapat cerita itu daripada pemimpin tempatan setiap parti berkenaan atau daripada rakan mereka. Kemudian, cerita itu direka lagi atau ditokoh tambah supaya kelihatan menarik. Memang rumit dan keliru sekiran apa-apa sahaja yang berlaku ditafsirkan dan dikaitkan dengan politik.

Lebih malang, kerana setelah mengenal politik demokrasi, pemikiran para penyokong kedua-dua buah parti berkenaan semakin tidak matang dan kurang rasional. Sepatutnya, gejala seperti ini berlaku pada peringkat awal sistem politik demokrasi diamalkan di Malaysia. Jika dibandingkan dengan orang sekarang, jelas bahawa orang dahulu lebih matang, rasional, dan toleran dalam berpolitik.

Dalam pada itu, saya teringat akan kata-kataBurhanuddin al-Helmy kira-kira 50 tahun lalu, yang dimuatkan dalam buku Islam dan Sosialisme. Beliau menegaskan: "Rakyat yang berdiri di belakang PAS adalah mempunyai cita-cita yang sama dengan rakyat yang berdiri di belakang UMNO... Kalau kita melihat pemimpin-pemimpin UMNO tidak jujur, tidak betul, tidak tegas memimpin rakyat mereka, maka adalah kewajipan kita sebagai nasionalis, sebagai patriot, sebagai kawan seperjuangan dari rakyat yang  bergerak di bawah lambang perjuangan UMNO, untuk mengkritik, untuk menegur pemimpin UMNO itu. Demikian juga sebaliknya.  Kalau pemimpin kita tidak jujur, tidak ikhlas terhadap rakyat, adalah kewajipan rakkyat yang berdiri di belakang UMNO, berkumpul di bawah lambang perjuangan UMNO untuk mengkritik kita, untuk menasihati kita."

Namun begitu, amanat penting Burhanuddin al-Helmy telah lenyap bukan sahaja ditelan zaman, tetapi juga kerana pertarungan politik yang semakin sengit sehingga tidak ada kesudahannya. Kini, kita dapat melihat pertarungan politik hingga "ke titisan darah yang akhir" kerana pencemaran minda yang berleluasa.

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Februari 2002.)


Ekonomi Politik Balak

SELASA, 30 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Hasil balak merangsang tabung kerajaan negeri, yang daripada hasil itu, peruntukan diberikan untuk memenuhi bahagian pendanaan pembangunan.  Industri balak pastinya mengayakan Sarawak (Wee, 2007:  376).  Di dunia perhutanan, Sarawak hampir sinonim dengan industri balak tropika.  Negeri ini merupakan pengeksport utama kayu keras tropika (Wee, 2007: 376; Aeria, 2013: 128).   
            Berikutan pertemuan di Hotel Ming Court itu, Abdul Taib mengumumkan bahawa beliau membekukan 25 konsesi balak seluas 1.25 juta hektar (tiga juta ekar), bernilai kira-kira RM22.5 bilion, dan konsesi adalah “tertumpu dalam tangan sebilangan orang,” iaitu saudara-mara dan kawan Abdul Rahman (Ritchie, 1987: 39; Jomo, 1992a: V. Rujuk juga Abdul Rahman, 2007: 365;   Leigh, 1991: 191;  Aeria, 2013: 128). Beliau juga memerintah badan berkanun kerajaan mengeluarkan RM150 juta yang tersimpan dalam Bank Utama yang Abdul Rahman ialah pemegang saham terbesar (Abdul Rahman, 2007: 365).  Dengan pembekuan konsesi itu kelihatan sebagai pendendam, tetapi berkesan untuk merangsang para penyokong Abdul Rahman menyokong Abdul Taib sepenuhnya kerana aliran tunai mereka  tiba-tiba kering (Leigh, 1992: 191). 
            Rasional untuk tindakan itu adalah bahawa pemegang lesen melanggar syarat lesen mereka, dalam banyak kes dengan memindahkan permit itu kepada kontraktor mereka (Leigh, 1991: 191). Menurut Abdul Taib, tindakan itu diambil kerana terdapat pihak tertentu yang menggunakan wang hasil konsesi tersebut untuk menentang kerajaan negeri pimpinan beliau (Nidzam, 2006: 235).  Ketua Menteri memberikan petunjuk yang jelas bahawa pembekuan lesen “dilakukan betul-betul pada masanya demi mencegah Sarawak daripada dikuasai oleh ‘politik  balak’. Beliau memberitahu beliau melihat bahaya mendatang dalam bentuk kebanjiran wang balak yang memberikan kesan buruk terhadap politik di Sarawak. Politik balak boleh menjadi berbahaya jika terlalu banyak konsesi dalam tangan segelintir orang dan mereka yang dalam satu kumpulan” (Leigh, 1991: 192).       
            Tercetus perang media berikutan pembekuan konsesi balak itu.  Akhbar Sarawak Tribune yang memihak pada Abdul Rahman melawan balik dengan mendedahkan kumpulan syarikat yang bersekutu dengan Abdul Taib yang memiliki konsesi balak seluas 1.6 juta hektar.  Sebagai tindak balas, The People’s Mirror yang dimiliki oleh Datuk James Wong, pemegang konsesi balak yang utama dengan lebih 300,000 hektar, yang juga presiden SNAP, Menteri Alam Sekitar dan Pelancongan, dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1970-an – menerbitkan perincian konsesi balak seluas 1.25 juta hektar yang dikawal oleh atau bersekutu dengan Abdul Rahman dan keluarganya.  Justeru, konsesi balak antara bapa saudara Abdul Rahman dengan anak saudara Abdul Taib berjumlah kira-kira 30 peratus tanah hutan Sarawak (Jomo, 1992a: V).
              Majalah Forbes mengenal pasti orang Cina Sarawak sebagai seorang taikun balak terbesar Asia.  Kajian tentang tujuh syarikat balak terbesar di Sarawak mengesahkan kepentingan utama perniagaan keluarga Cina.  Syarikat ini mempunyai hubungan baik dengan elit politik Sarawak, di samping dengan beberapa orang yang berpengaruh dari segi politik di Sabah dan Semenanjung dan dengan kepentingan Jepun.  Syarikat ini memegang konsesi besa dan mempunyai akses dengan modal jauh melampaui min syarikat purata di negara ini (Wee, 2007: 376).  Elit pemerintah yang dianugerahi konsesi balak akan memajaknya kepada kontraktor yang kebanyakannya Cina untuk operasi dan eksploitasi (Wee, 2007:  376). Secara berkesan, sistem konsesi hutan yang lemah bermakna kebanyakannya kalaupun tidak kesemua konsesi balak besar disubkontrakkan kepada firma Cina besar, seperti  KTS, Rimbunan Hijau, Samling, WTK, Sanyan, dan Shin Yang.  Syarikat konsesi ini dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Menteri dan ahli politik utama yang lain dalam Barisan Nasional. Firma ini bergantung pada Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk kekayaan mereka.  Dengan kata lain, perniagaan Cina yang mempunyai hubungan yang sangat baik ialah benefisiari utama daripada dasar bumiputera DEB (Aeria, 2013: 134).
            Sementara sesetengah pemegang konsesi dan taikun balak dianugerahi bintang kebesaran, seperti “Datuk” atau “Tan Sri” oleh kerajaan negeri atau Persekutuan kerana sumbangan mereka, penduduk peribumi ada kalanya melancarkan protes membantah pengusaha pembalakan yang dianggap menceroboh tanah yang dimiliki menurut tanah NCR  (Wee, 2007:  376).
            Pokok masalahnya, pastinya ekonomi politik  balak, yang merupakan penyumbang kedua terbesar selepas petroleum, sejak awal tahun 1980-an, jauh melebihi sumbangan minyak sawit, kecuali pada tahun 1984, dan getah.  Pada tahun 1990 misalnya, perolehan eksport daripada balak dan produk balak berjumlah RM8.9 bilion, atau 11.3 peratus jumlah hasil eksport, berbanding dengan RM10.6 bilion untuk petroleum, RM4.4 bilion untuk minyak sawit, dan RM3.0 bilion untuk getah (Jomo, 1992a: IV).
            Hak konsesi balak menjadi lebih banyak hadiah yang didambakan untuk politik dan kuasa, mengakibatkan kitaran ganas politik balak, yang menjadi semakin telus kerana raja balak berkelahi dalam berebut sumber yang berkurangan dan sukar didapati (Jomo, 1992a: IV; huruf condong oleh beliau sendiri).  Justeru, ekonomi politik balak membentuk dan menggerakkan politik Sarawak, sekurang-kurangnya dua dekad lalu (Jomo, 1992a: IV).  Percakaran  antara puak Abdul Taib dengan puak Abdul Rahman, sebahagiannya kerana perebutan sumber ini.
            Pilihan raya tahun 1987 melibatkan politik wang besar, dan “dianggarkan sekurang-kurangnya RM200 juta dibelanjakan oleh kedua-dua pihak, secara purata RM4 juta untuk setiap DUN (Jomo, 1992a: V).  Ketua Menteri menganggarkan kos kempennya dalam pilihan raya itu antara RM300,000 hingga RM500,000 untuk setiap DUN (Leigh, 1991: 192). Perbelanjaan kedua-dua belah pihak dijangkakan dibiayai oleh wang balak.
            Politik balak tidak terhenti setakat pilihan raya tahun 1987, kerana “pada tahun 1989, Abdul Taib dituduh  meluluskan lesen 8.8 juta hektar konsesi balak kepada penyokong setia politik-perniagaan” (Aeria, 2013: 128). Sebagai Ketua Menteri, beliau   mempunyai kuasa dalam menentukan kawasan konsesi pembalakan dan perladangan hutan di Sarawak... Beliau juga mempunyai kuasa dalam menentukan kawasan pembalakan yang akan dipungut oleh pemegang konsesi dan mempunyai kuasa untuk mengagihkan konsesi pembalakan ini kepada taikun Cina tempatan dan kapitalis bumiputera dalam kalangan keluarganya. 
(Dipetik daripada Bab Tiga, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Monday, July 29, 2019

“2M” Runtuh

ISNIN, 29 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Rais Yatim pernah mengimbas “detik-detik manis”  antara Tun  Dr. Mahathir dengan Tun Musa.  Rais dengan nada puitik dan romantik menulis: “Antara tidak berapa lama kemudian, pemimpin berdua ini mendapat sanjungan dan penerimaan meluas.  Slogan BCA (Bersih, Cekap, Amanah), merebak sebagai cogan kata kerajaan dan parti yang amat popular. Terasa semasa itu bahawa kerajaan dan parti benar-benar bergerak dan maju ke depan untuk memperkasa kedua-dua entiti itu.  Dr. Mahathir dan Tun Musa diberi julukan sebagai “2M” (Mahathir-Musa) oleh media massa. Orang Kedah seronok, orang Johor pun seronok.  Kita dari negeri-negeri lain turut tumpang gembira melihatkan UMNO mempunyai pasangan yang hebat.  Dari semua sudut – mental, fizikal, dan keupayaan – mereka berdua berkebolehan” (Rais, 2004: 472).

Tidak berapa lama selepas Tun Musa Hitam menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato’ Harun Idris, khabar  angin mula tersebar membayangkan “2M”  mula retak. “Khabar angin pada tahun 1985 adalah   tentang perbezaan antara mereka, sekurang-kurangnya dari segi gaya dan pendekatan, iaitu Musa kurang berkonfrontasi” (Milne dan Mauzy, 1999: 40). Walaupun kedua-duanya, iaitu Tun Musa dan Dr. Mahathir menafikan keretakan hubungan mereka berdua, sesungguhnya, sembang politik kedai kopi – zaman tanpa Internet dan media sosial, tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kebenarannya. 
“2M” - gabungan Mahathir-Musa dipercayai menyumbang kepada keretakan hubungan antara  Dr. Mahathir dengan Tun Musa.  Perletakan jawatan itu  mengesahkan khabar angin tentang kesukaran dalam apa yang digelar pentadbiran “2M.”  “Dr. Mahathir tidak suka dengan gelaran yang diberikan oleh akhbar tempatan itu. Beliau yakin bahawa Musa menganggap dirinya hampir sama dengan beliau dan mahu jawatannya sebelum tiba masanya” (Wain, 2009: 62). Pimpinan “2M” yang dibanggakan mulai dipersoalkan siapakah  yang menamakannya dan gambar Musa yang diletakkan seiring dengan gambar Dr. Mahathir di pejabat-pejabat kerajaan ditanya siapakah yang mengarahkannya (Zainuddin, 1994: 170). Sejak mula-mula pentadbiran Mahathir lagi, Musa merupakan sebahagian kepimpinan “2M” dan bukan sekadar Timbalan Perdana Menteri. Meskipun sebutan ini membawa konotasi kombinasi unggul kepimpinan “Mahathir-Musa,” hal ini menjadikan Musa pada hakikatnya  sama dengan Mahathir. Musa  sendiri percaya bahawa suatu kesilapan besar bahawa para penyokongnya dan akhbar terus-menerus  melabelkan kombinasi beliau dengan Mahathir sebagai kepimpinan 2M, tanpa mempertimbangkan Mahathir tidak selesa dengan sebutan itu. Bagi Mahathir, nombor satu hanya satu dan nombor dua masih menjadi yang kedua (Hwang, 2003: 287 – 288). Mahathir kemudiannya mengatakan bahawa “2M” bermaksud “Mahathir Mohamad” (Milne dan Mauzy, 1999: 40; Wain, 2009: 62).
Telah diketahui umum bahawa Dr. Mahathir dan  Musa tidak bersetuju tentang beberapa dasar, termasuk “Pandang ke Timur”, beberapa pelaburan kos yang tinggi untuk projek berprestij, beberapa aspek Islamisasi, dan cara Musa  menangani peristiwa Memali dan krisis Sabah semasa ketiadaan Dr. Mahathir” (Means, 1991: 174 - 175).  Diakui bahawa Dr. Mahathir dan Musa  mempunyai gaya politik yang sangat berbeza.  Sementara Dr. Mahathir bersifat pendesak dan tidak membiarkan sedikit kritikan, Musa cenderung menjadi lebih baik rupa paras dan budi pekerti (personable) dan sederhana. Dan mereka kadangkala berbeza terhadap dasar.  Musa nyata sekali tidak bersemangat tentang sesetengah rancangan Dr. Mahathir untuk industri berat. Akan tetapi, kepercayaan  Dr. Mahathir  bahawa Musa tidak setia dan cuba menjatuhkan beliau daripada Perdana Menteri adalah puncanya (Wain, 2009: 62). 
Akhirnya, Tun  Musa  menulis surat kepada Dr. Mahathir untuk meletakkan   jawatan dalam kerajaan, iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri,  dan timbalan presiden UMNO.  “Surat yang  bertarikh 26 Februari 1986, selain diterima oleh  Dr. Mahathir dan anggota Majlis Tertinggi UMNO, turut diedarkan kepada orang ramai dan para wartawan” (Zainuddin, 1994: 171). Dalam surat tujuh halaman itu Musa mendedahkan bahawa beliau kurang mempercayai Dr. Mahathir  (Hwang, 2003: 130).  Alasan yang diberikan oleh  Musa, ialah “perbezaan yang tidak mungkin dapat diselesaikan” antara mereka dari segi dasar dan gaya kepimpinan”  (Rais, 2006: 152). Walau bagaimanapun,  Musa menarik balik peletakan jawatan timbalan presiden UMNO.
Selama lebih satu dekad, “hipotesis” bahawa “2M” menyebabkan Tun Musa kehilangan jawatan dianggap  sahih tanpa menimbulkan apa-apa keraguan. Walau bagaimanapun, pada 2 September 1998, seorang lagi timbalan kehilangan jawatannya, bahkan lebih teruk daripada Tun Musa, kerana beliau dipecat dan dihadapkan dengan tuduhan salah guna kuasa dan liwat, dan dipenjarakan.  Selama beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, iaitu sejak akhir tahun 1993, tidak ada gelaran “MA” diberikan untuk menunjukkan gandingan mantap,  dan gambar beliau tidak diletakkan bersama-sama gambar bosnya.
(Dipetik daripada Bab Sebelas, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Sunday, July 28, 2019

Tumpasnya Guru Melayu Terakhir

AHAD, 28 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Di sebalik prestasi cemerlang dalam dua pilihan raya umum, iaitu pada tahun 1986 dan 1990,  UMNO (Baru) yang semakin stabil, dan Tun Ghafar setia pada ketuanya, tidak bermakna kedudukannya tidak tergugat.  Prestasi baik dalam dua pilihan raya umum tidak  menjamin penakatan atau kelangsungan politiknya.   Pengalaman pahit pada tahun 1987 yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan pengharaman parti itu mempunyai hayat yang singkat dalam memori pemimpin dan anggota  UMNO.  Apabila Tengku Razaleigh dan saki-baki pengikutnya tidak menyertai UMNO (Baru) dan para penyokong Tun  Musa boleh dikatakan terpinggir, dijangkakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang memenangi salah satu kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1987 dan 1990, akan menggerakkan “buah catur” beliau. Riak-riak di air tenang mula kelihatan apabila Dr. Mahathir diserang sakit jantung dan dibedah, dan kebetulan pada ketika itu, Januari 1989,  berlangsung pilihan raya Parlimen Ampang Jaya:  Anwar berasak-asak dengan Tun  Ghafar untuk menampilkan diri masing-masing. Seawal tahun 1992 lagi, “sembang-sembang politik kedai kopi” menjangkakan Anwar akan mencabar Tun Ghafar dalam pemilihan tahun 1993.  Walau bagaimanapun, Anwar menafikannya.
Kem Tun  Ghafar mungkin   dapat mengagak bahawa Anwar akan mencabar Tun Ghafar, lalu sebagai persediaan awal,  mereka mengusahakan penerbitan buku yang merupakan himpunan  esei yang diberikan pengenalan oleh Mohd. Taib Osman, manakala Alias Mohamed sebagai editornya:  Ghafar Baba: Kupasan oleh Profesor dan Cendikiawan Melayu.  Alias ketika itu Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri.  Malangnya, segala pujian dan sanjungan, tidak ketinggalan sumbangan Tun Ghafar kepada UMNO, orang Melayu, dan negara, yang terkandung dalam buku itu tidak mampu menyelamatkan beliau.
Memang benar bahawa “politik bukannya ‘sains,’ tetapi perjuangan berasaskan intuisi dan perhitungan rasional tentang kemungkinan” (Sanbonmatsu,  2004: 133). Berbanding dengan Tun Ghafar, Anwar lebih bijak menghitung segala kemungkinan.   Anwar akhirnya menjawab teka-teki yang berlegar-legar dalam arena politik tanah air sejak berbulan-bulan, dan mungkin bertahun-tahun.  Pada 23 Ogos  1993, beliau   mengumumkan bahawa beliau bersedia menerima pencalonan daripada bahagian UMNO. Sidang akhbar Anwar untuk mengumumkan pencalonannya, lebih merupakan langkah untuk menunjukkan kekuatan dengan sokongan tahap tinggi daripada hampir kebanyakan semua pemimpin kanan UMNO.  Anwar diiringi oleh setiausaha agung UMNO, semua lapan orang Menteri Besar dan Ketua Menteri, sembilan menteri Kabinet daripada UMNO, 18 orang timbalan menteri, dan lima orang setiausaha parlimen. Bahkan, pertemuan itu turut dihadiri oleh pemimpin dari Wilayah Persekutuan dan Sabah – dua negeri yang Ghafar merupakan ketua perhubungan UMNO. Akan tetapi, yang paling menarik daripada semua yang hadir itu, mereka yang dipercayai daripada kem Ghafar, iaitu Menteri Penerangan Mohamed Rahmat, Menteri Besar Terengganu Wan Mokhtar Ahmad, Menteri Kehakiman Syed Hamid Albar, dan Menteri Besar Negeri Sembilan Mohd. Isa Abdul Samad. Mereka yang tidak hadir sidang akhbar itu ialah Menteri Luar Abdullah Badawi, Menteri Pertanian Sanusi  Junid, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz (Hwang, 2003: 218).
Jika diperhatikan,  langkah  Anwar   mengadakan sidang akhbar dan  membentuk “Team Wawasan,”  penjadualan mesyuarat bahagian UMNO, dan peranan media arus perdana, jelas menunjukkan bahawa  beliau  membuat persiapan rapi untuk mencabar Tun Ghafar. Untuk memenangi “perang psikologi,” mana-mana bahagian UMNO yang pro-Anwar mengadakan mesyuarat  lebih awal, kerana setiap pencalonan  akan memperoleh 10 “undi subsidi.” Betul-betul  “senjata makan tuan,” kerana pemberian “undi subsidi” bertujuan melindungi presiden dan timbalan presiden UMNO  daripada dicabar. Akan tetapi, apa yang berlaku, Tun   Ghafar menerima padah daripada peraturan yang beliau turut gubal.
Lebih parah lagi, sesetengah bahagian UMNO yang mencalonkan Tun  Ghafar diarahkan oleh ibu pejabat parti supaya mengadakan mesyuarat dan pencalonan semula.  Negeri-negeri yang pada mulanya dijangkakan “deposit tetap” Tun  Ghafar, seperti Wilayah Persekutuan dan Sabah yang beliau merupakan ketua perhubungan UMNO, Melaka tempat beliau berpolitik, dan pada takat tertentu, Negeri Sembilan negeri kelahiran beliau – semuanya memihak kepada Anwar.  Akibat “kesan domino,” Ketua-ketua Bahagian yang pernah mengisytiharkan menyokong Tun Ghafar terpaksa  mengubah pendirian mereka.  Rakan-rakan karibnya boleh dikatakan semua meninggalkannya. Beliau  sebatang kara, tanpa penyokong, tanpa pembiaya besar, tanpa banker. 
Menteri Penerangan Tan Sri Mohamed Rahmat yang dikenali sebagai “ Mat Setia” dipercayai  turut memainkan peranan memenangkan Anwar dan  menamatkan perjalanan politik Tun Ghafar. Sebagai setiausaha agung UMNO, beliau mengatur jadual mesyuarat setiap Bahagian UMNO, dengan mendahulukan bahagian  yang dijangkakan  memberikan “undi subsidi” kepada Anwar. RTM bersama-sama media arus perdana yang UMNO ada kepentingan, berkempen untuk Anwar.  Sementara Syarikat Utusan Melayu yang Ghafar pernah kuasai (rujuk Gomez, 1990), melalui akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia bekerja mati-matian untuk Anwar.  Tidak pernah terjadi dalam politik Malaysia seorang Timbalan Perdana Menteri dan timbalan presiden UMNO tanpa sokongan media.
Sekali lagi  politik Malaysia menyaksikan babak “jeneral tanpa tentera.”  Guru-guru Melayu yang merupakan tonggak hegemoni UMNO dan  merupakan sokongan akar umbi terhadap Tun Ghafar selama ini seakan-akan lenyap.  “Setelah 145 daripada 153 Bahagian UMNO bersidang, Anwar  berjaya mengumpulkan 138 pencalonan, manakala Ghafar mendapat tujuh  pencalonan sahaja. Kecewa dengan mendapat hanya satu pencalonan daripada UMNO Sabah,  yakni bahagian Kudat yang diketuai Tun Mustapha, Ghafar meletakkan jawatan sebagai ketua perhubungan UMNO Sabah. Perletakan jawatan ini memberi petanda kejayaan kempen yang dilakukan oleh pihak ‘Team Wawasan’ yang menentang Ghafar”  (Zainunabidin,  Abdullah Zakaria,  dan Junaidi,  2013). Melihat kekuatan luar biasa Anwar dan sejak awal Oktober lagi beliau dijangkakan menang, maka Tun   Ghafar mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam kerajaan dan  parti pada 15 Oktober 1993, sebelum Perhimpunan Agung UMNO. Jika sebelum ini, beliau berjaya mempertahankan yang lama, iaitu naib presiden UMNO selama 25 tahun sehingga membolehkan beliau menakluki yang baharu, iaitu timbalan presiden UMNO, tetapi kali ini, beliau terpaksa melepaskan jawatan kedua tertinggi itu.  Dalam masa tujuh tahun, dua orang Timbalan Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan, tetapi  dengan alasan yang berbeza.
 Dengan perletakan jawatan itu, Anwar menang tanpa bertanding, memadai dengan “undi subsidi.”  Untuk jawatan naib presiden, “Team Wawasan,” iaitu    Muhyiddin Yassin, Mohd. Najib Tun Abdul Razak, dan Muhammad Muhammad Taib menang  – menewaskan dua penjawat kini, iaitu Abdullah Ahmad Badawi dan Sanusi Junid,  manakala  Abdul Rahim Tamby Chik memenangi jawatan ketua Pemuda UMNO, menewaskan Mohd. Isa  Abdul Samad.
Dalam Penitianku..., Ghafar secara tersirat menyalahkan amalan politik wang yang menyebabkan beliau tewas. “Ada orang yang sanggup mencurahkan wang ringgit yang begitu banyak untuk mendapatkan jawatan.  Percayalah cakap saya apabila ramai bilangan skimmers dalam parti bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri, persaingannya akan menjadi terlalu hebat dan boleh membawa kepada perpecahan” (Abdul Ghafar, 2006: 171).  Dalam bahagian lain, beliau melahirkan rasa kesal beliau terhadap sikap sombong sesetengah pemimpin muda dalam yang mengatakan bahawa zaman guru-guru Melayu menguasai UMNO sudah luput (Abdul Ghafar, 2006: 173). Meskipun Tun  Ghafar boleh dikatakan berjaya dalam bidang politik, daripada Ketua Menteri kepada Timbalan Perdana Menteri, beliau tetap merendah diri: “Tidak terlintas sedikit pun dalam pemikiran saya hendak menjadi pemimpin apabila saya menceburkan diri dalam politik. Saya bukan seorang skimmer.  Saya hanya seorang pekerja biasa sahaja” (Abdul Ghafar, 2006: 165). Meskipun beliau tidak menjelaskan siapakah skimmer  yang beliau maksudkan itu, para pembaca pasti dapat mengagaknya! 
Dalam pemilihan UMNO tahun 1993, “Anwar’s team of vice presidents outpolled opponents, RM500 million to  RM600  million was distributed”  (Wain, 2009: 142).  Para perwakilan diaibkan dengan laporan berita bahawa Bank Negara Malaysia kehabisan wang RM500 dan RM1000 ketika kemuncak kempen yang membawa kepada Perhimpunan Agung 1993 (Wain, 2009: 143). Kelompok terpilih elit  perniagaan, terutamanya bumiputera yang memegang tonggak utama dalam aset penswastaan baharu telah mengukuhkan kedudukan mereka di sekeliling Anwar pada awal tahun 1990-an, dan membantu mengalahkan Ghafar Baba untuk jawatan timbalan presiden UMNO pada tahun 1993 (Hilley, 2008: 71). Wang menundukkan perjuangan dan kesetiaan.
Tan Sri Rais Yatim yang ketika itu melanjutkan pengajian di peringkat Ph.D di London dan masih dalam parti pembangkang, sebagai timbalan presiden Parti Semangat 46,  turut  mengikuti perkembangan politik di tanah air, pernah mengulas penggulingan Tun Abdul Ghafar itu dengan rasa simpati. “Yang sedih ialah apabila semua Menteri Besar berbaris di sebuah hotel besar di KL dengan memberi ikrar menyokong Anwar sebagai timbalan presiden UMNO.  Kita dimaklumkan bahawa peristiwa itu adalah sebagai mukadimah kepada penggantian Ghafar dalam parti dan kerajaan.  Sebelum ini, berkali-kali Anwar memperakukan bahawa beliau tidak akan menandingi Ghafar selaku timbalan presiden. Kini, Ghafar kecundang, walaupun dalam rekod beliau merupakan pemimpin UMNO yang paling lama mampu bertahan bukan sahaja sebagai anggota Parlimen, tetapi juga sebagai salah seorang naib presiden UMNO.  Dalam rekod perjuangan bangsa, Ghafar tercatat sebagai satu-satunya pemimpin UMNO yang tidak dirasuk politik wang dalam pencalonan dan pemilihannya. Caranya bersahaja, kadang-kadang dianggap orang sebagai aloof  tidak pernah menyukarkan perjuangannya sebagai salah seorang pemimpin kanan parti dan kerajaan (Rais, 2004: 539).
Peristiwa Tun Abdul Ghafar menghadapi kejatuhannya juga mendapat perhatian Rais Yatim. “Saya berasa sedih, apabila pada suatu pagi saya melihat gambar Ghafar keseorangan di Lapangan Terbang Antarabangsa  Subang yang sedang hendak  ke Jakarta dengan hanya menjinjing beg plastik. Masyghul jelas tertulis di wajahnya.  Saya dapat membayangkan betapa sedih dan pilunya rasa Ghafar susulan tindakan golongan muda yang menggunakan jentera parti dan kerajaan, di samping politik wang dalam proses menggulingkannya. Selebihnya sejarah telah menukilkan tinta hitamnya.  Saya sempat menulis kepada Ghafar menyatakan simpati saya (Rais, 2004: 539 – 540).
Rais Yatim yang mengkritik kerakusan dan kepura-puraan Anwar dalam usaha menjatuhkan Tun Ghafar,  menulis:  “Bagaimana Anwar mengatakan tidak melalui media, tetapi melalui penyokongnya menggalakkan jentera faksinya menyerang Ghafar habis-habisan” (Rais, 2004: 541). Walau bagaimanapun, komen Rais Yatim bahawa  “perkembangan ini tidak diketahui oleh presiden” (Rais, 2004: 541), sememangnya diragui: agak mustahil Dr. Mahathir tidak mengetahuinya. Tulis beliau lagi, “kisah Ghafar digulingkan adalah sebenarnya kisah unik dalam UMNO.  Kisah ini belum pernah berlaku lagi dalam sejarahnya. Ghafar merupakan timbalan presiden yang pertama digulingkan oleh seorang naib presiden dan bekas ketua Pemuda UMNO.  Nampaknya, tiada budi dalam faksi Anwar dan tiada hormat kepada tradisi berparti.  Dari jauh saya terasa bahawa nilai dalaman UMNO berkecai sudah” (Rais, 2004: 541). Rais Yatim juga mengkritik barisan Menteri Besar dan menteri yang bersekongkol dengan Anwar. “... saya ternampak bagaimana muka-muka lama dalam UMNO tidak bertindak. Sebaliknya, seperti yang tertera dalam akhbar, muka-muka Menteri Besar dan beberapa orang menteri berbaris menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi untuk Anwar.  Semacam patahlah dayung, bocorlah perahu.  UMNO hanya menunggu masa bila hendak tenggelam (Rais, 2004: 541).
(Dipetik daripada Bab Lapan, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Pendatang Lewat

AHAD, 28 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Nama yang agak kelihatan samar-samar dalam   KMM,  ialah Dr. Burhanuddin al-Helmy,   yang   “menyertai KMM setahun kemudian, iaitu pada tahun 1939, di Singapura.  Beliau diperkenalkan oleh Mustapha Hussain kepada KMM dalam satu pertemuan mereka di kliniknya. Sikap Dr. Burhanuddin yang anti-British memang secocok  dengan matlamat KMM yang menentang penjajahan British”  (Ramlah,  2003: 17).  Dr. Burhanuddin mula aktif secara perlahan-lahan dalam KMM, terutama semasa bersama-sama Ibrahim Haji Yaacob yang ketika itu menetap di Singapura (Mohamad Muzammil, 2015: 133). Jika demikian, bermakna beliau mula aktif dalam KMM pada tahun 1941, iaitu tahun Ibrahim menyertai Warta Malaya di Singapura.  Walau bagaimanapun, catatan lain mengatakan bahawa keanggotaan beliau tidaklah begitu berkesan.  Beliau tidak dilantik memegang jawatan penting, tetapi sebagai ahli biasa sahaja. Beliau bukanlah orang yang penting atau inner circle  Ibrahim  Haji Yaacob (Ramlah, 2003: 17).
Sebagai perbandingan,  Ahmad  Boestamam juga bukan pengasas KMM, tetapi beliau bergerak  sederap dengan anggota lain dalam KMM  sebaik-baik sahaja   beliau menyertai organisasi itu. Perkara seperti itu tidak berlaku pada Dr. Burhanuddin.  Ishak Saat membuat perbandingan yang berani tentang dua pemimpin golongan kiri Melayu ini yang jelas menampakkan kedinamikan Boestamam dalam politik.  “Ahmad Boestamam sanggup menubuhkan parti politik demi menjayakan cita-cita politiknya, berbeza dengan Dr.  Burhanuddin yang tidak pernah menubuhkan parti politik, tetapi sering dijemput memimpin sesebuah parti politik” (Ishak, 2007:  174).
Penulisan atau kajian  tentang KMM  boleh dikatakan tidak menunjukkan bahawa Dr.  Burhanuddin seorang anggota yang aktif dalam organisasi itu.  “Oleh sebab beliau tidak terlibat secara mendalam, maka beliau tidak ditangkap oleh British bersama-sama anggota lain dalam KMM  sebelum Perang Dunia Kedua (Funston, 1980:  119).  Mungkin alasan ini dapat dipersoalkan, kerana Mustapha Hussain yang sangat aktif juga tidak ditangkap oleh British. Satu versi lain mengatakan bahawa “pada awal penubuhannya, Dr. Burhanuddin tidak terlibat secara langsung dalam kegiaatan KMM kerana beliau  melanjutkan pelajarannya di Aligarh University di India”  (Mohamad Muzammil, 2015: 133).  Hujah ini mengelirukan kerana beliau dikatakan pulang ke tanah air pada tahun 1937 setelah berada di luar negara hampir satu dekad,   iaitu dari tahun 1928 - 1937 (rujuk Funston, 1980: 118 - 119),  manakala  KMM ditubuhkan pada tahun 1938. D
 Hanya selepas Pendudukan Jepun, nama  Dr. Burhanuddin kelihatan  kerana beliau dilantik dalam pentadbiran Jepun.  “KMM berhubung dengan beliau seminggu selepas Singapura diperintah oleh Jepun.  Ibrahim Haji Yaacob dan Mustapha Hussain menemu ramah Dr. Burhanuddin dan mengesyorkan kepada Jepun untuk melantik beliau sebagai penasihat tentang adat istiadat dan agama orang Melayu di Jabatan Pentadbiran Jepun (Gunseikanbu).  Beliau menerima cadangan  itu dengan baik.   Dr. Burhanuddin berkhidmat di Singapura, tetapi apabila pentadbiran Sumatera disatukan dengan Malaya, Jabatan Pentadbiran Jepun pun berpindah ke Taiping, dan begitu jugalah dengan beliau” (Insun Sony, 1999: 202 – 203), dengan jawatan Penasihat Adat dan Kebudayaan Melayu, satu jawatan tertinggi yang disandang oleh orang Melayu (Saliha, 1974: 1).
Sebagai pegawai kerajaan Jepun, Dr. Burhanuddin tidak berasa tertekan dengan dasar kekejaman Jepun terhadap penduduk tempatan. Beliau dianggap sebagai “orang besar Jepun,” yang boleh memberikan pandangan dan pendapat yang boleh diterima oleh mereka  (Ramlah, 2003: 22). Namun begitu, sejauh mana kebenaran dakwaan ini diragui, kerana Dr. Burhanuddin pernah melahirkan rasa serba salah beliau berkhidmat dengan Jepun.   Pada suatu ketika Dr. Burhanuddin   tersempit antara kedudukannya sebagai seorang Islam dan Melayu dari satu segi,   dengan kehendak majikannya dari satu segi yang lain. Dalam suatu peristiwa, seperti yang diceritakan oleh Mustapha Hussain, Dr. Burhanuddin pernah datang tidur semalaman di pondoknya di Batu 20, Batu Kurau, Perak.  Setelah dipecat daripada Malai Giyu Gun atau Pembela Tanah Air (PETA), Mustapha berladang di situ.  Dalam perbualan mereka berdua, Dr. Burhanuddin bersungut sebab tidak sanggup lagi memberikan kerjasamanya kepada Jepun sehingga boleh melakukan perkara yang bertentangan dengan agama Islam. Jepun meminta beliau membawa satu perkara yang amat berat kepada Raja-Raja Melayu, supaya dimansuhkan sembahyang lima waktu sehari dan hanya mempraktikkan sembahyang Jumaat. Perkara ini dan banyak perkara lain lagi yang merunsingkannya.  Ketika menunaikan solat Subuh keesokan harinya, Mustapha  mendengar beliau menangis teresak-esak semasa membaca doa qunut, seolah-olah seorang anak meminta sesuatu daripada bapa atau begitulah bunyi rayuannya.  Mengenangkan tangisan itu, Mustapha berasa pilu, tambahan pula, beliau dan Ibrahim Yaacob mencadangkan Jepun supaya  melantik Dr. Burhanuddin sebagai penasihat hal yang berkaitan dengan orang Melayu (Insun Sony, 1999: 370 – 371). 
(Dipetik daripada Bab Tujuh Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Saturday, July 27, 2019

Kesatuan Melayu Muda: Turki Muda, Marxisme, dan Parti Nasional Indonesia

SABTU, 27 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Selepas menyorot  idea radikalisme yang tentunya tercetus daripada gerakan di Barat, iaitu idea yang dimulakan oleh gerakan politik di Perancis pada abad ke-19, Ramlah Adam, menegaskan bahawa pada tahun 1930-an, gerakan radikalisme tercetus dengan penubuhan KMM (Ramlah, 2009: xiv). Wujud konsensus bahawa  KMM ialah organisasi “sayap kiri” Melayu pertama (Rustam, 2011: 26). 
Terdapat percanggahan yang jelas dalam kalangan penyelidik tentang tarikh penubuhan KMM, iaitu antara tahun 1937 dengan 1938 (Ramlah, 2009: 4).  Menurut Mustapha Hussain, salah seorang pengasasnya, KMM ditubuhkan pada April 1938  di Kuala Lumpur, di rumah Hassan Haji Manan, iaitu sebuah rumah kerajaan di Jalan Pasar yang menandakan detik permulaan usaha berorganisasi untuk menyebarkan idea politik dalam kalangan orang Melayu (Insun Sony, 1999: 198). KMM ialah hasil daripada pakatan beberapa pemuda Melayu nasionalis kiri yang berjiwa radikal dan revolusionari.  Pemuda nasionalis tulen yang dalam usia akhir 20-an, mahukan KMM mencontohi Turki Muda (Young Turks).  KMM memasuki alam politik dengan hasrat menyelamatkan bangsa dan nusa sebelum datangnya “kehancuran” kepada negeri yang dahulunya terkenal sebagai Semenanjung Tanah Melayu, dengan orang Melayu sebagai tuan punya, tetapi kini telah bertukar menjadi “Malaya” dengan satu rupa bangsa “Malayan” (Insun Sony, 1999: 195).  KMM ialah suatu revolusi senyap yang bermula di Tanah Melayu, yang dipelopori oleh satu gerakan nasionalis, pimpinan Ibrahim Hai Yaacob.  Tujuannya adalah untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada belenggu kolonialisme British (Mohd. Salleh, 1998: 1).  Ibrahim Haji Yaacob dalam bukunya, Nusa dan Bangsa Melayu, dalam penubuhan KMM  “tidak menyebutkan setia kepada Sultan dan kerajaan Inggeris, tetapi tidak pula menyebutkan tidak mahu bekerjasama, bekerja membangkitkan kesedaran bangsa dan pelajaran dalam kalangan anggotanya yang terdiri daripada kalangan bawahan...”  (dipetik daripada Roff, 2014: 244). Dengan berlatarbelakangkan bukan golongan aristokrat dan dipengaruhi oleh idea Indonesia, pemuda KMM juga menjadi republikan yang kuat.  Walau bagaimanapun, mereka keberatan untuk menyingkirkan Sultan atau aristokrasi tradisional atas alasan rakyat Melayu belum lagi bersedia untuk menghapuskan institusi ini (Cheah, 2014: 12).
Selain Ibrahim, selaku  presiden dan pengasas KMM, anggota  yang turut mengasaskan pertubuhan pemuda nasionalis kiri itu terdiri daripada, Mustapha Hussain (naib presiden),  Hassan Haji Manan (setiausaha agung), Othman Mohd. Noor yang dikenali juga sebagai M.N. Othman (setiausaha), dan Idris Hakim (bendahari).  Sementara anggota jawatankuasa pusat terdiri daripada Abdul Karim Rashid, Bahar Abik, Sulung Chik, Onan Haji Siraj, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Abdul Samad Ahmad, dan Abdullah Kamil  (Insun Sony, 1999: 197).  Pengasas KMM datang daripada pelbagai latar belakang pendidikan, misalnya Ibrahim Haji Yaacob dan Hassan Haji Manan lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI),   Ishak Haji Muhammad lepasan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MMKK), Sulung Chik lulusan Sekolah Teknik, dan  Onan Haji Siraj  penuntut Sekolah Teknik.  Mereka juga mempunyai pelbagai pekerjaan, misalnya Ibrahim bekas guru sekolah Melayu dan wartawan, Mustapha pensyarah Sekolah Pertanian Serdang, Hassan dan Abdul Karim Rashid guru sekolah Melayu, Othman Mohd. Noor  kerani, Sulung Chik pegawai rendah Keretapi Tanah Melayu, Bahar Abik pegawai bawahan Jabatan Percetakan Kerajaan, Idris Hakim kerani Jabatan Kastam, dan Abdullah Kamil, Abdul Samad Ahmad,  dan Mohamad Sallehudin sebagai wartawan. Ishak pernah berkhidmat sebagai pegawai tadbir rendah dan majistret (Insun Sony, 1999: 197;  rujuk juga Roff, 2014: 251). Yang tercicir dalam senarai ialah Haji Othman Abdullah (pernah menuntut di Kaherah), yang  pernah berkhidmat sebagai bendahari KMM, dan Isa Mohamad Mahmud, guru dan bekas penuntut MPSI (rujuk Roff, 2014: 251). Sementara itu,   Ahmad Boestamam dan Dr. Burhanuddin – dua tokoh raksasa dalam perjuangan sayap kiri orang Melayu, bukan pengasas KMM dan tidak menganggotai jawatankuasa pusat yang asal (Insun Sony, 1999: 197).
Kebanyakan pemuda ini terdiri daripada golongan berpengetahuan Melayu, tetapi ada juga yang berpendidikan Inggeris (Insun Sony, 1999: 197).  Rustam A. Sani yang tidak bersetuju dengan banyak penulis yang membesarkan secara berlebihan akan kepentingan MPSI sebagai kemungkinan akar umbi pembentukan KMM,  mengingatkan bahawa selain Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam juga berpendidikan Inggeris, manakala  Onan Haji Siraj, dan Mustapha Hussain pastinya mendapat pendidikan moden Barat tertentu (Rustam, 2011: 49).
Penubuhan KMM turut dikaitkan dengan peranan Sutan Djenain “yang sering menasihati para pemuda KMM supaya menubuhkan satu  badan politik Melayu untuk tujuan mencapai kemerdekaan turut hadir pada hari penubuhan itu” (Insun Sony, 1999: 197).  Sebelum penubuhan KMM, beliau  diundangkan untuk menyampaikan “ceramah politik” tentang perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu, di samping menerangkan susunan dan cara pentadbiran organisasi.  Sutan Djenain juga  mempunyai kematangan dan pengalaman politik, ketika  menyampaikan  ceramah beliau menggunakan istilah yang sukar difahami oleh anggota KMM  yang dewasa itu tidak berilmu politik, seperti imperialisme, kolonialisme, nasionalisme, komunisme, kapitalisme, borjuis, oportunisme, dan lain-lain, yang boleh menumpaskan anggota KMM jika tidak ada mentor politik untuk menjelaskan maksudnya. Syarahan beliau amat menarik minat para hadirin, ramai yang terpesona dengan cerita perjuangan puak nasionalis di Indonesia, tuan dan muda, kiri dan kanan, Islam dan bukan Islam, asalkan bertujuan untuk menghalau penjajah Belanda dari tanah Indonesia (Insun Sony, 1999: 190 - 191).  Anak perempuannya berkahwin dengan Abu Bakar Baginda, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor. 
Menurut catatan Syed Husin Ali, Sutan Djenain sering memberikan kursus politik, yang pernah diikuti  oleh Abu Bakar dan (Tan Sri) Melan Abdullah yang  pada ketika itu pengarang Utusan Melayu.   Sutan Djenain  turut bersama-sama dalam usaha  membentuk KMM  dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),  dipercayai seorang yang mula-mula berpegang pada ideologi Trosky (Syed Husin, 2012: 113).  Leon Trosky adalah antara pemimpin penting bersama-sama Lenin dalam Revolusi Rusia tahun  1917.  Dengan mengembangkan idea Karl Marx, Revolusi Kekal yang merupakan sumbangan terpenting beliau bagi Marxisme.  Dalam teori tersebut beliau menyatakan bahawa kaum buruh Rusia mampu merebut kekuasaan  (Trosky, 2013).
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sejauh mana ideologi Trosky ini diserapkan oleh Sutan Djenain ke dalam pemikiran anggota KMM. Oleh sebab wujud keterbatasan ilmu politik dalam kalangan ahli KMM, maka  mungkin menyukarkan pemahaman dan penghayatan.  Tambahan pula, KMM dikatakan tidak ada kecenderungan kepada fahaman komunisme.  “Sungguhpun sesetengah dasarnya sama dengan dasar beberapa buah parti di Indonesia, KMM tidak sedikit pun dipengaruhi oleh parti-parti politik dari Indonesia.  Tujuan atau objektif utama KMM adalah untuk memberi tempat yang sewajarnya kepada bangsa Melayu yang tertindas oleh kaum-kaum lain yang menumpang di negeri ini akibat kegagalan kerajaan British  menyekat bangsa-bangsa daripada membuat tuntutan, hinggalah kepada hak ketuanan negeri ini. KMM ingin menjalankan ideologi nasionalis yang luas dan berjuang bersungguh-sungguh untuk bangsa dan negara”  (Insun Sony, 1999: 198 - 199).
William R. Roff meragui peranan Sutan Djenain dalam urusan KMM dan mungkin tidak ada apa-apa yang dibuatnya selain mengapi-apikan perasaan bencikan Inggeris dalam kalangan anggotanya dan memberi mereka istilah politik Marxis untuk digunakan apabila mereka membincangkan tujuan  mereka (Roff, 2014: 270, nota 62).  Dalam pada itu, ada  catatan lain yang nampaknya bercanggah dengan penjelasan Mustapha Hussain – orang kuat KMM. “Sebagai pohon yang tumbuh daripada benih yang kecil dan tidak begitu rasmi yang bernama Belia Malaya yang terbentuk di MPSI pada tahun 1930 dahulu, KMM secara langsung mencontohi gerakan Jong Jawa dan Jong Sumatera di Hindia Timur Belanda” (Roff, 2014: 244).   Ibrahim Haji Yaacob dalam bukunya, Sekitar Malaya Merdeka,  menegaskan bahawa “KMM menganut ideologi Marx yang samar-samar, dan melambangkan semangat antikolonial yang kuat serta penentangan terhadap pimpinan ‘borjuis-feudalis’ yang dipegang oleh golongan atasan tradisional”  (dipetik daripada Roff, 2014: 244). Cara berfikir dan aktiviti anggota kumpulan ini kuat dipengaruhi oleh sayap kiri, terutamanya yang terdapat dalam gerakan kebangsaan Indonesia (Roff, 2014: 244). 
Hujah lain mengatakan bahawa “tidak pernah ditunjukkan secara meyakinkan bahawa terdapat persamaan yang jelas antara tujuan dan aspirasi kepimpinan KMM dengan tujuan dan aspirasi pergerakan komunis di Indonesia atau belahan lain di negara Asia Tenggara”  (Rustam, 2011: 9).  Penggunaan pemahaman sempit istilah “golongan  kiri” adalah berpunca daripada pergantungan yang tidak wajar pada penulisan Ibrahim  Haji Yaacob yang diterbitkan pada dekad 1950-an berkaitan persoalan ideologi KMM.  Pada waktu itu, beliau begitu mengaitkan dirinya dengan ideologi sayap kiri dan hidup di bawah rejim Sukarno di Indonesia (Rustam, 2011: 9).
Pengaruh beberapa pemimpin  Indonesia terhadap Ibrahim berlaku lebih awal, bahkan sebelum penubuhan KMM. Seperti yang diperhatikan oleh Cheah Boon Kheng, pemimpin nasionalis Indonesia, terutamanya Sukarno dan Hatta mempunyai impak besar terhadap kumpulan pelajar  MPSI,  yang termasuk Ibrahim Haji Yaacob dan Hassan Haji Manan.  Pelajar ini juga dipengaruhi oleh emigre komunis Indonesia, seperti Alimin,  Musso, dan Tan Malaka, yang merupakan pelarian sementara di Malaya selepas kegagalan pemberontakan pada tahun 1926 – 1927 untuk menggulingkan rejim Belanda di Indonesia  (Cheah, 2014: 10).  Seperti yang diakui oleh Ibrahim sendiri, “akan tetapi pengaruh Sukarno terhadap pelajar MPSI sangat besar, antara tahun  1928 hingga  1930, sesetengah pelajar, termasuk Ibrahim, menganggotai Parti Nasional Indonesia (PNI) pimpinan Sukarno” (dipetik daripada Cheah, 2014: 10). 
Menurut Datuk Mohamed Nor Ahmad dari Pulau Pinang, ada tiga orang yang diketahuinya menjadi anggota PNI di Tanjong Malim,  iaitu Harun Aminurrashid, Ibrahim Haji Yaacob, dan beliau sendiri. Pada masa itu, MPSI seolah-olah ada semacam gerakan di bawah tanah (Abdullah, 2006: 29).  Harun Aminurrashid atau nama sebenarnya Harun Mohamed Amin, yang pernah berkhidmat sebagai guru di MPSI dalam suratnya kepada Mustapha Hussain pada 9 November 1975, mengaku  bahawa muridnya, Ibrahim Haji Yaacob, “condong kepada politik dan selalu mengikuti syarahan-syarahan dan pandangan-pandangan mengenai pergerakan kemerdekaan Indonesia yang saya berikan...” Walau bagaimanapun, beliau tidak mengetahui keanggotaan Ibrahim dalam PNI (Insun Sony, 1999: 578, Lampiran 2).
 Mustapha yang jelas kelihatan tidak sehaluan kalaupun tidak mahu disebut bersengketa   dengan Ibrahim semasa mereka berdua dalam KMM, cuba membuktikan bahawa Ibrahim tidak pernah menganggotai PNI, dengan  mendapatkan  pengesahan Dahalan Haji Hussain, dari Ipoh, senior Ibrahim semasa di MPSI antara tahun 1929 – 1931.  Menurut cikgu Dahalan, pada waktu itu tidak mungkin seorang pelajar bergiat dalam “gerakan rahsia,” apalagi bagi seorang budak yang baru berusia 17 tahun – yang datang dari sebuah kampung terpencil dari Pahang – untuk memasuki PNI yang baru sahaja ditubuhkan kira-kira dua tahun (Insun Sony, 1999: 207).  Untuk menunjukkan keraguan terhadap hubungan Ibrahim dengan Indonesia, Mustapha memetik Dahalan, “...betapakan pula kalau ada membuat hubungan dengan luar negeri atau jiran tetangga yang dekat  seperti Indonesia, maka hal ini tidak termimpi atau terlintas bahkan sangat ditakuti oleh semua lapisan pelajar walaupun mereka terdiri dari tahun tiga, tahun dua, atau tahun satu” (Insun Sony, 1999: 580, Lampiran 3).
Meskipun Mustapha Hussain dalam memoirnya itu menyentuh penubuhan, pengasasan,  dan aktiviti KMM dengan panjang lebar (Bab 18 – Bab 22), beliau seakan-akan cuba menyepi tentang hubungan antara KMM dengan Indonesia.  Sebaliknya, Cheah Boon Kheng mendedahkan “antara tahun 1938 hingga 1941, KMM menjadi sangat terpengaruh oleh dasar ‘tidak bekerjasama’ PNI Sukarno dan menerima pakai dasar yang sama.  Ibrahim dan pemimpin lain KMM memulakan propaganda menyerang dasar British dan terhadap ‘pihak yang bekerjasama’, iaitu kumpulan birokrat dan aristokrat Melayu, dalam pelbagai akhbar dan penerbitan (Cheah, 2014: 12).
Setelah KMM ditubuhkan, maka  Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Muhammad pulang ke Singapura kerana mereka berkhidmat sebagai wartawan di sebuah akhbar di sana (Insun Sony, 1999:  199).   Mesyuarat yang biasanya berlangsung di rumah Hassan Haji Manan, kadang-kadang dihadiri juga oleh Ibrahim, tetapi Ishak tidak pernah kelihatan bersama kerana beliau tidak duduk dalam badan yang dinamakan inner circle (Insun Sony, 1999: 200). 
Wujud  keraguan tentang dakwaan Mustapha bahawa “Ibrahim pulang ke Singapura,” kerana ada  catatan yang menunjukkan waktu itu (1938 – 1939), beliau berkhidmat dengan akhbar Majlis di Kuala Lumpur (Hamedi, 2015:  66), bahkan Mustapha sendiri menyatakan bahawa pada tahun penubuhan KMM, iaitu tahun 1938, Ibrahim berkhidmat sebagai penolong pengarang akhbar itu (Insun Sony, 1999: 208). Sumber lain mengatakan Ibrahim mengambil alih tugas pengarang daripada Othman Kalam dari tahun 1939 – 1941 (Roff, 2014: 180). Ibrahim menggunakan Majlis  untuk memasukkan jarum parti politiknya, termasuk sentimen anti-British (Mohd. Salleh, 1998: 20 – 21).  Pada awal penubuhannya, Ibrahim  berusaha melebarkan sayap KMM yang mustahil dapat dilakukan sekiranya beliau bekerja dan tinggal di Singapura.  “Pada tahun 1940, Ibrahim menjelajah ke seluruh Tanah Melayu untuk mendapatkan sokongan rakyat. Hasil lawatan itu, KMM ditubuhkan di beberapa buah negeri, termasuk Singapura dan Patani” (Mohamed Salleh, 2016: 41). Kemudian, Ibrahim menyertai Warta Malaya di Singapura, sebagai pengarang  dari tahun 1941 – 1942 (Hamedi, 2015: 7).  Tentang Ishak mungkin  ada kebenarannya kerana antara tahun 1936 hingga 1939, beliau berkhidmat sebagai pengarang   Warta Jnaka di Singapura.  Ibrahim juga pernah berkhidmat sebagai pengarang akhbar ini untuk beberapa bulan, iaitu Ogos – Disember 1941 (Hamedi, 2015: 87).  Walau apa-apa pun penglibatan Ibrahim dan Ishak, mereka ialah “dua tokoh penting dalam kepimpinan organisasi ini sejak penubuhannya” (Rustam, 2011: 27). 
(Dipetik daripada Bab Tujuh  Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)

Friday, July 26, 2019

Meningkatkan Taraf Pendidikan Kaum India

JUMAAT, 26 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Kedatangan orang India ke Tanah Melayu berlaku sebelum pemerintahan British lagi, misalnya “komuniti  saudagar Hindu dan Islam pada zaman Kesultanan Melaka.  Daripada perkahwinan komuniti yang bertempat di Melaka dengan penduduk dengan komuniti tempatan, maka lahirlah golongan yang dikenali India Peranakan Melaka, atau lebih dikenali sebagai Melaka Chitty” (Belle, 2015: 137). Orang India datang dari beberapa wilayah atau daerah di India untuk bekerja atau diambil bekerja dalam bidang pekerjaan tertentu. “Orang Tamil Sri Lanka atau dikenali di Tanah Melayu sebagai orang Tamil ‘Jaffna’ diambil oleh pegawai British untuk memenuhi jawatan teknikal dan perkhidmatan awam di Negeri-Negeri Melayu” (Belle, 2015: 137). Satu lagi golongan, ialah Chettiar atau lazim disebut Chetty yang kampung leluhur mereka terletak di wilayah yang dikenali sebagai Chettinad dalam wilayah Ramnad dan Pudukkottai, selatan Chennai (Belle, 2015: 139). Sementara orang Sikh, iaitu orang India Utara  berhijrah ke Tanah Melayu untuk mencari pekerjaan yang berkaitan dengan keselamatan, seperti tentera, jaga, penjaga, dan polis (Belle, 2015: 141). Satu lagi golongan India Utara, terutamanya orang Islam Punjabi juga memperoleh pekerjaan dalam polis dan tentera ketika zaman kolonial (Belle, 2015: 143).  Satu lagi golongan yang terdiri daripada migran profesional, kerani, dan teknikal India Selatan yang berpendidikan Inggeris untuk memenuhi keperluan pengembangan pesat ekonomi kolonial (Belle, 2015: 142). Golongan lain terdiri daripada peniaga atau saudagar dari India Utara dan India Selatan – Hindu dan Islam – yang ingin mencari peluang perniagaan, terutamanya di Negeri-Negeri Selat (Belle, 2015: 143 – 144).
Ada banyak kajian atau kepustakaan tentang kedatangan orang India di Tanah Melayu, terutamanya untuk bekerja dalam ekonomi kolonial, iaitu dalam sektor perladangan, misalnya (Sinnappah, 1970) dan Michael Stenson (1980).  Yang  terbaru oleh Carl Vadivella Belle (2015), yang mendapati daripada 1957 Federation of Malaya Census Report,  bahawa empat juta orang India diambil untuk bekerja di Tanah Melayu kolonial dan bahawa 2.8 juta orang kemudiannya  dihantar pulang ke India.  Banyak daripada imigresen bersih yang berjumlah  1.2 orang seakan-akan lesap oleh penyakit, pagutan ular, keletihan, pemakanan tidak seimbang, bagi penduduk India di Tanah Melayu hanya berjumlah 858,614 orang yang 62.1 peratus adalah dilahirkan di sini (Belle, 2015: xiii). Antara tahun 1860 hingga 1957, dianggarkan sejumlah kira-kira juta orang India berhijrah ke Tanah Melayu untuk bekerja dalam ekonomi kolonial, iaitu dalam sektor perladangan; daripada jumlah itu, dalam tempoh yang sama 70 peratus meninggalkan negara ini. Buruh yang bersara atau berumur dihantar pulang ke negara asal mereka, India (Jomo, 1986: 192).
 Antara tahun 1830-an hingga 1909, kira-kira 250,000 buruh terikat India, kebanyakannya diambil dari Madras Presidency di Tanah Melayu (Belle, 2015: 96).  Sebelum pengambilan buruh terikat dihapuskan pada tahun 1910, “sistem kangany” telah lama diperkenalkan untuk pengambilan pekerja India untuk memenuhi  keperluan tenaga kerja dalam sektor perladangan di Tanah Melayu. “Berdasarkan data rasmi, dianggarkan antara tahun 1865 hingga 1938, sebanyak 1,116,717 orang emigran India tiba di Tanah Melayu di bawah naungan kangany (Belle, 2015: 107).  Pada tahun 1940, sejumlah 218,000 orang pekerja India, terdiri daripada 62 peratus jumlah tenaga kerja perladangan, bekerja dalam estet getah. Buruh India juga bekerja dalam sektor awam, seperti Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran, Lembaga Bandar dan Lembaga Kebersihan, dan kereta api (Belle, 2015: 108). 
Pada tahun 1939, ada kira-kira 700,000 orang India yang menetap di Tanah Melayu, iaitu 15 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.  Daripada jumlah itu, hanya empat peratus bekerja dalam bidang perdagangan, perniagaan atau profesion, manakala kira-kira 10 peratus terlibat dalam pekerjaan mahir dan separuh mahir.  Selebihnya, diserapkan ke dalam pekerjaan tidak mahir dan kerja kasar (Belle, 2015: 149).
Meskipun buruh India yang bekerja di ladang-ladang getah milik kapitalis swasta selalunya dikaitkan dengan upah rendah, kemiskinan,  dan eksploitasi, “dari tahun 1922, sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menentukan kadar upah piawai untuk mereka” (Jomo, 1986: 195). Meskipun orang India secara keseluruhan menerima upah yang kurang untuk kerja yang sama, mereka selalunya disediakan kemudahan perumahan, klinik, dan kebajikan masyarakat lain, menggambarkan tumpuan perhatian Jabatan Buruh kolonial dengan hal ehwal buruh India.  Dalam pada itu, penubuhan Kesatuan Pekerja Perladangan Kebangsaan (NUPW) pada awal tahun 1950-an tidak banyak meningkatkan keadaan pekerja estet (Jomo, 1986: 196). 
Gambaran keseluruhan tenaga kerja India pada tempoh yang membawa kepada pencerobohan Jepun pada Disember 1941 adalah bahawa dilanda oleh masalah sosial utama, termasuk kesihatan yang teruk, petunjuk tinggi tentang alkoholisme, ditempatkan  dalam perumahan substandard, dan dikekang oleh kurang pendidikan (Belle, 2015: 122 – 123).  Meskipun wujud bukti perjudian yang berleluasa dalam kalangan buruh, masalah sosial yang sangat besar dalam komuniti India ialah alkoholisme, seperti tabiat minum todi (Belle, 2015: 124). Selain itu, wujud bukti yang menunjukkan bahawa pendidikan kanak-kanak Tamil diberikan keutamaan rendah oleh majikan dan pihak berkuasa kerajaan. Walau bagaimanapun, kerajaan Tanah Melayu menegaskan pendidikan yang disediakan untuk kanak-kanak perladangan adalah “standard sesuai dengan keperluan mereka,”  dan bahawa celik huruf dalam orang Tamil di Tanah Melayu sangat tinggi berbanding dengan penduduk di Madras Residency (Belle, 2015: 126).
Daripada semua golongan itu, secara relatif,  buruh Tamil  yang bekerja dalam sektor perladangan getah, hidup dalam kemiskinan dan kemelaratan. Golongan tersebut  dikatakan menjadi keprihatinan Tun Sambanthan. Sebelum menerajui MIC, beliau  “terlibat dalam aktiviti parti itu bekerja sangat gigih untuk membawa parti itu kepada pekerja Tamil, yang membentuk kira-kira 85 peratus tenaga kerja perladangan” (Paridah, 2011: 192). Selepas pulang daripada menuntut pelajaran di India, Sambanthan yang ketika itu tidak bekerja menghabiskan masa dengan bersiar-siar di estet milik keluarganya yang memberikan peluang kepadanya untuk melihat sendiri keadaan hidup masyarakat estet. Beliau sedar bahawa masyarakat estet hidup dalam keadaan daif  dan tidak berpendidikan (Ummadevi, 2004: 18). 
Tun Sambanthan sedar bahawa buruh estet terperangkap dalam apa disebut dalam istilah ekonomi, “kitaran ganas,” iaitu mereka tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris yang terletak di bandar kerana kekangan kewangan. Akibatnya, mereka kekal dalam belenggu kemiskinan. Dengan kata lain,  tidak berlaku mobiliti sosial; sebaliknya mereka lahir, membesar, dan meninggal dunia hanya sebagai buruh estet. “Realiti yang menyakitkan kehidupan ladang tidak menggalakkan banyak buruh untuk melabur dalam pendidikan anak-anak mereka atau untuk menuntut kemudahan yang cukup dan guru yang berkelayakan. Dalam kebanyakan kes, pandangan dunia majikan tidak melampaui sempadan perladangan.  Meskipun sebilangan pekerja memahami peranan pendidikan dalam mengejar peluang sosial atau ekonomi, dalam mana-mana keadaan, anak-anak mereka dikehendaki bekerja pada usia awal untuk menambah  pendapatan keluarga” (Belle, 2015: 126).  Sekolah-sekolah Tamil di ladang-ladang getah pula dikatakan  dalam keadaan daif, bahkan tidak ada bangunan sekolah.
Hanya minoriti kecil kanak-kanak tamat enam tahun pendidikan rendah yang ditawarkan oleh estet, dan kerana semua pendidikan menengah ditawarkan dalam bahasa Inggeris, hampir kebanyakannya melepasi tahap rendah (Belle, 2015: 126 – 127). Untuk meningkatkan taraf pendidikan anak-anak buruh estet, Sambanthan mengambil daya usaha dengan memperkenalkan kelas bahasa Inggeris untuk mereka.  Pelantikan beliau sebagai anggota Lembaga Pelajaran Negeri Perak memberi peluang kepadanya untuk bertindak secara rasmi bagi kebaikan masyarakat estet.  Pada awal tahun 1950-an, beliau ialah Ketua Persatuan India Sungai Siput, yang memberinya peluang untuk memberikan perhatian terhadap masalah sosial masyarakat estet  (Ummadevi, 2004: 19). 
Usaha itu benar-benar direalisasikan apabila pada tahun 1952, Tun Sambanthan merancang penubuhan Sekolah Tamil Mahatma Gandhi di Sungai Siput.  Untuk itu, sebagai langkah awal, beliau menubuhkan Jawatankuasa Penubuhan Sekolah, dengan beliau sendiri sebagai setiausahanya. Tanah bagi tapak sekolah yang akan dibina itu ialah  ladang milik ayah Tun Sambanthan, Veerasamy dan Suppiah Pillai, seluas tiga ekar diberikan percuma. Keluarga Sambanthan dan keluarga Pillai juga bersetuju menderma $25,000, manakala buruh estet mengumpulkan $7,000 (Ummadevi, 2004: 19).  Pillai ialah kawan rapat ayah Sambanthan, berasal dari Tiruchi, India Selatan, sama-sama bekerja di kedai runcit Periathambi, di Kuala Kangsar.
Upacara perletakan batu asas Sekolah Tamil Mahatma Gandhi berlangsung pada 12 Jun 1952.  Sekolah itu  dirasmikan oleh Vijayalakshmi, adik Pandit Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India, dan Presiden Majlis Perhimpunan Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  pada 14 Ogos 1954, yang dalam rangka lawatannya ke Jepun.  Sebelum itu, iaitu pada 24 Oktober 1953, Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer melawat sekolah itu dan merasmikan upacara perletakan patung Gandhi.  Sekolah Tamil Mahatma Gandhi yang dapat menampung 160 orang murid, mempunyai enam bilik darjah, dan sebuah dewan, merupakan sekolah Tamil pertama yang didirikan oleh seorang India yang lahir di Tanah Melayu, dan menjadi model pembinaan sekolah-sekolah Tamil selepas merdeka.  Di bangunan yang sama, Sambanthan membuka kelas tadika untuk anak-anak buruh estet yang belum mencapai umur persekolahan (Ummadevi, 2004:  19 – 21).
(Dipetik daripada Bab Enam, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid I, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...