Artikel Popular

Wednesday, December 5, 2012

Politik Masjid

RABU, 5 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sesuatu kelihatan aneh bahawa selepas  beberapa bulan  akhbar The New York Times  melaporkan rancangan pembinaan masjid dan pusat Islam berhampiran Ground Zero, barulah ahli politik,  terutamanya daripada Republikan mula melalak.  Mereka bagaikan dirasuk oleh bayang-bayang yang mengerikan daripada runtuhan Menara Berkembar.  Keadaan hiruk-pikuk ini berpunca daripada sokongan Presiden Barack Obama terhadap rancangan itu, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Separuh Penggal  pada bulan November.  Obama dikatakan mengubah pertarungan terhadap rancangan pembinaan Cordoba House yang kini digelar Park51 menjadi debat nasional tentang kebebasan agama, meskipun   selepas itu, setiausaha akhbar beliau, Robert Gibbs memaklumkan bahawa Presiden tidak mahu “terlibat dalam  pembuatan keputusan  tempatan.”
            Republikan berkokok lantang tentang bagaimana Obama mengambil pendirian yang hanya menjadi pegangan  minoriti  Amerika, manakala yang lain seakan-akan tidak percaya bagaimana Obama boleh berpendirian begitu.  Anggota Demokrat pula dikatakan  berbisik antara satu sama lain bahawa pendirian Presiden itu akan menjejaskan peluang mereka dalam Pilihan Raya Separuh Penggal.
            Dalam pilihan raya itu, daripada 100 kerusi Senat, dipercayai bahawa 46 berterusan  atau teguh untuk Demokrat, 36 kerusi untuk Republikan, manakala bakinya, 18 kerusi dalam pertaruhan.  Untuk  Perwakilan pula, 168 kerusi berterusan  atau teguh untuk Demokrat, 163 kerusi untuk Republikan, manakala 104 kerusi lagi dalam pertaruhan.  Sementara untuk gabenor, sembilan negeri  berterusan atau padu untuk Demokrat, 13 negeri untuk Republikan, dan 28 negeri dalam pertaruhan.
            Dengan keadaan ekonomi  Amerika  yang mungkin terjebak dalam kemelesetan curam berganda dan pengangguran yang  tinggi, iaitu 9.5 peratus, banyak cerdik pandai  dan laporan media  menjangkakan Demokrat terpaksa menempuh laluan yang sukar. Sebelum munculnya isu pembinaan masjid dan pusat Islam,   kemuraman ekonomi  banyak mencorakkan pilihan raya itu. Sementara Obama sendiri terpaksa bergelut dengan tanggapan salah tentang dirinya: tempat lahir dan agamanya yang sebenar.  Sesungguhnya,  Demokrat diserang  dari segenap penjuru dan Obama dijadikan “tebusan” oleh Republikan. 
            Namun begitu,  Presiden Obama tidak mudah tunduk terhadap serangan ekonomi oleh Republikan, dengan menggunakan metafora beliau menyerang balas baru-baru ini:  “Segalanya bermula dengan cukup mudah.  Ada sebuah kereta (ekonomi). Dan parit (kemelesetan).  Republikan telah memandu kereta itu (semasa mereka berkuasa) selama lapan tahun.  Kereta terjunam  ke dalam parit.  Dan sekarang Demokrat terpaksa menarik kereta itu keluar (berkuasa dan meluluskan pelbagai dasar pemulihan ekonomi), Republikan mahu mengambil balik kunci (kuasa).”  Sempena 75 tahun pelaksanaan Keselamatan Sosial, beliau menyerang Republikan dengan menuduh parti itu cuba memusnahkannya.
            Dengan menyatakan sokongannya terhadap rancangan pembinaan masjid dan pusat Islam itu hingga beliau diasak oleh Republikan, Obama secara strategi, berjaya  memesongkan pihak lawan  daripada isu yang lebih besar, seperti ekonomi.  Dalam makalah “Why the GOP Should Avoid the Mosque Issue” dalam majalah Time, Mark Halperin menulis bahawa   hingga kini, Republikan sepatutnya mengehadkan diri mereka sebanyak mungkin terhadap mesej ekonomi, mengelakkan diri daripada isu sosial dan dasar luar kerana Republikan cuba mewujudkan perbezaan untuk para pengundi antara jenama mereka dengan rekod Obama-Pelosi-Reid.  Langkah ini merupakan strategi yang pintar,  jelas dan mudah kerana kebimbangan para pengundi  yang utama adalah berkait dengan pengangguran dan prospek kewangan masa depan negara.
            Meskipun cerdik pandai dan ahli politik terjebak dalam histeria terhadap masjid yang berhampiran Ground Zero, namun Katrina vanden Heuvel yang menulis dalam majalah The Nation, menegaskan bahawa masjid bukannya persoalan utama. Tulis beliau,  “pilihan raya ini bukanya tentang masjid di Manhattan.  Bahkan, bukan tentang defisit, sebenarnya.  Pilihan raya ini adalah tentang pembuatan di Main Street (manufacturing on Main Street),  dan manakah parti yang dapat bercakap secara berkesan tentang penyelesaian progresif kehendak rakyat Amerika.  Daripada pelbagai tinjauan pendapat mereka lebih berasa bimbang tentang ekonomi dan pekerjaan.”
            Apakah politik masjid menyebabkan Republikan terpesong dan tersadung? 

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, November 2010.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...