Artikel Popular

Sunday, September 1, 2019

Pengantar "Sejarah Perjuangan Kita"


AHAD, 1 September 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Di bawah ini diterbitkan "Pengantar"  yang ditulis oleh Ahmad Azam  untuk buku Dr. Burhanuddin al-Helmy,  Sejarah Perjuangan Kita

Buku "Sejarah Perjuangan Kita" ini telah ditulis oleh Tuan Doktor Burhanuddin al-Helmy, pada kira-kira hampir sepuluh tahun yang lampau, iaitu tahun 1946 sebagai memperingati perjuangan kebangsaan Melayu dalam parti politik (PKMM) genap setahun. Dan telah pun dicita-cita dan diterbitkan di masa itu di ketika beliau sebagai sifatnya pemimpin agung Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
Dalam kata pendahuluannya yang bertarikh 8 Oktober 1946, di antara lain beliau berkata: "di dalam buku (Perjuangan Kita) ini moga-moga kiranya terbayanglah rupa perjuangan kita untuk menambah dan memperkukuhkan keyakinab kita menempuh perjuangan di masa depan."
Malaya hak Melayu - kita berjuang membela hak dan keadilan bangsa kita bulat dan tegak menuju ke arah keinginan dan keselamatan bangsa dan nusa. Tuhan tetap kepada pihak yang benar....
Hari ini diterbitkan semula ialah dengan maksud dapat dibaca oleh segenap bangsa Melayu yang kini telah pun menjadi bangsa yang ingin merdeka. Semoga dapatlah kita mempelajari sedikit sebanyak sejarah perjuangan bangsa kita sejak beberapa tahun yang lampau terutamanya di ketika mana "benih merdeka" mula ditanam dan disemai oleh pejuang bangsa kita yang akibatnya mereka meringkuk dalam tahanan Darurat beberapa tahun dan serentak dengan itu pula parti mereka (PKMM) telah diharamkan.
Setakat manakah penghargaan masyarakat kita terhadap pejuang-pejuang kemerdekaan itu? Terserahlah kepada rakyat menilainya. Ini juga menjadi ukuran setakat mana kesedaran kita sebagai suatu bangsa yang benar-benar ingin merdeka dan anti kepada apa juga corak pemerintahan di tanah air kita.
Wabillah iltaufik - merdeka!
Ahmad Azam
Dr. Burhanuddin al-Helmy ialah:
·         Bekas pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
·         Bekas pengerusi gabungan Putera-(A.M.C.J.A).
·         Wakil Malaya ke Persidangan Seluruh Asia tahun 1947.
·         Pemerhati ke Persidangan Afro-Asia pada bulan April 1955.
·         Pengerusi jawatankuasa pemandu Kongres Pemuda se-Malaya.
·         Pemimpin rakyat yang belum pernah turut memegang jawatan kerajaan.
·         Pemimpin yang tetap pendiriannya memperjuangkan hasrat dan cita-cita kebangsaan Melayu.
Untuk berkenal lebih dekat, bacalah buah qalam beliau: Sejarah "Perjuangan Kita" ini semoga menambahkan keyakinan kita bangsa Melayu sebagai bangsa yang ingin merdeka.

Penerbit
Bukit Mertajam, Oktober 1955.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...