Artikel Popular

Sunday, April 1, 2012

Senjata: Negara Jiran Berbelanja Sakan

AHAD,  1 April  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala segelintir ahli politik dan penulis blog di Malaysia masih riuh-rendah dan hiruk-pikuk dengan pembelian kapal selam Perancis, beberapa buah negara jiran, tanpa berselindung, memperkuat ketenteraan masing-masing.  Antaranya dan yang paling menonjol, Singapura - "Israel di Alam Melayu," seperti yang didedahkan  dalam blog The Wall Street Journal, dari segi ketenteraan, negara itu mengekori rapat China,  India, Korea Selatan, dan Pakistan. 

Memetik laporan Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI), akhbar tersebut mendedahkan  negara kota itu merupakan pengimport senjata kelima terbesar di dunia untuk tempoh 2007 - 2011, mewakili empat peratus pembelian senjata global, memeranjatkan untuk sebuah negara yang mempunyai penduduk sekadar 5.1 juta orang. Amerika Syarikat yang paling mendapat faedah daripada perolehan ketenteraan negara kota, dengan kontraktor pertahanannya melibatkan 43 peratus pembelian senjata Singapura. 

Sementara itu, selain carta harian, The Economist dalam keluaran akhir  Mac, mendedahkan perbelanjaan ketenteraan di Asia Tenggara yang melibatkan dua buah negara jiran Malaysia, iaitu Singapura dan Indonesia.  Perbelanjaan ketenteraan Singapura per kepala mengatasi setiap negara sekatan Amerika, Israel, dan Kuwait.  Tahun ini, AS$9.7 bilion atau 24 peratus belanjawan negara diperuntukkan kepada  ketenteraan. 

Sejak berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, Singapura merupakan negara yang banyak berbelanja untuk ketenteraan di rantau ini. Walau bagaimanapun, majalah itu juga mendedahkan bahawa hampir setiap negara di Asia Tenggara memperkukuh ketenteraan yang sama, seperti Singapura, menjadikan  rantau yang pesat membangun dari segi perbelanjaan ketenteraan di dunia. Memetik penganalisis ketenteraan IHS Jane's bahawa negara Asia Tenggara bersama-sama meningkatkan perbelanjaan pertahanan sebanyak 13.5 peratus pada tahun lalu, meningkat kepada AS$24.5 bilion, dan diunjurkan meningkat kepada AS$40 bilion pada tahun 2016. 

Majalah itu juga memetik SIPRI bahawa penyerahan senjata kepada Malaysia meningkat lapan kali ganda pada tahun 2005-2009, berbanding dengan lima tahun sebelum ini.  Sementara perbelanjaan ketenteraan Indonesia meningkat 84 peratus dalam tempoh itu. Pada tahun ini, Indonesia membelanjakan AS$8 bilion untuk pertahanan, masih agak sederhana untuk sebuah negara yang mempunyai 240 juta orang penduduk, tetapi meningkat dengan ketara daripada AS$2.6 bilion pada tahun 2006. Indonesia dikatakan membeli pesawat pejuang Rusia dan Amerika.  Negara itu juga akan membeli kapal selam Jerman bernilai AS$1.1 bilion dan membeli 100 buah kereta perisai Leopard daripada  Belanda. 

Bagi Singapura, jelas The Economist, hanya satu-satunya negara di rantau ini yang membina industri senjata teknologi tinggi sendiri.  Singapura sejak lama menjual senjata kepada negara membangun, tetapi baru-baru ini, memperoleh pesanan yang besar pertama daripada tentera Barat juga. ST Engineering, hanya satu-satu firma yang tersenarai dalam 100 pembuat senjata teratas SIPRI, menjual lebih 100 Branco kepada British untuk kegunaan di Afghanistan. 

Selain Laut China Selatan yang menjadi pertikaian beberapa buah negara Asia Tenggara dengan China terutamanya, yang mendorong negara  di rantau ini memperkuat ketenteraan masing-masing,  Singapura juga  amat prihatin terhadap keselamatan dan kestabilan di Selat Melaka yang merupakan denyut nadi kemakmuran dan kesejahteraan negara kota itu. 

Walau bagimanapun makalah dalam The Economist itu tidak pasti, sama ada berlaku perlumbaan senjata di rantau ini, meskipun beberapa negara banyak membeli senjata.  Mungkin jawapan yang tepat ialah menyediakan gelanggang yang kukuh untuk perlumbaan senjata yang lambat-laun pasti tidak dapat dielakkan.  


Apakah  negara di rantau ini tidak boleh lagi  berbangga dengan Asean sebagai rantau yang aman dan stabil? 


2 comments:

  1. nak harap malaysia beli peralatan macam tu?? nanti ade orang cakap bazirlah, tak de pulangan lah, duit tu boleh buat bina jalanraya lah hospital lah.. so macamane nak beli??? tapi bile ade konflik je, semua aset nk diguna.. tapi bile nak guna tukaput yang ni kaput semua kaput.. need ur opinion here Sir..

    ReplyDelete
  2. Anon Apr 6, 2012 05:46 PM,

    Adakah terdapat pihak2 tertentu menyekat pembelian persenjataan Malaysia? Apa yang dipersoalkan ialah ketelusan pembelian tanpa melibatkan back money sahaja. Ianya Haram juga disisi Islam. Matlamat tidak menghalalkan cara. Saya percaya dengan kurangnya rasuah dan kronisma didalam pembelian aset tentera, sudah pasti ATM akan lebih maju dan kuat. $500 juta dari komisyen kepada kroni dapat memperuntukan beberapa aset canggih angkatan tentera. Betulkan begitu?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...