Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Tatkala dunia
terjebak dalam kemelesetan, boleh dikatakan tidak banyak perhatian diberikan
terhadap Amerika Latin. Sedangkan
beberapa buah negara di rantau itu tidak ketinggalan dalam kerjasama ekonomi global, seperti Argentina dan Brazil menganggotai G-20,
manakala Chile dan Peru menganggotai Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik
(APEC). Dalam kalangan negara Amerika
Latin, Brazil agak menonjol kerana tergolong dalam kuasa baru ekonomi, BRIC, meskipun negara itu lebih dibayangi oleh China dan India.
Kalaupun
ada liputan tentang rantau itu, perkaranya lebih tertumpu pada kartel
dadah, kekejaman, keuzuran Fidel Castro, dan “kenakalan” Hugo Chavez yang gemar mengacah-ngacah
Amerika Syarikat. Kebetulan baru-baru
ini berlangsung Piala Dunia, maka beberapa negara dari Amerika Latin, seperti
Brazil, Argentina, dan Uruguay menjadi tumpuan peminat bola sepak; lebih-lebih
lagi dengan kehadiran bintang pop Colombia,
Shakira. Di Malaysia, sesekali akan
kelihatan remaja memakai kemeja-T yang berterapkan gambar Che Guevara, lalu
membangkitkan ingatan kepada pemimpin revolusioner dari rantau itu.
Amerika
Latin, seperti yang dibahaskan oleh
intelektual sayap kiri, merupakan rantau pertama di dunia tempat dasar
neoliberal diperkenal. Chile dijadikan
medan ujian sebelum kerajaan Margaret
Thatcher melaksanakan dasar ini di United Kingdom. Walau bagaimanapun, Amerika Latin juga rantau
pertama di dunia yang menolak terapi kejutan neoliberal kerana dasar berkenaan bertanggungjawab
meningkatkan kemiskinan, melebarkan jurang ketidaksamaan sosial, memusnahkan
alam sekitar, dan melemahkan gerakan
kelas pekerja dan gerakan popular. Di
mata dunia, tahun 1989 menandakan runtuhnya Tembok Berlin, berkecainya Kesatuan
Soviet, dan tewasnya sosialisme abad ke-20.
Namun begitu, tahun 1989 bagi banyak negara lain, terutamanya negara
berbahasa Sepanyol juga berkait dengan permulaan pemberontakan Amerika Latin
terhadap terapi kejutan neoliberal dan kemunculan pada tahun mendatang
“sosialisme untuk abad ke-21.”
Di benua kecil inilah kuasa sayap kiri dan progresif mula-mula muncul
selepas memulihkan kekuatan selepas runtuhnya sosialisme Eropah Timur dan
Kesatuan Soviet. Selepas lebih dua dekad
sengsara, maka lahirlah harapan baru. Harapan
ini muncul untuk membentuk perjuangan menentang dasar neoliberal, tetapi
selepas beberapa tahun sahaja, orang ramai bertindak secara ofensif atau
menyerang, menawan arena kuasa. Amerika
Latin merupakan kisah kejayaan sayap kiri dunia pada dekad pertama abad ke-21. Seperti
yang ditegaskan oleh Immanuel Wallerstein dalam laman webnya, “Hal ini dapat dilihat dari segi kemenangan
yang menakjubkan oleh golongan kiri-tengah dalam siri pilihan raya pada dekad
ini. Dan secara kolektif, kerajaan
Amerika Latin mewujudkan untuk pertama kali darjah jarak yang signifikan dari
Amerika Syarikat. Amerika Latin secara
relatifnya, menjadi kuasa geopolitik autonomi.”
Tatkala
banyak negara bergelut dengan
kemelesetan yang teruk, Amerika Latin
seakan-akan “tidur lena,” padahal rantau
itu sentiasa dilanda krisis, baik
ekonomi mahupun politik. Selain
banyak tumpuan diberikan terhadap ekonomi utama dunia, seperti Amerika Syarikat,
Jepun, China, Britain, dan Jerman, Dubai, kemudian Greece juga tidak ketinggalan. Berbanding dengan beberapa buah negara Eropah
yang dilabelkan, seperti PIGS dan STUPID, tidak ada gelaran negatif seperti itu untuk
Amerika Latin.
Tiada berita bermakna berita baik. Ketika
Amerika Syarikat dan Eropah berasa
bimbang terhadap defisit yang sungguh besar dan ancaman terhadap pemulihan yang
lemah, Amerika Latin mempunyai sesuatu yang memeranjatkan. Rantau itu, seperti yang diketahui umum, diwarnai
pada masa lalu oleh kemungkiran hutang, penurunan nilai mata wang, dan perlunya
pelan penyelamat dari negara kaya, kini mengalami pertumbuhan ekonomi yang
kukuh yang menimbulkan rasa iri hati negara jiran di utaranya.
Berita gembira
dari rantau itu dibawakan oleh akhbar The New York Times pada 1 Julai lalu, “Economies
in Latin America Race Ahead,” ketika
Kesatuan Eropah bergelut dengan krisis
hutang dan beberapa negara di dunia
berhadapan dengan kemungkinan kemelesetan curam berganda. Permintaan yang kuat di Asia untuk komoditi, seperti bijih besi,
timah, dan emas, dan yang paling menarik seperti yang dilaporkan oleh akhbar
itu, “bersama-sama dasar di beberapa ekonomi Amerika Latin” yang menolong
mengawal defisit dan menahan inflasi rendah, yang menggalakkan pelaburan dan merancakkan
banyak pertumbuhan. Bank Dunia
meramalkan bahawa ekonomi rantau itu akan berkembang 4.5 peratus pada tahun
ini.
Dalam makalah yang agak panjang itu, turut dinyatakan
bahawa pertumbuhan baru-baru ini memecut di seluruh Amerika Latin mengatasi
jangkaan banyak kerajaan mereka sendiri.
Brazil, kuasa yang sedang meningkat di rantau itu, yang menerajui
pemulihan rantau itu daripada kemorosotan pada tahun 2009, mengalami
pertumbuhan sembilan peratus pada suku tahun pertama dari tempoh yang sama
tahun lalu. Pertumbuhan Brazil, menurut
bank pusatnya, untuk tahun 2010 boleh mencecah 7.3 peratus, pengembangan yang
cukup pantas bagi negara itu untuk 24 tahun.
Makalah yang ditulis oleh Simon Romero itu, turut menyentuh beberapa
negara lain di rantau berkenaan:
“Selepas penguncupan yang ketara tahun lalu, ekonomi Mexico tumbuh 4.3
peratus pada suku pertama dan mungkin mencecah lima peratus tahun ini.” Kerajaan negara itu menyatakan bahawa Mexico
mungkin mengatasi ekonomi di Amerika Syarikat.
Negara kecil dilaporkan juga mengalami pertumbuhan yang
pesat, antaranya Peru – negara yang
mengalami hiperinflasi dan dari segi politik, dua dekad diancam oleh
pemberontak Moist. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Peru hampir mencapai 9.3 peratus pada April dari bulan yang sama
tahun lalu. Bahkan, negara kecil yang
dari segi ideologi bekerjasama rapat dengan Venezuela menerima pakai dasar
pragmatik dan mencapai kedudukan dengan baik.
Tatkala Eropah bergelut dengan ketakutan penjangkitan krisis hutang
Greece, agensi penarafan kredit, Standard & Poor’s meningkatkan gred Bolivia
pada bulan Mei, dengan alasan kewangan awamnya
kukuh.
Apabila China
mengatasi Jepun sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia, negara itu mempunyai
impak yang cukup besar terhadap harga komoditi di Rusia, India, Australia, dan
Amerika Latin. Peranan China di rantau
itu turut disentuh oleh Romero: “Pertumbuhan
Amerika Latin lebih banyak mencerminkan hubungan yang sangat rapat dengan Asia,
dengan China dan negara lain juga mengalami pertumbuhan yang pesat. China mengatasi Amerika Syarikat tahun lalu sebagai rakan perdagangan paling
utama Brazil, dan China juga rakan
perdagangan kedua terbesar di negara, seperti Venezuela dan Colombia, sekutu paling utama
Washington di rantau itu.”
Sebelum ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dalam World Economic Outlook: Rebalancing
Growth April 2010 memberikan gambaran yang memberangsangkan
untuk Amerika Latin. Setelah mengharungi
kemerosotan global dengan baik secara perbandingan, rantau Amerika Latin dan Carribean (ALC) mencatatkan
pemulihan yang kuat. Pada tahun ini, seperti yang diunjurkan,
kesemua negara Amerika Latin mengalami pertumbuhan, kecuali Venezuela yang
masih dalam kemelesetan. Selain
Brazil yang diunjurkan mengalami pertumbuhan 5.5 peratus, Peru, Uruguay, dan Paraguay
mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan, masing-masing 6.3 peratus, 5.7
peratus, dan 5.3 peratus (jadual). Lebih
seimbang jika dibandingkan dengan kebanyakan kawasan, pertumbuhan output di
rantau itu disokong oleh kedua-dua permintaan luaran dan domestik.
Laporan IMF itu menyenaraikan beberapa faktor yang
mempengaruhi pemulihan rantau ALC, iaitu dasar akomodatif yang membantu
menguatkan permintaan domestik; fundamental
baik (sistem kewangan yang kukuh dan kunci kira-kira yang padu) membantu rantau
itu untuk pulih dan menarik semula
aliran modal dalam persekitaran kewangan global yang semakin baik; dan harga
komoditi yang tinggi dan permintaan luaran yang menyokong pertumbuhan di banyak
ekonomi, memandangkan pergantungan mereka pada perolehan yang berkait dengan
komoditi. Justeru, IMF mengunjurkan
pertumbuhan di rantau iut ialah empat
peratus tahun 2010 dan 2011, meskipun prospek sangat berbeza antara negara. Unjuran IMF ini tidak jauh berbeza dengan unjurannya
untuk dunia bagi tahun 2010, iaitu 4.6 peratus.
Selain itu, laporan IMF itu mengakui
bahawa meskipun rantau ALC secara keseluruhan melakukan sesuatu yang sangat
baik pada tahun 2009 jika dibandingkan dengan krisis global dan kemelesetan
pada masa lalu, dan jauh lebih baik daripada banyak negara di rantau lain,
tetapi keadaannya adalah berbeza antara negara.
Bahkan,
IMF pada akhir tahun lalu meletakkan
keyakinan bahawa Amerika Latin berjaya bebas daripada kemelut. Dalam laporannya, Regional Economic Outlook: Western
Hemisphere yang dilancarkan di Sao Paulo, Brazil pada Oktober
2009, IMF menyatakan bahawa krisis
global mempunyai impak yang besar terhadap rantau ALC, tetapi keterukan sudah
pun berakhir untuk kebanyakan negara,
dan banyak ekonomi mula pulih. Laporan
yang berjudul Crisis
Averted: What’s Next?, melihat bagaimana ALC pulih daripada kemelesetan
global, yang meningkatkan kos pembiayaan luaran untuk rantau berkenaan, dan
mengurangkan eksport, kiriman wang, dan penerimaan pelancongan. Output untuk rantau ini secara keseluruhan,
selepas menguncup kira-kira 2.5 peratus tahun ini, dijangkakan pulih dengan
pertumbuhan kira-kira tiga peratus pada tahun 2010.
“Alah bisa tegal biasa” - mungkin kerana kerap dilanda krisis, maka
Amerika Latin dengan mudah dapat mengharungi krisis global ini. Seperti yang dijelaskan oleh Nicolas Eyzaguirre, Pengarah Jabatan Hemisfera Barat
IMF, “Memang
benar bahawa Amerika Latin jauh lebih baik ketika krisis ini jika
dibandingkan dengan masa lalu.” Walau
bagaimanapun, beliau mengingatkan:
“Kini, keterukan ribut di belakang kita, maka persoalannya ialah
bagaimana untuk menyelaraskan dasar dengan realiti baru ekonomi global yang
lebih lembap dan masih menyediakan keadaan untuk pertumbuhan dan pengurangan
kemiskinan.”
Sementara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD)
dalam Latin America Economic Outlook 2010
merumuskan bahawa kebingkasan perdagangan dan kewangan, dan bukannya
pendedahan, akan membolehkan negara muncul daripada krisis dengan lebih
kuat. Negara Amerika Latin yang membuka pasaran mereka
kepada persaingan antarabangsa ketika dekad lalu tidak lebih terdedah pada
krisis ekonomi global. Sebaliknya,
perdagangan dan kewangan yang terbuka yang disertai oleh penciptaan mekanisme
kebingkasan yang membenarkan lebih ruang
untuk dasar kitaran balas dana. Langkah
fiskal dan monetari, walau bagaimanpun, sepatutnya mapan dan fundamental
makroekonomi tidak bertolak ansur; juga tidak sepatutnya mereka menterbalikkan
kemajuan yang dicapai ketika lima tahun lalu dalam mengurangkan kemiskinan.
Ekonomi Amerika Latin juga mendapat perhatian ahli ekonomi Nouriel Roubini, Profesor dari New York
University. Dalam “Latin American Outlook: What Does 2010 Hold in Store for the Region,” Nouriel
Roubini, berkeyakinan bahawa Amerika
Latin akan pulih pada 2010. Dalam
tinjauan yang diterbitkan melalui Forbes.com
pada Oktober tahun lalu, beliau berkata, “Memandangkan respons asing dan dasar domestik yang agresif di
Amerika Latin, rantau itu stabil pada separuh kedua tahun 2009 selepas menguncup dengan teruk pada separuh pertama.
Rantau itu menerima faedah daripada besarnya program dasar fiskal dan monetari
global, manakala usaha kitaran
balas menenangkan keyakinan
tempatan dan meredakan tekanan ke bawah pasaran buruh.” Beliau mengingatkan silap perhitungan dalam
strategi keluar dan keputusan ekonomi yang mendukacitakan menjadi ancaman utama terhadap dinamik pasaran Amerika Latin
pada 2010.
Walau bagaimanapun, Roubini menjangkakan
bahawa pemulihan permintaan luaran dan domestik berkemungkinan terhad, menyebabkan pemulihan
Amerika Latin di bawah potensi pada 2010.
“Oleh itu, analisis saya,” tegas Roubini, “unjuran kini pertumbuhan rantau itu ialah 3.3 peratus pada tahun 2010,
meningkat daripada 3.0 peratus unjuran sebelum ini. Pemacu utama yang mengalih ramalan kita ialah
tinjauan ekonomi yang bertambah baik di Brazil.”
Roubini juga menyentuh aspek tekanan inflasi yang
kemungkinan dapat dikawal pada 2010, dan trend disinflasi sepatutnya berterusan
sepanjang 2009 disebabkan oleh penutupan yang perlahan jurang output,
mata wang yang stabil kalaupun tidak kukuh, harga komoditi yang sederhana,
permintaan domestik yang berhati-hati.
Sementara defisit akaun semasa negara-negara Amerika Latin kemungkinan semakin luas pada 2010 selepas menguncup pada 2009, tetapi
aliran modal yang kuat sepatutnya menutup jurang ini. Menyeimbangkan akaun
fiskal akan terus menjadi cabaran utama terhadap negara-negara di rantau itu
pada 2010, sebagaimana pada 2009. Dengan
jangkaan peningkatan global dan serantau secara beransur-ansur, hasil fiskal
akan pulih dengan perlahan, tetapi Roubini mengingatkan, “kitaran politik,
tekanan sosial yang meningkat, dan ketegaran fiskal struktur akan menggantikan
kekangan terhadap peluang untuk menggubal potongan perbelanjaan yang penuh
bermakna.”
Dalam satu lagi wawancara oleh Americas Society/Council
of the Americas (AS/COA) pada
pertengahan Disember tahun lalu, Nouriel Roubini memberikan gambaran positif tentang tinjuan
Amerika Latin pada 2010. Beliau meramalkan kadar pertumbuhan rantau itu ialah 3.8
peratus pada 2010 – tinggi sedikit daripada ramalan beliau sebelum ini. Ditanya tentang perubahan ramalan ini, Roubini
menjelaskan, “Kami melakukan pengemaskinian suku tahun untuk tinjaun ekonomi
global kami, dan untuk sekarang, kami akan memaklumkan pada awal Januari,
kemungkinan 3.8 peratus untuk Amerika Latin pada tahun depan (2010).”
Beliau mengemukakan dua alasan tentang perubahan
tersebut. Pertama, keadaan ekonomi dan
kewangan global semakin baik. Wujud pemulihan, bahkan jika berlaku anemia. Keadaan kewangan kekal mudah. Modal mengalir semula ke pasaran sedang
muncul. Kedua, negara-negara ini menunjukkan kebingkasan
mereka sendiri. Dasar ekonomi mereka
adalah kukuh dan mereka mampu mengendalikan dasar kitaran balas. Mereka tidak mengalami krisis kewangan dalam
episod ini. Keseluruhan fundamental
mereka adalah kukuh, oleh itu, kombinasi mengekalkan fundamental yang kukuh dan
dasar ekonomi yang betul dengan penambahbaikan dalam tinjuan ekonomi global.
Dalam wawancara itu, Roubini sekali lagi mengulangi
pendiriannya bahawa ramalan pertumbuhan Amerika Latin pada 2010 masih di bawah
potensi rantau itu. “Bahkan, dengan
pemulihan ini, trendnya ialah pertumbuhan 5.5 peratus untuk lapan tahun atau
lebih. Kini, kami menjangkakan hanya 3.8
peratus. Pastinya, kadar ini lebih baik
dari tahun yang lalu yang menguncup, tetapi masih di bawah potensi dan di bawah
trend, menurut pandangan kami, untuk 2010.”
Dengan penolakan terhadap
terapi kejutan neoliberal, Amerika Latin, secara beransur-ansur berjaya mewujudkan ekonomi yang mapan yang dapat menandingi
rantau lain. Rantau itu membawa kejutan
yang bagi sesetengah orang di luar jangkaan sama sekali. Tatkala beberapa buah negara masih bergelut dengan kemelesetan global,
Amerika Latin dapat bingkas dengan
cepat. Bagi intelektual sayap kiri pula, kekalahan dua dekad yang lalu, akhirnya ditebus di Amerika Latin.
Jadual: Ekonomi
Hemisfera Barat terpilih: KDNK sebenar, harga
pengguna, dan imbangan akaun semasa
(perubahan peratus tahunan, kecuali dinyatakan
sebaliknya)
KDNK sebenar
|
Harga pengguna1
|
Imbangan akaun semasa2
|
||||||||||
Unjuran
|
Unjuran
|
Unjuran
|
||||||||||
2008
|
2009
|
2010
|
2011
|
2008
|
2009
|
2010
|
2011
|
2008
|
2009
|
2010
|
2011
|
|
Hemisfera Barat
|
4.3
|
-1.8
|
4.0
|
4.0
|
7.9
|
6.0
|
6.2
|
5.9
|
-0.6
|
-0.5
|
-1.0
|
-1.2
|
Amerika Selatan dan Mexico
|
4.3
|
-1.9
|
4.1
|
4.0
|
7.6
|
6.1
|
6.3
|
6.0
|
-0.3
|
-0.3
|
-0.9
|
-1.1
|
Brazil
|
5.1
|
-0.2
|
5.5
|
4.0
|
5.7
|
4.9
|
5.1
|
4.6
|
-1.7
|
-1.5
|
-2.9
|
-2.9
|
Mexico
|
1.5
|
-6.5
|
4.2
|
4.5
|
5.1
|
5.3
|
4.6
|
3.7
|
-1.5
|
-0.6
|
-1.1
|
-1.4
|
Argentina3
|
6.8
|
0.9
|
3.5
|
3.0
|
8.6
|
6.3
|
10.1
|
9.1
|
1.5
|
2.8
|
2.8
|
2.0
|
Colombia
|
2.4
|
0.1
|
2.2
|
4.0
|
7.0
|
4.2
|
3.5
|
3.7
|
-2.8
|
-1.8
|
-3.1
|
-2.9
|
Venezuela
|
4.8
|
-3.3
|
-2.6
|
0.4
|
30.4
|
27.1
|
29.7
|
33.1
|
12.3
|
2.5
|
10.5
|
10.8
|
Peru
|
9.8
|
0.9
|
6.3
|
6.0
|
5.8
|
2.9
|
1.5
|
1.8
|
-3.7
|
0.2
|
-0.7
|
-1.8
|
Chile
|
3.7
|
-1.5
|
4.7
|
6.0
|
8.7
|
1.7
|
2.0
|
3.0
|
-1.5
|
2.2
|
-0.8
|
-2.1
|
Ecuador
|
7.2
|
0.4
|
2.5
|
2.3
|
8.4
|
5.1
|
4.0
|
3.5
|
2.2
|
-1.1
|
-0.6
|
-1.6
|
Bolivia
|
6.1
|
3.3
|
4.0
|
4.0
|
14.0
|
3.5
|
3.3
|
3.7
|
12.1
|
3.5
|
2.6
|
2.0
|
Uruguay
|
8.5
|
2.9
|
5.7
|
3.9
|
7.9
|
7.1
|
6.2
|
6.0
|
-4.8
|
0.8
|
-1.0
|
-0.9
|
Paraguay
|
5.8
|
-4.5
|
5.3
|
5.0
|
10.2
|
2.6
|
3.9
|
3.6
|
-2.4
|
-0.2
|
-1.5
|
-1.2
|
Amerika Tengah4
|
4.3
|
-0.6
|
2.7
|
3.7
|
11.2
|
3.5
|
3.5
|
4.1
|
-9.1
|
-2.0
|
-5.4
|
-5.7
|
Carribean5
|
2.9
|
0.4
|
1.5
|
4.3
|
12.0
|
3.6
|
6.4
|
4.8
|
-1.6
|
-3.1
|
-2.0
|
-1.2
|
1Gerakan dalam harga pengguna ditunjukkan sebagai purata
tahunan.
2Peratusan KDNK.
3Penganalisis persendirian menganggarkan bahawa
inflasi indeks harga pengguna adalah
sangat tinggi. Pihak berkuasa mewujudkan lembaga penasiha
akademik untuk menaksir isu ini.
Penganalisis persendirian juga menganggap pertumbuhan KDNK sebenar
adalah nyata sekali rendah berbanding dengan laporan rasmi sejak sukur akhir
2008.
4Amerika Tengah terdiri daripada Costa Rica, El Salvador, Guatemala, Honduras,
Nicaragua, dan Panama.
5Caribbean terdiri daripada Antigua dan Barbuda, Bahamas, Barbados, Belize, Dominica, Republik
Dominican, Grenada, Guyana, Haiti, Jamaica, St. Kitts dan Nevis, St. Lucia, St. Vincent dan the Grenadines, Suriname, dan Trinidad dan Tobago.
Sumber: IMF, World Economic Outlook: Rebalancing
Growth April 2010.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2012.)
No comments:
Post a Comment