Artikel Popular

Monday, September 2, 2019

Analisis Sistem-Dunia


ISNIN, 2 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Immanuel Wallerstein,  pengasas sistem-dunia, bukan sahaja menekankan penggunaan sempang, tetapi juga enggan mengatakan  teori sistem-dunia; sebaliknya, beliau mengatakan analisis sistem-dunia. Wallerstein dalam bukunya, seperti  World-Systems Analysis: An Introduction dan The Uncertainties of Knowledge,  mengisahkan cerita  yang panjang yang membawa kepada kelahiran analisis sistem-dunia  pada awal tahun 1970-an, sebagai perspektif tentang realiti sosial. Sesetengah konsepnya digunakan sejak sekian lama dan sesetengahnya baharu atau sekurang-kurangnya diberikan nama baharu. Konsep  hanya dapat difahami dalam konteks masa konsep berkenaan.  Seperti mana-mana perspektif lain, analisis sistem-dunia dibina pada perbincangan  dan kritikan awal.
            Cerita  kemunculan analisis sistem-dunia terbenam dalam sejarah sistem-dunia moden dan struktur ilmu yang berkembang sebagai bahagian sistem itu.  Sememangnya, berguna untuk menjejak permulaan cerita bukan tahun 1970-an, tetapi ke pertengahan abad ke-18. Ekonomi-dunia kapitalis telah pun wujud kira-kira dua abad. Sangat mustahak pengumpulan modal tanpa kesudahan menjanakan keperluan untuk perubahan malar, pengembangan malar perbatasan – geografi, psikologi, intelektual, dan saintifik.
Berbetulan, debat berlaku dalam kalangan sejarawan ekonomi Barat tentang asal-usul kapitalisme moden. Debat sejarah ini mendapat liputan yang meluas, yang memperlihatkan percanggahan dalam kalangan Marxis, sebagaimana antara sejarawan Marxis dengan bukan Marxis.  Pada tahun 1950, berlaku bertukar-tukar pandangan  antara ahli ekonomi, Paul Sweezy dengan sejarawan ekonomi, Maurice Dobb yang bukunya, Studies in the Development of Capitalism (1946) yang Sweezy kritik.  Menurut Ellen Meiksin Wood,  bertukar-tukar pandangan mereka berkembang ke dalam debat besar dalam kalangan mereka yang terkenal, terutamanya Marxis, sejarawan dalam jurnal Science & Society, yang kemudiannya dikumpulkan  dan diterbitkan dalam buku, The Transition from Feudalism to Capitalism, yang R.H. Hilton sebagai editor. Apa yang dikenali sebagai “debat peralihan,” merupakan  titik rujukan utama untuk perbincangan subjek ini dalam kalangan Marxis dan lain-lainnya sejak itu.
Sebenarnya, debat peralihan daripada feudalisme kepada kapitalisme melibatkan para sarjana yang bertutur dalam bahasa Inggeris, manakala kumpulan Annales yang berasal-usul di Perancis tidak terlibat. Annales yang pengaruh pada masa antara perang adalah minimum, berkembang pada tahun 1945 di bawah kepimpinan Braudel. Beliau mengetengahkan bahasa tentang masa sosial yang muncul untuk mengubah-ubah karya  seterusnya. Braudel yang mengkritik “peristiwa dikuasai” atau sejarah berepisod (histoire evenementielle), menegaskan isu unit analisis. Dalam karya utama pertamanya, beliau menegaskan bahawa Mediterranean pada abad ke-16, yang beliau kaji, membentuk “ekonomi-dunia” (economie-monde), dan beliau menjadikan sejarah ekonomi-dunia ini objek kajiannya.
            Pada pertengahan tahun 1960-an, Wallerstein menemui beberapa makalah yang mengagumkan ditulis oleh Marian Malowist dalam Africana Bulletin. Daripada makalah pertama Malowist, Wallerstein mengenali karya agung, Fernand Braudel tentang  The Mediterranean. Daripada pembacaan itu, beliau menemui dua konsep Braudel yang penting untuk karya beliau selepas itu, iaitu konsep ekonomi-dunia dan konsep longue durée. Daripada Malowist (kemudian, pastinya pengarang lain Poland dan Hungary), beliau menemui peranan Eropah Timur sebagai pinggir yang sedang muncul dalam ekonomi-dunia Eropah pada abad ke-16.
            Wallerstein mengambil konsep “ekonomi-dunia” Braudel itu dan menggabungkannya dengan pandangan Karl Polanyi, sejarawan ekonomi, yang menegaskan  bahawa wujud tiga bentuk organisasi ekonomi, yang beliau  sebut kesalingan (jenis memberi dan menerima secara langsung), pengagihan semula (barang beredar daripada paras bawah tangga sosial kepada paras atas dan kembali semula sebahagiannya ke bawah),  dan pasaran (tempat pertukaran berlaku dalam bentuk monetari dalam arena awam. Kategori jenis sistem sejarah ini, iaitu sistem mini, empayar-dunia, dan ekonomi-dunia – seakan-akan cara lain untuk menyatakan tiga bentuk organisasi ekonomi Polanyi itu. Sistem mini menggunakan kesalingan, empayar-dunia menggunakan  pengagihan semula, dan ekonomi-dunia menggunakan pertukaran pasaran.
            Kemudian, Wallerstein menegaskan bahawa sistem-dunia moden ialah ekonomi-dunia kapitalis, bahawa kapitalisme dapat wujud hanya dalam rangka ekonomi-dunia, bahawa ekonomi-dunia dapat beroperasi hanya pada prinsip kapitalis. Beliau menegaskan perkara ini dalam seluruh penulisan beliau.  Pada awal tahun 1970-an orang mula bercakap secara eksplisit tentang sistem-dunia sebagai perspektif.  Analisis sistem-dunia berusaha untuk menggabungkan secara koheren mengambil berat  terhadap unit analisis, mengambil berat  terhadap temporaliti sosial, dan mengambil berat terhadap sekatan yang terbina antara disiplin sains sosial yang berbeza. Analisis sistem-dunia bukannya “sosiologi dunia ini,” yang sebelah menyebelah dengan sosiologi bandar atau sosiologi kumpulan kecil atau sosiologi politik.  Sebaliknya, analisis sistem-dunia mewakili dirinya sebagai kritik banyak premis sains sosial yang wujud, sebagai ragam yang Wallerstein, “sains sosial yang tidak berfikir.” Oleh sebab itu, beliau selalu menentang penggunaan istilah “teori sistem-dunia,” yang digunakan secara kerap  untuk menjelaskan apa yang dihujahkan, terutamanya oleh bukan pengamal, dan berkeras menggesa kerja kita “analisis sistem-dunia.”
            Menurut Wallerstein, kategori Prebish turut digabungkan juga. Ekonomi-dunia kapitalis dikatakan ditandakan oleh pembahagian kerja paksi antara proses pengeluaran seperti pusat (core-like) dengan proses pengeluaran pinggir, yang mengakibatkan pertukaran tidak seimbang yang mementingkan mereka yang terlibat dalam proses pengeluaran seperti pusat.  Oleh sebab proses cenderung dikumpulkan bersama-sama di negara tertentu, kita boleh menggunakan bahasa trengkas dengan bercakap tentang zon pusat dan zon pinggir (atau bahkan, negara pusat dan negara pinggir), selagi kita ingat bahawa sememangnya, proses pengeluaran dan bukannya negara yang merupakan seperti pusat dan pinggir. Dalam analisis sistem-dunia, pusat-pinggir ialah konsep relasional, bukannya pasangan yang digabungkan, iaitu makna penting yang berasingan.
            Analisis sistem-dunia mengambil bentuk pada tahun 1970-an, adalah kerana keadaan untuk kemunculannya sudah tiba untuk sistem-dunia.  Faktor utama yang dapat diringkaskan sebagai revolusi tahun 1968 – kedua-duanya, iaitu peristiwa itu sendiri dan keadaan yang mendasari memberikan kebangkitan kepada peristiwa itu. Pergolakan intelektual ini disusuli oleh kejutan budaya revolusi tersebut, yang mempunyai tapak yang kuat di universiti dunia, juga mula membangkitkan beberapa isu tentang struktur ilmu.
            Sejak kemunculannya, analisis sistem-dunia dikritik, selain Brenner, kritikan juga datang daripada Theda Skocpol, Aristide Zolberg, Stanley Aronowitz, dan bahkan daripada Gunder Frank sendiri.  Sejak itu juga, sistem-dunia  berkembang berikutan kajian demi kajian  lain, yang sesetengahnya tidak berpegang pada sistem-dunia moden  Wallerstein yang berasal-usul pada abad ke-16. Ada kajian menunjukkan bahawa sistem-dunia wujud sebelum abad itu, sebelum sistem-dunia kapitalis, dan bahkan wujud sejak zaman purbakala lagi.
            Selain itu, analisis sistem-dunia dianggap sebuah lagi  “naratif agung,” yang akan dicampakkan  ke dalam tong sampah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...