Oleh: ZULKIFLI SALLEH
(Dipetik daripada Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Nota: Mungkin berlaku kesilapan dalam merumikan teks ini daripada Jawi.)
Setelah kira-kira tiga tahun lapan bulan lamanya bangsa
Melayu merasa kekejaman penjajahan Jepun semakin bertambahlah rasa kesedaran
bangsa Melayu, khasnya kepada golongan-golongan kebangsaan (nasionalis). Mereka
telah mula mempelajari dari suatu masa ke satu masa akan kesan-kesan peredaran:
Naungan
British
Penjajahan
Jepun
Desakan
orang-orang dagang
Dari tiga peredaran ini, rakyat jelata Melayu telah
menjadi semakin terdesak dan menderita, sementara itu tentera British telah
kembali ke Malaya, yang membawa Malaya ini telah dijajah oleh British bagi kali
yang keduanya.
Puak dan golongan kebangsaan Melayu yang telah merasa cukup
sedar dan insaf akan malapetaka yang
telah dan akan menimpa nasib bangsa dan tanah airnya, telah mempelajari sejauh-sejauhnya
akan kedudukan bangsa Melayu dahulu dan sekarang – serta memperbandingkan
dengan perubahan-perubahan dunia selepas perang yang kedua ini, iaitu dengan
adanya Antlantik Charter dan tertubuhnya Perlembagaan Bangsa-Bangsa (U.N.O.)
kemudian mempelajari pula aliran-aliran dan sikap baharu imperialisme dan
kapitalisme itu dan melihat semangat kebangsaan yang meluap-luap dari
bangsa-bangsa Asia yang lain – khasnya
di Indonesia yang telah berterus terang menuntut kemerdekaan, maka dari
kesedaran itulah timbulnya hasrat hendak mengadakans sebuah gerakan kebangsaan
Melayu yang benar-benar menentang kolonialisme di Malaya ini.
Kesedaran itu telah semakin mendalam dipelopori pula oleh
rasa keimanan bangsa Melayu sebagai bangsa yang beragama Islam, iaitu agama yang mengajar hidup merdeka, dan
hanya mesti tunduk dan bertakwa kepada Allah Yang Maha Esa semata-mata –
bukanlah penaung atau penjajah dan sebagainya.
Dari sini – biarlah lebih dahulu saya bawa falsafah
perjuangan kebangsaan Melayu kepada segi keimanan dan ajaran Islam, supaya
lebih sesuai dengan semboyan “ (hubbul wathan minal iman” (kasihkan tanah air itu sebahagian daripada iman). Jadi –
dipandang dari segi falsafah perjuangan kebangsaan kita adalah tersusun dari:
1. Iman (nyawa)
2. Tubuh diri
3. Bangsa
4. Watan – tanah air
Empat serangkai ini dalam binaan watan: iman berdiri di
atas tubuh, tubuh berdiri di atas bangsa, bangsa berdiri di atas watan. Salah
satu dari yang empat ini tiada boleh terpisah dari susunan binaannya dan watan
adalah menjadi sebagai pokok. Ada watan ialah dengan kuat bangsa, kuat bangsa
itu ialah dari tubuh diri yang sihat dan perkasa. Seperti pekerja, pahlawan,
perajurit dan seluruh para pejuang kebangsaan, maka dalam jiwa para pejuang
inilah letaknya iman!
Jika sesuatu itu lemah dan hina, maka agamanya juga turut
lemah dan hina, sebaliknya jika suatu
bangsa itu bebas dan merdeka maka agamanya juga menjadi bebas dan merdeka.
Sebelum seseorang itu beriman dan beragama, lebih dahulu ia
sudah berbangsa dan berwatan – tanah air. Ia dilahirkan di atas fitrahnya yang
suci, bebas dan merdeka dalam erti kata bebas dan merdeka seluas-luasnya. Agama
Islam juga belum mahu memaksa dengan suatu “taklif” selamanya seseorang itu
belum lagi meningkat akal dan baligh dan setelah seseorang itu akal baligh,
maka barulah kemerdekaan itu dibatasi dengan batasan-batasan yang tertentu yang
tiada sampai merosakkan asasnya dan tiada pula melanggar kemerdekaan orang-orang
lain.
Sebagaimana juga si ibu bapa telah membiarkan anaknya itu
bebas lepas kencing di tilam, lamun masanya menyusu akan disusukannya juga
begitulah dianya falsafah kepada tiap-tiap makhluk di muka bumi ini. Jadi,
sungguh tepatlah bahawa merdeka itu menjadi “hak mutlak” kepada seseorang
dengan tiada dapat disekat-sekat dan ditahan oleh sesiapa pun.
Al-Qur’an ada menceritakan bagaimana cara kebebasan
berfikir yang dicontohkan oleh Saidina Ibrahim A.S. – yang pada mulanya
bertuhankan bintang, bulan, matahari dan akhirnya mendapat keputusan (petikan
surah – yang bertuhankan Allah khalaq al-alam.
No comments:
Post a Comment