Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Bagi Syed Hussein Alatas, penyimpangan watak orang Melayu menurut para
penulis Revolusi Mental dan sedikit banyak juga menurut Mahathir (Tun
Dr. Mahathir Mohamad), disebabkan oleh kurangnya wawasan mereka tentang ilmu
kemasyarakatan, penalaran bebas mereka, dan ketidakkenalan mereka dengan
sejarah Melayu. Mereka mirip orang Negro Amerika yang meyakini apa yang
dikatakan tentang mereka (Alatas, 1977b: 166; 2016c: 163)... ada kemiripan
antara Revolusi Mental dengan ideologi kolonial. Ini berkat pengaruh tetap ideologi kolonial
yang dirangakaikan dengan kelemahan ilmiaj dan intelektual yang memberi ciri Revolusi
Mental (Alatas, 1977b: 166; 2016c: 163).
Alatas juga mendedahkan kegagalan para penulis buku ini dan Dr. Mahathir
dalam The Malay Dilemma, (Dilema Melayu) dalam mentakrifkan dan
mengenal pasti watak nasional (Alatas,
1977b: 175 – 176; 2016c: 175 – 177).
Terdapat sejumlah besar kelemahan dalam Revolusi Mental dan buku
Mahathir (Alatas, 1977b: 178; 2016c: 178).
Alatas
menyimpulkan pendapatnya tentang Revolusi Mental dan The Malay
Dilemma Dr. Mahathir, melukiskan gambaran yang keliru tentang masyarakat
Melayu. Paling hebat gambaran ini
mencerminkan kehidupan kaum elit yang berkuasa, dan sama sekali bukan cerminan
masyarakat Melayu. Landasan penalaran
mereke goayah dan pengetahuan mereka tentang berbagai-bagai kenyataan terbatas.
Pentafsiran mereka keliru dan pemikiran mereka merupakan kepanjangan ideologi
kolonial. Mereka telah mengabaikan
banyak unsur kebudayaan dan sejarah Melayu yang menekankan nilai-nilai
kemajuan. Mereka juga kebingungan yang
mana kebudayaan dan yang mana sejarah (Alatas, 1977b: 180; 2016c: 182).
Tidak
mencukupi kritikannya dalam The Myth of the Lazy Native (Mitos
Peribumi Malas), Alatas menerbitkan sebuah buku khususnya, iaitu Siapa
Yang Salah: Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu pada tahun
1979, untuk mengkritik Revolusi
Mental dan tidak terkecuali The Malay Dilemma, yang menurut beliau,
“mengelirukan pembaca tentang peribadi Melayu.
Kedua-duanya merendahkan peribadi dan kebudayaan Melayu, walaupun ini mungkin
tidak dituju oleh pengarang-pengarangnya” (Alatas, 2015a: xvii).
Dalam
Bab 3, Revolusi Mental membincangkan peribadi nasional, dengan merujuk
pendapat Margaret Mead, ahli sosiologi Amerika yang menegaskan “peribadi
nasional ialah satu kenyataan dan bukannya satu khayalan” (Senu, 2002: 24).
Bagi Mead, peribadi nasional disebabkan dan ditentukan oleh kebudayaan (Senu,
2002: 24 – 25). Berdasarkan konsep peribadi nasional yang diperkenalkan, maka
penulis (penulis-penulis) buku ini, membincangkan peribadi bangsa Melayu dengan
menggunakan sumbe penulisan para penulis Portugis dan Belanda, dan para pentadbir Inggeris, dan seterusnya merumuskan
bahawa bahasa sebagai gambaran kebudayaan (Senu, 2002: 26 – 28).
Alatas
dalam kritikannya menegaskan bahawa soal
penentuan peribadi bangsa, ataupun peribadi nasional, Revolusi Mental
sudah banyak terkeliru. Buku ini tidak benar-benar memahami pendapat Margaret
Mead bahawa peribadi nasional ialah peribadi yang terdapat dalam kalangan orang
ramai satu bangas yang dipengaruhi oleh kebudayaan (Alatas, 2015a: xix). Bahkan, Alatas pergi lebih jauh dengan
membangkitkan sebuah buku yang masyhur ketika itu tentang peribadi nasional,
karangan Ruth Fulton Benedict, The Crysanthemum and the Sword (1967), tentang peribadi
Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Dengan
nada menyindir, Alatas menulis, “buku ini mungkin tidak diketahui oleh
pengarang Revolusi Mental. Yang pasti belum dibaca, kerana
tanda-tandanya tidak ada dalam Revolusi Mental.
Alatas
yang meletakkan The Malay Dilemma dalam “bakul” yang sama dengan Revolusi
Mental dalam mentakrifkan dan membincangkan peribadi nasional, menegaskan
bahawa sifat mengamuk, mata gelap, hilang ingatan, membinasakan jiwa, dianggap
sebagai penting daripada peribadi Melayu oleh Dr. Mahathir ialah satu peristiwa
yang sangat menyedihkan. Perbuatan gila
dianggap bahagian dasar peribadi Melayu.
Dengan pendapat demikian, Dr. Mahathir telah merendahkan peribadi
Melayu, lebih daripada Revolusi Mental dan lebih daripada penjajah
Inggeris. Penjajah Inggeris
menggambarkan peribadi Melayu sedemikian (Alatas, 2015a: xxi – xxii). Menurut Alatas, Dr. Mahathir menggunakan
istilah mengamuk dan bukannya latah
sebagai bahagian sendi besar peribadi Melayu (Alatas, 2015a:
xxii – xxiii; huruf condong oleh Alatas sendiri). Alatas menjelaskan bahawa
unsur mengamuk, mata gelap, hilang ingatan, berbuat tidak senonoh, membahayakan
atau menganiayakan tubuh manusia lain bukan unsur peribadi Melayu kerana
kebudayaan Melayu tidak mengutamakannya, tidak mengajarnya melalui
saluran-saluran sahan dan ianya [sic]
pula tidak diamalkan oleh banyak orang Melayu. Beliau juga menjelaskan bahawa mengamuk ialah cara
bertempur melawan musuh yang jumlahnya
jauh lebih besar (Alatas, 2015a: xxiii - xxiv). Ketidaktahuan Mahathir tentang
ilmu sosial mendorongnya menganggap amuk sebagai sifat utama psikologi
orang Melayu (Alatas, 1977b: 177; 2016c: 177 – 178; huruf condong oleh Alatas
sendiri). Dalam bukunya yang penerbitan
asalnya pada tahun 1970, Dr. Mahathir menyebut
amuk yang menurut beliau, perkataan Melayu yang kini difahami secara
universal. Amuk menjelaskan satu lagi segi peribadi Melayu, tetapi kini, amuk
hanya legenda. Peradaban memalapkan
peribadi Melayu ini (Mahathir, 1981: 117 – 118).
Dalam
“pengenalan” bukunya itu, Dr. Mahathir menegaskan bahawa faktor keturunan dan
persekitaran menyebabkan prestasi lemah pelajar Melayu dalam peperiksaan tanpa
menafikan faktor lain (Mahathir, 1981: 1). Seterusnya, dalam Bab 3, beliau membincangkan keturunan dan persekitaran mempengaruhi
kemajuan orang Melayu di Semenanjung, walaupun kajian saintifik sebenar belum dilaksanakan (Mahathir, 1981: 16 – 31).
Dalam kritikannya, Alatas berhujah bahawa Dr. Mahathir juga mengemukakan
suatu pendapat yang ganjil dan menyeleweng dari dasar ilmiah mungkin disebab
kerana keahlian beliau dalam bidang ilmu yang mempelajari kemajuan kurang
sekali. Beliau mengatakan bahawa faktor
keturunan orang Melayu membawa kemunduran, sedangkan faktor keturunan orang
Cina dianggapnya membawa kemajuan (Alatas, 2015a: xxiv). Dengan menekankan faktor keturunan, Dr. Mahathir bukan sahaja melakukan suatu
kesilapan yang besar, tetapi pendapatnya boleh dianggap “sealiran” dengan rasisme dan Fasisme. “Selain kaum rasis, kaum
Fasis, kaum Nazi di Jerman semasa Hitler, dan kaum penjajah Eropah yang rasis,
pendapat demikian itu telah ditolak oleh hampir keseluruhan ahli ilmu
pengetahuan” (Alatas, 2015a: xxvii).
(Dipetik daripada Bab Dua, Pemerkasa Menara Gading, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
No comments:
Post a Comment