Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Dunia dalam kancah peperangan lagi sekali, meskipun pada
awal September lalu Amerika Syarikat mengisytiharkan berakhirnya perang tujuh tahun di Iraq. Pastinya, perang yang baru meletus ini
bukannya peperangan di Afghanistan.
Juga tidak ada kaitannya dengan
buku terbaharu Bob Woodward yang banyak diperkatakan dan diulas, iaitu Obama
Wars.
Tatkala dunia masih dihantui oleh
bayang-bayang yang menakutkan, iaitu kemelesetan
curam berganda, tiba-tiba dunia dicengkam oleh “perang mata wang
antarabangsa” kerana kerajaan memaksa
turun nilai mata wang mereka untuk merangsang ekonomi mereka. Kenyataan yang dibuat oleh Guido Mantega,
Menteri Kewangan Brazil ketika berucap di hadapan para pemimpin perindustrian
negara itu di Sao Paulo pada akhir
September lalu sebelum pilihan raya presiden,
mengakui bahawa amalan itu semakin menjadi-jadi sejak kemelesetan
ekonomi global.
“Kita di tengah-tengah perang mata wang
antarabangsa, iaitu setiap negara
melemahkan mata wang masing-masing.
Tindakan ini melemahkan kita
kerana menghilangkan daya saing kita.” Kata Mantega,
“Ini merupakan jenis tindakan terdesak yang dilakukan oleh negara-negara untuk mengaktifkan ekonomi mereka. Oleh sebab mereka tidak mampu untuk mengaktifkan
pasaran dalaman mereka, maka jalan
keluar ialah eksport. Justeru, negara
maju menurunkan nilai mata wang mereka supaya menjadi berdaya saing dalam
sebilangan kecil pasaran dinamik di dunia.”
Ungkapan yang diperkenalkan oleh Menteri
Kewangan Brazil membawa maksud bahawa di seluruh dunia, negara-negara
memanipulasikan mata wang mereka untuk mendapat kelebihan bersaing dalam
perdagangan. Amerika mencetak wang dalam
jumlah yang banyak untuk keluar daripada ekonominya yang beku, dan tindakan ini
dikatakan melemahkan dolar, dan dengan itu, menjadikan mata wang itu aset
kurang menarik untuk para pelabur asing.
Justeru, dalam mengejar pulangan yang tinggi, semua wang panas ini
mengalir ke dalam pasaran yang sedang muncul, seperti Brazil yang dapat
melepasi krisis global secara relatif tidak cedera.
Pasaran sedang muncul, dari Brazil ke Taiwan secara terdesak mencuba
untuk menahan aliran masuk modal demi mencegah mata wang mereka meningkat lebih
tinggi.
Dalam tindakan berasingan untuk melemahkan
mata wang, Bank of Japan kembali semula kepada
dasar kadar faedah sifarnya. Bank pusat itu baru-baru ini campur tangan
dalam pasaran pertukaran asing untuk menjual yen, Switzerland mula menjual
francs Swiss dalam pertukaran asing tahun lalu, dan Israel juga mengaku bahawa
tanpa campur tangan, mata wangnya akan menjadi semakin kuat. Bersama-sama Amerika, Britain membanjiri ekonomi
dengan kecairan menerusi quantitative easing dan mengekalkan kadar faedah terlalu rendah,
pada hakikatnya, menurunkan nilai mata masing-masing.
Sementara Brazil, meskipun Menteri
Kewangannya memperkenalkan ungkapan perang mata wang, menggandakan cukai terhadap pelabur asing
yang membeli bon tempatan untuk mengekang kerancakan baru-baru ini dalam mata
wangnya. Bank pusat Korea Selatan dan
Taiwan turut campur tangan untuk memastkan mata wang mereka lebih murah. Bimbang akan manipulasi mata wang yang
diserlahkan oleh kemelesetan global, banyak negara, termasuk Britain melihat
pertumbuhan eksport sebagai cara untuk pemulihan. Mata wang yang lemah bermakna eksport negara
berkenaan menjadi lebih berdaya saing.
Banyak negara, terutamanya China, diperhatikan
melemahkan mata wang mereka dengan sengaja dengan menjual mata wang dalam pertukaran asing atau memastikan kadar faedah rendah secara dibuat-buat demi memastikan eksport negara berkenaan lebih murah. Output kilang di Britain,
Amerika Syarikat, Sepanyol, Ireland, dan Greece semuanya jatuh semula dengan
ketara pada bulan September, manakala di China, output pembuatan melantum
semula dengan lebih pantas berbanding dengan jangkaan ahli ekonomi.
Enam belas buah negara dalam zon euro sekali
lagi mendesak China supaya membenarkan
mata wangnya naik nilai, mengadu bahawa Beijing berkeras mahu mengekalkan mata
wangnya, renminbi lemah menjejaskan
pertumbuhan global dengan mewujudkan defisit perdagangan di Amerika dan Eropah.
Pendirian China yang berkeras memperlihatkan penentangannya terhadap kenaikan
nilai yang pantas mata wangnya, mungkin
diperkukuhkan lagi baru-baru ini oleh kesediaan Jepun, Brazil, Switzerland, dan
negara-negara lain untuk mengurangkan kekuatan mata wang mereka menerusi campur
tangan.
Ahli-ahli ekonomi dikatakan berasa takut
bahawa langkah itu akan mengakibatkan turun naik dan ketidakstabilan mata wang
semakin bertambah. Persaingan yang kian
menjadi-jadi dalam kalangan setiap negara untuk menurunkan nilai mata wang juga
menimbulkan kesukaran untuk meningkatkan dasar terselaras sebagai respons
terhadap kemerosotan ekonomi, terutamanya di tengah-tengah ketakutan bahawa
kelembapan akan berlaku semula.
Apabila Timothy Geithner, Setiausaha Perbendaraan
Amerika bercakap tentang pemulihan ekonomi global, yang sebenarnya amaran tentang bahaya perang
mata wang, ada yang menganggap bahawa
sasaran beliau ialah China, meskipun beliau tidak sekalipun menyebut negara
itu. Ya, pastinya China. Tulis Nils Pratley
dalam “Undeclared Currency War” yang
ingin menegaskan bahawa Geithner tidak
perlu “berlapik” dengan menggunakan
bahasa diplomasi hanya kerana pendirian rasminya bahawa kerjasama ialah cara terbaik untuk setiap orang. Dalam makalahnya yang diterbitkan
dalam guardian.co.uk pada awal Oktober, Pratley menulis: “Malangnya, kerjasama seakan-akan mustahil
menjadi kenyataan berbanding dengan yang dilakukan sebulan lalu apabila
Geithner bersedia mengkritik China dengan menyebut namanya. Hari ini, Perdana Menteri Wen Jiabao
mempertahankan dasarnya tentang kenaikan nilai renminbi dan memberitahu para pemimpin Kesatuan Eropah supaya
menghentikan tindakan mereka membuli China. Bagi beliau, kenaikan nilai yang
lebih pantas boleh mencetuskan kacau-bilau sosial.”
Melihat pertikaian menuju titik krisis, Pratley
mencadangkan, “Amerika mesti segera memutuskan sama ada untuk melabelkan China
‘pemutar belit mata wang,” perbincangan
yang dilakukan setiap enam bulan. Ramuan
yang tiada dalam pemulihan global ialah menyeimbangkan semula perdagangan. Dan selagi China membantu dirinya untuk
kelebihan eksport bersaing, keadaan ini tidak akan bertambah baik.”
Ekonomi kedua terbesar di dunia ini masih
menjadi sasaran kritkan yang sangat
hebat. Kebanyakan kerajaan Barat dan banyak ahli ekonomi,
melemparkan kesalahan yang mencetuskan pergeseran mata wang terhadap China yang
enggan membiarkan renminbi diniagakan
pada kadar yang menghampiri nilai benarnya.
Lagipun, China mensubsidikan eksportnya dengan kadar faedah rendah yang
dibuat-buat yang mengalih wang daripada
deposit bank para pengguna kepada
pinjaman murah untuk perniagaan. Ketegangan antara Beijing dengan Washington memuncak tentang isu mata
wang, dan Kongres baru-baru ini meluluskan perundangan
yang membolehkan Amerika mengenakan
sekatan perdagangan terhadap China dan negara-negara lain yang memanipulasikan
mata wang untuk memenangi kelebihan bersaing.
“Tatkala
Pentadbiran Barack Obama menghangatkan lagi peperangannya dengan para pemimpin
China tentang nilai rendah mata wang China yang dibuat-buat,” tulis David E.
Sanger dan Michael Wines, “semakin banyak negara berundur daripada beberapa
peraturan pasaran bebas yang membimbing perdagangan antarabangsa sejak beberapa
dekad dan mula bermain dengan peraturan
China.” Dalam makalah yang diterbitkan dalam The New York Times itu, Sanger dan Wines mengakui bahawa tidak jelas jika hasilnya mencetuskan
“perang mata wang,” seperti yang diberikan amaran oleh Menteri Kewangan Brazil
baru-baru ini, atau jika ini hanya sekadar tembakan amaran, tembakan untuk
memaksa kepimpinan Beijing menunaikan tahun demi tahun janji yang akan membenarkan mata wang China naik
nilai. Beberapa ahli ekonomi menegaskan bahawa
persengketaan terhadap mata wang China akan bermulanya era baru fahaman
perlindungan mengingatkan tahun 1920-an dan 1930-an, yang mereka kata mereka
takut boleh melemahkan perdagangan dan pemulihan yang lemah semakin lemah.
Kenyataan Guido Mantega tentang perang mata
wang menarik perhatian banyak pihak, lebih-lebih lagi
tatkala ekonomi dunia masih terumbang-ambing.
Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)
mengambil serius hal ini dengan mengeluarkan amaran kepada kerajaan terhadap
menggunakan kadar faedah sebagai “senjata dasar” dengan berkata, perang mata wang membawa risiko yang
melemahkan pemulihan ekonomi global.
Sementara
Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi memberitahu Forum Ekonomi Dunia di New York bahawa beliau
bimbang tentang tahap ketidakstabilan dalam ekonomi global yang boleh
menyebabkan krisis lain, seperti perang mata wang dalam kalangan negara yang
kelihatan menjadikan mereka lebih berdaya saing yang semakin diburukkan lagi
oleh pelaburan dari luar. “Yang boleh
menambahkan lagi kacau-bilau,” kata beliau.
Turut berkongsi
kebimbangan tentang perang mata wang ialah hartawan George Soros, dan beliau menegaskan bahawa China mesti
melakukan lebih banyak untuk memikul tanggungjawab dalam sistem monetari global. Soros dipetik sebagai berkata, “Menteri Kewangan
Brazil bercakap tentang perang mata wang terpendam, dan beliau tidak terpesong
jauh dari sasaran. Sememangnya, dalam
pasaran mata wang tempat dasar ekonomi yang berbeza dan sistem ekonomi serta
politik yang berbeza berinteraksi dan bertembung. Beliau juga menyentuh pendirian
China yang terus berkeras dengan dasar peningkatan kebolehubahan mata wang
secara beransur-ansur dan tidak mahu tunduk pada tekanan para pemimpin Kesatuan
Eropah yang bersekutu dengan Amerika untuk mendesak kerajaan negara itu: “Sama ada disedari ataupun tidak, China
muncul sebagai pemimpin dunia. Jika China
gagal memikul tanggungjawab kepimpinan, sistem mata wang boleh runtuh dan turut
mengheret ekonomi global
bersama-samanya.”
Kuasa dunia mesti banyak
berusaha untuk menghalang kemungkinan
perang mata wang. Desak Institute of International Finance
(IIF) tatkala Menteri-menteri Kewangan dan ketua-ketua
bank pusat bersiap untuk ke Washington untuk menghadiri
mesyuarat tahunan Bank Dunia dan IMF pada awal Oktober. Setiap penjuru dunia
kini dilanda oleh peperangan mata wangnya sendiri, kerana setiap negara
bersaing untuk memperoleh sebahagian pemulihan global yang terbukti lebih kuat
di ekonomi sedang muncul utama berbanding dengan Barat. “Kita memerlukan perkembangan segera
dalam rundingan pelbagai pihak tentang isu mata wang utam,” tegas IIF yang juga
meramalkan aliran modal ke dalam pasaran sedang muncul akan meningkat kepada
AS$825 bilion pada tahun ini daripada AS$581 bilion pada 2009.
Ketegangan menjadi-jadi ketika Menteri-menteri Kewangan
G-7 akan mengadakan pertemuan tidak rasmi di Washington sempena mesyuarat
tahunan yang dinyatakan di atas, tentang perang mata wang antarabangsa kerana
banyak kerajaan memanipulasikan mata
mereka untuk merangsang eksport. Para
pemimpin di IMF dan Bank Dunia dilaporkan berkata bahawa “konflik antara China
dengan Amerika berhubung dengan renminbi boleh merebak menjadi masalah ekonomi
yang lebih serius. “Ketegangan terhadap mata wang
boleh melemahkan keyakinan para pelabur pada masa apabila dunia memerlukan
sektor swasta untuk merangsang pertumbuhan,” kata Robert Zoellick, Presiden Bank
Dunia. Selain
itu, banyak negara di dunia berasa takut
terhimpit kerana Amerika dan
China berperang antara satu sama lain.
Walau bagaimanapun, ahli panel semasa
persidangan mata wang Bloomberg di New York
berpendapat bahawa negara-negara tidak terlibat dalam
perang mata wang. Seperti yang
dilaporkan oleh Bloomberg.com, “sekarang bukannya perang mata wang,”
meskipun negara membangun di seluruh dunia membeli dolar dan mengambil langkah
lain untuk membendung mata wang daripada meningkat. “Retorik boleh menjadi perang mata wang jika kemerosotan
ekonomi semakin dalam.”
Dalam
“Financial Shock and Awe” Barry Eichengreen melihat persamaan antara Perang Dunia Pertama dengan
perang mata wang sekarang: salah faham.
Bukannya berpunca daripada perjuangan untuk penguasaan antara kuasa yang
sedang bangkit dengan musuhnya yang telah bertapak, perang itu merupakan hasil
sampingan siri salah faham. Hari ini,
titik pancaran mungkin mata wang berbanding dengan Balkan, tetapi bahaya salah
faham menjurus kepada keadaan menjadi
buruk dan tindakan balas – ialah
sama dari segi fundamental. Dalam makalah yang diterbitkan dalam Foreign Policy itu beliau menegaskan salah faham ialah kepercayaan
bahawa fenomena yang kita perhatikan sekarang – terpampang pada halaman hadapan
minggu lalu apabila Menteri Kewangan Brazil mencela tercetusnya “perang mata
wang antarabangsa” – ialah permainan hasil tambah sifar.
Ceritanya
bermula seperti ini, tulis Eichengreen, Bank of Japan, dikatakan dengan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing
untuk melemahkan yen adalah menyebabkan kehidupan lebih sukar untuk negara
lain. Begitu juga, Bank of England, berasa gembira melihat
sterling merosot, dengan alasan bagaimana permintaan domestik tertekan oleh
program jimat cermat agresif kerajaan, tetapi ini mewujudkan masalah kepada
negara-negara jirannya. Rizab
Persekutuan tidak membantah jika pasaran mewujudkan dolar yang lemah, bahkan
jika ini mengecewakan usaha terbaik Bank of Japan. People’s Bank of China terus-menerus dengan
kemasyhuran campur tangan untuk
mengekalkan renminbi jatuh. Pasaran
sedang muncul lain, dari Brazil ke India ke Korea Selatan, mendapati diri
mereka sama ada terpaksa melawan api dengan api atau sekadar melihat sektor
pembuatan mereka layu. Sementara itu, ekonomi terlalu terdesak memerlukan kadar pertukaran berdaya
saing, iaitu Eropah, berkesudahan berlabuh
di tempat yang berlawanan.
Beliau akur bahawa ketegangan dan
tuduh-menuduh tidak dapat dielakkan.
Namun begitu, yang diperlukan untuk mengelakkannya ialah kepimpinan
daripada tiga bank pusat yang besar itu.
Rizab Persekutuan perlu menghentikan keadaan serba tidak kena dan
melakukan dengan tepat takat quantitative easing yang dihajatinya.
Sebelum tercetusnya perang mata wang sekarang,
Eichengreen menulis “Competitive
Devalution to the Rescue” bahawa setiap
hari kelihatan kemungkinan besar bahawa kita ditakdirkan – atau sepatutnya
seseorang berkata malapetaka? – untuk mengulangi sejarah ekonomi yang membawa
bencana dan kecelakaan tahun 1930-an.
Melalui makalah yang diterbitkan dalam guardian.co.uk menjelang sidang kemuncak G-20 di London pada
awal April 2009, beliau menarik perhatian bahawa kini kita berasa amat takut akan
bayang-bayang yang mengerikan tentang penurunan nilai berdaya saing. Dalam
makalah ini beliau juga merujuk pengalaman
pada tahun 1930-an, apabila sebuah negara demi sebuah negara menurunkan
kadar pertukarannya dalam usaha terdesak supaya eksportnya keluar daripada
kemelesetan. Akan tetapi, penurunan nilai
oleh setiap negara hanya menerukkan lagi
masalah rakan-rakan kongsi
perdagangannya yang melihat kemelesetan mereka sendiri semakin dalam. Kesudahannya, bahkan negara yang menghargai
kestabilan mata wang terpaksa mengambil
tindakan yang serupa.
“Akhirnya,” tulis Eichengreen, “penurunan nilai berdaya saing tidak
memberikan faedah kepada mana-mana negara pun, kerana semua negara tidak boleh menurunkan
nilai kadar pertukaran mereka dengan berlawan antara satu sama lain. Hanya kesannya kepada ketegangan peminat politik,
memuncakkan ketidakpastian kadar faedah, dan menterbalikkan sistem perdagangan
global. Fahaman perlindungan kewangan
jika anda mahu.”
Meskipun dunia riuh-rendah dengan perang mata wang, namun
setakat ini tidak wujud usaha untuk membendungnya daripada terus merebak. Beberapa
negara, seperti yang diketahui, cuba
untuk menurunkan nilai mata wang mereka sebagai cara satu cara untuk merangsang
eksport dan pekerjaan pada masa ekonomi yang sukar. Wujud kebimbangan bahawa usaha tersebut boleh
mencetuskan berulangnya perang perdagangan yang menyumbang kepada Kemelesetan
Besar 1930-an, kerana sebuah demi sebuah negara meninggikan sekatan
perlindungan terhadap barang diimport.
Namun begitu, para
pemimpin kewangan dunia yang menghadiri mesyuarat tahunan IMF gagal menyelesaikan perbezaan yang mendalam,
iaitu ancaman meletusnya perang mata wang dalam erti kata yang sebenar. Mereka dikatakan akur dengan masalah, tetapi
mereka belum dapat menyediakan penyelesaian
terhadap risiko bahawa pemulihan ekonomi global akan menjadi lemah oleh
terjahan nasionalistik terhadap kadar pertukaran. Mereka hanya meminta IMF memainkan peranan
yang lebih kuat dalam memantau bagaimana dasar setiap negara menjejaskan negara
lain. Oleh sebab IMF membiarkan
persoalan tanpa penyelesaian, maka timbul pertanyaan mampukah dunia mengelakkan
daripada perang mata wang yang memudaratkan?
Meskipun laungan yang lantang dari Amerika Syarikat, dan rayuan yang
lebih lembut oleh Eropah, Jepun, dan negara lain, IMF gagal meletakkan tekanan
yang signifikan terhadap China supaya membenarkan peningkatan yang segera dan penuh
bermakna dalam mata wangnya, renmimbi.
Lenin pernah berpesan bahawa cara terbaik
untuk memusnahkan sistem kapitalis adalah dengan merosakkan nilai mata wang (is to debauch the currency). Lenin adalah betul, tulis John Maynard Keynes dalam bukunya, Essays in Persuasion. Tiada
cara paling halus, yang paling pasti, untuk mengubah asas yang wujud
dalam masyarakat berbanding dengan cara merosakkan nilai mata wang.
Proses ini menarik semua kuasa hukum ekonomi tersembunyi ke sebelah
pemusnahan, dan melakukannya dengan cara yang tiada seorang pun dalam sejuta manusia
mampu mendiagnosis.
Kerosakan
nilai mata wang yang dipesan oleh
Lenin, seperti yang dibahaskan oleh
Keynes adalah dalam konteks inflasi pada tahun 1919 – selepas Perang Dunia
Pertama. Justeru, untuk mengaitkan
pesanan pemimpin revolusioner itu dengan perang mata wang sekarang seakan-akan
terkeluar daripada konteks. Lenin mungkin tidak membayangkan tercetusnya perang
mata wang seperti sekarang. Mungkin juga
beliau tidak membayangkan negara
kapitalis bersama-sama China sedang memusnahkan sistem kapitalis dengan
melancarkan perang mata wang. Namun
begitu, paling tidak, beliau berpesan bahawa mata wang boleh diserang dan
menyerang.
Sesungguhnya,
perang mata wang yang membimbangkan ini
sebahagiannya berpunca daripada pertembungan antara konsensus Washington dengan
konsensus Beijing, antara kapitalisme
pasaran bebas dengan kapitalisme autoritarian.
Tatkala peraturan pasaran bebas robek di sana sini, Beijing mengambil
kesempatan memperkenalkan peraturannya – orde dunia baru yang gagal
disempurnakan oleh para pemimpin komunis sebelum ini.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Disember 2010.)
No comments:
Post a Comment