Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sudah seminggu saya pulang daripada makan angin di Amerika Syarikat, tetapi saya asyik memikirkan apakah topik yang patut yang tulis berdasarkan pengalaman itu. Sebenarnya, saya memikirkan perkara tersebut sejak di negara itu lagi.
Setiap kali saya ingin menulis sesuatu tentang kembara atau travelog, walaupun sekadar sebuah makalah, Robert D. Kaplan dan Karim Raslan selalu menghantui saya kerana saya sentiasa mengagumi mereka dalam penulisan seperti ini. Beberapa buku Kaplan dan Karim pernah saya ulas dalam Dewan Masyarakat pada suatu ketika dahulu.
Ketika memikirkan apa yang patut saya tulis, sejak di Amerika Syarikat lagi saya terbayang buku Kaplan, An Empire of Wilderness: Travel into America's Future yang telah lama saya beli, tetapi belum habis saya baca dan ditinggalkan begitu sahaja. Rupa-rupanya membaca pengembaraan Kaplan di negaranya sendiri tidak menarik jika dibandingkan dengan membaca pengembaraan beliau di Balkan, Mediterranean, di negara bekas Kesatuan Soviet, Timur Tengah, Afrika, dan Asia.
Beberapa hari lalu, saya mencari buku itu untuk melihat kalau-kalau terkandung penulisan tentang California, Nevada, dan Arizona, iaitu tiga buah negeri yang saya lawati bersama-sama isteri dan anggota lain dalam rombongan kami. Setelah menjejak kaki di Amerika Syarikat, saya terfikir bahawa buku itu berguna untuk memahami selok-belok beberapa buah negeri tertentu. Di samping itu, mungkin saya dapat memanfaatkannya dari segi pengolahan dan persembahan pengalaman makan angin itu, meskipun tidak seanalitis dan sedalam tulisan beliau.
Sebenarnya, saya ingin menulis sesuatu, meskipun ringkas, iaitu sesuai untuk blog, berdasarkan topik tertentu, dan bukannya merupakan catatan harian: hari ini pergi ke sana, esok singgah di situ. Hari ini di San Francisco, lusa ke Las Vegas.
Semasa singgah di Taipei sebelum meneruskan perjalanan dengan syarikat penerbangan yang sama, iaitu Eva Air, pemandu pelancong kami telah memberikan taklimat ringkas dan panduan mengisi dua borang, iaitu borang kebenaran masuk dan borang kastam. Antaranya, dia memberitahu untuk tujuan mengisi borang: dari Taiwan, tarikh ketibaan di San Francisco 26 November, dan tempat menginap di Holiday Inn Civic Center.
Ketika menunggu di lapangan terbang Taipei, saya dan isteri tidak ke mana-mana, manakala yang lain bersiar-siar di kawasan itu bersama-sama keluarga masing-masing. Selepas mengambil gambar seketika, saya menghabiskan masa menunggu itu dengan membaca buku George Soros, Financial Turmoil in Europe and The United States: Essays. Itulah kali terakhir saya membaca buku terbaharu Soros kerana semasa di Amerika Syarikat, buku itu hanya tersimpan dalam beg galas yang saya bawa ke sana ke mari.
Hanya ketika menginap di Hotel Double Tree di Orange County saya menyimpan buku itu di bilik hotel. Sudah tidak larat lagi hendak dibawa, sedangkan membacanya tidak. Lagipun, di hotel itu saya menginap lama, iaitu empat malam sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur berbanding dengan hotel lain yang penginapan sekadar semalaman, paling lama dua malam - tidak sempat untuk mengeluarkan barang. Saya berasa bersyukur kerana saya membawa sebuah buku, tidak terlalu membebankan diri.
Setibanya di San Francisco kira-kira pukul 6.00 petang, saya dan isteri tidak banyak menghadapi masalah imigresen, meskipun kami bersama-sama tiga keluarga lain (satu keluarga Melayu dan dua keluarga Cina) diarahkan ke bilik pemeriksaan. Di situ, pasport saya dan isteri saya diperiksa sekali lagi, manakala kami disuruh duduk tanpa ditanyakan apa-apa soalan. Ketika itu, terbayang kemungkinan kami diarahkan balik ke Malaysia: bin Salleh; bin Laden.
Selesai urusan imigresen, ketika mengangkat bagasi, saya didatangi oleh seorang pegawai bertanyakan adakah saya membawa apa-apa makanan. Saya memberitahu bahawa saya membawa mi segera, kopi segera, dan biskut, lalu dia mencatatkan sesuatu. Selepas melalui imbasan, saya diarahkan membuka beg yang mengandungi lima cawan mi segera. Pegawai yang meneliti satu demi satu mi segera sambil menanyakan beberapa soalan, akhirnya membenarkan saya membawa masuk mi segera itu.
Walau bagaimanapun, saya dan isteri agak terkejut apabila mendengar pegawai berkenaan menyebut "pati ayam" beberapa kali untuk mendapat kepastian. Dari mana dia mengetahui perkataan ini? Jika mengandungi pati ayam, pastinya mi segera itu tidak akan sampai ke dalam mulut saya!
Seterusnya rombongan kami dibawa oleh bas Lion Express untuk menikmati makanan laut bufet Jepun di Moonstar. Hari semakin gelap dan rombongan kami merupakan pelanggan terakhir kerana saya perhatikan, para pekerja restoran itu mula berkemas ketika masa makan kami makan sampai ke penghujungnya. Berhampiran dengan restoran itu kelihatan Bank of America.
Dari situ, kami dibawa ke Holiday Inn Civic Center untuk menginap hanya semalam. Waktu kami daftar masuk agak lewat, iaitu pukul 10.00 malam.
No comments:
Post a Comment