Artikel Popular

Tuesday, September 10, 2019

Bangsa Melayu dengan Bangsa-bangsa Dagang


SELASA, 10 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

(Dipetik daripada Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Nota: Mungkin berlaku kesilapan dalam merumikan teks asal yang ditulis Jawi.)



Kemakmuran, kebesaran, kemegahan dan keagungan kerajaan-kerajaan Melayu dahulu adalah harum kemasyhurannya ke seluruh dunia. Mulai dari saudagar-saudagar bangsa India dan Cina beribu-ribu tahun yang lalu telah pun mengadakan perhubungan dengan Negeri-Negeri Melayu dan akhirnya kemakmuran dan kemewahan Negeri-Negeri Melayu itu bertambah merebak tersiarnya hingga sampai ke Parsi, Arab, Rom dan Eropah. Maka beransur-ansurlah pula orang-orang Parsi, Arab, Rom, Eropah datang berniaga ke Negeri-Negeri Melayu dengan kapal dan bahtera mereka yang besar-besar
Kebetulan pula - di masa itu, di Eropah telah disuluh oleh tamadun Islam. Mereka telah tahu khasiatnya rempah-rempah. Maka mula orang-orang Spain, Portugis belayar jauh hingga ke India dan akhirnya sampailah kepada gugusan pulau-pulau Melayu tempat tumpuan saudagar-saudagar India membeli rempah yang diperniagakan ke Eropah itu. Dari semenjak itu semakin terkenallah kemakmuran Tanah Melayu ini dengan mata benda perniagaan yang digemari oleh bangsa-bangsa dagang, dan semakin ramailah orang-orang Cina, India, Parsi, Arab dan orang-orang Eropah datang ke Tanah Melayu. Di antara bangsa-bangsa dagang itu, termasuklah bangsa-bangsa Belanda, Inggeris memulakan perniagaan dengan negeri-negeri Melayu itu.
Sebagaimana telah diketahui, kerajaan Melayu adalah dalam keadaan mewah makmur dan kaya raya. Mereka hidup dengan aman damai, ria dan bahagia. Hidup bermasyarakat di antara sama bangsa dengan tiada ada yang mengganggunya sebelumnya didesak oleh bangsa-bangsa dagang yang datang ke tanah air kita.
Tetapi – perubahan-perubahan tekad mula datang kepada bangsa Melayu dan kepada tanah air Melayu, ialah oleh desakan bangsa-bangsa dagang yang dating ke Tanah Melayu, kerana itulah orang-orang asing seperti Cina, India, Arab, dan sebagainya telah dipanggil dengan “orang dagang”, kerana kedatangan mereka ke Tanah Melayu ini lebih dikenali dengan dagangan mereka, kemudian berturutlah dengan sebutan-sebutan “dagang senteri”, “dagang piatu” dan sebagainya. Sedang dalam bahasa Inggeris berlainan bilangannya dengan perkataan Foreigner dan Stranger, manakala terjemahannya yang lebih tepat ialah Trade, Trader, Trading, Commerce dan sebagainya.
Inilah dia “takrif” pengenalan orang-orang Melayu terhadap orang-orang luar atau orang dagang di masa itu sebagai membuktikan besarnya pasar perniagaan dalam kerajaan Melayu di masa itu.
Bagaimanapun – bangsa-bangsa India, Cina, Parsi dan Arab hanyalah setakat merebut perdagangannya sahaja di Tanah Melayu ini. Tetapi bangsa-bangsa Barat (Inggeris, Belanda, Sepanyol, Portugis dan Amerika) bukan sahaja setakat merebut perniagaan, tetapi adalah terus menjajah Tanah Melayu ini – yang menyebabkan hakikatnya bangsa Melayu yang menjadi “dagang” di tanah airnya sendiri.
Bagaimana bijaknya orang-orang Barat hendak memulakan cengkaman kuku penjajahannya “di kepulauan ini” ialah dengan nama “syarikat perniagaan” mereka yang disebut dengan nama “kompeni” itu dan “kompeni” ini. Kerana itulah juga orang Barat itu di Tanah Melayu dengan sebutan “orang kompeni”.
Tahun 1511M. itulah tahun malapetaka, tahun yang paling malang kepada bangsa Melayu, kerana pada tahun itulah tarikh jatuhnya kerajaan Melayu yang gah dan masyhur itu. Kemudian beransu-ansurlah malang dan nahas yang menimpa seluruh bangsa Melayu di gugusan pulau-pulau Melayu, dan dari semenjak itulah mula tenggelam hak dan keadilan  bangsa Melayu dari muka dunia, sebagai suatu bangsa yang pernah berdaulat dan bekerajaan sendiri.
Sudah begitu, maka dalam buku-buku bahasa Inggeris pula yang ditulis oleh pengarang-pengarang itu mereka telah membesar-besarkan, memperkenalkan bangsa Melayu kepada dunia dengan “cap” bangsa yang pemalas, jahil – bodoh, perompak lanun dan sebagainya. (Itulah sebabnya kedatangan orang-orang Barat itu kononnya kerana hendak mengajar dan memimpin bangsa Melayu untuk menjadi bangsa yang berkemajuan  - dan hasil pimpinan mereka itulah sebagaimana keadaan kita hari ini – hidup merana di negeri sendiri).
Tetapi apakah yang sebenarnya bangsa Melayu di dalam lipatan tawarikh dan sejarah dunia? Dan di dalam ingatan sanubari bangsa Melayu sendiri? Kenapakah mereka mendapat gelaran yang rendah itu sebagai bangsa pemalas, perompak dan sebagainya? Iaitu sesudahnya bangsa-bangsa dagang itu dapat mengecap kemakmuran bumi Melayu yang makmur dan kaya-raya ini??
Maka jawabnya telah pun jelas tergambar sebelum tahun 1511 dengan terus mata dan ramalan Laksamana Hang Tuah, ketika melihatkan ancaman yang hebat yang sedang dan akan menimpa bangsa Melayu dengan pesanan beliau yang berhikmat “Tak Melayu hilang di dunia!”
Ancaman ini datangnya adalah berpunca dari perdagangan – sebagaimana orang-orang Inggeris telah pun terkenal dengan nama  “East India Company” dan orang Belanda dengan VOC (Vereenigde oost Indische Compagnie) dan akhirnya kepulauan Melayu ini telah menjadi rebutan kapitalis Eropah itu dan kesudahannya menjadi imperialis (penjajah).




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...