Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Beberapa pilihan raya yang berlangsung memperlihatkan
parti pemerintah dalam keadaan yang sukar.
Di Britain, Parti Buruh tumbang, manakala di Australia, Parti Buruh
hanya dapat bertahan kerana adanya sokongan daripada parti kecil. Yang terbaharu, Pilihan Raya Separuh Penggal
di Amerika Syarikat yang menyaksikan seorang demi seorang calonnya tewas, baik di peringkat Dewan Perwakilan,
Senat, mahupun gabenor. Untuk Dewan
Perwakilan, Republikan meraihkan
kemenangan hampir setiap penjuru negara,
memenangi 239 kerusi berbanding
dengan 188 Demokrat, manakala lapan lagi
belum diketahui keputusannya (ketika makalah ini ditulis). Akan tetapi,
Demokrat masih menguasai Senat,
dengan memenangi 53 kerusi berbanding
dengan 46 Republikan, manakala satu lagi – iaitu Alaska belum diketahui yang
berkemungkinan memihak kepada calon write-in, Senator Lisa Murkowski yang tewas dalam
pemilihan awal Republikan.
Bagi sesetengah cerdik politik, pilihan raya kali ini merupakan sesuatu yang cukup bersejarah,
salah satu yang produktif sejak New Deal. Selepas empat tahun mengambil alih Kongres
dengan Speaker wanita pertama di Dewan Perwakilan, akhirnya Demokrat hilang
penguasaan terhadap Dewan berkenaan dalam pilihan raya yang membawa kemusnahan,
yang melenyapkan penguasaan itu. Inilah kali pertama sejak tahun 1938 apabila Demokrat di bawah Presiden
Franklin D. Roosevelt
mengalami kekalahan bersih 72 kerusi di tangan
Republikan, Parti Demokratik kalah teruk dalam Pilihan Raya Separuh
Penggal. Newt Gingrich yang menjadi
penggempur kemenangan besar Republikan pada tahun 1994, menyifatkan keputusan
pilihan raya pada hari Selasa itu, “penolakan paling besar terhadap Rumah Putih
sejak tahun 1932” apabila Parti Republikan di bawah Herbert Hoover, kehilangan 100 kerusi.
Pilihan Raya Separuh Penggal Amerika Syarikat yang
berlangsung 2 November lalu sarat dengan
tinjauan pendapat, sebilangannya bersifat memihak kepada parti yang
bertanding, manakala sebilangan lagi berkecuali. Pilihan raya itu melibatkan perbelanjaan yang
cukup besar, iaitu boleh mencecah AS$4 bilion,
jauh lebih tinggi daripada perbelanjaan Pilihan Raya Separuh Penggal
tahun 2006 yang menelan belanja AS$2.85 bilion.
Perbelanjaan ini dijangkakan
boleh mengaburi perbelanjaan AS$4.14 bilion dalam kempen Presiden
tahun 2004. Selain
itu, derma untuk sesetengah calon yang
bertanding, terutamanya Republikan, datang mencurah-curah, antaranya daripada Karl Rove dan Ed
Gillespie yang menyumbang hampir AS$100
juta, tetapi berbaloi. Namun begitu, pesan seorang ibu dalam iklan
Maybank bahawa “wang bukan segala-gala” ternyata benar apabila calon Republikan untuk jawatan
gabenor California, iaitu Meg Whitman berbelanja wangnya sendiri, AS$140 juta, tetapi tewas.
Semasa kempen berjalan rancak, orang ramai sibuk
dengan ramalan tentang kemenangan dan kekalahan, lalu tinjuan
pendapat sering mendapat perhatian mereka.
Selepas keputusan diketahui,
orang ramai tertumpu pada sebab-musabab kekalahan dan kemenangan calon
atau parti yang bertanding. Meskipun memang telah dijangkakan, namun menurut
pemerhatian, “masih terkejut melihat
para pengundi mengaibkan Presiden muda yang
bijak dan mempesonakan, yang pada
mulanya, banyak persamaannya dengan
Kennedy.”
Setelah melalui malam yang panjang, Presiden Barack Obama
muncul dalam sidang akhbar di Rumah
Putih. Dalam keadaan muram, beliau memberitahu
bahawa beliau mengambil “tanggungjawab langsung” lantaran
rasa kecewa para pengundi,
terutamanya tentang ekonomi. Beliau bermula dengan: “Sesetengah malam pilihan raya lebih
menyeronokkan berbanding dengan yang lain.”
Pada penghujungnya, beliau mengakui bahawa “tumpas” merupakan pengalaman yang perlu dipelajari,
sesuatu yang kebanyakan Presiden, misalnya Bill Clinton dan Ronald Reagan,
terpaksa merasakan kesakitannya.
Walau bagaimanapun,
Obama enggan mengakui bahawa
revolusi Republikan merupakan penolakan secara meluas terhadap dasar
pentadbirannya. Sebaliknya, beliau
menegaskan bahawa para pengundi lebih berasa marah terhadap kurangnya kemajuan
dari segi menggubal dasar yang berkesan, dan tanggapan bahawa “perniagaan
seperti biasa di Washington tidak berubah.”
Mesej Obama dilihat tidak banyak berbeza dengan George Bush, Presiden ketika itu, yang memberitahu wartawan pada tahun 2006 selepas Demokrat menguasai Kongres dan
mengakui partinya merasakan kesakitan
“kena tumbuk.”
Demokrat menguasai Rumah Putih, dan sebelum ini, menguasai Kongres, iaitu Dewan Perwakilan dan
Senat, juga mempunyai kekuatan dari segi
kewangan dan pengalaman strategi, dan
oleh itu, amat daif untuk berkata bahawa
mereka tidak dapat mengesan
bahaya yang mendatang. Apabila sebelum
ini calon Demokrat tewas di tangan
Republikan dalam Pilihan Raya Gabenor di New Jersey dan Virginia, dan yang
lebih menonjol, apabila kerusi senator Massachusetts yang ditinggalkan oleh mendiang Edward
Kennedy, jatuh ke tangan Republikan,
pastinya dari kejauhan, mereka dapat
melihat bahawa tsunami, atau paling tidak, ribut taufan yang akan melanda.
Kalah teruk, sebahagian besar puncanya dilemparkan terhadap Presiden Barack Obama. “Ya,
kita boleh” dipersendakan oleh
“Oh, tidak, anda tidak boleh.” Jika pada tahun 2008 dahulu – ketika
memenangi Pilihan Raya Presiden, terkenal
dengan “detik Obama,” kini “menumpaskan (shellacking) Obama” menjadi mainan media. Gambaran media yang sebelum ini mengagumi Obama, “Near-Flawless Run is Credited in Victory,” beralih kepada kejayaan Republikan, “Democrats Outrun by a Two-Year
Comeback Plan.”
Sedikit sebanyak kelemahan peribadi atau personaliti
Obama menjadi faktor kekalahan Demokrat.
Ada yang berkata, beliau menghadapi masalah populisme: bersikap suka menyendiri
dan berunsur intelektual. Beliau tidak
mempunyai bakat Bill Clinton untuk
empati politik. Beliau juga tidak mendampingi golongan yang marah, iaitu
perasaan kecewa di Amerika. Jika
Obama berharap untuk bangkit daripada
kekalahan Demokrat dalam Pilihan Raya
Separuh Penggal, beliau perlu lebih
mendendangkan nada populis.
Selain itu, Obama didapati menghadapi masalah penampilan personaliti seolah-olahnya beliau
hidup dalam dua alam: Republikan dan gerakan Tea Party menuduh beliau terlalu liberal, dan tuduhan ini dilanggan
oleh para pengundi, sedangkan sebilangan cerdik pandai politik menganggap liberal
yang dicapai selama 20 tahun terpadam 20
bulan di bawah Obama.
Sesungguhnya, tidak
sukar bagi orang awam, apatah lagi cerdik pandai politik untuk mencari
sebab-musabab kekalahan Demokrat yang cukup tragik dalam setiap kumpulan demografik: “referendum
terhadap Presiden Obama dan Kongres yang dikuasai oleh Demokrat dalam keadaan
ekonomi yang cukup lemah yang berpanjangan.” Kali ini, kitaran pilihan raya yang sukar terpaksa
ditempuhi oleh Demokrat, sebagaimana yang dialami oleh Republikan pada tahun
2008, iaitu ekonomi yang suram. Para pengundi bebas yang pada tahun 2006 yang kebanyakannya mengundi Demokrat dan
turut membantu menamatkan penguasaan Republikan dalam Dewan Perwakilan dan
Senat selama 12 tahun, telah berpaling tadah dalam pilihan raya baru-baru ini.
Berita ekonomi yang
terus suram, antaranya kadar pertumbuhan yang rendah, iaitu sekitar dua peratus
dan kadar pengangguran yang tinggi, iaitu 9.6 peratus, tidak dapat tidak, akan
membawa kesuraman kepada Demokrat. Sejak
Presiden Obama menduduki Rumah Putih,
boleh dikatakan banyak ahli ekonomi dan cerdik pandai politik yang tidak
henti-henti mengingatkan supaya pentabirannya memberikan lebih perhatian terhadap pewujudan peluang pekerjaan: apabila dapur tidak berasap, perut kurang
diisi, orang akan meluahkan kemarahan
mereka melalui peti undi.
Pada tahun 2009, Rumah Putih, seperti yang
diperhatikan, memandang rendah terhadap
kemusnahan ekonomi, pada tahun 2010, Demokrat terpaksa membayar harga yang
cukup tinggi. Pilihan Raya Separuh
Penggal memperlihatkan kebenaran yang sangat
mudah, iaitu kalau pengangguran hampir
digit berganda, Demokrat akan menerima padah.
Tinjauan pendapat keluar mendapati bahawa hampir sembilan daripada 10
pengundi percaya bahawa ekonomi dalam keadaan yang teruk. Peratusan yang sama berkata bahawa mereka
berasa pesimistik tentang masa depan ekonomi Amerika. Dari beberapa segi, Pentadbiran Obama sebenarnya kurang seiringan dengan Wall
Street, seperti pelaksanaan pembaharuan kewangan, tetapi yang anehnya, Demokrat
menerima pukulan yang teruk daripada Main Street.
Meskipun majoriti
besar masih percaya bekas Presiden Bush
patut dipersalahkan kerana menghumbankan mereka ke dalam keadaan
kucar-kacir, mereka jelas berkata bahawa
Presiden Obama “tidak boleh cuci tangan.”
Mereka memaklumi bahawa Bush
menyebabkan keadaan ekonomi yang berkecai,
tidak perlu diungkitkan lagi, tetapi
Obama tidak boleh asyik menuding
jari. Beliau kena bertanggungjawab dan bukannya sekadar memandang rendah hanya bagaimana boleh berlaku.
Pada masa yang cukup mendesak ini, rakyat
memerlukan individu yang komited dan
penuh semangat untuk menerajui negara, maka dikatakan inilah masa untuk Obama bermandikan peluh seperti kuda lumba, dan bukannya
seperti guru sekolah hari Ahad yang
berhati-hati tidak ubah seperti
kanak-kanak belajar bertatih. Dalam hubungan ini, Nicholas D. Kristof
yang menulis dalam akhbar The New York
Times berasa bahawa negara pergi terlalu jauh menyalahkan kemuraman ekonomi
terhadap Obama hingga gagal memberikan penghargaan kepada kejayaan
beliau mengelakkan berlakunya
satu lagi Kemelesetan Besar.
“Obama,” tulis
Kristof, “tidak mengumpulkan
hujah yang bergema dalam kalangan penerima faedah dasarnya: pembaharuan penjagaan kesihatan, pakej rangsangan, dan penyediaan
pekerjaan kepada yang sangat memerlukannya.”
Beliau berasa hairan mengapa Obama tidak banyak menggunakan pernyataan
Mario Cuomo: “Kita berkempen dalam puisi, kita memerintah dalam
prosa.” Justeru, Kristof memberikan tunjuk ajar yang panjang lebar kepada Obama:
“Prosa tidak perlu hambar sebagaimana Harvard Law Review. Kita
tidak kisah didendangkan oleh rangkap
puisi sekali-sekala.” Dengan menyanjung Bill Clinton sebagai tutor yang
hebat, beliau mengingatkan jika Obama
ingin berhubung dengan para pengundi, beliau mesti menghadapi krisis ekonomi
secara emosi, di samping secara intelektual.
Bagi
yang bersimpati, ada yang berhujah
bahawa walau apa-apa pun pandangan
seseorang terhadap Presiden Obama, sesungguhnya, beliau secara berkesan
menyelamatkan kapitalisme. Dan kerana itu, beliau terpaksa membayar harga politik yang sangat teruk. Untuk
menyelamatkan bank-bank yang bergelut
dengan kemuflisan memerlukan perbelanjaan yang cukup besar. Demikian juga
untuk mengeluarkan ekonomi daripada terjebak dalam kemelesetan yang
dalam dan lama. Pastinya, untuk melaksanakan pelan penyelamat dan pakej
rangsangan, negara terpaksa menanggung defisit yang besar. Malangnya, kebanyakan rakyat Amerika bukan
sahaja mempunyai memori yang pendek,
bahkan juga membiarkan diri mereka diperdaya oleh Republikan dan gerakan Tea Party, antaranya
Kerajaan Besar.
Oleh sebab pilihan
raya kali ini pada asasnya tentang ekonomi yang teruk, sedangkan Parti Republikan selain melontarkan
kritikan, tidak mengemukakan alternatif,
maka ada yang berpendapat bahawa parti
itu tidak patut menang. Namun begitu, dengan penglibatan Karl Rove dalam mengatur strategi untuk Republikan, seseorang dapat
mengagak kelicikan beliau seperti yang pernah
disebut oleh George Soros, “memanipulasi kebenaran sebagai pendekatan
lebih hebat dan unggul” yang menghasilkan kemenangan untuk parti itu.
Paul Krugman
melalui kolumnya dalam The New York Times
mengkritik orang yang menuduh Presiden Obama tidak fokus terhadap ekonomi
sebagai “intelektual pengecut.” Secara
sinis, Krugman dalam makalahnya, “The Focus Hocus-Pocus”
apakah fokus yang perlu dilakukan oleh Obama:
melaksanakan pakej rangsangan yang lebih besar? Bertindak tegas terhadap bank-bank? Atau beliau perlu pergi ke sana ke mari,
bergeger hingga berkerut dahi, “saya fokus, saya fokus.” Bagi beliau, masalah Presiden Obama bukannya
kurang fokus, tetapi kurang keberanian,
kurang kelancangan. Kurang yakin pada
diri sendiri.
Setelah
menyedari pada akhir tahun 2009 bahawa
pakej rangsangan bersaiz sederhana itu tidak memadai, bahas Krugman, Obama
sepatutnya menjelajah ke seluruh pelosok negara dan memberitahu, “Presiden
sebelum saya meninggalkan ekonomi dalam keadaan yang amat teruk, kemudian kita
baru sedar, dan kita memelukan tindakan selanjutnya.” Malangnya, tulis Krugman , “Obama tidak berbuat demikian. Sebaliknya, beliau dan pegawai-pegawainya
terus-menerus mengatakan bahawa pelan mereka adalah betul, yang merosakkan
kredibiliti mereka, bahkan meletakkan ekonomi dalam keadaan lebih teruk.”
Secara munasabah
dan objektif, Joe Klein membahaskan
bahawa Demokrat dan Presiden mencapai sesuatu yang lebih daripada
yang dijangkakan pada tahun ini. Mereka
mencapai yang lebih baik daripada Bill Clinton pada tahun 1994 yang kalah kedua-duanya, iaitu Dewan Perwakilan dan
Senat, meskipun pengangguran adalah kecil, iaitu 5.6 peratus. Walau bagaimanapun, Klein yang menulis dalam
majalah Time membuat pemerhatian yang
tepat bahawa prestasi Parti Demokratik pada tahun ini merupakan satu daripada
yang lebih membingungkan, dan pengecut,
dalam memori. “Lazimnya, parti politik
kalah apabila parti itu gagal melaksanakan tugasnya. Sebaliknya, Demokrat kalah kerana mereka
berjaya melaksanakan apakah yang mereka janjikan sejak berdekad-dekad. Mereka bermula dengan pembaharuan penjagaan
kesihatan, dan kemudian lari
meninggalkan kejayaan mereka.”
Setelah akur dengan keputusan pilihan raya itu dan
muhasabah diri, dan di sana sini, orang membandingkan Presiden Barack Obama
dengan Bill Clinton, maka adakah Obama juga akan mengukir kejayaan yang
sama? Untuk itu, John Cassidy yang
menulis dalam The New Yorker memberikan kupasan dan persoalan
yang cukup menarik: Yang berlaku pada malam 16 tahun lalu mempunyai keselarian
dengan yang berlaku pada malam 2 November
2010 dari segi kerusi yang dimenangi oleh Republikan untuk Dewan
Perwakilan dan Senat. Akibat kekalahan
itu, banyak pengulas menulis obituri mereka, hanya melihat pasukan Clinton bingkas dan mengalahkan Bob Dole dengan teruk
dalam Pilihan Raya Presiden tahun 1996.
Cassidy, penulis yang berwibawa dan selalu dipetik, tidak
menolak kemungkinan Presiden Obama bangkit semula selepas dibantai dengan
teruk. Bergantung pada jawapan kepada
tiga lagi soalan, tegas beliau, “adakah Obama mempunyai kemahiran politik Bill
Clinton? Akan binasa sendirikah
Republikan? Apakah yang akan terjadi
terhadap ekonomi?”
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Disember 2010.)
No comments:
Post a Comment