Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Bercakap tentang bahasa Melayu, pesan Allahyarham Datuk Abdul Rahim Abu Bakar, "kita jadi emosi atau dituduh emosi. Kita dituduh fanatik dan antibahasa Inggeris." Memang, banyak orang yang terganggu emosi mereka apabila Najib Razak mengubah Pudu Raya kepada Pudu Sentral, seperti yang dapat dilihat melalui komen yang membanjiri Facebook pada hari ini, yang cukup pedas dan bernas.
Saya tidak ingin mengulas perubahan nama PR itu (kawan-kawan saya dahulu menyebut PR) kepada PS secara terperinci, hanya memadai mengatakan bahawa Najib sekali lagi memperlihatkan diri terpisah daripada rakyat jelata. Meskipun beliau selalu "turun padang," yang jelas kaki beliau tidak terpijak di padang, dan pastinya, beliau akan kehilangan padang.
Semalam, juga melalui Facebook diedarkan makalah, bekas ketua saya, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, daripada Malaysiakini, "Tamadun Melayu dan PPSMI" yang mendapat beberapa respons. Anwar antaranya menulis: "Sebarang polisi yang tidak didasari kajian akan goyah dalam tempoh yang pendek. Bagi pejuang bahasa Melayu dan mereka yang yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dapatan PEMBINA adalah pendorong utama kepada 'cadangan' pemansuhan dasar PPSMI mulai 2012, dan dengan itu mereka tidak perlu lagi turun ke jalan raya untuk mendesak pemansuhan PPSMI." Beliau menamatkan penulisannya dengan mengingatkan secara sinis: "Akan tetapi jika dasar PPSMI hidup semula selepas ditalqinkan, ia adalah zombie baru. Mamat Khalid pun tahu bagaimana cara untuk menewaskan zombie!"
Meskipun kerajaan telah mengumumkan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), desakan demi desakan diajukan supaya dasar bidang terjun yang dilaksanakan Dr. Mahathir Mohamad sejak tahun 2003 diteruskan. Akhbar The Star, termasuk pada hari ini, sentiasa mengetengahkan suara desakan seperti itu, di samping menerbitkan makalah yang mempertahankan PPSMI.
Seperti yang diketahui, pelaksanaan PPSMI melibatkan peruntukan yang cukup tinggi kerana membekalkan komputer riba dan alat pengajaran lain, di samping memberikan elaun kepada guru-guru yang mengajar mata pelajaran berkenaan. Pelaksanaan PPSMI itu juga cukup kusut kerana, seperti yang diketahui, adalah bertujuan untuk meningkatkan kecekapan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang bagi banyak pihak "memberikan ubat yang salah." Kemudian, apabila kaedah ini didapati tidak berkesan, maka suara yang menyokong PPSMI berubah kepada meningkatkan kecekapan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, yang juga terbukti "pertahanan yang tidak dapat dipertahankan."
Baru-baru ini, akhbar The Washington Post, menerbitkan tulisan yang mendedahkan lemahnya prestasi matematik dalam kalangan pelajar di negara itu yang saya edarkan dalam Facebook, tetapi tidak mendapat perhatian. Matt Miller dalam "The Treason on Schools," menyatakan bahawa pencapaian matematik di Amerika Syarikat tidak dapat menandingi pelajar di Estonia atau Slovenia, atau Slovakia atau Iceland, atau Norway, Sweden, dan Denmark, tidak perlu disebut Kanada, Australia, New Zealand, Jerman, Perancis dan Belgium. Jauh sekali untuk membandingkannya dengan Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Finland. Miller yang merujuk Globally Challenged: Are U.S. Students Ready to Compete?, menulis: "Sesetengah pihak menyatakan bahawa prestasi yang rendah dalam kalangan kanak-kanak golongan minoriti menurunkan mata yang diperoleh oleh Amerika Syarikat, tetapi seperti yang ditunjukkan oleh laporan itu, anak-anak kulit putih di negara ini juga teruk."
Akhbar The Huffington Post yang juga memetik laporan yang dinyatakan di atas, mendedahkan pelajar Amerika Syarikat mencapai kedudukan yang lemah dari segi kecekapan dalam ujian matematik, baik dalam negara mahupun antarabangsa, masalah yang boleh memaksa negara menyediakan peruntukan lebih AS$75 trilion sepanjang 80 tahun. Pelajar Amerika Syarikat ditinggalkan oleh 31 buah negara dalam kecekapan matematik dan di belakang 16 buah negara dalam kecekapan pembacaan.
Saya yakin bahawa laporan yang beredar dalam Internet kira-kira 10 hari lalu, telah diketahui oleh kerajaan Malaysia dan mana-mana pihak yang mempertahankan PPSMI, tetapi mereka memerapkannya kerana laporan itu tidak memihak kepada mereka. Seandainya laporan seperti itu menunjukkan hubungan yang rapat antara penggunaan bahasa Inggeris dengan kemahiran matematik (dan sains) dan pembacaan, pastinya golongan berkenaan bertempik heboh satu Malaya!
Laporan yang ditulis oleh Paul Peterson, profesor di Harvard University, meneliti prestasi pelajar lepasan sekolah tinggi pada tahun 2011 pada dua ujian, iaitu 2009 Programme for International Student Assessment (PISA) yang ditadbirkan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan 2007 National Assessment for Educational Progress (NAEP), peperiksaan di peringkat negara yang dianggap piawai emas dalam ujian.
Memang perjuangan untuk membasmikan PPSMI merupakan suatu perjuangan yang panjang, iaitu sejak tahun 2002 apabila Dr. Mahathir mengumumkan pelaksanaannya. Mungkin bagi sesetengah orang, memenatkan; sesetengahnya masih nekad, manakala yang lain berundur. Bukan setakat mengemukakan bantahan dan memorandum, membahaskannya secara ilmiah, meluahkan emosi, bahkan juga mengadakan tunjuk perasaan. Oleh sebab kerajaan beria-ria benar mempertahankan PPSMI, teruskan sahaja, tetapi terimalah akibatnya daripada kebangkitan rakyat jelata.
Kepada parti pembangkang, sesungguhnya anda bernasib baik kerana adanya kepimpinan yang lemah yang diterajui oleh Najib Razak, yang kini satu demi satu terdedah haru-birunya: daripada Pudu Sentral kepada PPSMI. Sesungguhnya juga, parti pembangkang tidak perlu sangat memikirkan dasar nasional atau dasar awam, tetapi memadai dengan mengambil kesempatan daripada kepimpinan yang tunggang-langgang dan lintang-pukang.
Kepada parti pembangkang, sesungguhnya anda bernasib baik kerana adanya kepimpinan yang lemah yang diterajui oleh Najib Razak, yang kini satu demi satu terdedah haru-birunya: daripada Pudu Sentral kepada PPSMI. Sesungguhnya juga, parti pembangkang tidak perlu sangat memikirkan dasar nasional atau dasar awam, tetapi memadai dengan mengambil kesempatan daripada kepimpinan yang tunggang-langgang dan lintang-pukang.
Yang jelas, Najib Razak sedang mengheret "bala tenteranya" ke Waterloo. Mengapa? Tidak perlu diberikan jawapannya. Segala-galanya sudah terang lagi nyata.
Hidup PPSMI, kojol UMNO!
SALAM AIDILFITRI UNTUK RAKAN-RAKAN BLOG DAN FACEBOOK. MAAF ZAHIR DAN BATIN.